Anda di halaman 1dari 1

Langkah-langkah untuk Mempopularkan Permainan

Tradisional.
Karangan Bahagian A

Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek
panas walaupun popularitinya semakin berkurangan. Generasi muda hari ini tidak mengenali permainan
tradisional dengan mendalam kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai pihak telah
berusaha untuk mengembalikan populariti permainan tradisional masyarakat kita. Namun begitu, belum
ada tanda-tanda permainan tradisional akan kembali diminati. Jadi, beberapa langkah yang sesuai wajar
dilaksanakan untuk menghidupkan kembali warisan budaya bangsa ini.
Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional di semua
peringkat sosial. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas
dalam bidang sukan tradisional yang semakin dilupakan. Pelbagai hadiah yang menarik wajar
disediakan kerana ada gula ada semutnya. Permainan tradisional seperti wau, gasing, galah
panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan
acara bulanan atau tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan bukan sekadar hangat-hangat
tahi ayam. Jadi, penganjuran pertandingan akan dapat mengembalikan populariti permainan
tradisional bangsa kita.
Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk menarik
pelancong kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya.Kebanyakan
pelancong mancanegara sudah tentu berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang permainan
tradisional Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian Pelancongan wajar melatih generasi muda untuk
menjadi duta kecil untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Untuk
menjadikan permainan tradisional lebih popular, konsep inap desa turut memasukkan permainan
tradisional sebagai acara wajib dalam program berkenaan. Oleh yang demikian, permainan tradisional
dapat diperkenalkan kepada pelancong asing dengan lebih berkesan.
Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional adalah dengan memasukkan
permainan tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi
pengajian tinggi. Malahan, kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan dengan
permainan tradisional kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kelab-kelab permainan
tradisional hendaklah ditubuhkan dan murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab
permainan tradisional yang digemari oleh mereka. Tambahan pula, pertandingan permainan
tradisional antara sekolah-sekolah akan menyemarakkan lagi semangat murid untuk memahirkan
diri dengan permainan-permainan tradisional tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat
menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di
negara kita.
Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam kalangan
generasi muda. Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk mempopularkan kembali warisan
bangsa yang tidak ternilai harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat. Jika tidak permainan tradisional warisan berzaman ini hanya tinggal nama sahaja
pada suatu masa nanti. Kerjasama dan iltizam semua pihak akan dapat mempopularkan kembali warisan
bangsa kita sampai bila-bila.

Anda mungkin juga menyukai