Anda di halaman 1dari 2

PONTENG SEKOLAH

Ponteng sekolah merujuk kepada tindakan pelajar yang tidak hadir ke sekolah secara
sengaja untuk pergi ke tempat yang lain. Pelajar yang sering ponteng sekolah biasanya sudah
tahu destinasi yang ingin dituju seperti kafe siber, restoran makanan segera, pusat membeli-
belah dan tempat menonton wayang. Pada masa ini, gejala ponteng sekolah semakin
membimbangkan dan hal ini jika tidak dicegah akan menjadi seperti kudis menjadi tokak.
Kebiasaannya, kumpulan pelajar yang sering terlibat dalam gejala ponteng sekolah terdiri
daripada golongan yang berumur 13 hingga 17 tahun. Buktinya, berdasarkan laporan
daripada Unit Sekolah Menengah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
berlaku peningkatan sebanyak lapan peratus menjadi 214 kes ponteng sekolah pada tahun
2015 berbanding dengan tahun sebelumnya. Hakikatnya, gejala ponteng sekolah yang
semakin membimbangkan ini disebabkan oleh faktor-faktor yang akan dibincangkan secara
lebih terperinci.

Sebab utama pelajar ponteng sekolah sukar diatasi kerana terpengaruh dengan rakan
sebaya. Hal ini dikatakan demikian kerana tempoh masa belajar bersama dengan rakan
mereka adalah lebih lama berbanding bersama dengan ibu bapa di rumah. Selain itu, masa
remaja di rumah juga digunakan untuk berkomunikasi secara atas talian bersama rakan.
Contohnya, tempoh belajar di sekolah yang agak panjang selama lapan jam telah
menyebabkan pengaruh rakan sebaya lebih besar berbanding dengan ahli keluarga. Hal ini
boleh mendorong atau mempengaruhi pelajar untuk melakukan perkara yang baik atau
sebaliknya. Perkara ini sama dengan peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata
leta. Oleh itu, remaja perlu bijak untuk memilih kawan agar pengaruh rakan sebaya yang
negatif tidak mendatangkan kesan buruk kepada mereka.

Selain itu, sebab lain pelajar ponteng sekolah adalah kerana mereka tidak berminat untuk
belajar. Saya berpendapat demikian kerana pelajar datang ke sekolah semata-mata untuk
memenuhi kehendak ibu bapa dalam memilih mata pelajaran, pengajaran guru yang tidak
memberi impak yang positif kepada pelajar juga tahap kesukaran yang tinggi mata pelajaran
terutamanya aliran Sains. Tamsilnya, ibu bapa sering memaksa anak-anak untuk mengikuti
aliran Sains kerana memenuhi kehendak mereka dan ingin menunjukkan rasa bangga kepada
rakan-rakan yang lain. Tambahan lagi, cara guru mengajar yang konvensional tidak mampu
mendorong pelajar untuk menguasai mata pelajaran yang diajar. Tahap kesukaran
terutamanya aliran Sains tulen boleh menyebabkan pelajar yang sederhana tahap
pemikirannya akan sentiasa ketinggalan berbanding dengan rakan-rakannya lebih mahir.
Senario ini persis dengan peribahasa, yakni untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Justifikasinya, izharlah bahawa minat pelajar untuk mempelajari ilmu perlu diubah sekiranya
tidak ingin ketinggalan.

Faktor bekerja atau membantu ibu bapa di rumah juga menyebabkan berlakunya gejala
ponteng sekolah. Hal ini berlaku kerana remaja terpaksa mencari pendapatan tambahan
untuk mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa. Selain itu,
para pelajar juga terpaksa menjaga ibu bapa yang menghadapi masalah kesihatan ataupun
berstatus Orang Kurang Upaya (OKU). Sebagai contoh, masalah seperti hutang, ibu bapa
yang muflis dan bilangan tanggungan yang ramai menyebabkan remaja bekerja untuk
mencari pendapatan sampingan. Terdapat juga remaja yang terpaksa menjaga ibu bapa di
rumah kerana penyakit kronik seperti sakit jantung, masalah buah pinggang dan juga
kecacatan akibat kemalangan. Pengorbanan anak-anak ini terpaksa dilakukan supaya tidak
menjadi anak yang derhaka seperti kacang lupakan kulitnya. Natijahnya, anak-anak terpaksa
ponteng sekolah untuk menjaga atau membantu ibu bapa di rumah.

Faktor terakhir yang menyebabkan gejala ponteng sekolah ini berlaku kerana suasana
sekolah yang membosankan. Hal ini boleh diperkatakan bahawa suasana sekolah yang tidak
ceria, tahap kebersihan yang kurang memuaskan dan juga infrastruktur yang serba
kekurangan untuk digunakan oleh para pelajar. Misalnya, ketiadaan mural yang memberi
rangsangan untuk terus belajar, bangunan sekolah yang tidak dicat dengan warna yang lebih
ceria dan tiada taman-taman mini yang mampu merangsang pelajar untuk belajar.
Sehubungan dengan itu, keadaan tandas yang kotor dan sering tersumbat serta penjualan
makanan yang mahal di kantin turut menyebabkan pelajar mengambil kesempatan untuk
ponteng sekolah bagi mencari keseronokan di luar. Suasana sekolah yang tidak memuaskan
ini seolah-olah seperti indah khabar dari rupa kerana tidak menggambarkan suasana yang
diinginkan oleh pelajar. Oleh itu, pihak sekolah haruslah melakukan penambahbaikan untuk
kembali menceriakan kawasan sekolah.

Kesimpulannya, gejala ponteng sekolah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya, pelajar
yang tidak berminat untuk belajar, remaja yang bekerja atau membantu ibu bapa di rumah
dan suasana sekolah yang membosankan. Semua pihak termasuklah ibu bapa, pihak sekolah
dan pihak kerajaan perlu bersinergi bagai aur dengan tebing untuk mengambil tindakan yang
drastik bagi mencegah gejala ponteng sekolah. Dengan berbuat demikian, barulah gejala
ponteng sekolah dapat diatasi dengan segera kerana remaja merupakan tonggak masa
hadapan negara, iaitu pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Anda mungkin juga menyukai