Anda di halaman 1dari 2

Remaja hari ini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru

untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Stres yang dihadapi telah menyebabkan ada remaja yang mengambil tindakan yang tidak sesuai. Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani stres. Dikarang oleh : Puan Haslina Hassan Zaman remaja diakui sebagai zaman yang sangat indah namun penuh pancaroba. Remaja akan meneroka pelbagai sudut kehidupan demi mencari hala tuju mereka. Dalam tempoh pengembaraan itu, remaja akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menguji ketabahan mereka. Ada remaja yang berjaya menangani masalah dengan baik namun ada juga yang tewas dalam kancah emosi sehingga mencetuskan permasalahan yang lebih serius. Remaja seperti inilah yang perlu dibantu agar mampu menangani tekanan emosi dalam jiwa mereka dengan cara yang bijak. Apabila dibebani masalah, remaja lebih cenderung untuk melarikan diri daripada masalah dengan mencetus masalah lain. Contohnya, remaja selalu berdepan dengan konflik keluarga kerana pandangan yang berbeza. Jika itu berlaku, mereka mengambil jalan mudah dengan keluar melepak bersama rakan-rakan yang mungkin mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara negatif. Mereka mula tidak pulang ke rumah kerana tidak ingin bertembung dengan punca masalah di rumah. Hakikatnya tindakan itu tidak bijak kerana langkah terbaik adalah dengan mencari punca masalah tersebut dan berbincang bersama-sama agar yang keruh dapat dijernihkan. Jelas bahawa merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah. Ada juga remaja yang gemar memendam rasa apabila berdepan dengan masalah. Mereka akan menjadi pendiam dan jika keadaan itu dibiarkan berterusan, kemungkinan mereka akan menjadi murung. Kemurungan yang berlebihan akan membawa kepada masalah jiwa. Perkara ini boleh dielakkan jika remaja mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan masalah mereka. Teman baik merupakan orang yang sepatutnya dijadikan sandaran namun remaja perlu bijak memilih orang yang paling dipercayai. Walaupun orang yang mendengar tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya luahan masalah itu dapat meringankan kekusutan yang bermain di minda. Melepaskan apa yang terbuku di jiwa merupakan terapi paling baik dalam menangani stres. Selain itu, cara yang tepat untuk mengatasi stres adalah dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Berdoa dan meluahkan rasa hati kepada Tuhan dapat meringankan bebanan. Dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, remaja dapat menerima hakikat bahawa masalah yang datang itu adalah dugaan daripada Tuhan untuk menguji tahap keimanan seseorang. Dugaan itu akan dipandang dari sudut yang positif jika remaja menerima segala masalah sebagai ketentuan atau takdir daripada Tuhan. Maka mendekatkan diri kepada Tuhan dengan beribadat merupakan cara yang paling tepat untuk menghilangkan keresahan hati dan remaja boleh memohon petunjuk daripada Tuhan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kerunsingan terbukti dapat dihindarkan atau diatasi dengan cara beriadah. Jika ada masalah, luangkan masa untuk bersenam atau berjalan-jalan di kawasan riadah yang tenang. Ini selaras dengan slogan badan cergas otak cerdas. Aliran darah yang lancar hasil aktiviti riadah dapat mengurangkan tekanan pada minda yang berserabut dan kemungkinan remaja dapat melupakan seketika masalah yang sedang ditanggung. Remaja juga patut mengajak rakan atau ahli keluarga untuk bersama-sama beriadah dan hasil komunikasi ketika sesi riadah dapat membantu meringankan masalah. Tuntasnya, proses biologi yang tercetus ketika beriadah dapat memberi ilham kepada remaja untuk menyelesaikan masalah emosi yang ditanggung. Kesimpulannya, stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana implikasinya terlalu besar. Orang yang sedang dalam tekanan yang keterlaluan selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri. Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin. Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang dalam tekanan, carilah jalan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut. Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur.

Masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Tanpa perpaduan dalam kalangan masyarakat,negara akan menjadi huru hara dan tidak stabil. Akibatnya,pembangunan sektor ekonomi,politik dan sosial akan terbantut ekoran ketiadaan semangat perpaduan yang jitu dalam kalangan pelbagai pihak. Hakikatnya,beberapa langkah proaktif boleh dilakukan bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Antaranya,sambutan hari perayaan. Sebagai contoh,semua kaum bersama-sama meraikan Hari Raya Aidilftri dengan cara berkunjung ke majlis rumah terbuka yang diadakan. Selain itu,masyarakat yang berbilang bangsa perlu perlu semasa perayaan yang disambut oleh kaum yang lain.Mereka juga akan lebih memahami serta menghormati adapt dan budaya suatu kaum.Keadaan ini membolehkan masyarakat hidup dalam suasana yang lebih harmoni. Selain itu,aktiviti bergotong- royong akan mewujudkan semangat kerjasama antara kaum.Sebagai contoh,masyarakat bergotong-royong membersihkan kawasan tempat tinggal.Hasilnya,kualiti hidup masyarakat dapat ditingkatkan melalui persekitaran yang bersih.Selain itu,bantuan dan sokongan yang dihulurkan dapat meringankan bebanan yang dipikul oleh setiap anggota masyarakat,bak kata pepatah,berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.Terbukti bahawa aktiviti bergotong -royong dapat memupuk semangat muhibah dan kemesraan antara kaum.Pepatah ada mengatakan bahawa,muafakat membawa berkat,disamping menangani masalah secara bersama. Semangat kesukanan juga mampu memupuk perpaduan antara kaum.Misalnya,penglibatkan murid-murid yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam suatu aktiviti sukan dapat mewujudkan kemesraan antara satu sama lain.Semangat berpasukan juga dapat dipupuk dalam jiwa peserta tanpa mengambil kira perbezaan kaum,bak kata pepatah,bersatu kita teguh,bercerai kita roboh.Jelaslah bahawa aktiviti sukan dapat mewujudkan semangat kerjasama dan mengelakkan sikap mementingkan diri.Negar juga dapat melahirkan ahli sukan yang berkualiti dan memiliki semangat cinta akan negara. Seterusnya,pelbagai aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah turut menanam semangat perpaduan dalam kalangan murid yang berbilang kaum. Sebagai contoh,murid-murid dapat merancang dan membuat keputusan bersama bagi memajukan persatuan dan kelab masing-masing. Mereka juga sentiasa berkongsi idea dan maklumat dalam menjayakan sesuatu aktiviti. Murid-murid juga dilatih agar menghormati keputusan dan idea orang lain. Usaha untuk menarik penglibatan masyarakat dalam sambutan hari kemerdekaan juga amat berkesan demi mewujudkan semangat perpaduan tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa. Melalui usaha ini semangat cinta akan negara akan berkembang dalam diri setiap anggota masyarakat, seterusnya mendorong mereka sama-sama menepis sebarang anasir yang boleh mengacau kemerdekaan negara. Kesimpulannya, semua pihak tidak sewajarnya memandang enteng akan kepentingan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa. Justeru, perpaduan yang terbentuk perlu dikekalkan demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

Anda mungkin juga menyukai