Anda di halaman 1dari 6

Penulisan Akademik

Mendepani era dunia modenisasi yang semakin rancak dengan ledakan


pembangunan dan pemodenan, seribu satu macam buah fikiran yang sarat dengan
reformasi dan transformasi telah dilontarkan untuk memastikan negara kita mampu berdiri
sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Berbicara soal
pembangunan, maka komponen penting yang perlu dibina kukuh sebagai asas dan dasar
terhadap kemajuan negara ialah pembangunan dari sudut lahiriah dan rohaniah. Seorang
tokoh sejarawan Islam, Syed Naquib al-Attas pernah menyatakan bahawa tamadun hakiki
yang perlu dikecapi oleh sesebuah negara tidak hanya menitikberatkan pembangunan dari
sudut lahiriah semata-mata sebaliknya, ia perlu bergerak sejajar dengan pembangunan
rohaniah kerana dua elemen ini merupakan ramuan yang saling melengkapi seperti isi
dengan kuku untuk mengangkat maruah negara di puncak jagatraya. Bertitik tolak daripada
perkara tersebut, guru merupakan jentera yang berperanan penting menjana minda anak
watan hari ini untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Guru sewajarnya faham
bahawa tugas mengajar dan mendidik adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru perlu
mengubah perspektif generasi hari ini yang sering berfikir mengikut hawa nafsu bukan
berwahanakan ilmu kerana setiap langkah yang diatur dan setiap kata yang ditutur perlu
memberikan satu kesedaran yang efektif kepada para pelajar agar kita mampu
memanifestasikan generasi yang diwarnai dengan pengetahuan bukan generasi yang
dibayangi dengan kejahilan. Oleh yang demikian, penulisan ini merupakan satu medan yang
akan mengupas topik berkenaan dengan dimensi-dimensi moral dan prinsip-prinsip asas
kemoralan dalam profesion perguruan sebagai seorang insan bermoral di samping
membincangkan strategi-strategi untuk menangani masalah salah laku guru di sekolah.
Insan bermoral merupakan individu yang kelakuannya boleh diterima oleh
masyarakat dengan cara mematuhi segala set peraturan yang telah ditetapkan dalam
budaya sesuatu masyarakat. Insan bermoral merupakan nadi dalam membentuk
masyarakat yang aman, bersatu padu, dan harmoni. Oleh itu, guru merupakan salah satu
kunci penting dalam merealisasikan perkara ini kerana guru memainkan peranan yang
penting dalam menjadi ikutan dan teladan kepada murid-murid. Justeru, guru itu sendiri
harus sentiasa memperbaiki kelakuan dan tingkah laku mereka kearah yang lebih baik agar
murid-murid dapat mencontohinya.
Seorang guru hendaklah berperibadi mulia. Ramah, baik hati, jujur dan banyak lagi
keperibadian positif lain haruslah dipamerkan oleh guru dihadapan murid-murid. Guru harus
menonjolkan keperibadian mulia melalui penampilan dan kelakuan mereka. Menurut teori
Bandura, sebahagian besar manusia belajar melalui pengamatan secara selektif dan
mengingat tingkah laku orang lain (Kardi, S., 1997). Oleh itu, kanak-kanak yang masih
dalam proses mengenal dunia adalah golongan yang mudah terbentuk mengikut
persekitaran dalam kehidupan seharian mereka. Lazimnya, mereka akan menghabiskan 1/3
masa mereka setiap hari disekolah. Oleh itu, Guru adalah pembimbing utama mereka dalam
pembentukan sahsiah dan peribadi mereka. Justeru, guru-guru ini memikul satu tugas dan
peranan penting kerana mereka mempengaruhi pembentukan peribadi murid-murid mereka
Profesion keguruan ini tidak hanya pada mengajar tetapi lebih daripada itu. Guru
berperanan dalam mendidik dan mengasuh anak-anak didik mereka dengan penuh etika.
Oleh itu, guru harus bersifat amanah dalam menjalankan tugas mereka. Seandainya
seorang jurutera bangunan yang tidak kompeten dalam menjalankan tugasnya pasti akan
mendatangkan kesan yang buruk pada masa akan datang bilamana bangunan mereka
roboh seterusnya mengorbankan nyawa. Kita boleh mengumpamakan seorang guru ini
sebagai jurutera manusia. Sekiranya guru itu tidak menjalankan tugas mereka dalam
mendidik murid-murid dengan baik, Maka, kesan buruknya juga akan merekahkan bahkan
membinasakan masa depan negara. Hal ini kerana generasi muda inilah yang bakal
mengemudi pucuk pimpinan negara kita. Oleh itu, untuk memastikan masa depan Negara
kita terpelihara, gurulah orangnya yang bertanggung jawab dalam merealisasikan matlamat
ini kerana tangan-tangan mereka inilah yang menguli dan mengacu keperibadian murid-
murid mereka.
Guru juga adalah pemimpin, Sebagai pemimpin, guru haruslah mempamerkan
kepimpinan yang mulia dalam melaksanakan tanggung jawab mereka. Seorang guru
bertanggung jawab dalam memimpin murid-murid kearah pembentukan peribadi yang
berpaksikan prinsip-prinsip kemoralan. Tugas ini juga adalah satu amanah khusus yang
diberikan kepada guru kerana guru mempunyai kelebihan dalam mempengaruhi murid-
murid mereka. Berhubung kait dengan yang diperkatakan sebelum ini, kepimpinan adalah
satu amanah yang dianugerahkan dan setiap manusia akan diminta pertanggungjawaban
mereka keatas setiap perkara yang mereka pimpini, Oleh itu, sebagai guru, amat penting
bagi mereka untuk berlaku adil dan telus dalam menjalankan tugas mereka kerana
pembangunan negara sedikit sebanyak bergantung pada titik peluh dan usaha mereka yang
mendidik semua golongan tidak kira daripada golongan bawahan sehinggalah yang
kedudukannya paling tinggi dalam kasta masyarakat.
Dalam melaksanakan setiap perkara, disiplin adalah satu tunggak utama untuk
memastikan semuanya berjalan dengan jayanya. Boleh dikatakan, disiplin merupakan tulang
belakang untuk setiap kerjaya. Begitulah juga keadaannya dalam profesion keguruan ini.
Seorang guru haruslah berdisiplin dalam melaksanakan tangggung jawab mendidik murid.
Komitmen penuh harus dicurahkan bagi memastikan kualiti yang terhasil juga adalah pada
tahap yang terbaik. Dalam mendidik murid-murid, guru harus berdisiplin agar murid-murid
yang diasuh turut menjadi insan yang berdisiplin. Kerana bak kat pepatah, bagamana
acuan, begitulah juga kuihnya. Maksudanya disini, guru sebagai pendidik harus menjadi baik
dahulu bagi memastikan anak didiknya turut menjadi baik. Tanpa disiplin yang kukuh,
seseorang itu tidak akan dapat menjalankan tugas atau berkhidmat dengan sepenuh daya
upaya mereka.
Oleh itu, seorang guru berperanan dalam meningkatkan minat murid-murid mereka
dalam menimba ilmu disamping membentuk sahsiah dan keperibadian mereka. Seorang
guru yang baik seharusnya mengetahui dan mengenal murid mereka serta keperluan
mereka. Keperluan ini bukan sahaja dari segi ilmiah, tetapi juga sahsiah. Untuk itu, guru
berperanan dalam memastikan mereka murid mereka seimbang dalam kesemua aspek
kehidupan. Sebagai contoh, seorang murid yang bijak haruslah berbudi pekerti dan
berakhlak mulia. Guru adalah orang yang bertanggung jawab untuk merealisasikan perkara
ini. Seorang guru harus tahu apa yang diperlukan oleh murid mereka untuk mencapai
keseimbangan dari segala aspek. Apabila guru dapat mengenal pasti kelemahan atau
kekurangan murid-murid, maka mudahlah guru tersebut untuk memilih pendekatan usaha
yang sesuai dalam mendidik murid tersebut. Seorang guru yang baik harus tahu mengajar
dengan berkesan dan memberi nasihat yang bermanfaat untuk kesejahteraan muridnya.
Disamping itu, guru turut memainkan tugas yang penting dalam mengesan
keupayaan dan kecenderungan murid-murid. Kebanyakan murid tidak berkeupayaan untuk
mengesan sendiri kemahiran mereka. Tetapi dengan bantuan guru, bakat yang tersimpan
dapat diterokai yang kemudian digilap untuk menjadi sesuatu yang bernilai dan bermanfaat.
Dorongan dan sokongan jitu daripada guru adalah penting untuk memastikan perkara ini
membuahkan hasil. Guru dapat memberi peluang dan kesempatan untuk murid mereka
menonjolkan dan mempamerkan bakat mereka kepada umum. Misalnya, guru di sekolah
boleh menganjurkan pertandingan-pertandingan yang pelbagai bagi mengesan keupayaan
istimewa murid-murid yang sebelum ini terpendam kerana tiada peluang untuk dipamerkan.
Selari dengan ini, sokongan moral daripada cikgu teramat penting bagi melahirkan
keyakinan dalam diri murid untuk mengembangkan potensi diri yang ada pada mereka.
Dorongan-dorongan dan nasihat daripada seorang guru adalah sudah mencukupi untuk
menyuluh potensi-potensi murid pada masa hadapan.
Namun tidak dapat disangkal, guru juga tidak dapat lari dari kesilapan dan
kesempurnaan itu tidak mungkin ada dalam diri seseorang. Justeru, kita sering mendengar
berita-berita sumbang yang telah mencemarkan kemurnian profesian keguruan ini. Acap kali
kedengaran berita-berita berkenaan kes salah laku guru di media-media massa.
Kebanyakan kes salah laku ini berkisarkan denda yang tidak rasional terhadap murid, cabul,
dan ketidakhadiran untuk bertugas.
Menurut sumber, Kementerian Pelajaran,Kementerian Pelajaran telah menerima 200
aduan berkaitan dengan kes salah laku guru di Negara ini sejak tahun 2007 sehingga kini.
Antara kes salah laku yang dilaporkan adalah tidak hadir bertugas (37%), cabul dan
gangguan seksual (17%), terbabit dalam rasuah dan disiasat Badan Pencegah Rasuah
(15%), penyalah-gunaan dadah (9.5%), kecurian (6%), jenayah syariah (7%) dan akhir
sekali, keterhutangan serius (1%).Peningkatan bilangan guru-guru di Malaysia yang terbabit
dalam kes salah laku sesungguhnya mendatangkan kesan yang amat buruk jika masalah ini
dibiarkan berterusan.
Masalah-masalah ini telah membawa kepada jatuhnya profesion keguruan. Kerjaya
yang dahulunya dipandang mulia bagi masyarakat kini telah dipandang serong dek
perbuatan beberapa orang guru yang tidak beretika dan kurang kesedaran moral. Syed
Ismai (2010) telah menyatakan bahawa pada zaman ini, guru bukan sahaja sebagai
pendidik tetapi pengganti ibu bapa, kaunselor, pembimbing dan rakan . Hal ini kerana guru
adalah orang yang menemani dan berada di dalam lingkungan murid-murid semasa mereka
berada di sekolah. Namun, dengan meningkatnya kadar kes salah laku guru yang
dilaporkan melalui media massa telah menimbulkan keraguan dalam benak ibu bapa.
Kepercayaan dan keyakinan terhadap guru semakin luntur dan pudar. Justeru, jatuhlah
martabat profesion ini yang satu ketika dahulu dimuliakan dalam kalangan masyarakat.
Kajian telah mendapati bahawa masalah-masalah salah laku ini berpunca daripada
kerendahan tahap kemoralan seorang guru itu sendiri yang tidak menghayati Etika Profesion
Keguruan sehingga terlanjur melakukan perkara yang tidak sewajarnya. Seorang guru yang
kurang kesedaran moral akan mudah untuk melakukan perkara-perkara yang tidak patut
dan tidak rasional. Selain itu, guru-guru ini juga dikatakan melakukan salah laku disebabkan
tidak dapat mengawal tekanan emosi ditambahkan pula oleh beban guru yang ketika ini
semakin bertambah-tambah. Kyriacou (2000) menjelaskan stres guru sebagai pengalaman
guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan,
kemarahan dan kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai seorang guru. Tekanan
emosi yang tidak dikawal dengan baik akhirnya menatijahkan guru itu bertindak terpesong
daripada etika seorang guru.
Memandangkan isu atau permasalahan salah laku guru di Negara ini semakin hari
semakin meruncing dan akan membawa kesan yang begitu serius kepada imej guru dan
sistem pendidikan di Negara kita, langkah-langkah yang sesuai serta berkesan haruslah
diambil supaya isu ini dapat diturunkan kadarnya, diperbaiki keadaannya dan pada akhirnya
dibasmi permasalahannya. Antara cadangan penyelesaiannya adalah dengan
meningkatkan sistem pemantauan (monitoring) di peringkat sekolah. Pihak pentadbiran
sekolah haruslah menyediakan satu sistem pantau yang mana akan dapat menangani dan
mengelakkan guru-guru daripada terjebak dalam apa-apa kes salah laku guru. Sekiranya
didapati mana-mana guru yang telah melanggar etika keguruan dan nilai-nilai moral, pihak
pentadbiran sekolah harus mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut peringkat-
peringkat sehinggalah masalah ini dapat diatasi.
Selain daripada itu, rakan sejawat guru juga dapat memainkan peranan yang penting
dalam usaha mengelakkan kes salah laku guru ini. Semua guru harus peka terhadap rakan-
rakan yang lain. Sebagai rakan sejawat, sesama guru hendaklah saling nasihat menasihati
dan memberi pandangan yang sewajarnya sekiranya terdapat mana-mana guru yang
terjebak dalam perkara ini. Dari segi moral, pendekatan kepedulian merupakan
kesanggupan seseorang untuk berkorban demi orang lain. Dalam konteks ini, kepedulian
dapat diterjemahkan sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain. Oleh yang
demikian, setiap guru haruslah memikul tanggungjawab sebagai seorang rakan sejawat
untuk mempedulikan masalah salah laku yang dihadapi orang guru sejawat di sekolah
Tidak lupa juga, setiap insan yang bergelar guru harus memainkan peranan dalam
menghilangkan prejudis masyarakat terhadapa profesion ini yang semakin hari, smakin
tercalar kewibawaannya. Seorang guru harus memberi masa untuk bermuhasabah dan
refleksi diri mengenai tingkah laku dan tahap kemoralan dalam dirinya sebagai seorang
guru. Dengan ini, sebarang kelemahan dan kekurangan pada diri dapat dikenal pasti dan
diperbaiki dari semasa ke semasa. Oleh itu, sikap kepekaan dan rendah diri terhadap
keperluan diri untuk menerima nasihat amat membantu dalam konteks ini.
Sebagai kesimpulan, guru sememangnya memainkan peranan penting dalam sistem
pendidikan Negara. Seorang ilmuan telah mengungkapkan bahawa Guru adalah pendidik
dan pembimbing kepada para pelajar yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu
pengetahun untuk kemajuan bangsa dan negara pada masa hadapan. Selain menyebar
ilmu, segala tingkah laku guru juga akan menjadi contoh teladan dan ikutan kepada murid.
Justeru, guru haruslah menerapkan nila-nilai moral bukan sahaja dalam pengajaran mereka
bahkan menzahirkannya dalam keperibadiaan mereka. Kerana Imam al-Gahazali pernah
mengatakan dalam kitab agungnya, Ihya Ulumuddian bahawa ...rosaklah pimpinan kerana
guru yang jahat. Justeru, seorang guru yang baik harus mempamerkan nilai yang baik demi
melahirkan generasi yang lebih baik.

Rujukan


01. Ee Ah Meng. 2002. Pendidikan Moral Untuk Bakal Guru, Selangor. Longman
Malaysia.
02. Eow Boon Hin. 2000. Pendidikan Moral. Selangor, Pearson Education Malaysian
Sdn Bhd.
03. Hoffman, Martin. Moral Development. In developmental Psychology, edited by M
Lamb and M Bornstein. Hillsdale, NJ.: Erlbaum, 1984.
04. Leming, James. Curricullar Effectiveness in Moral value Education: A Review of
Research. Journal of Moral Education 10 (1981): 147-164.
05. Tam Yeow Kwai: 1996. Pendidikan Moral I, Konsep dan Program Pendidikan Moral.
Kuala Lumpur, Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
06. Law, A. (2012, August 28). Salah Laku Guru Mencalar Kewibawaan Profesion
Perguruan. Retrieved April 4, 2014, from Ruangan Ilmiah:
http://annlma1011.blogspot.com/2012/08/salah-laku-guru-mencalar-kewibawaan.html

Anda mungkin juga menyukai