Anda di halaman 1dari 2

3.

FAEDAH MENYERTAI KEGIATAN KOKURIULUM DALAM KALANGAN


PELAJAR

Muktahir, kegiatan kokurikulum di sekolah sudah tidak mendapat perhatian pelajar.


Mereka tidak berminat dengan aktiviti kokurikulum dijalankan oleh Kelab, Persatuan dan Unit
Beruniform lantaran daripada sikap malas mereka dan pengaruh permainan dalam talian. Ada
sesetengah pelajar mendaftar nama dalam kegiatan kokurikulum hanya sekadar memenuhi
tuntutan dan kewajipan sebagai seorang pelajar sahaja. Jelas sekali, sikap dan perbuatan
mereka ini menunjukkan bahawa mereka masih tidak mengetahui faedah menyertai kegiatan
kokurikulum kerana tak kenal maka tak cinta. Persoalannya, apakah manfaat menyertai
kegiatan kokurikulum?
Antara manfaat yang telah dikenal pasti sejak dahulu lagi ialah kegiatan kokurikulum dapat
menyihatkan pelajar. Aktiviti sukan yang diadakan pada waktu persekolahan akan
menyebabkan pelajar dapat mengeluarkan peluh. Hal ini dikatakan demikian kerana toksik di
dalam tubuh pelajar akan dapat disingkirkan melalui perpeluhan yang berlaku. Hasilnya,
pelajar akan lebih segar selepas bersukan malah mereka akan berasa lapang fikiran selepas
menghadapi tekanan belajar. Tidak dinafikan apabila seseorang pelajar itu cergas badannya,
maka otaknya turut menjadi cerdas sesuai dengan peribahasa badan cergas otak cerdas. Pendek
kata, kegiatan kokurikulum ini akan dapat melahirkan pelajar yang sihat tubuh badan dan
cerdas fikirannya.
Selain menyihatkan badan, kegiatan kokurikulum juga dapat mencungkil bakat atau potensi
seseorang pelajar. Bagi pelajar yang menyertai aktiviti sukan, mereka dapat mencungkit
kebolehan mereka dalam acara sukan yang diminati. Malah melalui kegiatan kokurikulum,
mereka dapat menggilap bakat dan menimba ilmu serta kemahiran dalam acara sukan yang
disertai oleh pelajar. Begitu juga dalam aktiviti kelab dan persatuan, pelajar dapat menggilap
potensi diri mereka sebagai ketua atau pemimpin dalam persatuan. Kebolehan memimpin ini
akan dapat membentuk diri pelajar menjadi seorang pemimpin pada suatu hari nanti. Maka
kegiatan kokurikulum menjadi wahana untuk melahirkan pelajar yang berpotensi tinggi dalam
pelbagai bidang.
Dari sudut yang berbeza pula, kegiatan kokurikulum dikatakan mampu membentuk disiplin
diri yang tinggi dalam kalangan pelajar. Pelajar yang terlibat dalam aktiviti Unit Beruniform
kebiasaannya akan melakukan aktiviti kawad kaki. Bagi ahli yang lewat menghadiri sesi
tersebut, komander yang dilantik akan mengenakan hukuman yang berat bagi memberi
pengajaran kepada pelajar yang lewat dan dalam masa sama memberi peringatan kepada ahli
pasukan lain agar tidak lewat hadir sesi kawad kaki. Tegasnya, kegiatan kokurikulum menjadi
medan pembentukan akhlak mulia dan disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar.
Kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk amalan bekerjasama dalam kalangan ahli
mereka. Lazimnya, aktiviti kokurikulum dilakukan secara berkumpulan dan mereka
dikehendaki melakukan kerja bersama-sama dengan cara pembahagian tugas bagi setiap ahli
kumpulan. Aktiviti ini akan dapat memupuk semangat bekerjasama dan berkumpulan dalam
kalangan pelajar sekali gus semangat bekerjasama dapat dipupuk dalam kalangan pelajar agar
mereka sentiasa melakukan pekerjaan dalam berkumpulan dengan semangat bergotong-royong
dan bekerjasama menjadi inti pati dalam aktiviti kokurikulum bak kata peribahasa, ‘Yang berat
sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’ dan ‘Ke bukit sama di redahi ke lurah sama dituruni’.
Secara keseluruhannya, kegiatan kokurikulum ini merupakan satu kegiatan yang menjadi
garis panduan dan petunjuk arah kepada pelajar dalam mendewasakan diri mereka menjadi
generasi yang berkemahiran, berpotensi dan berkepimpinan. Sesungguhnya, jika mereka tidak
dilengkapi dengan aktiviti kokurikulum, necaya mereka akan hilang neraca kehidupan yang
menjadi pertimbangan baik atau buruk sesuatu perkara yang akan ditemui oleh mereka dalam
menempuh alam kedewasaan. Oleh itu, ibu bapa berperanan penting untuk memastikan anak-
anak terlibat dalam kegiatan kokurikulum di sekolah agar mereka menjadi generasi
berkepimpinan dan berkemahiran tinggi untuk menerajui negara Malaysia yang tercinta.

Anda mungkin juga menyukai