Anda di halaman 1dari 8

1.

0 Pengenalan

Cabaran dunia Pendidikan hari ini ialah untuk melahirkan pelajar yang menyeluruh dan
seimbang daripada aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan yang merupakan inti pati yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan
Negara. Pelajar perlu memperlengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan, nilai-nilai
murni dan kemahiran tertentu seiring dengan keperluan pembelajaran abad ke-21. Ini kerana
pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan pendidikan
masa lampau. Jika suatu ketika dahulu, komunikasi dua hala antara guru dan murid-murid sudai
memadai, namun tahap pendidikan pada masa kini menuntut kemahiran berfikir di luar kotak,
kehendak jawapan pula memerlukan cara berfikir aras tinggi.

Dua isu yang akan dibincangkan ialah kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan
kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar. Pelajar bukan sahaja perlu cemerlang dari segi
akademik, malah pelajar juga seharusnya perlu menguasai kemahiran-kemahiran yang tertentu
agar dapat dapat berdaya saing di peringkat tertinggi termasuk di arena antarabangsa.
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025), terdapat enam aspirasi
pelajar untuk bersaing di peringkat global. Enam aspirasi tersebut adalah, identiti nasional,
kemahiran memimpin, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, pengetahuan, etika dan
kerohanian. Manakala, Kementerian Pengajian Tinggi telah menggariskan tujuh elemen
penting dalam kemahiran insaniah. Tujuh elemen penting dalam kemahiran insaniah ialah
kemahiran berkomunkasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran
kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran
keusahawanan, moral dan etika profesional serta kemahiran kepimpinan.

1.1 Definisi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Kemahiran berfikir aras tinggi didefinisikan sebagai keupayaan mengaplikasikan pengetahuan,


kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah,
membuat keputusan, berinovasi, dan berupaya mencipta sesuatu. (KPM, 2013). Kemahiran
berfikir aras tinggi boleh dikenal pasti dalam Standard Kandungan (SK) dan Standard
Pembelajaran (SP) melalui pernyataan kata kerja tahap pemikiran dalam Taksonomi Bloom.
Berdasarkan kepada definisi kemahiran berfikir aras tinggi, KBAT merujuk kepada
mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Kemahiran ini dikenalpasti sebagai tahap
pemikiran yang menjadi fokus dalam penentuan Standard Kandungan (SK) dan Standard
Pembelajaran (SP) bagi mata pelajaran yang diajar di sekolah untuk memastikan murid-murid
meguasai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) seperti mana yang dihasratkan.

Secara umumnya, terdapat dua jenis kemahiran berfikir iaitu kemahiran berfikir aras
rendah yang tidak memerlukan pemikiran yang luas dan mendalam. Sebagai contoh, kemahiran
ini hanya memerlukan murid menghafal dan mengingat kembali fakta atau maklumat yang
disampaikan oleh guru kepada mereka. Kemudian murid-murid akan meluahkannya semula
sekiranya terdapat soalan yang memerlukan jawapan mereka.

Sementara itu, kemahiran berfikir aras tinggi melibatkan kemahiran intelek yang tinggi.
Kemahiran ini memerlukan seseorang itu berfikir sebelum membuat penjelasan dengan
menganalisis, menilai, menjana idea, pilihan membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan
membuat perancangan. Secara mudahnya murid mencerap sesuatu data atau maklumat
kemudian diproses dalam minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam berbagai bentuk.
Kemahiran berfikir ini juga dikatakan sebagai berfikir secara kritis dan kreatif.

Memiliki kemahiran ini, murid-murid bebas untuk membanding, membeza, menyusun


atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka
sendiri. Andai kata diberikan suatu soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai
bentuk, idea baru dan melihat daripada beberapa sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya
pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan merekacipta di kalangan murid-murid.

Kemahiran berfikir aras tinggi ini mempunyai kelebihan lain iaitu dapat meningkatkan
lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada murid. Mereka akan dapat mengawal, memandu
dan mengukur pembelajaran yang telah mereka kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka
lebih produktif dan berdaya saing. Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan
memperkukuhkan pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti.

Bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi di kalangan murid maka peranan guru
sangat signifikan. Usaha ke arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Sebenarnya
kemahiran berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah didedahkan tentang
konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan perguruan di maktab atau universiti
suatu ketika dahulu. Walau apa pun guru perlu terus ditingkatkan keupayaan kemahiran berfikir
mereka supaya dapat memberikan yang terbaik kepada murid dalam pengajaran mereka.
1.2 Tujuan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi di Sekolah

Asas kepada kejayaan sistem pendidikan terletak pada kualiti Kurikulum Kebangsaan, sekali
gus menentukan kualiti modal insan yang dihasratkan. Justeru, keutamaan Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) adalah membina satu kurikulum yang memenuhi piawai
antarabangsa dengan menekankan aspek kemahiran kreatif, penyelesaian masalah dan inovasi.
Kurikulum Kebangsaan bermatlamat untuk melahirkan generasi masa depan Malaysia yang
seimbang serta menguasai kemahiran abad ke-21. Murid-murid yang menguasai kemahiran
abad ke-21 dengan kebolehan dan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif mampu
untuk bersaing di peringkat global.

Bagi menghadapi persaingan global yang semakin sengit dalam persekitaran ekonomi
yang dipacu oleh inovasi, KPM telah memberi penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT) dalam sistem persekolahan. Pelaksanaan KBAT dalam sistem persekolahan
menggunakan pendekatan yang menyeluruh dan sistematik yang merangkumi tujuh elemen
yang terdiri daripada tiga elemen utama iaitu kurikulum, pedagogi dan pentaksiran, empat
elemen sokong iaititu kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, sumber dan bina upaya.

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diterapkan dalam sistem persekolahan supaya
murid-murid tidak hanya menghafal tetapi juga faham dan tahu apa yang mereka pelajari dan
menggunakan akal fikiran pada tahap yang tinggi dengan menguasai empat tahap tertinggi
dalam Taksonomi Bloom iaitu kemahiran menilai, mengaplikasi, menganalisis dan mencipta.
Selain itu, tujuan pelaksanan KBAT di sekolah adalah untuk mewajarkan penyelesaian dan
penemuan dalam kalangan murid-murid.

1.3 Elemen dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

Berdasarkan tahap yang diperkenalkan oleh Taksonomi Bloom, terdapat 4 tahap tertinggi yang
terkandung dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai
dan mencipta. Setiap tahap mempunyai kemahiran yang berbeza.
Rajah 1.0 Taksonomi Bloom

1.4 Definisi Kemahiran Insaniah

Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan kemahiran insaniah bagi


membangunkan modal insan kelas pertama. Kemahiran insaniah atau soft skills merupakan
kemahiran generik yang merentasi pelbagai domain pembelajaran merangkumi aspek
keperibadian dan kerja berkumpulan. Menurut Md. Tahir (2014), kemahiran insaniah ialah
suatu kemahiran generik yang mempunyai pelbagai elemen pembelajaran utama yang meliputi
keperibadian dan kerja berkumpulan. Kemahiran insaniah merupakan suatu kemahiran yang
perlu dikuasai oleh murid-murid terutamanya untuk mencapai matlamat dan objektif
pendidikan. Pengajaran yang berkesan merupakan teras kepada pembentukan modal insan dan
kepentingan kemahiran insaniah adalah bermatlamat untuk melahirkan pelajar yang memiliki
sahsiah yang menyeluruh. Walaupun tidak terdapat suatu senarai kemahiran khusus tentang
kemahiran insaniah, namun kebanyakannya berkait dengan penguasaan kemahiran seperti
kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.
Kemahiran insaniah kini menjadi penanda aras untuk menilai kemampuan graduan,
sekali gus membawa perubahan dalam sektor pendidikan negara yang sebelum ini hanya
bersandarkan terhadap pencapaian akademik semata-mata. Ia juga merupakan usaha
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkembangkan potensi individu bukan
sahaja hanya cemerlang dari segi akademik tetapi dari segi kemahiran insaniah.

1.5 Elemen-elemen Kemahiran Insaniah

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah memperkenalkan kemahiran insaniah bagi


membangunkan modal insan kelas pertama. Pihak kementerian juga telah menggariskan
beberapa elemen kemahiran insaniah yang perlu diterapkan bagi setiap pelajar. Elemen tersebut
ialah kemahiran berkomunikasi (communication), pemikiran kritis dan kemahiran
menyelesaikan masalah (critical thinking and problem solving), kemahiran kerja berpasukan
(teamwork), pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat (life-long learning &
information management), kemahiran keusahawanan (entrepreneurship), moral dan etika
profesional (professional ethics and moral) serta kemahiran kepimpinan (leadership).

Kemahiran komunikasi boleh ditakrifkan sebagai pemindahan maklumat dan makna


daripada satu pihak iaitu pengantar kepada pihak yang lain iaitu penerima. Kemahiran
berkomunikasi dalam kemahiran insaniah yang perlu diterapkan meliputi kebolehan seseorang
untuk menyampaikan idea dengan berkesan dengan penuh keyakinan sama ada secara lisan,
bertulis atau dengan bahasa isyarat. Pelajar juga disarankan untuk fasih berbahasa Melayu dan
Inggeris dan turut mempelajari dan menguasai bahasa ketiga seperti bahasa mandarin atau
bahasa tamil. Ini kerana bahasa ketiga adalah amat penting bagi yang ingin bekerja dengan
majikan dan syarikat multinasional. Bahasa ketiga akan menjadi bonus kepada pelajar dalam
memperoleh pekerjaan. Pelajar juga perlu mempunyai kemahiran mendengar yang baik dan
mampu memberi respon yang positif. Selain itu, pelajar juga perlu mempunyai kebolehan
untuk membuat perbentangan dengan jelas dan yakin serta bersesuaian dengan tahap pendengar
dan topik perbincangan. Kemahiran berkomunikasi terbahagi kepada dua iaitu dalam bentuk
lisan dan bukan lisan.

Elemen kedua dalam kemahiran insaniah ialah pemikiran kritis dan kemahiran
menyelesaikan masalah. Elemen ini merupakan tindakan seseorang individu yang boleh dan
mampu merubah sesuatu keadaan untuk menjadi lebih baik. Dengan erti lain, pelajar
berkebolehan untuk menentukan serta menganalisis masalah walaupun dalam situasi yang
sukar, kompleks, dan kabur seterusnya mampu untuk membuat penilaian yang baik. Pelajar
juga dapat mengembangkan dan membaiki kemahiran berfikir seperti menjelaskan,
menganalisis, dan menilai sesuatu perbincangan bagi mencapai sesebuah matlamat dan
objektif. Kemahiran ini juga dapat memperlihatkan pelajar sama ada mampu mencari idea dan
mencari jalan penyelesaian alternatif bagi sesuatu masalah.

Elemen ketiga dalam kemahiran insaniah ialah kemahiran kerja berpasukan. Kemahiran
ini perlu ada pada setiap pelajar bagi meningkatkan kemahiran insaniah dalam pembentukan
modal insan kelas pertama. Kemahiran kerja berpasukan merupakan kebolehan mahasiswa
untuk membina hubungan yang baik, kebolehan untuk berinteraksi dengan orang lain serta
bekerja secara efektif bersama mereka bagi mencapai satu objektif yang sama. Elemen ini
memperlihat pelajar boleh memahami dan mengambil peranan bersilih ganti antara kumpulan
dan ahli kumpulan yang lain. Dengan ini, kita dapat melihat sama ada pelajar bersedia atau
tidak untuk memberikan kerjasama serta tanggungjawab bersama ahli kumpulan dengan
memberi sumbangan kepada setiap perincian perancangan, pelaksanaan dan menyelaraskan
hasil usaha kumpulan. Kerja berpasukan menunjukkan kebolehkan seseorang mahasiswa untuk
mengenal dan menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan kepada orang. Elemen ini adalah
sangat penting bagi pelajar untuk memasuki alam pekerjaan kerana pelajar perlu membiasakan
diri dengan pekerja lain dalam persekitaran organisasi.

Elemen keempat dalam kemahiran insaniah ialah pembelajaran berterusan dan


pengurusan maklumat. Pelajar yang berkemahiran insaniah mampu untuk mencari dan
menguruskan maklumat yang diperoleh dari pelbagai sumber dan menepati dengan topik
permasalahan. Sumber yang diperoleh sama ada sumber primer atau sekunder berupaya
disentesiskan mengikut idea tersendiri sesuai dengan masalah dan topik perbincangan. Di
samping itu, pelajar juga boleh menerima idea baru daripada orang lain dan berkeupayaan
untuk mendapatkan pembelajaran secara autonomi. Walaupun objektif atau penyelesaian bagi
suatu masalah dapat dicapai, ianya tidak terhenti disitu sahaja, pelajar diharapkan dapat
mengembangkan dan mengaplikasikan topik atau perbincangan tersebut agar ianya dapat
dijadikan pembelajaran yang berterusan dan mampu memberi manfaat kepada individu-
individu yang lain.

Elemen kelima dalam kemahiran insaniah ialah kemahiran keusahawanan. Kemahiran


ini perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar bermula dari peringkat sekolah rendah lagi.
Kemahiran ini akan memperlihat pelajar sama ada kebolehan untuk mengenal pasti peluang
perniagaan yang wujud di sekeliling mereka. Melalui kemahiran ini, pelajar dilihat sama ada
mampu untuk merangka perancangan perniagaan setelah mengenalpasti peluang perniagaan
yang wujud. Ini akan menunjukkan kebolehan mahasiswa untuk membina, meneroka, dan
merebuat peluang perniagaan dan pekerjaan. Kemahiran keusahawan ini dapat membantu
memupuk mahasiswa untuk bekerja seniri dan hanya tidak mengharapkan makan gaji setelah
tamat pengajian. Dengan adanya penerapan kemahiran keusahawanan ini, isu pengangguran
dalam kalangan graduan dapat diatasi dan masalah pembaziran guna tenaga dapat dikurangkan.

Elemen keenam dalam kemahiran insaniah ialah moral dan etika profesional.
Kemahiran insaniah ini merupakan usaha dalam membentuk modal insan kelas pertama.
Kemahiran ini meliputi kebolehan memahami kesan ke atas ekonomi, alam sekitar, dan
sosiobudaya dalam amalan profesional. Dalam hal ini, pelajar perlu peka dengan apa yang
berlaku dan perubahan yang berlaku sama ada luar atau dalam negara. Selain itu, pelajar mesti
berkebolehan untuk menganalisis dan membuat keputusan dalam penyelesaian masalah
berkaitan etika disamping mematuhi dan mentaati segala bentuk peraturan atau rujukan dalam
setiap tindakan dan tingkah laku yang dilakukan. Kemahiran ini juga dapat membantu setiap
pelajar dalam mendisiplinkan diri mereka dalam apa juga bentuk keadaan mereka.

Elemen ketujuh dan terakhir dalam kemahiran insaniah ialah kemahiran kepimpinan.
Kemahiran ini perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar. Setiap pelajar perlu berupaya untuk
menjadi seorang pemimpin atau ketua bagi sesebuah projek yang bakal dilaksanakan. Untuk
menjadi seorang pemimpin yang berdedikasi, setiap pelajar perlu mempunyai pengetahuan
teori asas sebelum menjadi seorang pemimpin dan memimpin orang lain. Selain mempunyai
pengetahuan tentang kepimpinan, pelajar boleh memahami dan mengambil peranan bersilih
ganti antara ahli kumpulan. Dengan ini, akan menunjukkan bahawa sebagai seorang ketua,
pelajar tidak hanya padai mengarah malah berturut sama dalam menggalas tugas bersama ahli
yang lain. Hubungan antara ahli kumpulan akan bertambah erat sekiranya pelajar sebagai ketua
kumpulan mampu memberi dorangan dan semangat kepada ahli kumpulan untuk mencapai
matlamat secara bersama. Secara rumusannya, kesemua elemen kemahiran insaniah yang
digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi adalah amat penting untuk dikuasai oleh setiap
pelajar.
Rujukan

Diperoleh pada 20 April 2018 https://www.slideshare.net/morkie/elemen-kbat-dalam-


kurikulum

Diperoleh pada 20 April 2018


http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121229/re_01/Kemahiran-berfikirdalam-
pendidikan

Diperoleh pada 22 April 2018 http://www.gpsbestari.com/artikel/rencana/kbat-keperluan-


pendidikan-abad-21-1.506623

Diperoleh pada 22 April 2018 https://www.sistemguruonline.my/2014/11/apa-itu-kbat-


konsep-teori-kba.html

Anda mungkin juga menyukai