Anda di halaman 1dari 2

Kebaikan penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum

Kokurikulum merupakan kegiatan di luar bilik darjah yang dilakukan oleh para pelajar selepas waktu
persekolahan iaitu pada waktu petang setiap hari Rabu. Ada juga kegiatan kokurikulum di sekolah
yang diadakan pada hujung minggu. Setiap sekolah mempunyai kegiatan kokurikulum dan
mewajibkan setiap pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum dapat
dikategorikan sebagai badan beruniform, kelab dan persatuan, sukan dan permainan. Kegiatan
kokurikulum yang dijalankan sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan
pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu, penglibatan pelajar
dalam kegiatan kokurikulum akan membawa banyak kebaikan.

Antara kebaikan penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum ialah salah satu kaedah untuk
mendisiplinkan diri. Aktiviti kokurikulum seperti pergerakan Pengakap, Pandu Puteri dan Kadet Polis
dapat menjadikan seseorang pelajar lebih berdisiplin. Biasanya aktiviti yang dilakukan oleh para
pelajar semasa sesi kokurikulum ialah menghadiri perjumpaan atau mesyuarat, kawad kaki,
perkhemahan dan sebagainya. Melalui aktiviti itu, pelajar akan menjadi seorang yang menepati
masa, bertanggungjawab, berdisiplin, bersemangat sepasukan dan sebagainya. Para pelajar yang
melibatkan diri dengan kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang secara berfaedah dan
terhindar daripada gejala tidak sihat.

Selain itu, pelajar yang terlibat dalam kegiatan kokurikulum dapat memupuk sifat kepemimpinan
mereka. Seseorang pelajar yang mengendalikan aktiviti persatuan dan kelab dapat melatih sifat
kepemimpinan yang ada dalam diri pelajar, Seseorang pelajar boleh dilantik sebagai pengerusi,
setiausaha, bendahari, ahlijeawatankuasa yang akan mengendalikan mensyarat dan pelbagai aktiviti
lain. Aktiviti seperti, lawatan sambil pelajar, pameran. Kempen dan sebagainya yang diadakan dapat
membentuk ciri-ciri kepimpinan pelajar seperti berdaya saing, berkeyakinan dalam memimpin,
prihatin, karisma dan sebagainya. Aktiviti luar bilik darjah ini akan menjadi pelengkap kepada aktiviti
dalam bilik darjah.

Di samping itu, seseorang pelajar yang terlibat dalam kegiatan kokurikulum dapat menambahkan
pengalaman mereka. Sebagai contoh para pelajar akan mendapat pengalaman untuk berniaga
melalui aktiviti hari kantin yang diadakan di sekolah. Pengalaman seseorang pelajar untuk
berinteraksi dengan rakan sebaya membolehkan seseorang pelajar belajar bersosial dan seterusnya
memahami budaya dan kepercayaan orang lain. Justeru, dapat mengurangkan prasangka dan
memupuk sikap saling menghormati antara antara pelajar yang berlainan kaum dan latar belakang.
Sikap hormat-menghormati antara kaum yang dipupuk menerusi aktiviti kokurikulum akan membuka
ruang persefahaman dan persahabatan serta merapatkan jurang perbezaan antara pelajar. Dengan
itu, kegiatan kokurikulum yang dijalankan akan mengukuhkan semangat perpaduan yang bermula
dari bangku sekolah.

Seterusnya, kecerdasan fizikal dan mental seorang pelajar diwujudkan apabila seseorang pelajar
terlibat dalam kegiatan kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilakukan membolehkan seseorang
pelajar menjadi aktif, pintar, kreatif dan inovatif sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.
Kecergasan fizikal seseorang pelajar ditingkatkan hasil daripada aktiviti sukan dan permainan kerana
seseorang pelajar itu perlu menjalani pelbagai latihan supaya mereka menjadi mahir dalam sesuatu
sukan dan permainan sehingga boleh mewakili sekolah dalam pertandingan tertentu. Kecergasan
fizikal dan kecerdasan minda seseorang pelajar yang terbentuk melalui kegiatan kokurikulum
membolehkan seseorang pelajar meningkatkan prestasi pelajaran.
Kesimpulannya, memang tidak dapat dinafikan aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah
membawa banyak kebaikan kepada para pelajar. Kegiatan kokurikulum mampu melahirkan generasi
yang sihat, berketerampilan dan cemerlang. Ibu bapa perlu menyokong usaha ini supaya anak-anak
aktif dalam kegiatan kokurikulum. Para pelajar yang seimbang dari segi fizikal, emosi, rohani dan
intelek sangat penting kerana generasi muda ini bakal memimpin negara pada masa hadapan.

Anda mungkin juga menyukai