Anda di halaman 1dari 3

Langkah-langkah untuk Mempopularkan Permainan

Tradisional.
Karangan Bahagian A
Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak
lapuk dek hujan, tak lekang dek panas walaupun
popularitinya semakin berkurangan. Generasi muda hari ini
tidak mengenali permainan tradisional dengan mendalam
kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai pihak
telah berusaha untuk mengembalikan populariti permainan
tradisional masyarakat kita. Namun begitu, belum ada tanda-
tanda permainan tradisional akan kembali diminati. Jadi,
beberapa langkah yang sesuai wajar dilaksanakan untuk
menghidupkan kembali warisan budaya bangsa ini.

Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan


permainan tradisional di semua peringkat sosial. Langkah ini
bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas
dalam bidang sukan tradisional yang semakin dilupakan.
Pelbagai hadiah yang menarik wajar disediakan kerana ada
gula ada semutnya. Permainan tradisional seperti wau, gasing,
galah panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk
dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan acara
bulanan atau tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan
bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jadi, penganjuran
pertandingan akan dapat mengembalikan populariti permainan
tradisional bangsa kita.

Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan


tradisional sebagai satu acara untuk menarik pelancong kerana
jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat
sagunya. Kebanyakan pelancong mancanegara sudah tentu
berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang permainan
tradisional Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian
Pelancongan wajar melatih generasi muda untuk menjadi duta
kecil untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada
pelancong asing. Untuk menjadikan permainan tradisional
lebih popular, konsep inap desa turut memasukkan permainan
tradisional sebagai acara wajib dalam program berkenaan. Oleh
yang demikian, permainan tradisional dapat diperkenalkan
kepada pelancong asing dengan lebih berkesan.

Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional


adalah dengan memasukkan permainan tradisional sebagai satu
aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi
pengajian tinggi. Malahan, kanak-kanak di peringkat
prasekolah juga wajar didedahkan dengan permainan
tradisional kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Kelab-kelab permainan tradisional hendaklah ditubuhkan dan
murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab
permainan tradisional yang digemari oleh mereka. Tambahan
pula, pertandingan permainan tradisional antara sekolah-
sekolah akan menyemarakkan lagi semangat murid untuk
memahirkan diri dengan permainan-permainan tradisional
tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali
kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi
muda di negara kita.

Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar


dikembalikan kegemilangannya dalam kalangan generasi
muda. Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk
mempopularkan kembali warisan bangsa yang tidak ternilai
harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat. Jika tidak permainan
tradisional warisan berzaman ini hanya tinggal nama sahaja
pada suatu masa nanti. Kerjasama dan iltizam semua pihak
akan dapat mempopularkan kembali warisan bangsa kita
sampai bila-bila.

Anda mungkin juga menyukai