Anda di halaman 1dari 19

1.

0 Pengenalan
Cabaran dunia Pendidikan hari ini ialah untuk melahirkan pelajar yang menyeluruh dan
seimbang daripada aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan yang merupakan inti pati yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan
Negara. Pelajar perlu memperlengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan, nilai-nilai
murni dan kemahiran tertentu seiring dengan keperluan pembelajaran abad ke-21. Ini kerana
pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan
pendidikan masa lampau. Jika suatu ketika dahulu, komunikasi dua hala antara guru dan
murid-murid sudai memadai, namun tahap pendidikan pada masa kini menuntut kemahiran
berfikir di luar kotak, kehendak jawapan pula memerlukan cara berfikir aras tinggi.

Dua isu yang akan dibincangkan ialah kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan
kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar. Pelajar bukan sahaja perlu cemerlang dari segi
akademik, malah pelajar juga seharusnya perlu menguasai kemahiran-kemahiran yang
tertentu agar dapat dapat berdaya saing di peringkat tertinggi termasuk di arena antarabangsa.
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025), terdapat enam aspirasi
pelajar untuk bersaing di peringkat global. Enam aspirasi tersebut adalah, identiti nasional,
kemahiran memimpin, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, pengetahuan, etika dan
kerohanian. Manakala, Kementerian Pengajian Tinggi telah menggariskan tujuh elemen
penting dalam kemahiran insaniah. Tujuh elemen penting dalam kemahiran insaniah ialah
kemahiran berkomunkasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran
kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran
keusahawanan, moral dan etika profesional serta kemahiran kepimpinan.

1.1 Definisi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Kemahiran berfikir aras tinggi didefinisikan sebagai keupayaan mengaplikasikan


pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi
menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi, dan berupaya mencipta sesuatu.
(KPM, 2013). Kemahiran berfikir aras tinggi boleh dikenal pasti dalam Standard Kandungan
(SK) dan Standard Pembelajaran (SP) melalui pernyataan kata kerja tahap pemikiran dalam
Taksonomi Bloom.
Berdasarkan kepada definisi kemahiran berfikir aras tinggi, KBAT merujuk kepada
mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Kemahiran ini dikenalpasti sebagai tahap
pemikiran yang menjadi fokus dalam penentuan Standard Kandungan (SK) dan Standard
Pembelajaran (SP) bagi mata pelajaran yang diajar di sekolah untuk memastikan murid-murid
meguasai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) seperti mana yang dihasratkan.

Secara umumnya, terdapat dua jenis kemahiran berfikir iaitu kemahiran berfikir aras
rendah yang tidak memerlukan pemikiran yang luas dan mendalam. Sebagai contoh,
kemahiran ini hanya memerlukan murid menghafal dan mengingat kembali fakta atau
maklumat yang disampaikan oleh guru kepada mereka. Kemudian murid-murid akan
meluahkannya semula sekiranya terdapat soalan yang memerlukan jawapan mereka.

Sementara itu, kemahiran berfikir aras tinggi melibatkan kemahiran intelek yang
tinggi. Kemahiran ini memerlukan seseorang itu berfikir sebelum membuat penjelasan
dengan menganalisis, menilai, menjana idea, pilihan membuat keputusan, menyelesaikan
masalah dan membuat perancangan. Secara mudahnya murid mencerap sesuatu data atau
maklumat kemudian diproses dalam minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam berbagai
bentuk. Kemahiran berfikir ini juga dikatakan sebagai berfikir secara kritis dan kreatif.

Memiliki kemahiran ini, murid-murid bebas untuk membanding, membeza, menyusun


atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan akibat mengikut pendapat dan pandangan
mereka sendiri. Andai kata diberikan suatu soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam
pelbagai bentuk, idea baru dan melihat daripada beberapa sudut. Di sinilah dikatakan
wujudnya pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan merekacipta di kalangan murid-murid.

Kemahiran berfikir aras tinggi ini mempunyai kelebihan lain iaitu dapat
meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada murid. Mereka akan dapat
mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah mereka kuasai. Kebolehan ini
akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing. Seterusnya sudah tentu dapat
meningkatkan kefahaman dan memperkukuhkan pembelajaran dalam apa sahaja perkara
yang mereka pelajari nanti.

Bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi di kalangan murid maka peranan
guru sangat signifikan. Usaha ke arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Sebenarnya kemahiran berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah
didedahkan tentang konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan perguruan di
maktab atau universiti suatu ketika dahulu. Walau apa pun guru perlu terus ditingkatkan
keupayaan kemahiran berfikir mereka supaya dapat memberikan yang terbaik kepada murid
dalam pengajaran mereka.

1.2 Tujuan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi di Sekolah

Asas kepada kejayaan sistem pendidikan terletak pada kualiti Kurikulum Kebangsaan, sekali
gus menentukan kualiti modal insan yang dihasratkan. Justeru, keutamaan Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) adalah membina satu kurikulum yang memenuhi piawai
antarabangsa dengan menekankan aspek kemahiran kreatif, penyelesaian masalah dan
inovasi. Kurikulum Kebangsaan bermatlamat untuk melahirkan generasi masa depan
Malaysia yang seimbang serta menguasai kemahiran abad ke-21. Murid-murid yang
menguasai kemahiran abad ke-21 dengan kebolehan dan kemahiran berfikir secara kritis,
kreatif dan inovatif mampu untuk bersaing di peringkat global.

Bagi menghadapi persaingan global yang semakin sengit dalam persekitaran ekonomi
yang dipacu oleh inovasi, KPM telah memberi penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT) dalam sistem persekolahan. Pelaksanaan KBAT dalam sistem persekolahan
menggunakan pendekatan yang menyeluruh dan sistematik yang merangkumi tujuh elemen
yang terdiri daripada tiga elemen utama iaitu kurikulum, pedagogi dan pentaksiran, empat
elemen sokong iaititu kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, sumber dan bina upaya.

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diterapkan dalam sistem persekolahan


supaya murid-murid tidak hanya menghafal tetapi juga faham dan tahu apa yang mereka
pelajari dan menggunakan akal fikiran pada tahap yang tinggi dengan menguasai empat tahap
tertinggi dalam Taksonomi Bloom iaitu kemahiran menilai, mengaplikasi, menganalisis dan
mencipta. Selain itu, tujuan pelaksanan KBAT di sekolah adalah untuk mewajarkan
penyelesaian dan penemuan dalam kalangan murid-murid.

1.3 Elemen dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

Berdasarkan tahap yang diperkenalkan oleh Taksonomi Bloom, terdapat 4 tahap tertinggi
yang terkandung dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi iaitu mengaplikasi, menganalisis,
menilai dan mencipta. Setiap tahap mempunyai kemahiran yang berbeza. Tahap pemikiran
aplikasi memerlukan murid menggunakan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam situasi
yang berlainan untuk melakukan sesuatu. Murid berupaya menyelesaikan masalah dengan
mengaplikasikan konsep yang mereka fahami melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran
(PdP). Kata kunci pada tahap aplikasi ialah bina, tentukan, gunakan, sesuaikan, laksanakan,
kaitkan, gambarkan, ramalkan, tunjukkan dan sebagainya. Contoh soalan yang menggunakan
tahap pemikiran aplikasi ialah “bolehkah perkara ini berlaku..?”Seterusnya, dalam tahap
pemikiran menganalisis pula, murid akan mencerakinkan maklumat kepada bahagian-
bahagian kecil untuk memahami dengan lebih mendalam serta menghubung kait antara
bahagian berkenaan. Murid berupaya mentafsir peranan dan fungsi setiap bahagian kecil
untuk memahami sesuatu konsep secara menyeluruh. Kata kunci pada tahapmenganalisis
ialah banding, sebab, bezakan, buktikan, kesan, simpulkan dan lain-lain. Contoh soalan yang
menggunakan tahap pemikiran menganalisis ialah “terangkan apa yang berlaku apabila..?”

Seterusnya pada tahap kemahiran menilai dimana murid membuat pertimbangan dan
keputusan menggunakan pengetahuan, kemahiran dan nilai serta memberi justifikasi. Murid
perlu mengamalkan pemikiran reflektif dan munasabah yang difokuskan kepada usaha
memutuskan sama ada sesuatu perkara boleh dipercayai atau tidak. Penguasaan pemikiran
reflektif membantu murid untuk menghubungkaitkan idea dan pengalaman lalu. Kata kunci
pada tahap menilai ialah pendapat, hujah, ramalkan, cantumkan, buktikan, hubungkaitkan,
bahaskan, bandingkan dan lain-lain. Contoh soalan yang menggunakan tahap pemikiran
menilai ialah “apakah pendapat anda tentang..?”. Akhir sekali, pada tahap pemikiran
mencipta merupakan tahap yang paling tinggi dalam Taksonomi Bloom. Pada tahap ini,
murid dapat menghasilkan idea, produk atau sesuatu yang baharu berdasarkan pembelajaran
dalam bilik darjah. Melaui tahap pemikiran ini, murid yang kreatif dan inovatif dapat
dilahirkan. Kata kunci pada tahap mencipta ialah cadangkan, gabungkan, buktikan, ciptakan
dan sebagainya. Contoh soalan yang menggunakan tahap pemikiran mencipta ialah “Adakah
anda boleh mencipta..?”
Rajah 1.0 Taksonomi Bloom

1.4 Definisi Kemahiran Insaniah

Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan kemahiran insaniah bagi


membangunkan modal insan kelas pertama. Kemahiran insaniah atau soft skills merupakan
kemahiran generik yang merentasi pelbagai domain pembelajaran merangkumi aspek
keperibadian dan kerja berkumpulan. Menurut Md. Tahir (2014), kemahiran insaniah ialah
suatu kemahiran generik yang mempunyai pelbagai elemen pembelajaran utama yang
meliputi keperibadian dan kerja berkumpulan. Kemahiran insaniah merupakan suatu
kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid-murid terutamanya untuk mencapai matlamat dan
objektif pendidikan. Pengajaran yang berkesan merupakan teras kepada pembentukan modal
insan dan kepentingan kemahiran insaniah adalah bermatlamat untuk melahirkan pelajar yang
memiliki sahsiah yang menyeluruh. Walaupun tidak terdapat suatu senarai kemahiran khusus
tentang kemahiran insaniah, namun kebanyakannya berkait dengan penguasaan kemahiran
seperti kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.
Kemahiran insaniah kini menjadi penanda aras untuk menilai kemampuan graduan,
sekali gus membawa perubahan dalam sektor pendidikan negara yang sebelum ini hanya
bersandarkan terhadap pencapaian akademik semata-mata. Ia juga merupakan usaha
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkembangkan potensi individu bukan
sahaja hanya cemerlang dari segi akademik tetapi dari segi kemahiran insaniah.

1.5 Elemen-elemen Kemahiran Insaniah

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah memperkenalkan kemahiran insaniah bagi


membangunkan modal insan kelas pertama. Pihak kementerian juga telah menggariskan
beberapa elemen kemahiran insaniah yang perlu diterapkan bagi setiap pelajar. Elemen
tersebut ialah kemahiran berkomunikasi (communication), pemikiran kritis dan kemahiran
menyelesaikan masalah (critical thinking and problem solving), kemahiran kerja berpasukan
(teamwork), pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat (life-long learning &
information management), kemahiran keusahawanan (entrepreneurship), moral dan etika
profesional (professional ethics and moral) serta kemahiran kepimpinan (leadership).

Kemahiran komunikasi boleh ditakrifkan sebagai pemindahan maklumat dan makna


daripada satu pihak iaitu pengantar kepada pihak yang lain iaitu penerima. Kemahiran
berkomunikasi dalam kemahiran insaniah yang perlu diterapkan meliputi kebolehan
seseorang untuk menyampaikan idea dengan berkesan dengan penuh keyakinan sama ada
secara lisan, bertulis atau dengan bahasa isyarat. Pelajar juga disarankan untuk fasih
berbahasa Melayu dan Inggeris dan turut mempelajari dan menguasai bahasa ketiga seperti
bahasa mandarin atau bahasa tamil. Ini kerana bahasa ketiga adalah amat penting bagi yang
ingin bekerja dengan majikan dan syarikat multinasional. Bahasa ketiga akan menjadi bonus
kepada pelajar dalam memperoleh pekerjaan. Pelajar juga perlu mempunyai kemahiran
mendengar yang baik dan mampu memberi respon yang positif. Selain itu, pelajar juga perlu
mempunyai kebolehan untuk membuat perbentangan dengan jelas dan yakin serta
bersesuaian dengan tahap pendengar dan topik perbincangan. Kemahiran berkomunikasi
terbahagi kepada dua iaitu dalam bentuk lisan dan bukan lisan.

Elemen kedua dalam kemahiran insaniah ialah pemikiran kritis dan kemahiran
menyelesaikan masalah. Elemen ini merupakan tindakan seseorang individu yang boleh dan
mampu merubah sesuatu keadaan untuk menjadi lebih baik. Dengan erti lain, pelajar
berkebolehan untuk menentukan serta menganalisis masalah walaupun dalam situasi yang
sukar, kompleks, dan kabur seterusnya mampu untuk membuat penilaian yang baik. Pelajar
juga dapat mengembangkan dan membaiki kemahiran berfikir seperti menjelaskan,
menganalisis, dan menilai sesuatu perbincangan bagi mencapai sesebuah matlamat dan
objektif. Kemahiran ini juga dapat memperlihatkan pelajar sama ada mampu mencari idea
dan mencari jalan penyelesaian alternatif bagi sesuatu masalah.

Elemen ketiga dalam kemahiran insaniah ialah kemahiran kerja berpasukan.


Kemahiran ini perlu ada pada setiap pelajar bagi meningkatkan kemahiran insaniah dalam
pembentukan modal insan kelas pertama. Kemahiran kerja berpasukan merupakan kebolehan
mahasiswa untuk membina hubungan yang baik, kebolehan untuk berinteraksi dengan orang
lain serta bekerja secara efektif bersama mereka bagi mencapai satu objektif yang sama.
Elemen ini memperlihat pelajar boleh memahami dan mengambil peranan bersilih ganti
antara kumpulan dan ahli kumpulan yang lain. Dengan ini, kita dapat melihat sama ada
pelajar bersedia atau tidak untuk memberikan kerjasama serta tanggungjawab bersama ahli
kumpulan dengan memberi sumbangan kepada setiap perincian perancangan, pelaksanaan
dan menyelaraskan hasil usaha kumpulan. Kerja berpasukan menunjukkan kebolehkan
seseorang mahasiswa untuk mengenal dan menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan
kepada orang. Elemen ini adalah sangat penting bagi pelajar untuk memasuki alam pekerjaan
kerana pelajar perlu membiasakan diri dengan pekerja lain dalam persekitaran organisasi.

Elemen keempat dalam kemahiran insaniah ialah pembelajaran berterusan dan


pengurusan maklumat. Pelajar yang berkemahiran insaniah mampu untuk mencari dan
menguruskan maklumat yang diperoleh dari pelbagai sumber dan menepati dengan topik
permasalahan. Sumber yang diperoleh sama ada sumber primer atau sekunder berupaya
disentesiskan mengikut idea tersendiri sesuai dengan masalah dan topik perbincangan. Di
samping itu, pelajar juga boleh menerima idea baru daripada orang lain dan berkeupayaan
untuk mendapatkan pembelajaran secara autonomi. Walaupun objektif atau penyelesaian bagi
suatu masalah dapat dicapai, ianya tidak terhenti disitu sahaja, pelajar diharapkan dapat
mengembangkan dan mengaplikasikan topik atau perbincangan tersebut agar ianya dapat
dijadikan pembelajaran yang berterusan dan mampu memberi manfaat kepada individu-
individu yang lain.

Elemen kelima dalam kemahiran insaniah ialah kemahiran keusahawanan. Kemahiran


ini perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar bermula dari peringkat sekolah rendah lagi.
Kemahiran ini akan memperlihat pelajar sama ada kebolehan untuk mengenal pasti peluang
perniagaan yang wujud di sekeliling mereka. Melalui kemahiran ini, pelajar dilihat sama ada
mampu untuk merangka perancangan perniagaan setelah mengenalpasti peluang perniagaan
yang wujud. Ini akan menunjukkan kebolehan mahasiswa untuk membina, meneroka, dan
merebuat peluang perniagaan dan pekerjaan. Kemahiran keusahawan ini dapat membantu
memupuk mahasiswa untuk bekerja seniri dan hanya tidak mengharapkan makan gaji setelah
tamat pengajian. Dengan adanya penerapan kemahiran keusahawanan ini, isu pengangguran
dalam kalangan graduan dapat diatasi dan masalah pembaziran guna tenaga dapat
dikurangkan.

Elemen keenam dalam kemahiran insaniah ialah moral dan etika profesional.
Kemahiran insaniah ini merupakan usaha dalam membentuk modal insan kelas pertama.
Kemahiran ini meliputi kebolehan memahami kesan ke atas ekonomi, alam sekitar, dan
sosiobudaya dalam amalan profesional. Dalam hal ini, pelajar perlu peka dengan apa yang
berlaku dan perubahan yang berlaku sama ada luar atau dalam negara. Selain itu, pelajar
mesti berkebolehan untuk menganalisis dan membuat keputusan dalam penyelesaian masalah
berkaitan etika disamping mematuhi dan mentaati segala bentuk peraturan atau rujukan
dalam setiap tindakan dan tingkah laku yang dilakukan. Kemahiran ini juga dapat membantu
setiap pelajar dalam mendisiplinkan diri mereka dalam apa juga bentuk keadaan mereka.

Elemen ketujuh dan terakhir dalam kemahiran insaniah ialah kemahiran kepimpinan.
Kemahiran ini perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar. Setiap pelajar perlu berupaya untuk
menjadi seorang pemimpin atau ketua bagi sesebuah projek yang bakal dilaksanakan. Untuk
menjadi seorang pemimpin yang berdedikasi, setiap pelajar perlu mempunyai pengetahuan
teori asas sebelum menjadi seorang pemimpin dan memimpin orang lain. Selain mempunyai
pengetahuan tentang kepimpinan, pelajar boleh memahami dan mengambil peranan bersilih
ganti antara ahli kumpulan. Dengan ini, akan menunjukkan bahawa sebagai seorang ketua,
pelajar tidak hanya padai mengarah malah berturut sama dalam menggalas tugas bersama ahli
yang lain. Hubungan antara ahli kumpulan akan bertambah erat sekiranya pelajar sebagai
ketua kumpulan mampu memberi dorangan dan semangat kepada ahli kumpulan untuk
mencapai matlamat secara bersama. Secara rumusannya, kesemua elemen kemahiran
insaniah yang digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi adalah amat penting untuk
dikuasai oleh setiap pelajar.

Isu Kemahiran Insaniah


Perbincangan berkenaan dengan isu yang berkaitan dengan kemahiran insaniah telah lama
dibincangkan oleh para sarjana. Kajian-kajian akademik berkaitan dengan kemahiran
insaniah telah banyak dijalankan bagi melihat perlaksanaan dan juga keberkesanan
penekanan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah mahupun di
peringkat institusi pengajian tinggi. Kajian yang dijalankan dari masa ke semasa
menunjukkan betapa pentingnya kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar selain dari
pencapaian akademik dalam melahirkan pelajar yang berkebolehan dan berdaya saing dalam
pelbagai bidang.

Kajian yang bertajuk Persepsi Pelajar Terhadap Kemahiran Insaniah Dalam Mata
Pelajaran Pendidikan Islam mendapati bahawa para pelajar memahami tentang konsep
kemahiran insaniah yang dilaksanakan di sekolah dan yakin kemahiran insaniah yang
dipelajari di sekolah boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka. Namun,
peratusan yang menunjukkan bahawa tugasan yang diberikan oleh guru mata pelajaran
Pendidikan Islam dapat meningkatkan kemahiran insaniah mereka tidak memuaskan. Hal ini
dapat dikaitkan dengan kaedah pembelajaran Pendidikan Islam yang lebih memberikan
penekanan terhadap hafalan dan juga fakta. Walaupun begitu, tugasan-tugasan sampingan
yang diberikan oleh guru seharusnya menekankan tentang kemahiran insaniah pelajar agar
pelajar dapat mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam kehidupan mereka (Salleh Amat et
al, 2016).

Berdasarkan kajian tersebut, walaupun pelajar mempunyai pengetahuan yang baik


berkenaan dengan kemahiran insaniah namun, terdapat limitasi dari pihak guru kerana kurang
menyediakan aktiviti atau tugasan yang dapat mengasah kemahiran insaniah pelajar. Para
guru perlulah lebih kreatif dalam menyediakan tugasan kepada para pelajar dengan
memasukkan elemen-elemen yang dapat megasah kemahiran insaniah agar para pelajar
bukan sahaja dapat menguji kefahaman mereka dalam subjek tersebut namun pada masa yang
sama dapat melatih kemahiran insaniah mereka dari masa ke semasa. Latihan secara
berterusan dapat membantu para pelajar membina kemahiran mereka dengan lebih baik.

Kajian berkenaan Kemahiran Insaniah Pelajar Sekolah Menengah Dalam


Pembelajaran Matematik juga menunjukkan keputusan yang hampir sama iaitu tahap
kemahiran insaniah pelajar berada pada tahap sederhana tinggi. Hal ini kerana pelajar terlibat
dengan perbincangan berkumpulan dalam menyelesaikan tugasan matematik yang diberikan
guru. Perkara ini telah melatih pelajar bekerjasama dan menyesuaikan diri antara satu sama
lain dalam tempoh masa yang singkat disamping saling berkongsi pendapat. Walau
bagaimanapun, kemahiran berfikir mempunyai nilai min yang paling rendah berbanding
kemahiran yang lain. Perkara ini mungkin berlaku kerana kekangan guru untuk memupuk
kreativiti murid melalui aktiviti didalam kelas (Noor Afiza & Siti Mistima, 2017).

Hasil kajian Kemahiran Insaniah Pelajar Sekolah Menengah Teknik Dan Kolej
Vokasional mendapati bahawa tahap kemahiran insaniah pelajar sekolah menengah teknik
dan kolej vokasional berada pada tahap sederhana tinggi. Namun, dapatan tersebut mendapati
bahawa dalam kemahiran etika moral dan professional pelajar berada pada tahap yang tinggi
dan diikuti dengan kemahiran kerja berpasukan. Kemahiran keusahawanan pelajar
menunjukkan min yang paling rendah dan kedua terendah adalah kemahiran pemikiran kritis
dan penyelesaian masalah. Hasil kajian tersebut juga mendapati terdapat perbezaan yang
signifikan antara kemahiran insaniah antara jantina iaitu pelajar lelaki dan juga pelajar
perempuan, perbezaan tempat pengajian dan juga bidang pengajian pelajar (Nur Dalila &
Ruslin, 2017).

Tahap kemahiran insaniah pelajar perlu dikenalpasti dari peringkat awal sebagai
panduan bagi pihak berkenaan agar dapat melakukan penambahbaikan serta pengubahsuaian
bagi menyediakan para pelajar dengan kemahiran-kemahiran yang sewajarnya sebelum
meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Keperluan pelajar yang bukan sahaja
cemerlang dalam bidang akademik namun juga mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi
amat penting bagi pelajar untuk memasuki alam pekerjaan yang kian mencabar. Kemahiran
yang ada pada diri pelajar boleh menjadikan pelajar tersebut mempunyai nilai tambah yang
baik bagi memenuhi kriteria pekerjaan masa kini.

Tahap kemahiran pelajar yang masih lagi berada pada tahap sederhana tinggi perlu
dipertingkatkan lagi untuk kebaikan para pelajar mendepani alam pekerjaan pada masa akan
datang. Langkah-langkah yang proaktif perlu diambil bagi seperti menyediakan latihan
kepada guru-guru sekolah bagi melatih para pelajar, mempelbagaikan kaedah kurikulum dan
melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum. Penglibatan pelbagai pihak seperti pihak sekolah
dan juga pihak kementerian amat penting bagi memastikan para pelajar menguasai kemahiran
insaniah sebelum memasuki alam pengajian tinggi dan alam pekerjaan (Nur Dalila & Ruslin,
2017).

Persekitaran di sekolah juga memainkan peranan yang penting bagi meningkatkan


kemahiran insaniah pelajar. Budaya komunikasi yang sopan , semangat kerjasama, saluran
penyelesaian masalah melalui khidmat kaunseling serta penyediaan pelbagai aktiviti dan
program yang dijalankan dapat menggalakkan persaingan yang positif dalam kalangan
pelajar. Hal ini sekaligus dapat mengembangkan kemahiran insaniah yang ada dalam diri
pelajar dengan mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan sekolah. Kajian
menunjukkan bahawa pengaruh persekitaran yang ada di sekolah berada pada tahap
sederhana tinggi. Tahap tinggi yang terdapat di sekolah adalah sikap pelajar sendiri yang
menggalakkan hubungan interpersonal berlaku disamping guru menggalakkan kerjasama
secara berkumpulan dalam kalangan pelajar (Halina et al, 2015).

Berdasarkan kajian tersebut, pelajar mampu untuk mengasah kemahiran yang ada
dalam diri mereka dengan bantuan para guru seperti memberikan pelajar ruang untuk
berbincang, mengendalikan program di sekolah dan menyelesaikan masalah yang berlaku
dalam persatuan. Namun guru-guru perlu memberikan pengawasan dan bimbingan yang
sewajarnya kepada pelajar dalam melakukan sebarang tindakan dan juga aktiviti yang
dijalankan di sekolah. Penglibatan guru secara langsung dapat memberikan bimbingan
kepada pelajar secara terus disamping guru-guru dapat mengembangkan idea-idea baru yang
diberikan pelajar sesuai dengan keadaan semasa.

Kemahiran insaniah juga dititikberatkan di peringkat pengajian tinggi. Seperti kajian


yang dijalankan oleh Alizah Lambri dan Zamri Mahamod ( 2015), kajian tersebut
menunjukkan kaedah pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar (PBP) yang
dilaksanakan dalam proses pengajian dan pembelajaran Bahasa Melayu dapat memupuk
kemahiran insaniah dalam diri pelajar terutamanya kemahiran interpersonal, komunikasi dan
sosial, kemahiran berfikir menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran
teknologi maklumat dan kemahiran kepimpinan. Pelajar perlu berketerampilan dan
menguasai kemahirah insaniah bagi menghadapi cabaran kerja setelah tamat pengajian.

Hasil kajian tersebut mendapati melalui tugasan luar kelas pelajar dapat membentuk
dan meningkatkan kemahiran insaniah. Pengalaman sebenar diluar kelas lebih membuka
ruang kepada pelajar untuk menggunakan kemahiran yang ada seperti komunikasi,
interpersonal dan sosial, kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah serta kemahiran
teknologi maklumat (ICT). Selain itu, pelajar dapat menonjolkan diri mereka melalui
pembelajaran berasaskan pelajar dan menjadi satu peluang bagi pelajar untuk lebih bersikap
terbuka dan sentiasa menunjukkan sikap yang positif (Alizah & Zamri, 2015). Hal ini
menunjukkan bahawa penglibatan pelajar di luar kelas memberikan pengalaman yang tidak
dapat diperolehi dalam kelas sekaligus pelajar mampu meningkatkan beberapa kemahiran
dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan pensyarah.

Kursus kokurikulum yang ditawarkan di universiti merupakan satu platform yang


membolehkan pelajar mengasah bakat dan membina kemahiran insaniah agar menjadi
seorang graduan yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik namun cemerlang
dalam bidang kemahiran insaniah. Kajian yang dijalankan di fakulti sains perubatan,
Universiti Malaysia Sabah iaitu sebuah program yang melibatkan pelajar fakulti sains
perubatan dengan golongan masyarakat telah mencatatkan hasil yang tinggi melebihi tahap
kebangsaan iaitu dengan min 6.5. Kemahiran insaniah yang mencatatkan min yang tinggi
adalah moral dan etika professional, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat,
kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan menyelesaikan masalah, kemahiran kerja
berpasukan dan kemahiran kepimpinan ( Jamaludin et al, 2013).

Kajian tersebut membuktikan bahawa aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan


menjadi salah satu aktiviti yang dapat memberikan pengalaman yang sebenar berbanding
hanya mempelajari teori dalam proses pembelajaran. Penglibatan pelajar dalam aktiviti
kokurikulum bukan sahaja dapat melatih kemahiran insaniah yang ada pada pelajar namun
memperbaiki kemahiran- kemahiran yang sudah dimiliki oleh pelajar. Aktiviti yang
dijalankan pelajar fakulti sains perubatan itu juga bukan sahaja memberikan manfaat kepada
pelajar yang terlibat namun masyarakat luar luar bandar juga memperolehi manfaat daripada
program kesihatan yang dijalankan pelajar.

Walaupun aktiviti yang dijalankan itu dapat melatih kemahiran insaniah pelajar,
sekiranya pelajar sendiri tidak mengambil bahagian dalam aktiviti yang dilaksanakan itu
maka pelajar tidak akan mendapat manfaat daripada aktiviti tersebut. Komitmen dari palajar
amat penting dalam memberikan kesan yang baik terhadap diri mereka sendiri. Kajian yang
dijalankan di Institut Pendidikan Guru mendapati bahawa terdapat perbezaan yang signifikan
terhadap kemahiran insaniah antara guru pelatih perempuan dan guru pelatih lelaki walaupun
masing-masing melalui modul latihan dan kurikulum yang sama. Perbezaan ini adalah
disebabkan sikap dan komiten yang ditunjukkan guru pelatih perempuan lebih postif
berbanding guru pelatih lelaki (Kamarul et al, 2017).

Oleh itu, pelajar seharusnya mengambil bahagian dan memberikan komitmen dalam
melaksanakan aktiviti yang telah dirancangkan. Penglibatan pelajar dalam aktiviti yang
dirancangkan dapat memberikan pengalaman baru selain melatih para pelajar dengan
kemahiran insaniah yang dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar dalam bidang pekerjaan
pada masa akan datang. Pelajar yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi amat
diperlukan dalam pelbagai bidang pekerjaan kerana berkebolehan melaksanakan tugasan
dalam pelbagai perkara dalam sesebuah organisasi.

Berdasarkan bukti-bukti kajian yang telah dijalankan maka dapat disimpulkan bahawa
kekangan yang berlaku dalam memupuk kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar adalah
disebabkan dua faktor utama iaitu faktor guru dan juga pelajar. Guru-guru dilihat tidak
menggabungkan tugasan yang diberikan dengan aktiviti yang dapat melatih para pelajar
dengan mengaplikasikan kemahiran insaniah yang ditekankan pihak kerajaan. Faktor ini juga
dilihat disebabkan oleh penekanan subjek yang lebih kepada hafalan dan kefahaman pelajar
dan juga guru-guru tidak kreatif dalam menyediakan tugasan kepada pelajar. Bagi faktor
pelajar pula, pelajar tidak memberikan komitmen yang sewajarnya dalam melaksanakan
aktiviti yang diadakan. Perkara ini menyebabkan pelajar tidak dapat menguasai kemahiran
insaniah melalui aktiviti tersebut. Sikap pelajar yang tidak memberikan komitmen terhadap
aktiviti yang dijalankan menyebabkan objektif aktiviti tersebut untuk membina kemahiran
insaniah pelajar tidak tercapai.

IMPLIKASI KBAT TERHADAP PELAJAR

Perlaksanaan KBAT membantu pelajar untuk berfikir secara lebih mendalam, konsisten,
produktif dan efisien. Pelajar berkemampuan untuk memindahkan sesuatu maklumat dan
kemahiran yang dikuasai dalam situasi yang berbeza. Melalui pemikiran kritikal pelajar
mampu mencerap sesuatu data atau maklumat kemudian diproses dalam minda dan
dikeluarkan semula dalam pelbagai bentuk. Menurut Rajendran Nagappan (2014), kemahiran
berfikir ini dikatakan sebagai kemahiran untuk kritis dan kreatif. Melalui kemahiran ini
pelajar bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti
sebab dan akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri.

Selain itu, perlaksanaan KBAT juga dapat meningkatkan keupayaan dan kebolehan
sedia ada pada pelajar. Pelajar mampu mengawal dan mentafsir pembelajaran yang mereka
telah kuasai. Kebolehan ini menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing terhadap
kehidupan seharian mereka. Hal ini kerana KBAT mengaplikasikan empat (4) tahap
kemahiran teratas daripada Taksonomi Bloom edisi semakan (Anderson & Krathwohl 2001)
iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai, dan mereka cipta. Hal ini akan membantu pelajar
untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan mengaplikasikan keempat-empat tahap
kemahiran daripada Taksonomi Bloom.

Tambahan pula kesan perlaksanaa KBAT ini dapat menjadikan proses pengajaran dan
pembelajaran lebih menarik. Sebagai contoh bagi mata pelajaran Matematik di mana pelajar
bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan
akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri. Hal ini kerana pelajar mampu
memberi jawapan terhadap sesuatu persoalan dalam pelbagai cara dan bentuk dengan melihat
dari segi pelbagai aspek. Justeru dapat melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif dengan
wujudnya proses pembelajaran yang menarik.

IMPLIKASI KBAT TERHADAP GURU

Guru memainkan fungsi yang utama dalam memupuk pemikiran aras tinggi dalam kalangan
pelajar. Implikasi perlaksanaan KBAT terhadap guru adalah KBAT mampu meningkatkan
tahap kecekapan guru bagi membina item KBAT. Guru akan menggunakan teknologi yang
canggih dan terkini bagi mencari maklumat dan bahan bagi sesuatu topik yang akan diajar.
Guru akan lebih bersedia dan berpengetahuan dengan merujuk beberapa rujukan bacaan bagi
sesuatu topik dan mampu menghasilkan soalan yang berunsur KBAT. Oleh itu, dengan
perlaksanaan KBAT ini menyebabkan guru akan berusaha mencari maklumat yang berkaitan
dengan lebih banyak bagi membina item KBAT. Perkara ini disokong oleh Yahya Othman
(2014) yang menyatakan bahawa guru pertama sekali perlu menguasai dan mendalami ilmu
berkaitan kemahiran berfikir sebelum menerapkan atau mengaplikasikan ilmu tersebut ke
dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Seterusnya, melalui penerapan KBAT ini guru mampu untuk memastikan objektif
kurikulum dapat dicapai semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Hal ini
kerana guru akan menggunakan pelbagai strategi pengajaran yang efektif bagi merangsang
pelajar untuk berfikir dengan lebih tinggi dan guru merupakan sebagai pemudah cara bagi
membantu pelajar dalam memastikan kemahiran berfikir aras tinggi ini dapat dilaksanakan
seoptimum mungkin oleh pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Brookhart (2010) menyatakan bahawa penilaian ke atas KBAT yang telah dikuasai oleh
pelajar haruslah dilaksanakan oleh guru bagi memastikan sejauh manakah objektif pengajaran
dan pembelajaran itu tercapai. Oleh itu, guru haruslah melaksanakan penilaian yang
berfokuskan kepada KBAT seperti pada peringkat penilaian dan peringkat penciptaan
berbanding hanya memfokuskan hanya kepada peringkat aras rendah semata-mata.

Tambahan pula, melalui KBAT guru dapat memberikan yang terbaik kepada pelajar
dalam pengajaran yang diajarnya di dalam kelas. Hal ini merujuk kepada Conklin (2012),
guru melaksanakan pelbagai strategi pengajaran yang boleh membantu untuk merangsang
pelajar untuk menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi dalam diri pelajar. Salah satunya
melalui pembahagian kumpulan secara heterogen di mana di dalam satu kumpulan terdapat
gabungan pelbagai aras kemahiran pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pelajar yang pintar akan bergerak sebagai mentor iaitu mereka akan membimbing rakan
mereka yang lemah terhadap sesuatu subjek. Guru juga boleh menggunakan teknik penyoalan
yang boleh menggalakkan pelajar untuk berfikir dengan lebih mendalam. Soalan yang
berbentuk terbuka adalah lebih baik berbanding soalan tertutup kerana mampu membantu
pelajar untuk membuat penaakulan dan penilaian.

IMPLIKASI KBAT KEPADA NEGARA

KBAT mampu meningkatkan kedudukan negara dalam Trends in International Mathematics


and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA)
jika elemen KBAT terus diterapkan di dalam sistem pendidikan di Malaysia. Hal ini kerana
pencapaian pelajar dalam pentaksiran Sains dan Matematik menunjukkan kadar penurunan
dari segi pencapaian pelajar yang sangat ketara dan mebimbangkan. Oleh itu bagi menangani
masalah tersebut, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, telah
mensasarkan agar menjelang 20125 Malaysia berada di tahap satu pertiga teratas bagi kedua-
dua pentaksiran TIMSS dan PISA. Kesan penggunaan KBAT dalam mata pelajaran
Matematik dapat meningkatkan kedua-dua penaksiran berkenaan dan mampu melonjakkan
pencapaian Malaysia agar berada di kedudukan satu pertiga teratas dalam TIMSS dan PISA
menjelang 2025.

Selain itu, implikasi KBAT terhadap negara adalah melalui KBAT, tahap pendidikan
negara akan terus meningkat jika elemen KBAT diutamakan. Dasar pendidikan negara perlu
menerapkan KBAT dan bukannya hanya berorientasikan peperiksaan sehingga mengabaikan
kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah. Melalui KBAT, Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) dapat dikuasai oleh pelajar secara holistik di mana pelajar akan seimbang
dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani.

Tahap pendidikan negara terus meningkat jika elemen KBAT diutamakan

Aspirasi pendidikan negara dapat dicapai

Melahirkan pelajar seperti yang digariskan dalam FPK

IMPLIKASI KEMAHIRAN INSANIAH (KI)

Kemahiran insaniah atau lebih dikenali sebagai “soft skill” merupakan hasil daripada tujuh
(7) elemen kemahiran di dalamnya antaranya kemahiran komunikasi, kemahiran kritis dan
menyelesaikan masalah, kemahiran berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan
maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional dan kemahiran
kepimpinan. Kemahiran insaniah adalah kemahiran yang penting untuk dikuasai oleh para
pelajar pada hari ini dalam melangkah ke alam pekerjaan kelak. Pencapaian akademik sahaja
tidak menjamin bagi para graduan untuk diterima terus ke pasaran pekerjaan kerana
ekspektasi majikan dan cabaran pekerjaan yang semakin meningkat. Kebanyakan majikan
bukan sahaja menjadikan pencapaian akademik sebagai kriteria utama pemilihan, tetapi juga
meletakkan penguasaan kemahiran insaniah (soft skills) di kalangan graduan sebagai kriteria
pemilihan bakal pekerjanya.(Azim Md. Kasim, Hazrul Izuan Shahiri, & Mohd Sofiean
Bachok 2013; Mohd Hafeez Al-Amin Adul Wahab 2013). Melalui kemahiran insaniah
mampu melahirkan pelajar yang berdaya saing dan mempunyai kemahiran generik yang
mana pelajar akan mudah menyesuaikan diri di persekitaran yang baru dan bersifat serba
boleh.
KESIMPULAN

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan salah satu cabang yang telah diberi
penekanan di dalam PPPM 2013-2025 iaitu kemahiran berfikir bagi melahirkan generasi
yang kreatif dan inivatif agar negara dapat bersaing di peringkat dunia. Setiap lapisan
masyarakat seperti kerajaan, guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti bertanggungjawab untuk
memastikan agar KBAT dapat diaplikasikan dengan jayanya di dalam sistem pendidikan
negara Malaysia ini.

Perlaksanaan KBAT amatlah penting untuk diaplikasikan dalam kurikulum di


Malaysia khususnya. Perlaksanaan KBAT masih kurang dilaksanakan di peringkat
persekolahan kerana guru masih belum cukup bersedia untuk melaksanakan KBAT di dalam
proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Hal ini menurut Rosnani Hashim (2003) dalam
kajian dilakukan olehnya mendapati bahawa kursus dan latihan tidak diberikan secukupnya
kepada guru semasa latihan perguruan dan juga semasa perkhidmatan berkaitan kemahiran
berfikir aras tinggi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan dan pendedahan
yang diberikan kepada guru masih kurang dan perlu ditambah baiki lagi bagi melahirkan
generasi yang berkemahiran dalam berfikir pada aras tinggi.

Manakala kemahiran insaniah adalah kemahiran yang amat penting pada hari ini.
Kemahiran ini diterap dan digilap melalui aktiviti kokurikulum di sekolah menengah dan
universiti awam. Namun, hasil kajian mendapati terdapat banyak aktiviti kokurikulum yang
tidak mempunyai kesinambungan di antara kedua-dua institusi pengajian ini. Hal ini telah
merencatkan perkembangan kemahiran insaniah para pelajar kita pada hari ini. Pihak
berkenaan haruslah mengambil tindakan agar masalah ini boleh diatasi demi melahirkan anak
bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Rujukan

Alizah Lambri & Zamri Mahamod. 2015. Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu
Berpusatkan Pelajar Dalam Membentuk Kemahiran Insaniah. Prosiding Seminar
Pascasiswazah Pendidikan Bahasa Melayu & Pendidikan Kesusasteraan Melayu Kali
Keempat, hlm. 45-55.
Brookhart, S. M. 2010. How to Assess Higher-order Thinking Skills in Your Classroom.
Alexandria: ASCD.

Conklin, W. 2012.Strategies for Developing Higher-Order Thinking Skills. California: Shell


Education.

Haslina Md Yunus, Abdul Razaq Ahmad & Anisa Saleha. 2015. Kemahiran Insaniah Ke
Arah Pembentukan Potensi Pelajar. Proceeding 7th International Seminar On Regional
Education, hlm. 198-215.

Jamaludin Badusah, Aliza Alias, Fauzi Ramlan, & Shahril Arshad. 2013. Kajian Kesan
(Impact Study) Terhadap Modul Pelaksanaan Kokurikulum Di Institusi Pengajian Tinggi
Dalam Meningkatkan Kemahiran Insaniah. Prosiding Seminar Internasional Pendidikan
Serantau Ke-6, hlm 3507- 3514.

Kamarul Md Shah, Farah Mukhtar, Hasnah Abdullah, Manoriza Abdul Malek & Zairiniah
Mohd Shukur. 2017. Kemahiran Generik Dan Pencapaian Akademik Dalam Kalangan Guru
Pelatih Di Institut Pendidikan Guru Malaysia. Jurnal Pendidikan Malaysia 42(1): 69-75.

Noor Afiza Julaibeb &Siti Mistima Maat. 2017. Kemahiran Insaniah Pelajar Sekolah
Menengah Dalam Pembelajaran Matematik. Prosiding Pelbagai Budaya 2017, hlm.137-153.

Nur Dalila Abdul Aziz & Ruslin Amir.2017. Kemahiran Insaniah Peljar Sekolah Menengah
Teknik Dan Kolej Vokasional. Prosiding Konvensyen Kaunseling Kebangsaan Kali Ke 20,
hlm. 79-83.

Rosnani Hashim. 2003. Malaysian’s Teachers Attitude, Competency and Practices in the
Teaching Of Thinking. International Islamic University Malaysia. 11 (1) . 27 - 50.

Salleh Amat, Abu Yazid Abu Bakar & Mohd. Izwan Mahmud. 2016. Persepsi Pelajar
Terhadap Kemahiran Insaniah Dalam Mata Pelajaran Pendidikan Islam. Prosiding
Wacana Pendidikan Islam Siri Ke 11, hlm. 1123-1132.

Yahya Othman .2014. Peranan Guru Bahasa Melayu Dalam Merangsang Kemahiran Berfikir
Aras Tinggi (KBAT). Dewan Bahasa.14(25). 20-24.

Kementerian Pendidikan Malaysia Bahagian Pembangunan Kurikulum. 2014. Elemen KBAT


Dalam Kurikulum. Slaid. https://www.slideshare.net/morkie/elemen-kbat-dalam-kurikulum
[20 April 2018].
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. 2012. Kemahiran Berfikir Dalam Pendidikan. Utusan Online,
29 Disember http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121229/re_01/Kemahiran-
berfikirdalam-pendidikan [20 April 2018].

Anon. 2016. KBAT Keperluan Pendidikan Abad 21. Portal GPS Bestari.
http://www.gpsbestari.com/artikel/rencana/kbat-keperluan-pendidikan-abad-21-1.506623 [22
April 2018]

Sistem Guru Online. t.th. Apa Itu KBAT; Konsep Dan Teori KBAT..
https://www.sistemguruonline.my/2014/11/apa-itu-kbat-konsep-teori-kba.html [22 April
2018]

Anda mungkin juga menyukai