Anda di halaman 1dari 4

KEPIMPINAN MELALUI TELADAN

SINOPSIS

Kegagalan penjurit tujuh bersaudara yang mati dibunuh oleh Laksamana dalam misi untuk mengalahkan negeri
Melaka amat menghairan Patih Gajah Mada. Patik Gajah Mada beranggapan bahawa negeri Melaka sukar ditewaskan,
tetapi jika mereka tiada mati sudah pasti Melaka tewas kepada Majapahit.

Patih Gajah Mada tiba-tiba teringatkan Petala Bumi lalu segera menghantar orang untuk berjumpa dengan isteri
Petala Bumi dan bertanyakan anaknya, iaitu Kertala Sari yang pergi mencuri ke Daha sama ada sudah kembali atau belum.
Pada waktu itu, Kertala Sari baru sahaja kembali dari Daha dengan kejayaan dan berjaya mencuri emas, perak, pakaian,
serta wang yang berpuluh-puluh juta. Sekembali Kertala Sari di rumahnya, dia bertanyakan hal bapanya yang tiada
kelihatan di rumah pada masa itu. Apabila mendengar pertanyaan ini, ibunya terus menangis lalu memberitahu bahawa
bapa Kertala Sari telah mati dibunuh oleh Laksamana Hulubalang Ratu Melaka. Setelah mendengar kata-kata ibunya,
Kertala Sari pun marah lalu ingin tahu tentang orang yang bertanggungjawab atas kematian bapanya. Ibunya
kemudian menceritakan perkara yang sebenar dari mula hingga akhir.

Setelah mendengar cerita daripada ibunya itu, Kertala Sari sangatlah marah lalu bertekad untuk membunuh Ratu
Melaka dan Laksamana serta membinasakan negeri Melaka. Menurutnya lagi, jika dia tidak melakukannya, dia bukanlah
anak penjurit yang berani dan kepetangan (cerdik dan licik). Kemudian, orang-orang Patih Gajah Mada tiba lalu
memberitahu bahawa mereka telah ditugaskan oleh Patih Gajah Mada untuk mendapatkan kepastian sama ada Kertala
Sari sudah kembali atau tidak dari Daha kerana Patih Gajah Mada hendak berjumpa dengannya. Tanpa berlengah lagi,
Kertala Sari terus mengambil kerisnya lalu berjalan bersama-sama orang-orang tersebut untuk bertemu dengan Patih
Gajah Mada.

Ketika menghadap dan menyembah Patih Gajah Mada, Kertala Sari telah dimaklumkan oleh Patih Gajah Mada
bahawa bapanya Petala Bumi telah mengamanahkan Patik Gajah Mada mengambil berat tentang keadaan Kertala Sari
jika bapanya meninggal dunia setelah menjalankan tugas yang diarahkan oleh Seri Betara Majapahit. Oleh itu, Kertala Sari
akan dilantik menjadi penggawa agung. Hal ini menyebabkan Kertala Sari berasa sangat gembira atas pelantikan itu.

Kertala Sari kemudian bertanya kepada Patih gajah Mada sama ada dia ditugaskan untuk membunuh Ratu Melaka
dan Laksamana? Tambah Kertala Sari lagi, jika negeri Melaka dapat dikalahkannya seorang diri, apatah lagi anak isteri
orang Melaka pun akan dapat ditawan olehnya. Dia berjanji bahawa selagi dia tidak dapat membunuh Ratu Melaka dan
Laksamana, dia tidak akan menerima jawatan sebagai penggawa.

Setelah mendengar kata-kata Kertala Sari, Patih Gajah Mada sangat gembira. Kertala Sari diraikan dan dijamu
serta diberi sepersalinan pakaian. Selepas itu, Kertala Sari dibawa menghadap Seri Betara. Patih Gajah Mada memberitahu
Seri Betara bahawa penjurit tujuh orang yang dititahkan oleh baginda ke Melaka telah mati dibunuh oleh Laksamana. Pada
kali ini, Seri Betara beranggapan bahawa Melaka akan dikalahkan. Melaka akan dikalahkan oleh seorang penjurit yang
cerdik. Penjurit itu ialah Kertala Sari, iaitu anak kepada Petala Bumi.

Setelah Seri Bentara mendengar sembah daripada Patih Gajah Mada, Seri Betara telah bertanya kepada Kertala
Sari sama ada dia dapat membunuh Ratu Melaka dan hulubalangnya, Laksamana atau tidak?. Kertala Sari menjawab
dengan mengatakan bahawa sedangkan negeri Daha dapat dikalahkan, inikan pula pekerjaan membunuh Ratu Melaka
dan Laksamana. Setelah mendengar kata-kata Kertala Sari, Seri Betara menitahkan Kertala Sari supaya pergi ke Melaka
dengan segera. Jika berjaya, Seri Betara akan melantik Kertala Sari sebagai penggawa agung. Oleh itu, Kertala Sari meminta
sebuah perahu supaya dia dapat melaksanakan tugasnya segera. Setelah mendengar kata-kata Kertala Sari, Seri Betara
menitahkan Patih Gajah Mada supaya menghantar Kertala Sari segera ke Melaka. Patih Gajah Mada telah melengkapkan
sebuah perahu dan sepuluh orang yang akan mengikut Kertala Sari. Setelah siap, Kertala Sari pun belayar ke Melaka.
Tidak beberapa lama kemudian, Kertala Sari telah sampai di Melaka. Di Melaka, dia telah singgah di sebuah
kampung yang penduduknya terdiri daripada orang Jawa. Di sini, Kertala Sari telah menyamar sebagai orang Jawa. Hal ini
membolehkan Kertala Sari keluar masuk di segenap kampung orang kaya-kaya dan saudagar. Selepas mengetahui pelbagai
perkara, Kertala Sari telah menyamar sebagai orang Patih Kerma Wijaya. Pada ketika itu, Kertala Sari mengikut Patih Kerma
Wijaya pergi menghadap bersama-sama dengan orang Jawa yang ramai itu. Pada ketika itu, Kertala Sari meneliti setiap
hulubalang yang sama sama masuk menghadap raja. Akhirnya, Kertala Sari terpandang wajah Laksamana. Dalam hatinya,
dia mengakui kehebatan Laksamana menjadi hulubalang Ratu Melaka dan Berjaya membunuh bapanya kerana Laksamana
seorang penjurit yang besar lagi cerdik.

Setelah berfikir demikian, Kertala Sari telah meneliti bahagian hadapan dan tempat menunggu raja. Selepas itu,
dia kembali semula ke tempat yang menjadi persinggahannya dan kemudian mencari tempat untuk menyimpan harta-
harta curiannya. Dia ternampak sebuah bukit di luar kota yang dikenali sebagai Bukit Cina . Setelah pergi ke bukit itu, dia
mendapati bahawa tempat itu sesuai untuk menyimpan harta-harta curiannya. Selepas itu, dia menuruni Bukit Cina
tersebut.

Apabila tiba pada waktu malam, Kertala Sari telah bersiap sedia dan berjalan-jalan di kota. Dia telah masuk ke
rumah seorang saudagar yang kaya yang sedang makan bersama-sama isterinya. Kertala Sari juga makan bersama-sama
dengan saudagar itu. Setelah jauh malam, saudagar itu pun masuk ke biliknya untuk tidur. Pada malam tersebut, Kertala
Sari mencuri harta saudagar tersebut dan isteri saudagar dicabulinya. Selepas itu, Kertala Sari kembali ke tempat
persinggahannya, iaitu di Bukit Cina. Selepas hari siang, saudagar itu heboh mengatakan bahawa dia kecurian.

Pada malam berikutnya, Kertala Sari pergi mencuri di rumah saudagar yang lain. Selepas memperoleh harta yang banyak,
dia kembali ke tempat persinggahannya. Hal ini menyebabkan banyak harta saudagar yang kaya-raya dicurinya. Saudagar-
saudagar yang terlibat telah menghadap raja untuk menyembahkan perkara tersebut. Mereka memberitahu raja bahawa
harta mereka habis dicuri sehingga menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Apabila mendengar berita itu, baginda amat terkejut. Baginda menganggap seolah olah bala telah menimpa
negerinya. Baginda mengatakan negeri Melaka amat bertuah kerana mempunyai Laksamana. Namun demikian, jika
Laksamana dihantarkan ke negeri orang, negeri Melaka pasti akan binasa.

Oleh itu, baginda menitahkan Temenggung supaya meminta orang berkawal dan semua saudagar pun mengawal
kampung mereka. Pada suatu malam, Kertala Sari pun masuk ke dalam kampung. Dia dapat menyaksikan orang yang
berkawal terlalu ramai dan lengkap bersenjata. Dia pun membaca kitabnya lalu berjalan di tengah-tengah orang yang
sedang berkawal itu. Dia pergi ke sebuah rumah orang kaya lalu mencuri harta dan mencabuli isteri orang-orang kaya
tersebut. Selepas itu, dia kembali ke tempat persinggahannya.

Setelah hari siang, orang-orang kaya yang kecurian tadi telah mengadukan hal kepada raja. Baginda berasa sangat
hairan dan bertanya kepada Temenggung sama ada beliau mengarahkan orang-orangnya berkawal pada malam itu.
Temenggung menyatakan bahawa orang-orangnya telah berkawal pada malam itu dan tidak menemukan apa-apa.
Temenggung juga berasa hairan atas kejadian kecurian yang berlaku. Baginda bertanya lagi tentang sebab sebab pencuri
itu dapat melakukan perbuatan mencuri walaupun dikawal ketat. Hal ini menyebabkan baginda memurkai Temenggung.
Baginda menitahkan Temenggung supaya memanggil Laksamana. Laksamana segera datang lalu menyembah raja.

Baginda memberitahu Laksamana bahawa negeri Melaka sedang ditimpa bala, iaitu banyak rakyat yang kecurian.
Laksamana memberitahu Raja bahawa pencuri yang melakukan pekerjaan itu bukanlah pencuri dari dalam negeri Melaka,
sebaliknya pencuri yang datang dari negeri lain. Raja bertanya lagi kepada Laksamana tentang punca yang menyebabkan
pencuri itu dapat mencuri walaupun negeri ini dikawal pada waktu malam. Bendahara pula menegaskan bahawa
pekerjaan berkawal itu merupakan pekerjaan Temenggung. Oleh sebab itu, raja menitahkan Temenggung supaya
berkawal pada malam tersebut. Temenggung menyatakan bahawa beliau akan berkawal pada malam itu lalu
mengerahkan lima ratus orangnya berkawal pada malam tersebut.
Setelah hari malam, Kertala Sari pun masuk ke dalam kota. Dia dapat menyaksikan banyak orang yang berkawal
dan lengkap dengan senjata. Seperti biasa, Kertala Sari akan membaca kitabnya lalu berjalan di tengah-tengah orang ramai
tersebut. Dia kemudiannya masuk ke rumah Bendahara dan mencuri harta-hartanya dan dibawa ke tempat
persinggahannya. Apabila hari siang, Bendahara heboh mengatakan bahawa dia kecurian. Bendahara menyembahkan hal
ini kepada raja. Beliau memberitahu raja bahawa hartanya kecurian pada malam itu. Raja bertanyakan hal ini kepada
Temenggung. Temenggung menjelaskan bahawa dia sendiri telah berkawal dan setiap pintu dan rumah saudagar serta
orang-orang kaya telah dikawal oleh orang-orangnya. Tegasnya, semua titah raja telah dilaksanakan.

Laksamana sekali lagi datang menghadap raja. Laksamana memberitahu bahawa pencuri itu dari negara luar yang
sangat hebat. Oleh itu, Laksamana memohon izin supaya dapat menangkap pencuri tersebut. Raja pula mengatakan
bahawa Laksamana tidak boleh meninggalkan istana. Jika Laksamana pergi berkawal di kota, siapakah yang akan menjaga
baginda di istana? Laksamana hanya berdiam diri apabila mendengar kata-kata daripada raja tersebut.

Setelah beberapa hari kemudian, semua orang kaya-kaya dan saudagar telah kecurian. Semuanya datang
menghadap raja yang menyebabkan raja tidak dapat berbuat apa-apa. Laksamana pula berpendapat bahawa pencuri itu
akan datang ke istana pada malam tersebut. Baginda meminta pendapat Laksamana tentang cara menghalang pencuri itu
daripada memasuki istana. Laksamana menjelaskan bahawa Laksamana telah memperoleh hikmat daripada pencuri yang
tahu akan perbuatan itu. Oleh hal yang demikian, Raja meminta Laksamana untuk melakukan yang terbaik untuk baginda.
Hal ini menyebabkan Laksamana momohon perkenan supaya dia dibenarkan berkawal pada malam itu tetapi tidak jauh
dari istana. Raja memperkenankan permintaan Laksamana tersebut.

Laksamana menyuruh orang-orang yang berkawal apda malam itu membawa senjata yang banyak termasuk
lembing, tombak dan kayu. Mereka akan berkawal di sekeliling istana. Laksamana telah membubuh suatu hikmat pada
setiap senjata supaya lembing dan tombak itu radak-meradak dan tetak-menetak sesama sendiri. Kayu pula palu-memalu
sesama sendiri. Hal ini menimbulkan bunyi yang terlalu gemuruh.

Apabila tiba pada waktu malam, Laksamana pun memakai pakaian serba hitam lalu berjalan. Pada ketika itu,
Kertala Sari pun masuk ke istana. Hal ini dapat dilihat oleh Laksamana. Laksamana pula menyembunyikan diri di suatu
tempat. Kertala Sari pula telah mengubah haluan untuk masuk ke Istana. Di dalam hatinya, Kertala Sari mengatakan
bahawa setelah harta Raja dicuri, dia akan membakar Istana dan mengamuk. Isteri raja pula akan dijadikan isterinya.

Apabila tiba di istana, Kertala Sari terdengar bunyi yang gemuruh. Setelah didekati, dia dapat melihat senjata dan
kayu palu-memalu, tikam-menikam dan radak-meradak. Kertala sangat hairan kerana hikmat tersebut bukan hikmat
Melayu tetapi hikmat pencuri Jawa yang diketahuinya juga. Kertala mengambil sebatang kayu lalu disarungkannya. Dia
kemudiannya memalu kayu yang dipasang oleh Laksamana menyebabkan kayu itu berbunyi dengan kuatnya. Apabila
bunyi itu didengari oleh orang yang sedang berkawal, mereka ingin mendapatkannnya. Namun demikian, Laksamana telah
berpesan supaya mereka tidak bergerak di tempat masing-masing.

Hal ini menyebabkan Kertala sari berfikir dalam hatinya, iaitu senjata tersebut cuba menipunya kerana senjata itu
bertikaman. Jika dia terus masuk ke dalam istana, sudah tentu dia akan dikalahkan oleh senjata tersebut. Oleh itu, Kertala
Sari telah pergi ke tempat lain. Dia mencuri lagi dan selepas itu membawa harta yang dicuri ke tempat persinggahannya.
Setelah hari siang, Laksamana pun kembali ke istana. Dia bertanya kepada orang-orang yang berkawal pada malam
tersebut tentang bunyi kayu dan senjata lain pada malam itu. Orang itu menjawab bahawa dia mendengar kayu itu
memalu kayu lain. Hal ini juga dilihat oleh Laksamana. Laksamana terus menghadap raja. Setelah ditanya oleh Raja,
Laksamana menyatakan bahawa dia tidak bertemu dengan pencuri tersebut. Selain itu, laksamana berjanji akan berlawan
dengan pencuri tersebut pada malam nanti dengan berkat arwah guru Laksamana.
Apabila malam tiba, Kertala Sari memakai pakaian yang indah-indah dan bau-bauan yang wangi sebelum masuk
ke kota. Dia berbisik dalam hatinya bahawa dia akan membakar dan mengamuk kerana harta orang Melaka telah habis
dicurinya. Pada malam itu pula, Laksamana memakai pakaian pencuri lalu berjalan. Keadaan pada malam itu kelam-kabut
dan hujan pula turun rintik-rintik. Pada ketika itu, Kertala Sari masuk ke dalam kota. Laksamana pula tidur di tengah-tengah
pasar. Laksamana dapat mendengar tapak kaki Kertala Sari yang sedang berjalan dan bunyinya yang gemuruh. Laksamana
mengetahui bahawa orang itu ialah Kertala Sari. Ketika melalui di tengah-tengah pasar itu, Kertala Sari tertendang kaki
Laksamana. Kertali Sari telah berdiri di atas kepala Laksamana sambil menyatakan bahawa dia terpijak bangkai. Tiba-tiba,
Laksamana bangun lalu melompat sambil menikam dada Kertala Sari tembus ke belakangnya sambil menjerit, “Ceh,
matilah engkau di tanganku!”

Setelah merasai luka itu, Kertala Sari menghunuskan kerisnya untuk mengusir Laksamana. Selepas beberapa
langkah, Kertala Sari rebah lalu mati. Laksamana telah memotong kemaluanya lalu dibawa pulang ke rumahnya. Setelah
hari siang, ada orang yang terlihat pencuri itu mati. Orang itu mengerat telinga Kertala Sari lalu menyembahkannya kepada
raja sebagai tanda bahawa dia telah membunuh pencuri tersebut. Seorang lagi pula mengerat kepala lalu menghadap raja
untuk memberitahu bahawa dialah yang membunuh pencuri tersebut. Hal ini menyebabkan raja berasa hairan kerana
semua kaki tangan Kertala Sari dikerat dan dibawa oleh orang kepada baginda. Sultan bertanya kepada Bendahara tentang
orang sebenar yang membunuh Kertala Sari. Bendahara menyatakan bahawa dua bukti lagi akan membuktikan
pembunuhnya. Bendahara memberitahu Raja bahawa Laksamana masih belum datang. Selepas itu, Laksamana pun
datang membawa kemaluan dan keris Kertala Sari. Bendahara memberitahu raja bahawa bukti yang dibawa oleh
Laksamana benar. Bendahara menyatakan bahawa hanya Laksamana yang mampu
membunuh Kertala Sari. Orang-orang yang lain tadi tertunduk malu.

Baginda bertanya kepada Laksamana tentang cara Laksamana dapat menewaskan Kertala Sari. Setelah
diceritakan, baginda terlalu gembira. Baginda memberikan anugerah kepada Laksamana. Selepas itu, Hang Tuah meminta
Baginda supaya menyuruh rakyat mengambil harta masing-masing yang telah dicuri oleh Kertala Sari. Raja telah
menitahkan Kasturi supaya menyuruh orang mengangkut harta-harta tersebut. Kasturi pun membawa orang ke Bukit
China untuk mengangkut harta-harta tersebut. Harta yang terlalu banyak itu ditimbunkan di halaman balai rung. Mereka
mengambil masa tujuh hari tujuh malam untuk mengangkut segala harta tersebut.

Setelah harta dihimpunkan, Laksamana meminta Duli Yang Dipertuan memerintahkan orang memalu gong supaya
mereka mengenal pasti harta masing-masing. Hal ini menyebabkan seorang demi seorang akan memberitahu raja tentang
harta mereka. “Ini harta patik, Tuanku”. Setelah masing-masing mengambil harta masing-masing, Tuanku menitahkan
harta tersebut dibahagi tiga, iaitu empunya harta akan mengambil satu bahagian, manakala dua bahagian harta tersebut
diserahkan kepada Laksamana.

Semua orang yang telah memperoleh harta tersebut bersetuju akan cadangan raja. Namun demikian, Laksamana
mencadangkan satu bahagian sahaja diserahkan kepadanya, manakala dua bahagian lagi diambil oleh pemilik harta yang
berkenaan. Semua orang yang berkenaan gembira akan ketulusan hati Laksamana tersebut. Harta yang diterima oleh
Laksamana tersebut disedekahkan kepada tiga pihak, iaitu segala fakir miskin, segala pegawai yang tiada penguasaan dan
segala orang-orangnya. Setelah harta itu habis, Laksamana langsung tidak mengambil satu barang pun.

Baginda amat terhutang budi kepada Laksamana. JIka tiada Laksamana, negeri Melaka akan ditewaskan oleh
Kertala Sari. Berita ini telah sampai di Majapahit. Patih Gajah Mada mendapat berita bahawa Kertala Sari telah dibunuh
oleh Laksamana. Oleh hal yang demikian, Patih Gajah Mada sentiasa berusaha untuk menyuruh orang untuk mengalahkan
Melaka dan membunuh Laksamana. Namun, usahanya tetap gagal.

Sumber: Cikgu Julius Markijol,


SMK.Narinang, Kota Belud, Sabah

Anda mungkin juga menyukai