Anda di halaman 1dari 2

BERSATU TEGUH, BERCERAI ROBOH

“Bersatu teguh bercerai roboh” merupakan satu cogan kata yang dalam maknanya untuk diamalkan
oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup. Cogan kata ini menggesa seluruh
masyarakat bersatu dan berganding bahu dalam melakukan sesuatu pekerjaan atau menyelesaikan
sesuatu masalah supaya mereka dapat hidup dalam suasana yang sejahtera, utuh, dan harmoni.
Sebaliknya, jika kita bercerai-cerai, berpecah-belah, dan mementingkan diri sendiri, kita akan
mengalami huru-hara dan kehancuran.Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat
yang berbilang kaum, kita haruslah menghayati peribahasa ini dengan hidup bersatu padu tanpa
mengira bangsa, agama, dan adat resam. Untuk mencapai kemajuan nagara, masyarakat harus hidup
dalam suasana aman dan damai.
Semangat bersatu padu boleh disemai dan dipupuk dalam kalangan jiran tetangga melalui
semangat kejiranan, khususnya di kawasan bandar yang semangat kejiranannya dikatakan semakin
luntur. Kita yang tinggal di kawasan bandar sering berjauhan dengan keluarga dan kaum kerabat. Jadi,
jiranlah yang menjadi saudara mara kita yang terdekat. Melalui hubungan sedemikian, masalah-
masalah sosial seperti kecurian dan rompakan dapat dikurangkan. “Jiran sepakat membawa berkat”
juga dapat diperhatikan melalui suasana kemesraan, tolong-menolong, dan saling menjaga kebajikan
sesama mereka. Semangat gotong-royong, iaitu dengan melakukan kerja secara beramai-ramai juga
akan mempererat hubungan sosial antara anggota masyarakat dan seterusnya dapat melahirkan
perasaan kekitaan dan kesedaran kebangsaan.
Selain itu, dengan adanya aktiviti bergotong-royong, masa, tenaga, dan perbelanjaan individu,
masyarakat, dan negara dapat dijimatkan. Hal ini juga bermakna, sesuatu kerja berat akan menjadi
ringan apabila dilakukan bersama, bak kata pepatah “ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Dalam bidang pentadbiran, sama ada di sektor swasta atau di sektor kerajaan, semangat bersatu
dialam kalangan pekerjanya juga harus dipupuk. Sekiranya semangat ini diabaikan, maka sesebuah
organisasi itu tidak akan maju. Hal ini terjadi kerana tidak ada kerjasama antara semua pihak untuk
memajukan organisasi tersebut. Jika hanya pihak tertentu sahaja yang bekerja bertungkus lumus,
sedangkan pihak yang lain tidak memberi komitmen, maka kejayaan cemerlang tidak akan tercapai.
Oleh yang demikian, semangat seperti “aur dengan tebing” perlu dijadikan panduan demi
meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.
Di peringkat nasional, memang tidak dinafikan lagi tentang kepentingan semangat bersatu itu.
Misi dan visi yang dirancangkan oleh kerajaan untuk memajukan negara bukan setakat memerlukan
kerjasama semua rakyat, malahan kerajaan dan rakyat harus bersatu dan berganding bahu untuk
menjayakannya. Usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat tidak
akan menjadi realiti, sekiranya tidak ada tindak balas positif daripada rakyat keseluruhannya. Jika
segelintir sahaja yang menyahutnya, maka kempen-kempen dan program-program kerajaan seperti
inflasi sifar, cintai alam sekitar, budaya membaca, dan lain-lain akan gagal. Tambahan pula, negara
sekarang sedang mengalami masalah ekonomi. Oleh sebab itu rakyat harus bersama-sama membantu
memulihkan keadaan supaya tidak bertambah teruk. Rakyat dan kerajaan tidak boleh mementingkan
diri sendiri kerana masalah yang melanda negara dirasai bersama-sama.
Oleh hal yang demikian, dapatlah kita katakan bahawa pepatah “bersatu teguh bercerai
roboh” amat penting untuk dijadikan teras dalam mencapai kejayaan. Jika masyarakat berpecah-belah
dan bercerai-berai, sudah pasti berbagai-bagai masalah negara akan timbul seperti kes jenayah,
pengangguran, kemiskinan, rusuhan kaum, dan lain-lain. Sesungguhnya keadaan sosial yang tidak
stabil akan membantut usaha kerajaan untuk memajukan negara. Oleh itu, marilah kita beramal dan
berpegang teguh dengan peribahasa “bersatu teguh bercerai roboh” demi kebahagiaan kita semua.
MENYEMAI SIKAP NASIONALISME DAN CINTA AKAN NEGARA

Untuk pengetahuan umum, sikap nasionalisme dan tahap cinta akan negara dalam
sesebuah negara merupakan suatu unsur yang amat mempengaruhi pembangunan negara.
Oleh sedemikian, sikap yang positif haruslah ditanam pada setiap individu supaya dapat
membuat sesuatu dengan berdasarkan cinta akan negara.
Pertama, pengembangan negara yang pesat seperti Amerika Syarikat dipengaruhi oleh
rakyat-rakyat yang sudi berkorban untuk negara. Sikap ini dianggap sebagai sikap patriotisme
yang tidak boleh diabaikan. Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah sudi mengorbankan masa
lapang kita untuk mereka atau mencipta sesuatu benda yang berkualiti atau mempunyai
fungsi yang luar biasa.
Di samping itu, kita juga perlu mengikuti sikap nasionalisme dan semangat cinta akan
negara yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh sejarah seperti Hang Tuah, Tunku Abdul Rahman
dan lain-lain lagi. Tokoh- tokoh tersebut berani menentangkan segala kuasa luar yang ingin
menguasai tanah air kita pada zaman dahulu. Jika setiap rakyat dapat berbuat sedemikian,
keamanan dan kesentosaan negara akan terjamin selama-lamanya.
Sikap nasionalisme dan semangat cinta akan negara juga amat penting terhadap
kestabilan ekonomi sesebuah Negara. Sebagai contoh, rakyat Jepun amat percaya akan bahan
buatan negara, ini dapat menjamin ekonomi yang begitu stabil walaupun luas permukaan
tanah Jepun amat kecil. Dengan menyokong dan hanya membeli bahan buatan Malaysia, di
samping mengurangkan penggunaan barang import, ia dapat meningkatkan nilai wang negara
dapat menjamin kedudukan negara kita di seluruh dunia.
Menjaga kebersihan dan mengindahkan persekitaran juga merupakan sikap
nasionalisme dan semangat cinta akan negara. Ini kerana keadaan yang indah dapat menarik
hati pelancong supaya membelanjakan wang negara mereka di Malaysia. Rakyat Malaysia
patutlah cinta akan segala kita yang dapat di negara kita dan menjadikannya sesuatu tempat
perlancongan yang terkenal. Kegiatan lain seperti persiaran tentang keistimewaan negara kita
melalui laman sesawang seperti “facebook” mencerminkan bahawa kita amat menghargai
apa-apa yang berada di tanah air kita.
Bahasa jiwa bangsa, musnah bahasa punahlah bangsa, orang yang tidak cinta akan
bahasa negara sendiri dianggap sebagai orang yang tidak mempunyai sikap nasionalisme dan
semangat cinta akan negara. Rakyat patutlah memupuk minat setiap generasi dalam
mempelajari bahasa negara kita. Selain itu, mendidik kanak-kanak hormat kepada lagu
Negaraku dan Jalur Gemilang supaya mereka cinta akan negara dan sanggup membuat
sesuatu yang membawa manfaat kepada negara kita.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri.
Jangan asyik berharap berhijrah ke negara lain, bersama-samalah kita berusaha sedaya upaya
untuk memajukan negara kita, cintalah akan negara kita, kita akan mendapati bahawa
Malaysia sahajalah negara yang kita paling sukai.

Anda mungkin juga menyukai