Anda di halaman 1dari 3

Permainan Tradisional yang Terlupakan :D

Pada era pascamodenisasi ini, rakyat kita telah menikmati berbagai kemajuan dan
pembangunan fizikal yang pesat. Ironinya pelbagai warisan nenek moyang kita semakin
dipinggirkan oleh masyarakat kita, terutamanya golongan muda. Salah satu khazanah
kebudayaan kita yang semakin luntur dalam gaya hidup yang moden ini ialah permainan
tradisional kita yang terdiri daripada congkak, wau, gasing dan sebagainya. Oleh itu, generasi
muda perlu disedarkan tentang kepentingan permainan tradisional kepada bangsa dan negara.
Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah permainan ini merupakan kebanggaan
aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini demikian kerana permainan tradisional adalah ciptaan
nenek moyang kita yang melambangkan ciri-ciri kebudayaan bangsa kita. Permainan tradisional
tidak boleh disamakan dengan permainan elektronik atau permainan siber. Alat permainan
tradisional juga merupakan satu seni budaya yang amat unik dan terunggul. Sebagai contohnya,
wau bulan telah dihias dengan kertas warna-warni yang dilukis dan digunting dengan cantik
nian. Jika permainan tradisional kita telah lenyap di bumi kita, apakah kebudayaan yang dapat
memperlihatkan maruah bangsa kita? Ingatlah peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna.
Tambahan pula, permainan tradisional juga merupakan satu daya tarikan yang signifikan
dalam industri pelancongan. Selain menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dan
menikmati juadah yang lazat di negara kita, para pelancong pasti ingin menghayati corak budaya
kita yang berwarna-warni. Lantaran itu, permainan tradisional berupaya memukau hati
pelancong yang melawat ke Malaysia. Seperti peribahasa, Tak kenal maka tak cinta, setelah
diperkenalkan kepada pelancong, lazimnya mereka akan berminat dan turut bermain dengan
seronoknya terhadap permainan tradisional. Rentetan daripada itu, hotel- hotel lima bintang dan
pusat peranginan yang terkemuka di negara kita patut menyediakan tapak dan alat permainan
tradisional kepada pelancong asing kita. Hal ini bukan sahaja dapat memangkinkan industri
pelancongan tetapi juga memperkenalkan kebudayaan kita kepada bangsa lain, seperti
peribahasa, serampang dua mata. Ternyata, permainan tradisional merupakan salah satu
tarikan dalam industri pelancongan.
Lebih-lebih lagi, permainan tradisional dapat mengukuhkan hubungan masyarakat kita
yang berbilang bangsa dan sentiasa sibuk mengejar kekayaan duniawi. Dengan adanya
permainan tradisional itu, pelbagai kaum dalam masyarakat kita dapat bermain bersama secara
beramai-ramai. Tamsilnya, terdapat kawasan lapang yang sering dibanjiri oleh orang ramai untuk
bermain layang-layang. Peminat itu tidak mengira bangsa dan budaya tetapi bersama-sama
memperlihatkan lelayang yang beraneka corak . Mereka juga berkongsi idea dan pendapat
tentang lelayang mereka. Tidak hairanlah akan tercetusnya suasana yang muhibah dan harmoni
dalam masyarakat. Mereka turut melegakan tekanan dan menghabiskan masa bersama dengan

keluarga sendiri. Senario ini jauh lebih baik daripada individu yang asyik bermain permainan
komputer di kamar sendiri tanpa berinteraksi dengan orang lain.
Natijahnya, permainan tradisional merupakan khazanah warisan yang tidak ternilai. Oleh
itu generasi muda bertanggungjawab untuk melestarikan khazanah ini daripada generasi kepada
generasi, seperti peribahasa, Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Walaupun zaman
beredar, tetapi segala warisan yang baik dan sejati perlu diperkukuh supaya bangsa kita tidak
digelar sebagai etnik yang tidak berakar umbi dan sentiasa terhanyut oleh arus globalisasi.
Cara-cara untuk Mengembangkan Permainan Tradisional di Negara Kita
Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi sehingga
mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut
dipandang enteng dan dikesisikan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Hal ini berkait
rapat dengan perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam
kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita
ditelan dalam pengedaran zaman dan lenyap dalam bumi kita? Tepuk dada tanya selera.
Sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu mencari pendekatan yang efisien untuk membangkit
permainan tradisional di negara kita semula, seperti peribahasa, di mana batang terguling, di
situ cendawan tumbuh.
Sesungguhnya, Kempen Cintai Permainan Tradisional merupakan salah satu alternatif
yang ampuh untuk mengembang permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu
dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara besar-besaran dengan
kerjasama pihak media massa, terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar
dan pihak televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan dokumentari dan rencana untuk
memperkenalkan permainan tradisional di negara kita, seperti wau, gasing, congkak dan lainlain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu menyedarkan orang
ramai tentang kepentingan permainan tradisional terhadap masyarakat dan negara. Pelbagai
aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan karang-mengarang,
pameran, dan peraduan poster dan sebagainya, bak kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta.
Lantarannya golongan muda pasti terpengaruh oleh kempen tersebut dan berminat terhadap
permainan tradisional kita.
Selain itu, pihak sekolah perlu menjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan
kokurikulum di sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus digalakkan supaya
menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional. Berpaksikan kelab permainan
tradisional, pelajar boleh diajar tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan lain-lain
lagi. Setelah disuntik ilmu itu, pelajar akan berminat untuk melibati permainan tradisional
tersebut. Generasi muda merupakan tunjang yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan dan
mewarnai masyarakat kita kelak. Nescaya pelibatan pelajar secara langsung dalam permainan

tradisional dapat memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan seni
budaya kita terus lenyap dan pupus begitu sahaja. Bak kata peribahasa, di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan, atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang sedang
berjuang dalam medan ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk
melegakan tekanan sebagai kegiatan riadah.
Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk membangkit
permainan tradisional dalam masyarakat kita. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah, manusia
memang suka bertanding dan berlaga. Lantarannya, pihak Kementerian Kebudayaan dan
Kesenian Negara, Jabatan Pelancongan Malaysia dan agensi kerajaan boleh bergabung dengan
korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis untuk menganjurkan pertandingan permainan
tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hingga antarabangsa. Salah satu contoh
yang terbaik ialah Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan
layang-layang itu berjaya menarik peminat-peminat permainan tersebut dari seluruh dunia untuk
mengambil bahagian. Hal ini berjaya mempromosikan pelancongan dan permainan tradisional
kepada pelancong asing, selaras dengan peribahasa, menyelam sambil minum air.
Secara intihanya, permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek hujan
dan tidak lekang dek panas. Jika semua pihak bersikap acuh tak acuh dan hanya melepaskan
batuk di tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah peribahasa,
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Anda mungkin juga menyukai