Anda di halaman 1dari 3

Saturday, September 25, 2010

Kepentingan Aktiviti Kokurikulum


Program kokurikulum adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Kepentingan program ini juga setara dengan
kepentingan aktiviti di dalam bilik darjah kerana peranannya merupakan
penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran. Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan
yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan
dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau persatuan.
Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja menyeronokkan malahan dapat
mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar yang menyertainya.

Kegiatan kokurikulum mampu membentuk watak dan peribadi
seseorang pelajar. Antara perkembangan diri individu yang diharapkan
melalui kegiatan kokurikulum ini seperti memupuk sifat kepemimpinan,
membina dan membentuk sahsiah yang sihat dan seterusnya membentuk
generasi yang berdisiplin. Kegiatan kokurikulum juga mampu membentuk
personaliti yang positif dan rasa tanggungjawab. Penglibatan dalam
persatuan, kelab dan aktiviti lain akan mengembangkan kemahiran bersosial,
bercampur gaul dan berhubung mesra serta keupayaan dalam perhubungan
awam yang dapat dimanfaatkan dalam masyarakat kelak. Oleh itu, watak
dan peribadi pelajar haruslah dipupuk sejak awal lagi kerana kalau hendak
melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selain itu, kesihatan yang baik dan otak yang cerdas akan diperoleh
daripada kegiatan kokurikulum. Kegiatan kokurikulum akan menyihatkan
badan kerana aktiviti yang bersifat fizikal akan meningkatkan daya tahan.
Kebanyakan pelajar di sekolah lebih suka menyertai kegiatan sukan atau
permainan disebabkan aktiviti sukan dapat membina stamina yang kuat
serta membolehkan para pelajar mengeluarkan peluh, iaitu salah satu bahan
perkumuhan manusia. Murid yang aktif tidak diserang oleh penyakit dan
badan yang sihat memungkinkan pebelajaran yang berkesan. Sebagai
contohnya, aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak dapat membina
kekuatan stamina, manakala sukan catur pula akan mencerdaskan minda
seseorang. Pepatah Melayu mengatakan bahawa badan cergas, otak cerdas.

Melalui kokurikulum, pelajar dapat memupuk semangat perpaduan.
Hal ini semestinya juga akan dapat memupuk sikap bekerjasama dan
toleransi dalam kalangan pelajar. Perpaduan kaum penting untuk
membentuk sebuah negara yang aman damai, supaya rusuhan kaum pada
13 Mei 1969 tidak berulang lagi. Oleh itu, Semangat perpaduan dapat
dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai aur dengan
tebing dalam sesuatu kegiatan. Kegiatan kokurikulum mengakibatkan proses
integrasi berlaku dalam kalangan pelajar supaya pelajar boleh mengenali
dan menghormati antara satu sama lain. Sebagai contohnya, dalam aktivitik
pertandingan seperti bola sepak, kedua-dua pasukan ini bukan sahaja
meliputi satu kaum sahaja malah ia juga disertai oleh pelajar dari pelbagai
kaum. Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat
dan kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat
yang diharapkan kerana bersatu teguh, bercerai roboh.

Kegiatan kokurikulum juga dapat mengembangkan potensi seseorang
pelajar. Sesetengah pelajar tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada
dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan itu akan dapat diketahui
apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum. Dengan ini, pelajar itu
akan berpeluang untuk mewakili kelabnya untuk bertanding pada peringkat
sekolah. Secara tidak langsung, kejayaan pada peringkat sekolah ini akan
membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri, dan kemudiannya
negara. Tujuan kegiatan kokurikulum adalah untuk memberi pengalaman
kepada pelajar-pelajar dan seterusnya membantu mereka dalam mencapai
kehidupan yang sempurna.
Faktor-faktor menyebabkan pelajar-pelajar dan masyarakat tidak
mementingkan aktivitik kokurikulum ialah tangapan yang salah terhadap
kegiatan kokurikulum. Ini adalah kerana kokurikulum bukan berbentuk
akademik dan kegiatan ini tidak diberi penilaian atau gred seperti kurikulum
yang berbentuk akademik dan mengutamakan sifat-sifat kognitif. Oleh yang
demikian, kebanyakan ibu bapa enggan menggalakkan anak-anak mereka
menceburi kegiatan kokurikulum dan sebaliknya menggunakan masa itu untuk
anak mereka ke kelas tambahan, muzik dan membuat kerja sekolah.
Dari perspektif yang lain, terdapat juga beberapa kelemahan pihak-pihak
tertentu dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum ini. Mereka tidak
menitikberatkan kegiatan kokurikulum dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Penglibatan pihak guru dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum
masih pada tahap kurang memuaskan dan ini mungkin disebabkan mereka
tidak memahami garis panduan yang dapat dipegang sebagai landasan bagi
merancang aktiviti dengan jelas selain daripada kurang kemahiran dalam
aktiviti khidmat masyarakat.
Langkah-langkah yang boleh diusaha untuk mengembangkan aktiviti
kokurikulum iaitu pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling perlu
memberi perhatian. Mereka tidak seharusnya berdiam diri dan menutup mata
seterusnya membiarkan pelajar-pelajar tersebut terus tersesat dalam
keseronokan dunia remaja tanpa pendidikan yang sempurna. Tindakan yang
tegas perlu diambil oleh pihak tertentu seperti mengenakan denda kepada
pelajar sekolah yang melepak dan ponteng sekolah atau mengenakan tindakan
disiplin di sekolah. Dengan adanya penegasan dan perhatian sebegini,
diharapkan mutu disiplin pelajar-pelajar yang bermasalah ini dapat ditingkatkan
dan kegiatan seperti gengsterisme dapat dicegah sebelum ia menjadi lebih
berleluasa dan menjatuhkan imej pendidikan Negara.

Kesimpulannya, program kokurikulum di sekolah bukanlah sesuatu yang
baru dalam aktiviti pendidikan pelajar. Pihak sekolah hendaklah memainkan
peranan supaya pelajar bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini
demikian kerana kegiatan kokurikulum ini memberikan peluang kepada para
pelajar untuk menjadi lebih giat dan cergas. Pepatah Melayu mengatakan
bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Oleh itu, semua
pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum supaya
pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif dapat
dihasilkan.
http://fenomena-sosial.blogspot.com/2010/09/kepentingan-aktiviti-kokurikulum.html

Anda mungkin juga menyukai