Anda di halaman 1dari 3

Sejarah & Warisan

Bertepatan dengan peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Malaysia kini berhadapan
dengan arus globalisasi dan modernisasi yang membawa kepada pembangunan yang pesat. Berkait
rapat dengan perkembangan tersebut, generasi muda hari ini lebih terdedah kepada alam siber dan
permainan komputer sehingga melupakan permainan tradisional yang merupakan warisan pusaka sejak
dahulu lagi. Lantaran itu, permainan tradisional turut dipandang enteng serta mula tersisih daripada arus
perdana kehidupan masyarakat. Sebagai individu, adakah kita sanggup membiarkan khazanah budaya
bangsa kita lenyap begitu sahaja dek peredaran zaman yang berlaku? Mahukah kita membiarkan anak
watan berterusan meminggirkan budaya mereka? Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua
pihak perlu mencari pendekatan yang pragmatik bagi meninggikan martabat permainan tradisional di
negara kita bersesuaian dengan kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Prakarsa
yang berkesan untuk mempopularkan permainan tradisional ini patut diusahakan secara bersungguh-
sungguh bagi mengangkat status permainan tradisional di nusa tercinta ini.

Antara permainan tradisional yang popular ialah Tingting, Batu Seremban, Congkak dan Main Guli.
Tingting merupakan permainan tradisional yang sememangnya popular sejak zaman dahulu lagi.
Bermain tingting dapat meningkatkan kemahiran motor kasar anak sekaligus menguatkan lagi otot
mereka kerana mereka perlu mengawal dan menyeimbangkan badan mereka untuk melompat ke dalam
kotak-kotak tingting tanpa terjatuh.pemain juga dapat belajar cara menentukan kedudukan seharusnya
berada dengan berfokuskan pada petak permainan.Seterusnya, Batu Seremban pula merupakan
permainan tradisional yang hanya memerlukan kita duduk sahaja untuk bermain, ianya memerlukan
fokus yang sangat tinggi serta koordinasi tangan dan mata yang baik untuk membaling dan menangkap
semula batu yang dibaling itu. Dengan pergerakan pergelangan tangan dan jari jemari tangan ketika
bermain batu seremban ini, kemahiran motor halus anak dapat ditingkatkan. Congkak pula, jangan kata
anak, ibu bapa juga pasti akan berasa seronok sekiranya dapat bermain congkak ini. Permainan congkak
memerlukan pergerakan tangan, pergelangan tangan dan jari jemari tangan yang cekap untuk bermain.
Dengan bermain congkak, ianya bukan sahaja melatih tahap fokus anak, tetapi juga dapat meningkatkan
koordinasi tangan dan mata serta kemahiran motor halus mereka. Bermain guli juga merupakan salah
satu permainan yang memerlukan fokus yang tinggi untuk membaling atau menjentik guli tepat pada
sasaran. Selain itu, anak-anak juga perlu mempunyai koordinasi tangan dan mata yang baik untuk
bermain permainan ini.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pada era moden kini, permainan maya lebih menarik perhatian
berbanding permainan tradisional. Wajarlah asbab ini kerana semasa bermain permainan maya, pemain
tidak perlu bergerak ke mana-mana walhal hanya perlu duduk di setempat. Berbeza dengan permainan
tradisional yang memerlukan banyak pergerakan dan akan memenatkan pemain setelah selesai bermain.
Walaupun permainan tradisional memenatkan, tetapi pada akhir permainan pemain akan merasakan
kepuasan yang mencukupi kerana dapat bertemu dengan kawan-kawan sambil membina kenangan
bersama. Selain itu, pemain dapat mengurangkan stres. Permainan video terbukti memberikan kesan
positif terhadap kesihatan mental, di mana ianya mampu mengurangkan stres. Berbanding dengan
permainan tradisional Hal ini kerana permainan video adalah menarik, dan memberikan kepuasan yang
tinggi apabila berjaya menyelesaikan cabaran. Seterusnya, pemain permainan maya dapat meluaskan
kenalan terutamanya melalui atas talian manakala permainan tradisional dapat meluaskan kenalan
secara bersemuka. Dalam hal ini, pemain permainan maya hanya dapat berkenalan melalui atas talian
dan hanya dapat mendengar suara tanpa mengetahui wajah muka pemain yang lain. Bagi permainan
tradisional pula, pemain dapat mengetahui wajah pemain yang lain dengan berjumpa secara bersemuka.
Selanjutnya, salah satu asbab yang menjadikan permainan tradisional semakin kurang popular dalam
kalangan generasi muda pada hari ini ialah kesan perkembangan teknologi maklumat. Hal ini demikian
kerana selari dengan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi pelbagai peranti moden yang canggih
dengan harga yang berpatutan semakin mendominasi pasaran. Peranti moden seperti telefon pintar
memudahkan pengguna mengakses pelbagai permainan video dengan mudah dan percuma kerana
hanya memerlukan sambungan Internet. Oleh itu, generasi muda khususnya begitu taksub dengan
permainan video seperti Mobile Legend, Call Of Duty dan Genshin Impact. Natijahnya, permainan
tradisional seperti Tingting, Batu Seremban, Congkak dan Main Guli semakin dipandang sepi. Situasi ini
bukanlah sesuatu yang ganjil kerana zaman beralih, musim bertukar. Izharnya, jelaslah bahawa
perkembangan teknologi maklmunat merupakan salah satu indikator yang mengubah haluan cita rasa
hobi generasi muda pada hari ini yang lebih meminati permainan video berbanding permainan tradisional.
Secara tidak langsung, terdapat beberapa kesan sekiranya permainan tradisional dilupakan iaitu pemuda
generasi akan datang tidak akan tahu akan kewujudan permainan tradisional. Hal ini mengakibatkan
permainan-permainan tradisional tidak akan dimainkan lagi oleh mana mana pihak sama ada warga
pasca merdeka mahupun warga muda. Maka, besar kemungkinan ia hanya akan ditunjukkan di dalam
buku teks sekolah atau mana-mana sumber bacaan dan akan dijadikan sebagai ilmu tambahan.

Jika ditelusuri secara mendalam, terdapat beberapa langkah untuk memastikan permainan tradisional
tidak dilupakan dengan bantuan dari beberapa pihak. Langkah pertama dan yang paling utama adalah
memperkenalkan permainan tradisional kepada kanak-kanak atau golongan muda. Usaha ini merupakan
peranan ibu, bapa dan ahli keluarga dalam memberikan teladan kepada generasi yang baru setahun
jagung bahawa bermain permainan tradisional juga menghiburkan. Ibu atau bapa boleh menghadiahkan
anak-anak permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir. Selain itu, golongan muda hari ini perlu
dibawa ke muzium atau pameran permainan tradisional bagi membuka mata mereka terhadap keunikan
yang dimiliki oleh masyarakat kita. Peribahasa Melayu berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Oleh itu, setiap di antara kita perlu sedar bahawa kita adalah ejen penyampai sesuatu perkara kepada
orang sekeliling kita khususnya ahli keluarga dalam usaha untuk mempopularkan semula permainan
tradisional masyarakat Malaysia. Dari perspektif pandangan yang lain, usaha sebegini mampu
memasyhurkan permainan tradisional dengan menyertai program pertukaran budaya di peringkat
antarabangsa. Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya hendaklah aktif dalam menghantar penggiat
permainan tradisional tempatan ke acara atau pameran global. Inisiatif ini bukan sahaja dapat
memperkenalkan permainan tradisional kepada masyarakat asing tetapi kita boleh mendapat ilmu dan
pengetahuan tentang cara masyarakat asing memelihara serta mempopularkan permainan tradisional
mereka. Kesannya, penggiat permainan tradisional tempatan dapat mempraktikkan ilmu yang dipelajari
dan mengangkat semula kemasyhuran permainan tradisional dalam kalangan masyarakat. Rintangan
yang timbul pastinya peruntukkan yang tidak mencukupi tetapi di mana ada kemahuan, di situ pasti ada
jalan. Dengan niat yang baik, usaha untuk mempopularkan permainan tradisional dengan menyertai
program pertukaran budaya di peringkat antarabangsa mampu memberikan impak yang positif.

Seterusnya, langkah untuk mempopularkan semula permainan tradisional adalah dengan


memperkasa pertandingan permainan tradisional di setiap peringkat. Selain di rumah, sekolah juga boleh
memainkan peranan dalam memperkenalkan permainan tradisional kepada pelajar. Tamsilnya, sekolah
mempunyai aktiviti kokurikulum di mana permainan tradisional perlu diberikan perhatian oleh guru-guru.
Sebuah kelab permainan tradisional boleh diwujudkan bagi mengesan pelajar yang mempunyai bakat
terpendam dalam permainan tradisional. Sebagai contoh, permainan sepak raga yang memerlukan teknik
yang baik oleh pemain bagi memenangi satu pertandingan. Justeru, pihak sekolah seharusnya
mengambil kesempatan yang ada untuk memupuk pelajar di sekolah tentang permainan tradisional yang
wujud dan boleh dimainkan oleh mereka di waktu lapang. Tambahan pula, penganjuran kempen seperti
Minggu Permainan Tradisional di peringkat sekolah, daerah mahupun negeri mampu menjadi permulaan
kepada usaha menaikkan semula kemasyhuran permainan tradisional seperti waktu dahulu.
Akhir sekali, media massa juga berperanan untuk mempopularkan semula permainan tradisional yang
kian dilupakan. Stesen televisyen, media cetak dan media elektronik merupakan medium penyampai
yang utama kepada masyarakat hari ini. Oleh itu, inisiatif yang boleh digarap adalah dengan
memperbanyakkan dokumentasi tentang permainan tradisional. Mungkin generasi muda dewasa ini
menjumpai congkak atau batu seremban apabila mereka pulang ke kampung tetapi tidak tahu bagaimana
untuk bermain. Maka, mereka akan merujuk kepada media massa yang mudah dan ringkas bagi mereka
untuk mempelajari dan mengetahui tentang cara permainan congkak ataupun batu seremban yang
mereka jumpai. Selain itu, penggiat seni juga wajar melazimi permainan tradisional dalam segala bentuk
seni yang mereka ketengahkan. Misalnya, produk animasi tempatan yang semakin mendapat perhatian
masyarakat kita boleh menggunakan elemen permainan tradisional dalam jalan cerita mereka.
Permainan seperti gasing boleh menjadi senjata dan reka bentuk wau sebagai kapal terbang. Kesannya,
kanak-kanak akan mempersoalkan dan berfikir akan apakah elemen menarik dalam animasi fiksyen
kegemaran mereka.

Secara tuntas, pelbagai langkah boleh direalisasikan untuk mempopularkan semula permainan
tradisional dalam kalangan masyarakat hari ini. Permainan tradisional adalah salah satu warisan dan
budaya bangsa yang perlu dipelihara dan diraikan agar tidak tenggelam akibat kemodenan serta
kehadiran teknologi hari ini. Seperti yang diuraikan di atas, setiap pihak perlu memainkan peranan
masing-masing dalam usaha yang ingin dilaksanakan. Kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang
lupakan kulit yang melupakan asal usulnya dengan mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang
kita. Semoga setiap di antara kita sedar dan melakukan sesuatu bagi memastikan generasi akan datang
mengetahui dan memelihara keunikan budaya dan warisan mereka tanpa ditelan arus kemajuan dunia.
Konklusinya, permainan tradisional boleh dikekalkan jika semua langkah-langkah yang dijelaskan di atas
itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Peribahasa 'tepuk dada tanya selera' sesuai menjadi renungan
kita semua kerana jika kita masih leka mungkin permainan ini akan terus terkubur.

Anda mungkin juga menyukai