Anda di halaman 1dari 4

Kegiatan kokurikulum mampu bentuk

kemahiran insaniah
Oleh Aflah Jamaluddin - Mac 22, 2022 @ 9:00am

- Foto hiasan
Terlalu biasa kita mendengar mengenai sambutan dingin ibu bapa terhadap kegiatan
kokurikulum di sekolah. Ada segelintir yang tidak menggalakkan anak mereka turut
serta dengan pelbagai alasan.

Antaranya faktor jadual akademik yang padat misalnya antara pembelajaran di


sekolah dan kelas tambahan antara yang dikenal pasti. Tidak kurang yang
melihatnya sebagai membuang masa kerana murid perlu fokus terhadap
pembelajaran terlebih dahulu sebelum aktiviti senggang.

Namun satu hal yang mungkin kurang disedari, kejayaan seseorang murid itu tidak
hanya diukur pada berapa jumlah deretanAyang diperoleh. Sebaliknya, kejayaan
individu juga dilihat daripada sikap dan pemikiran juga hati budi serta nilai insaniah
dimilikinya.

Malah, ramai di luar sana yang mampu meraih markah penuh setiap kali peperiksaan
tetapi gagal berkomunikasi dengan baik atau membentuk kerjasama kumpulan.

DISYORKAN UNTUK ANDA


Justeru, seorang pelajar perlu menguasai kemahiran teknikal dan insaniah sebagai
acuan membentuk dirinya menjadi manusia. Kemahiran teknikal merujuk kepada
pembelajaran yang diajar secara formal di dalam bilik darjah. Ia merangkumi hal-hal
seperti menghafal sifir, menganalisis data, membaca buku bagi meningkatkan
pengetahuan dan menjawab soalan yang memerlukan latihan.

Kemahiran insaniah sebaliknya bersifat keperibadian iaitu berperanan membentuk


personaliti yang berkembang dari masa ke masa melalui pertumbuhan dan
kematangan peribadi. Ia tidak boleh diajar melalui buku sebaliknya murid perlu
merasai dan menguasai sendiri kemahiran ini dengan menyertai aktiviti kokurikulum
yang dirancang. Misalnya kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian
seragam dan kelab atau persatuan.

- Foto hiasan
Kombinasi kedua-duanya mampu memantapkan pembentukan diri seorang pelajar.
Justeru, kegiatan kokurikulum perlu dilihat sebagai wadah melengkapkan
pembentukan diri seseorang pelajar. Ia berperanan dalam menggalakkan
perkembangan bakat, sifat kreativiti selain melonjak potensi murid ke tahap yang
maksimum.

Malah ia sebenarnya adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan


pembelajaran. Kepentingannya setara dengan kurikulum kerana peranannya sebagai
pelengkap sistem pembelajaran.

Dalam hal ini, persefahaman antara sekolah dan ibu bapa sangat penting untuk
membantu kelancaran kegiatan aktiviti kokurikulum. Sekiranya gagal, akan wujud
kepincangan dari sudut pembentukan insan seimbang dalam kalangan murid. Lebih
membimbangkan, ia mampu memadamkan minat, bakat juga potensi murid untuk
terbabit dengan kegiatan di luar silibus peperiksaan.
Murid akan kurang pergaulan berkomunikasi dengan rakan sebaya sehingga
melenyapkan nilainilai kepimpinan, kebolehan membuat keputusan, perpaduan dan
kerjasama.

Pentingnya kokurikulum dalam membentuk kemahiran insan

1. Penyertaan dalam kokurikulum membuatkan mereka belajar mengendalikan diri


menerusi maklum balas spontan daripada rakan orang lain. Kemahiran insaniah
mereka akan berkembang dan teruji sama ada perlu bersabar atau memberi tindak
balas secara negatif atau positif. Kecerdasan mengawal emosi seperti ini tidak
dapat diajar secara formal sebaliknya murid perlu melaluinya sendiri. Begitu juga
dengan kemahiran menyelesaikan masalah secara kritis dan kreatif selain
kebolehpercayaan bekerjasama dengan rakan sebaya. Kemahiran insaniah yang
kuat biasanya menjadikan seseorang murid serba boleh, beradab, baik dan beretika.

2. Penyertaan dalam kokurikulum adalah kesempatan untuk membantu murid


membuat persediaan sebelum menempuhi alam kerjaya. Ia boleh dilihat sebagai
asas kepada pengetahuan terhadap kerjaya pilihan.

3. Pengetahuan yang diperoleh daripada mata pelajaran akademik dapat


diperkukuhkan dan diamalkan melalui aktiviti kokurikulum. Hal ini apabila kegiatan
kokurikulum adalah ruang untuk murid memahami konsep latihan dalam bidang
tertentu dengan menggunakan pengetahuan yang diperoleh secara lebih bermakna
dan realistik. Justeru, dalam hal ini semua aktiviti kokurikulum hendaklah dirancang
terlebih dahulu supaya selaras dan saling melengkapi dengan apa yang diajar di bilik
darjah.

4. Kegiatan di sekolah sebenarnya adalah cerminan masyarakat di luar. Ia memupuk


rasa kesedaran untuk memberi khidmat kepada masyarakat bukan hanya dalam
kalangan murid tetapi juga guru. Ia membantu memupuk hubungan dua hala antara
sekolah dan masyarakat serta menyemai semangat berkhidmat, bekerjasama dan
saling membantu antara satu sama lain.

5. Satu lagi hal yang tidak boleh dinafikan, kegiatan kokurikulum adalah kaedah kita
mendidik anak-anak untuk mengisi masa lapang mereka dengan berfaedah serta
membina kesihatan fizikal dan mental. Selain ia berupaya memberi keseronokan
kepada murid. Antaranya aktiviti seperti bersukan, bertani, menanam bunga,
menghias malah menyanyi dan bermain alat muzik. Kelab seni misalnya
merangsang minat terhadap kerja kreatif misalnya sajak, cerpen juga lukisan atau
ukiran.

6. Kegiatan kokurikulum juga memberi peluang kepada pelajar melatih diri untuk
berdisiplin, berfikiran secara terbuka, memupuk minat dan mencungkil bakat serta
membina personaliti diri untuk menghayati nilai perpaduan dan kewarganegaraan
sebagai persediaan untuk berhadapan dengan masa depan.

Menerusi perbincangan di atas, kita juga perlu sedar kegiatan aktiviti kokurikulum
berfungsi sebagai medium untuk menghilangkan tekanan murid kerana bersifat
merentas disiplin, bersepadu dan tidak bersifat eksklusif.

Oleh sebab itu, kegiatan kokurikulum masih sangat relevan dan diperlukan murid
sebagai penyembuh rohani untuk ketenangan masa kini dan persediaan masa
depan.

Penulis adalah Guru SK Bukit Kemuning 2

Anda mungkin juga menyukai