Anda di halaman 1dari 3

Pengaruh peribadi guru terhadap pembentukan modal insan.

Sering kali isu negatif menjadi paparan utama di media sosial serta menjadi perbualan
hangat dalam kalangan masyarakat. Paling menyedihkan lagi, watak utama dalam isu negatif
ini melibatkan generasi muda yang merupakan tunjang utama pembangunan negara pada
masa akan datang. Isu-isu seperti pembuangan bayi, rompakan, pembulian seolah-olah
menjadi satu perkara yang biasa yang berlaku dalam kalangan remaja kini. Akhlak remaja kini
seolah-olah telah dicabul dengan isu-isu negatif ini. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, akhlak
yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu. Hal seperti ini sudah pasti akan
menganggu gugat pembentukan modal insan dalam kalangan masyarakat. Modal insan
merupakan nadi utama dalam memastikan negara kita layak berdiri sama tinggi duduk sama
rendah di persada antarabangsa setanding dengan negara-negara maju seperti Jepun. Hal ini
kerana, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad, pernah melancarkan
Dasar Pandang ke Timur pada tahun 1982. Persoalan yang kian berlegar di minda khalayak
ramai, adakah remaja kini kurang mendapat didikan? Siapakah yang bertanggungjawab dalam
pembentukan modal insan? Adakah semua pihak ingin berdiam diri dan berpeluk tubuh apabila
perkara seperti ini semakin parah sehingga mengancam imej negara?

Masyarakat kini sering menunding jari kepada guru apabila berlakunya masalah-
masalah sosial dalam kalangan remaja. Namun begitu, bukan guru sahaja yang sewajarnya
dipersalahkan, sebaliknya ibu bapa juga turut terlibat dalam berlakunya permasalahan ini. Guru
kini semakin diasak dengan pelbagai isu yang perlu diberikan penekanan dan perhatian wajar.
Justeru, guru bukan sahaja berperanan dalam menyampaikan ilmu, namun guru juga
berperanan dalam pembinaan sahsiah pelajar yang murni. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir pernah mengatakan guru bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu
pengetahuan kepada murid, tetapi bertanggungjawab juga dalam pembentukan peribadi murid
iaitu nilai hidup yang dipegang dan budaya yang diterima olehnya. Pelaksanaan subjek
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan perlu dimantapkan di sekolah agar murid didedahkan
dengan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik. Usaha ini sedikit sebanyak dapat melahirkan
generasi yang berilmu pengetahuan dan mempunyai akhlak yang baik sejurus dengan
pembangunan lahiriah dan rohaniah seperti yang dikatakan oleh Syed Naquib Al- Attas,
pembangunan sesebuah tamadun diukur melalui pembangunan lahiriah dan rohaniah. Oleh
itu, secara tidak langsung kita dapat melahirkan bukan sahaja generasi yang bertamadun. Hal
ini kerana, masyarakat yang bertamadun dapat mencapai tahap tatasusila yang tinggi dan
kebudayaan yang luhur.

Seterusnya, para pendidik merupakan agen moral dan role model kepada murid-
muridnya. Para guru perlulah mempamerkan akhlak yang mulia di hadapan mereka. Tambahan
pula, masalah akhlak yang berlaku dalam kalangan remaja pada masa kini sedikit sebanyak
dipengaruhi oleh personaliti dan tingkah laku negatif guru yang ditunjukkan di hadapan anak-
anak murid yang boleh menjadi ikutan mereka. Hal ini kerana remaja pada zaman ini sangat
mudah terpengaruh dengan sesuatu yang mereka lihat. Oleh itu, semua guru haruslah
menunjukkan contoh teladan yang baik di hadapan remaja di mana guru boleh memberi
anjakan paradigm ke atas diri mereka ke arah satu tingkah laku yang cemerlang. Maka terbukti
bahawa krisis akhlak remaja yang berlaku kini ada kaitannya dengan personaliti guru kerana
guru membawa pengaruh besar dalam pembentukan peribadi pelajar dalam melahirkan modal
insan pada generasi akan datang. Seorang guru membawa pengaruh yang amat besar
terhadap pembentukan murid-murid sekolah rendah dan penampilan guru menjadi satu perkara
penting dalam membentuk akhlak pelajar-pelajarnya. Sebagai contoh, guru hendaklah menjadi
contoh terbaik pelajarnya dengan mempunyai penampilan yang kemas, bersikap sopan santun
dengan menghormati orang lain serta menjaga aib pelajar dan dirinya.

Di samping itu, guru juga berperanan sebagai seorang pengusaha. Pengusaha disini
bukanlah seperti usahawan yang berjaya di luar sana. Pengusaha disini bermaksud guru yang
mempunyai kemahiran dan sentiasa berupaya berfikir secara inovatif dan kreatif. Hal ini kerana,
pada abad ke-21 sistem pembelajaran dan pengajaran menekankan kemahiran berfikir secara
kreatif dan kritis agar murid dapat berfikir di luar kotak. Murid yang inovatif dapat menyumbang
kepada pembangunan negara dan dapat berkhidmat kepada masyarakat. Sememangnya
pembelajaran dan pengajaran pada masa kini semakin sukar, namun apapun para guru
haruslah tidak boleh berputus asa dan sentiasa meneruskan tugas dan amanah secara efektif
dalam membentuk modal insan bagi generasi akan datang. Tambahan pula, pelajar yang
berupaya berfikiran kreatif semestinya mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, berjiwa besar
serta berfikiran jauh. Hal ini bertepatan dengan ciri-ciri modal insan negara iaitu berilmu
pengetahuan yang secukupnya.
Kesimpulannya, guru memainkan peranan penting dalam pembentukan modal insan
bagi generasi akan datang. Guru merupakan antara individu yang terdekat dengan pelajar
selain ibu bapa. Justeru, guru perlu lebih komited dengan kerjaya mereka dengan memastikan
pelajar yang dilahirkan adalah pelajar yang bercirikan modal insan yang negara kita kian
hauskan. Hal ini kerana, modal insan negara yang berkualiti merupakan elemen paling kritikal
dalam mencapai misi nasional. Modal insan merupakan aset utama negara kita pada masa kini.
Para pendidik perlu memperbaharui niat masing-masing dalam mengajar, bukan sahaja untuk
meraih habuan gaji, tetapi juga untuk menyumbang bakti terhadap masyarakat dan negara.
Benarlah kata pujangga yang sering meniti di bibir-bibir kita, guru ibarat lilin yang membakar diri
untuk menerangi orang lain.

Anda mungkin juga menyukai