Anda di halaman 1dari 24

Nyatakan kepentingan-kepentingan mewujudkan perasaan kekeluargaan dalam

kehidupan masyarakat dalam era globalisasi ini.


Dewasa ini, hubungan kekeluargaan terutama di kawasan bandar tidak erat berbanding
keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak
rapat dengan anak-anak mereka kerana jarang meluangkan masa bersama mereka.
Kehidupan yang serba moden turut merenggangkan lagi hubungan kekeluargaan. Oleh
itu,amat penting bagi masyarakat kita didedahkan dengan manfaat-manfaat
mewujudkan perasaan kekeluargaan.
Kita dapat memastikan gejala sosial tidak mempengaruhi masyarakat terutamanya
dalam kalangan remaja apabila eratnya ikatan kekeluargaan dalam hidup mereka.
Remaja yang kurang perasaan kekeluargaan dan kasih sayang akan mudah terjebak
dengan budaya kuning seperti merokok dan melepak di pusat beli-belah kerana mereka
tidak mempunyai panduan hidup yang jelas. Lantaran itu,mereka memberontak dengan
melakukan perkara yang tidak sihat untuk mendapat perhatian orang ramai. Selaras
dengan itu,ibu bapa perlu memupuk perasaan kekeluargaan terhadap anak-anak
mereka sejak kecil lagi.
Selain itu, kadar jenayah di negara kita dapat dikurangkan dengan drastik. Kebanyakan
kajian membuktikan pencetus utama penjenayah melakukan kesalahan undang-undang
seperti membunuh dan merogol adalah disebabkan masalah kekeluargaan. Mereka
hilang pertimbangan sehingga melakukan jenayah kerana tertekan dan cuba mencari
jalan penyelasaian bagi masalah mereka. Ketiadaan keluarga untuk menjadi tempat
mereka meluahkan masalah menjurus isu ini berlaku. Sehubungan dengan itu, pelbagai
program bercorak kekeluargaan seperti Hari Bersama Keluarga perlu dilaksanakan oleh
kerajaan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
Secara tidak langsung, negara kita akan sentiasa dalam keadaan aman dan damai
apabila masalah gejala sosial dan kadar jenayah berkurangan. Negara yang harmoni
dan tiada masalah dalaman mahupun luaran mampu melahirkan masyarakat yang
tinggi nilai kekeluargaan. Hal ini demikian kerana,mereka bebas melakukan pelbagai
aktiviti bersama keluarga tanpa memikirkan masalah-masalah yang menimpa negara
mereka. Oleh sebab itu,semua pihak perlu bekerjasama menjaga keamanan negara.
Prokditiviti rakyat turut bertambah kerana mereka berasa gembira melihat keluarga
yang bahagia dan keadaan negara aman yang makmur.Rakyat negara yang harmoni
pasti berwawasan dan mempunyai modal insan yang tinggi. Malahan, mereka dapat
menjaga kebajikan keluarga seterusnya meningkatkan taraf hidup keluarga,bangsa dan
negara mereka. Pertumbuhan ekonomi negara turut berkembang dengan pesat. Oleh
itu, nilai positif ini perlu diwujudkan supaya kebahagiaan sesebuah keluarga dapat
dikekalkan.
Malah, imej negara pada mata masyarakat dunia terus bersinar. Keluarga yang bahagia
menghasilkan semua impak yang positif. Masyarakat luar akan melihat kejayaan ini dan
cuba menyebarkan kejayaan itu di negara mereka. Tindakan ini akan menyebabkan

semua masyarakat luar akan mengenali rahsia kejayaan Malaysia ialah kekuatan
sistem keluarga mereka. Maka, rakyat negara ini boleh berbangga kerana mereka
dipandang tinggi oleh masyarakat asing.
Kesimpulannya,terdapat banyak faedah yang kita mampu peroleh apabila
mempraktikkan nilai kekeluargaan dalam kehidupan seharian. Situasi ini dapat
memastikan kehidupan yang kita jalani pada masa hadapan lebih berkualiti dan
bermakna kerana kita mempunyai keluarga yang menjadi penyebab seseorang itu
meneruskan kehidupannya.Justeru,masyarakat tidak boleh bersikap acuh tak acuh
dengan nilai-nilai murni ini agar mereka dapat melahirkan sebuah keluarga yang
sempurna.
Karangan 12
Semangat kebangsaan dalam kalangan remaja semakin menipis. Keadaan ini sering
dikaitkan dengan perubahan kehidupan masyarakat kita.
Nyatakan usaha-usaha untuk memupuk dan kepentingan memiliki semangat ini kepada
remaja.
Semangat kebangsaan merujuk sikap cinta akan negara atau nasionalisme yang
mendalam terhadap negara yang tercinta. Sememangnya semangat nasionalisme ini
semakin berkurangan terutama dalam kalangan generasi muda kita lantaran corak
kehidupan yang semakin berubah selari dengan perubahan zaman. Maka, banyak
tindakan yang mampu dilaksanakan untuk memastikan sikap ini terus wujud kerana
sikap ini memiliki kesan yang positif.
Tindakan yang pertama ialah subjek sejarah yang diajar di sekolah dilaksanakan secara
meluas. Pelajaran sejarah penting ditekankan kerana subjek ini mampu memberi rasa
cinta yang meluas dalam diri remaja. Pemahaman tentang sejarah ini menyedarkan
remaja mengenai kepentingan memiliki sikap menyintai negara yang mendalam. Jadi,
langkah menjadikan subjek sejarah ini mampu menyuntik sikap nasionalisme dalam diri
masyarakat terutamanya remaja.
Selain itu, kerajaan boleh menonjolkan pejuang-pejuang negara yang sanggup
berkorban demi kedaulatan negara ketika hari Kebangsaan. Penonjolan ini boleh
dilakukan melalui penggunaan media massa dengan menyiarkan maklumat diri
pejuang-pejuang tersebut beserta kepentingan tindakan mereka dalam menentukan
hala tuju kemerdekaan negara pada masa lampau. Langkah ini mampu meningkatkan
pemahaman remaja tentang sebab musabab yang membawa kepada pejuang negara
itu melakukan sesuatu tindakan yang dipelajari dalam subjek sejarah. Ringkasnya,
langkah mempamerkan informasi tentang pejuang-pejuang negara ini mampu
meningkatkan semangat remaja untuk meniru semangat yang telah dipamerkan oleh
pejuang-pejuang bangsa itu sebelum ini.
Malah, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan boleh menjalankan satu pertandingan

yang melibatkan remaja seperti deklamasi sajak, menulis esei, dan pementasan drama
yang bertemakan semangat kebangsaan. Aktiviti ini dapat memastikan remaja
menyelami dan memahami peristiwa yang dialami oleh pejuang-pejuang negara secara
lebih mendalam lagi. Pertandingan yang berunsur sastera ini dapat mendekatkan
remaja dengan pejuang-pejuang negara yang sudah lama meninggalkan negara ini.
Maka, aktiviti berunsur pertandingan sastera ini memberi satu dimensi baru kepada
remaja untuk mencintai negara mereka.
Kerajaan boleh menonjolkan kejayaan negara dalam semua aspek kehidupan
masyarakat. Kejayaan ini mungkin diperoleh melalui kejayaan melangsungkan
kejohanan sukan, memenangi sesuatu anugerah, dan pencapaian luar biasa rakyat kita
dalam sesuatu perkara. Kejayaan rakyat kita mendaki Gunung Everest dan penghasilan
kereta nasional mampu meningkatkan sikap cinta akan negara ini selain kemampuan
negara dalam menganjurkan Sukan Komanwel suatu masa dahulu. Perkara ini penting
ditekankan supaya remaja mempunyai sesuatu perkara yang boleh mereka banggakan
dan kaitkan dengan negara apabila berbicara tentang negara sendiri. Sesungguhnya,
semua kejayaan negara memberikan satu motivasi yang tinggi kepada remaja untuk
turut mencapai kejayaan yang serupa atau menghasilkan kejayaan yang lebih baik lagi.

Sebenarnya, kepentingan utama memiliki semangat cinta akan negara ialah rakyat di
negara ini mampu mengukuhkan perpaduan antara mereka. Semua pihak menyedari
bahawa perpaduanlah yang menjamin kejayaan mereka di Malaysia ini. Semua
memahami bahawa sikap mementingkan negara menyelamatkan negara daripada
kancah pergaduhan antara kaum. Jelaslah, semangat cinta akan negara membentuk
masyarakat kita menghargai perpaduan dan berfikiran matang.

Kesimpulannya, pemupukan semangat kebangsaan memang menjadi perkara penting


dalam pembangunan negara sejak dahulu. Pemupukan ini penting supaya remaja tidak
lupa akan perjuangan yang sudah dilakukan oleh generasi terdahulu dan membiarkan
pengorbanan mereka menjadi sia-sia belaka. Mungkin remaja sekarang harus
merenung dan bertanya kepada diri sendiri, apa yang mampu mereka sumbangkan
kepada negara dan bukannya apa yang mampu diberikan oleh negara kepada
mereka.
Karangan 13
Penduduk desa telah dinasihatkan supaya membuat barangan kraf tangan untuk dijual
kepada masyarakat. Namun, masih ada pihak yang mempertikaikan usaha mereka ini.
Jelaskan sebab-sebab mereka berpendapat usaha penduduk desa ini sia-sia.
Penduduk desa sudah mula memberikan perhatian terhadap penghasilan kraf tangan

terutama untuk dijual. Sikap positif mereka ini telah didorong oleh tindakan kerajaan
yang giat memberi galakan supaya mereka menjalankan aktiviti kraf tangan ini untuk
menambah pendapatan mereka. Cuma yang menyedihkan ialah masih ada suara-suara
sumbang yang menganggap tindakan penduduk desa ini tidak akan berjaya. Jadi,
apakah pencetus yang menyebabkan ada segelintir pihak yang memandang rendah
usaha penduduk desa ini?
Anggapan yang paling mudah ialah golongan ini memandang rendah mutu kerja
penduduk desa. Pada firasat mereka, kualiti yang diperlihatkan selama ini masih di
takuk lama yakni tiada perubahan drastik seperti reka bentuk dan penggunaan warna
produk. Mereka menganggap aktiviti sampingan penduduk desa yang memang tidak
mengutamakan kualiti. Pada mata golongan ini, kualiti barangan luar negara sahaja
yang lebih baik walaupun anggapan mereka itu jauh daripada kebenarannya.
Faktor yang kedua sudah pasti aspek pemasaran kraf tangan penduduk desa itu
sendiri. Pihak yang memandang rendah aktiviti ini mengutarakan ketiadaan usahausaha konkrit untuk memasarkan hasil kraf tangan ini terutama di pasaran
antarabangsa. Ketiadaan usaha ini atau lebih tepat lagi agensi khas untuk memasarkan
kraf tangan telah membantutkan pasaran kraf tangan negara. Mereka mahu kerajaan
menubuhkan sebuah agensi khas untuk tujuan pemasaran sahaja.
Selain itu, kekurangan pelancong asing di negara ini turut menjadi alasan golongan
yang menentang usaha membuat kraf tangan ini. Jumlah pelancong asing yang kecil
dan kekurangan minat dalam kalangan pelancong tempatan untuk membeli hasil kraf
tangan pada mereka telah menyebabkan usaha ini tidak perlu diteruskan atau diberi
galakan. Mereka berpendapat jumlah pelancong asing yang lebih ramai harus
disediakan sebelum usaha kraf tangan ini diberi galakan yang menyeluruh.
Alasan yang agak mengelirukan ialah ketiadaan sokongan kerajaan dalam usaha
meningkatkan industri kraf tangan negara. Golongan ini berpendapat kerajaan tidak
memberi galakan yang secukupnya seperti ketiadaan pelepasan cukai keuntungan atau
memberi bantuan teknikal dalam usaha menembusi pasaran luar negara. Mungkin
golongan ini terlalu bergantung kepada kerajaan tanpa berusaha sendiri untuk mencari
jalan atau rakan niaga di luar negara dalam usaha mengembangkan pasaran kraf
tangan negara.
Kesimpulannya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti KEMAS, Kementerian
Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan harus memandang serius tanggapan negatif
segelintir masyarakat kita ini. Agensi kerajaan itu haruslah proaktif dalam membuat
perancangan untuk menangani pandangan negatif mereka ini. Mungkin agensi kerajaan
ini harus menggunakan pendekatan yang baru atau berbeza dalam usaha untuk
meyakinkan masyarakat bahawa kraf tangan negara memang berpotensi untuk
dikembangkan secara komersial.
Dicatat oleh CIKGU RAZAK di Sabtu, Disember 12, 2009
Reaksi:

Tiada ulasan:
Label: KARANGAN SPM
karangan contoh
Karangan 1
Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama
golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja
melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga.
Jadi,apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara
mengatasinya.
Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke
negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama
golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap
menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara
diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah puncapunca yang mendorong isu ini berlaku
Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang merudum.
Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan
membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar
untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang terdekat akibat tiadanya aktiviti ekonomi di
negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi negara
tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa kejatuhan ekonomi
pada akhir dekad 90-an.
Selain itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai
kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di sekolah
mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangan kemahiran berfikir,
menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan mempunyai kemahiran
berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih pekerja yang mereka
beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan bahasa asing
dan pengetahuan komputer.
Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia yang
hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep tunggu
dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah terlewat.
Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan maju tanpa
sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima bantuan kerajaan seperti
pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka pekerjaan
selepas tamat belajar.
Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah menghantar
rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke
Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu
sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba

menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak
semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KL-Singpura dijangka
mampu meninggikan pertumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan pelbagai
cukai.
Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan
belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan
institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu
menyediakan satu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing
dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan
negara sasaran utama pelabur asing kelak.
Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada
golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan
pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecilkecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana
mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh
terdekat ini. Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib
mereka sebagai ahli perniagaan.
Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat
harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan
sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran
sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka. Hendak seribu
daya, tak hendak seribu dalih.
Karangan 2
Negara kita mempunyai pelbagai kaum yang mengamalkan budaya atau adat resam
mereka yang tersendiri. Budaya atau adat resam ini telah menjadi satu identiti kepada
kaum tersebut.
Pada pendapat anda, apakah kepentingan budaya atau adat resam ini kepada
masyarakat dan negara kita.
Salah satu kelebihan negara kita ialah masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita
mempunyai kaum Melayu, Cina, India, dan berdozen-dozen kaum minoriti yang lain
terutama di Sabah serta Sarawak. Situasi ini menyebabkan negara kita mempunyai
pelbagai adat atau budaya yang menarik untuk diperhatikan. Malah, adat atau budaya
yang unik ini mempunyai banyak kepentingan jika dihargai dengan sewajarnya.
Sebenarnya, budaya yang unik ini memang wajar dihargai kerana budaya inilah yang
menonjolkan sesuatu kaum itu. Tanpa budaya ini sesuatu kaum itu akan kehilangan
identitinya buat selama-lama. Budaya yang diamalkan itu seperti memakai pakaian
tradisional, makan menggunakan tangan, pergi ke kubur ketika hari raya dan

sebagainya turut menimbulkan rasa bangga kepada pengamal budaya kaum itu.
Individu yang terbabit akan berasa mereka telah berjaya mengekalkan budaya turuntemurun nenek moyang mereka selama ini.
Selain itu, tindakan individu tertentu menghargai budaya ini menjadi satu cara yang
paling mudah untuk mempamerkan rasa mengormati generasi tua daripada generasi
muda. Budaya memakai pakaian tradisional menjadi satu kaedah yang mudah untuk
diamalkan oleh remaja dalam usaha mereka mengekalkan budaya tradisional ini.
Remaja bukan sahaja mamu membuktikan rasa hormat mereka tetapi turut menerima
penghargaan generasi tua lantaran sanggup mengekalkan budaya.
Salah satu kepentingan mengekalkan budaya ialah budaya mempunyai nilai-nilai murni
dan sikap menghormati. Kedua-dua sikap ini sudah hampir terkikis daripada diri remaja
negara ini. Remaja sudah mula memanggil ibu bapa mereka dengan nada yang kasar,
lari dari rumah, dan suka memarahi orang tua. Jadi, pengekalan dan pengamalan
budaya ini sudah pasti akan menonjolkan rasa hormat dan sikap atau jati diri remaja
yang murni. Remaja akan menjadi individu yang terbilang.
Malah, sikap menghargai budaya memastikan sesuatu budaya kaum itu tidak akan
luput ditelan zaman. Lihat sahaja budaya bekerjasama menjalankan kenduri sudah
mula hilang sedikit demi sedikit lantaran masyarakat kita lebih suka menggunakan
perkhidmatan katering. Atas alasan mudah, kita sudah melupakan budaya bekerjasama
ketika mengadakan kenduri yang mempunyai banyak impak positif tetapi penat itu.
Usaha mengekalkan budaya kaum sudah pasti akan mengembalikan nostalgia majlis
kenduri yang dijalankan secara meriah.
Tambahan pula, pengamalan budaya ini memastikan peraturan dan saling bergantung
anggota masyarakat diamalkan. Untuk mencapai perpaduan, semua kaum harus
mengekalkan budayanya kerana melalui budayalah kita bersatu. Sikap hormat antara
satu sama lain menyebabkan kita tidak akan cuba menyakiti kaum lain atas perkaraperkara yang remeh. Sebaliknya, penghargaan terhadap budaya menguatkan
semangat perpaduan kita.
Kesimpulannya, budaya atau adat sesuatu kaum itu merupakan satu khazanah yang
arus dipertahankan oleh rakyat negara ini. Usahlah kita terlalu memandang ke arah
kemodenan sehingga menganggap budaya sendiri sudah lapuk atau tidak sesuai lagi.
Kita harus melihat budaya sebagai satu alat yang mampu membentuk kita ke arah
kemodenan yang lebih baik lagi iaitu kemodenan rohaniah dan kebendaan. Mungkin
selepas menguasai budaya barulah kita boleh menganggap diri kita sudah mencapai
kemodenan hidup.
Karangan 3
Negara kita pernah merancang untuk mempunyai jumlah penduduk mencecah 70 juta.
Dasar ini dijangka mampu membawa banyak kesan positif dan negatif.

Jadi, huraian kedua-dua kesan yang bakal timbul jika penduduk negara mencecah 70
juta orang.
Malaysia memang mempunyai impian untuk memiliki penduduk yng ramai, iaitu 70 juta
menjelang 2020. Mungkin ada pihak yang ketawa besar mendengar impian tersebut.
Namun, kalau kita kaji kebanyakan negara jiran kita selain Singapura mempunyai
jumlah penduduk yang jauh lebih banyak daripada Malaysia. Jadi, impian itu memang
ada asasnya cuma dasar ini mempunyai banyak impak positif dan negatif terhadap
pembangunan negara.
Alasan yang paling ketara ialah negara kita masih mempunyai kawasan yang luas
berbanding dengan negara jiran yang lain. Negara kita hanya mempunyai kepadatan
penduduk di kawasan berhampiran bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu,
Ipoh, dan Seremban. Keadaan ini menyebabkan pengurusan sumber manusia dan
alam sekitar tidak berjalan dengan baik. Keperluan lebih ditumpukan terhadap
penduduk di kawasan bandar sehingga menyebabkan penduduk di kawasan desa
terpinggir. Jadi, jumlah penduduk yang ramai memastikan pembangunan negara lebih
seimbang kerana jumlah penduduk akan berkembang ke kawasan pedalaman.
Selain itu, penduduk yang ramai memastikan keperluan sumber manusia akan mampu
dipenuhi. Setiap tahun negara kita memerlukan tenaga muda untuk meneruskan
pembangunan negara. Melalui pertambahan penduduk yang pesat keseimbangan
generasi muda dan tua mampu dikawal dengan baik. Kita tidak akan kekurangan
sumber manusia kerana mempunyai lapisan penduduk muda yang banyak. Situasi ini
turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang stabil.
Malah, kalau kita kaji, negara-negara kuasa ekonomi dunia mempunyai penduduk yang
ramai. Jumlah penduduk yang ramai menyebabkan negara tersebut dapat memiliki
pasaran dalaman yang luas untuk keperluan ekonomi mereka. Jepun, Amerika Syarikat,
dan China mempunyai penduduk yang ramai sehingga syarikat tempatan mereka tidak
memerlukan pasaran luar untuk produk mereka. Jadi, penduduk yang ramai baik untuk
perkembangan syarikat tempatan.
Namun, pertambahan penduduk menyebabkan kos perbelanjaan ngara akan
bertambah. Kerajaan sudah pasti terpaksa menyediakan lebih banyak kemudahan
awam seperti hospital, sekolah, dan sebagainya untuk menampung penduduk yang
bertambah itu. Keadaan ini menyebabkan jumlah kewangan kerajaan akan terjejas
sedikit demi sedikit. Kegagalan untuk memastikan kewujudan kemudahan awam akan
membawa bencana kepada rakyat negara ini.
Malahan, keadaan penduduk yang ramai menyebabkan berlakunya persaingan dalam
semua aspek terutama pekerjaan. Keadaan ini jika tidak dikawal akan menyebabkan
kadar pengangguran bertambah secara mendadak. Pertambahan kadar pengangguran
akan membawa munculnya pelbagai masalah sosial yang lain seperti peningkatan kes
jenayah dan penagihan dadah. Semua ini akan membawa kesan negatif kepada negara
dan masyarakat secara keseluruhannya.

Kesimpulannya, pertambahan penduduk negara harus diselia dengan rapi. Kita tidak
mahu jumlah penduduk yang ramai tetapi taraf hidup atau perbezaan taraf hidup antara
masyarakat begitu jauh seperti yang berlaku di India dan Indonesia. Dalam memastikan
jumlah rakyat bertambah, kerajaan harus memastikan taraf kesihatan, pendidikan, dan
ekonomi terus berkembang sejajar dengan jumlah penduduk.

Karangan 4
Badan kebajikan atau sukarela merupakan satu usaha murni yang dijalankan oleh
segelintir masyarakat. Mereka sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan
bantuan. Cuma badan kebajikan ini masih mengalami pelbagai masalah yang
membantutkan usaha kebajikan mereka.
Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh badan kebajikan.
Badan kebajikan atau sukarela merupakan satu badan yang cuba membantu
masyarakat yang memerlukan bantuan. Negara kita masih mempunyai banyak pihak
yang memerlukan pertolongan seperti golongan cacat, ibu tunggal, anak yatim, orang
tua, dan golongan daif. Kewujudan badan kebajikan seolah-olah memberi sedikit
cahaya kepada golongan terpinggir ini untuk meneruskan kehidupan mereka yang
sukar itu. Namun, badan kebajikan sendiri mempunyai pelbagai masalah yang mampu
membantutkan usaha murni mereka itu.
Masalah yang paling serius mereka hadapi ialah masyarakat negara ini tidak suka
membabitkan diri mereka dalam sebarang aktiviti kebajikan. Rakyat negara ini lebih
suka melihat atau menganggap tugas itu sudah dilakukan oleh orang lain. Mereka tidak
mahu terlibat turut dipengaruhi oleh faktor masa dan kewangan yang tidak mampu
diberikan oleh badan kebajikan. Akibatnya, aktiviti badan kebajikan ini dijalankan oleh
segelintir masyarakat yang sudah berusia dan kekurangan tangan untuk menjalankan
aktiviti mereka.
Ketiadaan sokongan masyarakat untuk melibatkan diri ini boleh dikaitkan dengan imej
badan kebajikan yang dipandang rendah. Ada pihak menganggap badan kebajikan
hanya untuk mereka yang tidak mempunyai impian besar atau tanggungan keluarga.
Malah, ada badan kebajikan yang dianggap oleh masyarakat sebagai mengambil
kesempatan dengan memperoleh wang tetapi tidak menyalurkannya kepada mereka
yang memerlukan. Jadi, badan kebajikan dianggap kerjaya yang tidak berstatus tinggi
pada mata masyarakat kita.
Malah, badan kebajikan agar sukar untuk memperoleh sumber kewangan pada masa
kini. Masalah ini timbul ekoran berlakunya pelbagai dakwaan seperti badan kebajikan
menggunakan wang itu untuk kepentingan pekerjanya dan tidak digunakan untuk

membantu masyarakat yang memerlukan. Memang kes seperti ini pernah berlaku tetapi
untuk menuding jari ke arah kepada semua badan kebajikan merupakan satu langkah
yang kurang bijak. Masyarakat seharusnya memberi peluang supaya badan kebajikan
dapat menjalankan tugas mereka.
Tambahan pula, badan kebajikan terpaksa mematuhi pelbagai saluran dan kebenaran
sebelum mampu menjalankan aktiviti mereka. Lesen badan kebajikan harus
diperbaharui dan aktiviti mereka seperti derma perlu mendapatkan kebenaran pihak
berkuasa. Memang peraturan ini diwujudkan untuk mengawal penyelewengan berlaku
tetapi pihak berkuasa harus memudahkan urusan badan kebajikan mereka. Malah,
pihak berkuasa seharunya menyediakan bangunan khas untuk badan kebajikan
menjalankan aktiviti mereka tanp perlu membayar apa-apa. Namun, semua ini tidak
diperoleh oleh badan kebajikan.
Kesimpulannya, badan kebajikan di negara ini memang dalam situasi yang bahaya.
Pertubuhan ini tidak lagi mempunyai apa-apa selain meminta belas kasihan masyarakat
untuk turut membantu. Masyarakat harus menyalurkan bantuan berupa kewangan atau
tenaga untuk memastikan usaha murni mereka ini akan berterusan kerana tanpa badan
kebajikan nasib golongan terpinggir ini akan menjadi lebih menyayatkan.
Karangan 5
Iklan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden. Kerap kali
kita mendengar komen mengenai pengaruh iklan dalam masyarakat kita.
Pada pandangan anda, apakah pengaruh-pengaruh positif dan negatif yang dibawa
oleh iklan terhadap masyarakat.
Sememangnya iklan sudah menjadi sebahagian lumrah kehidupan manusia sejagat
pada era globalisasi ini. Iklan jelas terpampang di mana-mana seperti akhbar, poster,
papan iklan gergasi, dan radio. Situasi ini seolah-olah membuktikan betapa kuatnya
pengaruh iklan dalam kehidupan kita. Jadi, iklan memang membawa pengaruhpengaruh positif dan negatif terhadap kehidupan insan di dunia ini.
Pengaruh positif iklan ialah iklan menyebabkan pengguna mempunyai pilihan untuk
membuat pembeliannya. Kewujudan iklan menyebabkan pengguna mengetahui betapa
banyaknya produk yang sama tetapi berlainan jenama dihasilkan pada zaman ini.
Pengguna akan menggunakan semua maklumat yang ada di dalam iklan untuk
membuat pilihan terbaik mereka. Iklan memastikan pengguna membeli produk yang
terbaik mengikut keperluan mereka.
Selain itu, iklan menyebabkan wujudnya persaingan yang sihat antara pengeluar
sesuatu produk itu. Kalau kita kaji, pengeluar sesuatu produk itu akan cuba
menghasilkan iklan yang terbaik mengikut kemampuan mereka untuk menarik minat
pembeli. Keadaan ini menyebabkan semua pihak cuba menonjolkan kelebihan produk
mereka berbanding produk pesaing. Jelaslah, iklan menyebabkan pengeluar

memastikan produk mereka menepati mutu seperti yang tersiar di dalam iklan mereka
itu.
Namun begitu, iklan turut memiliki wajah negatifnya. Iklan sering mempergunakan
wanita terutama wanita seksi untuk melariskan jualan produk mereka. Malah, ada
produk yang tidak mempunyai kaitan dengan wanita tetapi menggunakan wajah wanita
seksi untuk iklan tersebut. Penggunaan model lelaki yang tampan dan sasa turut
diekploitasikan oleh iklan. Keadaan ini seolah-olah memberi makna palsu seperti
penggunaan produk ini akan menghasilkan wajah sebegitu atau penggunaan produk ini
menyebabkan wanita sebegini akan tertarik kepada seseorang. Bayangkan
pengaruhnya kepada remaja kita?
Tambahan pula, kewujudan iklan menyebabkan harga barangan akan meningkat. Kos
untuk menghasilkan sesuatu iklan amat tinggi kerana penggunaan model, teknologi dan
krew penerbitan yang berpengalaman. Malah, iklan yang disiarkan di media massa
terpaksa membayar kos masa penyiaran yang terlalu mahal. Keadaan ini menyebabkan
pengeluar akan meninggikan harga produk mereka untuk memastikan iklan dapat
dihasilkan.
Iklan turut menghasilkan satu kumpulan pengguna yang hanya mementingkan jenama.
Pegguna jenis ini sudah taksub dengan iklan jenama tertentu dan hanya membeli atau
menggunakan produk jenama tersebut tanpa memikirkan baik buruknya kepada diri
mereka. Iklan telah menghasilkan satu budaya pengguna yang mementingkan status
diri mereka pada pandangan masyarakat. Pengguna mahu diri mereka dipandang tinggi
dan dihormati apabila menggunakan sesuatu jenama itu.
Malahan, iklan turut menyebabkan pengguna memberi barangan yang tidak mereka
perlukan. Pembelian mereka semata-mata atas dasar melihat iklan yang menarik.
Penayangan iklan telah menyebabkan mereka tertarik dan membeli barangan itu
walaupun barangan itu tidak mereka perlukan untuk satu tempoh yang lama. Sikap ini
menjurus ke arah pembaziran dan pembelian yang boleh menyebabkan pengguna
berhutang atau mengalami masalah kewangan.
Kesimpulannya, iklan mempunyai dua peranan. Satu untuk memberitahu dan satu lagi
untuk memusnahkan. Mungkin pengguna perlu bersikap bijak dengan membuat
penilaian rasional selepas melihat sesuatu iklan. Pengguna tidak harus terburu-buru
membeli selepas melihat iklan. Atau mungkin iklan harus diharamkan.
Karangan 6
Kempen nilai-nilai murni yang dijalankan oleh kerajaan mula mendapat perhatian
masyarakat. Pelbagai kempen yang dilaksanakan memang baik.
Huraikan kepentingan memupuk nilai murni ini.

Usaha kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai murni di dalam hati nurani rakyatnya telah
mula menampakkan hasil. Usaha melalui iklan, kempen, dan dasar kerajaan telah
memberi satu nafas baru kepada masyarakat untuk menjadi satu masyarakat
bertamadun yang mampu menjadikan negara kita lebih baik untuk didiami. Jadi,
memang nilai-nilai murni memiliki kepentingan dalam pembentukan masyarakat.
Generasi muda yang dipupuk dengan nilai murni mampu mematuhi semua peraturan
atau norma yang ditetapkan oleh masyarakat. Naluri generasi muda yang suka
memberontak dapat dikawal melalui nilai-nilai murni yang mementingkan disiplin dalam
usaha mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Jadi, memang satu perkara baik
kalau nilai murni mampu menjadikan generasi muda sebagai satu golongan yang
mematuhi peraturan negara.
Lantaran sikap generasi muda yang mematuhi peraturan dapat dijelmakan melalui
sikap mereka yang tidak terbabit dalam sebarang aktiviti berunsur jenayah atau tidak
bermoral. Kita tidak lagi mendengar remaja terbabit dalam peras ugut, terbabit dalam
dadah, atau menjadi mat rempit. Remaja akan menjadi satu golongan yang dihormati
oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Bukankah ini satu kejayaan nilainilai murni yang diterapkan oleh kerajaan?
Malah, hubungan antara kaum dapat dieratkan kerana dalam pemupukan nilai murni
memang ditekankan perasaan saling hormat antara kaum. Semua kaum akan
menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh kaum lain tanpa menimbulkan sebarang
isu sensitif kepada kaum lain. Keadaan ini menjamin keadaan negara dalam suasana
yang harmoni dan sesuai untuk pertumbuhan ekonomi. Orang memberi, kita berasa,
orang berbudi, kita berbahasa.
Tambahan pula, imej negara akan terus dijulang oleh masyarakat antarabangsa. Rakyat
negara ini akan dilihat sebagai masyarakat yang unik kerana moden tetapi
mengekalkan budaya yang baik. Masyarakat juga masih mempunyai disiplin dan
berperibadi mulia. Semua ini akan memberi satu tanggapan positif kepada negara kita.
Rakyat kita akan dihormati di mana-mana tempat mereka berada.
Kesimpulannya, usaha menerapkan nilai-nilai murni seperti hormat orang tua, menjaga
kesopanan di khalayak ramai, mengunjungi rumah jiran, dan berinteraksi antara kaum
mampu melahirkan satu bangsa Malaysia yang moden tetapi penuh budaya tersendiri.
Usaha ini harus diteruskan kerana generasi muda sering berubah dan keadaan turut
berubah tetapi nilai murni akan terus kekal seperti tak lekang dek panas, tak lapuk dek
hujan.
Karangan 7
Pendidikan telah menjadi kritikan masyarakat dan sektor ini memang merupakan satu
isu sensitif.

Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh sektor pendidikan.


Bidang pendidikan dianggap bidang sensitif negara kerana bidang ini mampu
mengubah senario politik dan sosial negara kita. Bilangan generasi muda yang terlibat
dalam bidang ini turut menjadikan pendidikan satu isu yang harus ditangani dengan
bijak tetapi pantas. Kejayaan negara mengubah bidang pendidikan ini dalam
menangani cabaran globalisasi pasti akan mendatangkan kejayaan kepada rakyat dan
negara kita secara keseluruhannya. Cuma ketika ini bidang yang dianggap murni suatu
masa dahulu sedang menghadapi saat gentingnya.
Masalah yang paling kritikal sedang dihadapi oleh bidang pendidikan ialah pelajarnya
yang dikatakan tidak berdisiplin. Saban hari kita didedahkan melalui media massa
masalah disiplin yang dilakukan oleh pelajar. Kes guru dipukul, gejala jenayah pelajar,
sikap ponteng pelajar, dan budaya buli semuanya menjurus betapa seriusnya masalah
ini. Keadaan ini turut menyebabkan bidang pendidikan menjadi mangsa sasaran kritikan
masyarakat yang mahu perkara ini diatasi seberapa segera.
Bidang pendidikan turut mengalami masalah kekurangan guru terutama guru lelaki dan
di kawasan pedalaman. Kurangnya guru lelaki sering dikaitkan dengan rendahnya
tangga gaji yang diberikan kepada guru. Lelaki yang sering dianggap ketua keluarga
akan mencari kerjaya lain yang menjanjikan gaji lebih lumayan. Manakala, guru lelaki
yang kecil jumlahnya pula dihantar ke kawasan pedalaman tetapi masih belum cukup
untuk menampung keperluan kawasan pedalaman. Situasi ini dibebankan lagi dengan
budaya keguruan yang dianggap lebih bercorak kewanitaan akibat kurangnya guru
lelaki.
Tambahan pula, ada sekolah yang masih kekurangan kemudahan seperti komputer dan
bangunan yang sesuai. Keadaan ini menjejaskan peluang pelajar untuk memperoleh
pendidikan yang baik. Mereka belajar dalam keadaan tidak selesa dan ini sudah pasti
akan menjejaskan pencapaian mereka dalam peperiksaan. Kalau sekolah tidak lengkap
kemudahannya, bagaimana guru hendak menjalankan tugasnya? Inilah isu yang
menghantui bidang pendidikan ini.
Malah, isu sekolah dianggap bukan faktor integrasi masyarakat turut menjadi persoalan
utama kini. Konsep Sekolah Wawasan yang cuba diketengahkan mendapat bantahan
pelbagai pihak lantaran bimbang hilangnya budaya kaum tertentu. Malah, sekolah biasa
pula sering menyaksikan pelajar-pelajarnya berinteraksi mengikut kaum dan bukannya
bercampur. Semua ini menghasilkan satu generasi pelajar yang tidak memahami
budaya masyarakat lain. Sekolah seharusnya mendidik mereka bukannya memisahkan
mereka mengikut kaum.
Selain itu, isu pelajar berlumba-lumba untuk mengaut jumlah A yang banyak dalam
peperiksaan turut menjadi satu kemelut baru dalam pendidikan. Ramai yang
menganggap sekolah menjadi tempat untuk menghafal bukannya memberi pendidikan
yang holistik kepada pelajarnya. Kesannya, pelajar yang ada kini tidak mampu berfikir
secara kritis atau menyelesaikan masalah yang di luar batasan soalan peperiksaan

yang ditanya kepada mereka. Pelajar ketiadaan kepandaian emosional yang penting
daam era globalisasi ini.
Kesimpulannya, pendidikan harus diberi lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan
tahap pendidikan negara. Guru-guru harus diberi lebih banyak ruang untuk kreatif
dalam pengajaran mereka. Guru harus diberi lebih banyak peluang untuk meningkatkan
kemahiran mereka melalui kursus dan program pendidikan jarak jauh. Guru harus diberi
insentif kewangan yang lebih setimpal dengan tugas yang diamanahkan kepada
mereka. Guru sumber inspirasi generasi muda.

Karangan 8
Rancangan muzikal di media massa sering dikatakan tidak membawa makna. Namun,
rancangan sebegitulah yang mendapat sambutan masyarakat.
Huraikan kebaikan-kebaikan dan keburukan yang tercetus daripada muzik di negara ini.
Muzik dan masyarakat tidak dapat dipisahkan kerana muzik pada masyarakat menjadi
tempat mereka meluahkan perasaan dan tenaga mereka terutama dalam mengharungi
kehidupan yang penuh cabaran ini. Keadaan ini menyebabkan rancangan muzikal telah
mendapat sambutan hangat masyarakat terutama remaja. Sesungguhnya, muzik
mempunyai pelbagai natijah yang mampu mengubah kehidupan sesebuah negara itu.
Sekali pandang pandang muzik memang membawa kebaikan. Muzik mampu memberi
ketenangan jiwa kepada seseorang kerana apabila mendengar muzik, jiwa seseorang
akan tenteram terutama mendengar muzik kegemarannya. Irama muzik yang mendayudayu menyebabkan jiwa seseorang yang suka memberontak akan kembali menjadi
tenang dan gembira. Sesungguhnya, muzik membawa ketenangan jiwa yang
meningkatkan lagi kekuatan minda dan fizikal seseorang itu.
Malah, muzik mampu memberi imej baru atau memperkaya muzik tradisional sesebuah
negara itu. Keadaan ini mampu diwujudkan kerana muzik tradisional dianggap tidak
bersesuaian dengan keperluan alaf globalisasi yang mengutamakan muzik rancak
sahaja. Rancangan muzik yang disiarkan oleh media tempatan mampu mengorak
langkah untuk menyebarkan pengaruh muzik tradisional terutama dalam kalangan
remaja. Jadi, muzik memang mampu meninggikan imej muzik tradisional kita.
Bukan sahaja imej muzik tradisional mampu ditingkatkan tetapi imej negara pada mata
masyarakat antarabangsa turut meningkat. Muzik sering dikaitkan dengan tahap
kemodenan sesebuah masyarakat dan neagra itu mengikut piawaian antarabangsa.
Semakin tinggi minat masyarakatnya terhadap muzik semakin modenlah sesebuah
negara itu. Contohnya, masyarakat negara moden seperti Jerman dan Sweden sering
menyaksikan pelbagai konsert muzik yang diadakan tanpa mengira muzik itu tradisonal
atau moden.

Selain itu, muzik turut mampu memberikan satu kerjaya yang baik terutama kepada
remaja. Keadaan ini berlaku kerana bidang muzik di negara ini masih belum diteroka
dengan seluasnya. Permintaan sebagai ahli muzik masih tinggi dan persaingannya
tidak begitu sengit berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Dalam masa
yang sama negara mula menganggap keperluan muzik menjadi penting dengan
pelbagai konsert muzik diadakan setiap tahun di negara ini. Maka, semakin ramailah
pemuzik yang diperlukan oleh negara dalam tempoh mendatang ini terutama muzik
orkestra.
Keburukan yang ketara daripada muzik ialah aktiviti ini menyebabkan remaja
terutamanya mudah terjebak dengan pergaulan yang bebas. Keadaan ini menyebabkan
berlakunya gejala sosial yang mendapat perhatian masyarakat seperti isu pembuangan
bayi dan penyalahgunaan dadah. Suasana dan tempat muzik sering menimbulkan
masalah kepada remaja terutama aksi muzik barat moden yang dianggap terlalu
menyimpang daripada budaya tempatan. Oleh itu, muzik turut membawa remaja kita
terpesong sahsiahnya.
Kesimpulannya, muzik bukanlah seseuatu yang hanya membawa kebaikan tetapi juga
impak negatif yang tersendiri. Setiap individu haruslah menilai dan melihat muzik itu
daripada keperluan peribadi mereka untuk memastikan bidang muzik ini membawa
impak positif. Peribahasa melayu tepuk dada, tanya selera membuktikan bahawa
buatlah sesuatu mengikuti keperluan dan kehendak seseorang terutama yang memberi
kebaikan sejati.

Karangan 9
Kesan Iklan kepada masyarakat.
Satu pandangan?
Pada era globalisasi ini, iklan telah memainkan peranan yang besar dan mempunyai
pengaruh yang ketara dalam masyarakat moden. Iklan dapat disiarkan di televisyen,
radio, surat khabar atau melalui telefon bimbit. Walau bagaimanapun, iklan juga
mempunyai kesan negatif dan positif kepada masyarakat.
Ramai orang berpendapat bahawa iklan mempunyai kesan negatif. Hal ini demikian,
iklan akan mempengaruhi kanak-kanak yang masih tidak dapat berfikir dengan matang.
Contohnya, iklan yang menyiarkan pemuda-pemudi yang sedang menghisap rokok
kelihatan sangat bergaya telah mempengaruhi ramai menjadi mangsa. Kanak-kanak
atau remaja-remaja akan menjejak langkahnya tanpa memikirkan kesannya.
Di samping itu, iklan yang memaparkan makanan segera dan makanan ringan juga
memberi kesan yang negatif kepada orang ramai. Makanan yang dipaparkan dalam
iklan kelihatan sedap-sedap belaka menyebabkan para penonton tertarik olehnya.

Walau bagaimanapun, makanan segera tidak membekalkan nutrien yang seimbang


kepada badan kita. Sebaliknya, ia akan menyebabkan kita menjadi gemuk dan akhirnya
menghidap penyakit obesiti.
Selain daripada keburukan, iklan juga membawa kebaikan kepada kita. Antara kesan
positifnya ialah kita dapat mengetahui informasi terbaru. Misalnya, kita boleh mendapat
tahu tentang produk-produk seperti telefon bimbit atau kereta yang terbaru di pasaran.
Informasi ini amat berguna kepada para pengguna yang tidak ingin menjadi katak di
bawah tempurung.
Tambahan pula, iklan yang memaparkan kursus-kursus yang berkaitan dengan
pelajaran amat disenangi oleh orang ramai. Iklan sebegini memaklumkan para pelajar
tentang masa depan mereka. Hal ini kerana, sesetengah pelajar ingin menceburi
bidang-bidang tertentu tetapi tidak mengetahui tempat pembelajarannya. Dengan
melalui iklan, pelajar-pelajar tersebut akan dapat mencari institusi atau universiti
dengan lebih cepat dan senang.
Iklan memberi kesan negatif dan kesan positif kepada masyarakat. Kita perlu
menganalisis dengan teliti supaya tidak terpengaruh oleh iklan yang tidak baik. Kita
tidak harus menjadi pengguna yang ingin memiliki sesuatu barang tanpa mengetahui
mutu dan kegunaan sebenarnya. Konklusinya, kita perlu menjadi pengguna yang bijak
memilih serta membezakan perkara yang merugikan atau menguntungkan kita.
Karangan 10
Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.
Jelaskan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam
sekitar.
Sejak kebelakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian
pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor
perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang
tidak bertanggungjawab ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas sematamata ingin mengejar kemajuan? Di manakah peranan kita sebagai masyarakat untuk
menangani masalah ini? Jadi, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita
dan langkah-langkah yang positif perlu dilakukan.
Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam
sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia kerana bahan kimia akan
mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka
masa yang panjang kepada alam sekitar. Perkara yang dimaksudkan ialah penggunaan
racun serangga dan penghawa dingin merupakan salah satu kesan yang paling ketara
dan serius. Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh
kluoroflurokarbon (CFC) amat bahaya kepada masyarakat di Malaysia. Oleh itu,
penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat

menjaga alam sekitar yang dicipta oleh Tuhan.


Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang alam sekitar yang
menyeluruh. Hal ini demikian, boleh membantu menjaga alam sekitar kita dengan lebih
efektif. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang-kilang yang telah dibina oleh
kerajaan mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Di sini saya memberi
contoh, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun
laut secara terbuka. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diketatkan
lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Dalam pada itu, kitar semula yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian
kerana mampu menjaga alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula
untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak
diperlukan di dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh,
bahan buangan boleh diproseskan menjadi baja nutrien bagi menghindarkan
pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu. Melalui cara ini, sumber
manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka mahupun kebersihan alam sekitar.
Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijagakan melalui kempen kesedaran
sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar. Melalui kempen kesedaran ini,
masyarakat ditiup kesedaran untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini,
sedikit demi sedikit masalah dan hal ini dapat membendung dan memastikan bahawa
kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran
ini dapat diatasi apabila semua rakyat sedar kepentingan alam sekitar.
Tuntasnya, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan ini untuk mengekalkan
kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya meletakkan masalah ini diatas bahu
kerajaan dengan semata-matanya. Kerjasama yang erat antara rakyat Malaysia dengan
kerajaan tentunya akan lebih bermakna dan hasilnya kelak akan memuaskan hati
semua orang. Sinomin dengan slogan negara Negara Bersih, Rakyat Sihat
karangan spm
1. Internet mampu menyebarkan maklumat dengan meluas dan murah. Namun,
menyebar luaskan maklumat melalui internet boleh menjadi ancaman kepada adat,
norma, dan nilai masyarakat sesebuah negara.
Ulaskan pernyataan di atas.
Internet merupakan satu penemuan teknologi yang mula mendapat tempat dalam
kalangan manusia kini. Malah penggunaan internet sudah dianggap sebagai satu
perkara lumrah kehidupan. Mereka yang tidak tahu menggunakan internet dianggap
sudah ketinggalan dalam zaman yang penuh cabaran ini. Penggunaan internet telah
menyebabkan penyebaran maklumat menjadi lebih meluas dan murah sehingga
memberi pelbagai kesan kepada kehidupan manusia.
Penyebaran maklumat secara meluas dan murah telah memberi satu identiti kepada
internet iaitu sebagai penyebar berita palsu atau khabar angin. Penggunaan internet
dalam soal ini amat ketara terutama oleh golongan yang mahu melihat kemusnahan

sesebuah negara. Penyebaran khabar angin amat berkesan melalui internet kerana
penggunaannya yang meluas dan mudah terutama di kalangan remaja. Internet juga
tidak mempunyai sistem penapisan yang ketara atau berkesan seperti media massa
yang lain.
Masyarakat juga sudah taksub dengan penggunaan internet dengan tidak lagi
mengamalkan aktiviti kunjung mengunjungi satu sama lain terutama antara jiran atau
sahabat. Hubungan siber (cyber) lebih meluas sekarang terutama dengan adanya
program dalam internet yang memudahkan seseorang itu berbual dengan orang lain
tanpa perlu bersemuka dengannya. Interaksi antara jiran bukan sahaja terhapus malah
hubungan ini boleh menyebabkan berlakunya penipuan dan perkara yang kurang baik
kerana ketiadaan pengenalan diri yang jelas. Malah yang mengejutkan sekarang ialah
sudah wujud budaya mengirim kad melalui internet dan bukan melalui kad yang
dipenuhi dengan tulisan tangan seseorang. Budaya menulis dan menghantar kad akan
semakin hilang ditelan zaman dan diambil oleh kad elektronik yang lebih canggih dan
mengikut peredaran masa. Kemungkinan hilangnya budaya menghantar kad ketika
menyambut hari lembaran tidak dapat dinafikan lagi.
Internet merupakan tempat tumpuan manusia mendapatkan bahan yang berunsur
lucah. Penggunaan internet dalam aspek ini amat memalukan dan memang
bertentangan dengan budaya manusia sejagat. Cuma yang menyedihkan ialah semakin
ramai golongan remaja malah kanak-kanak yang melihat bahan lucah ini atau terlibat
sama dalam penyebarannya. Penggunaan internet bukan sahaja setakat menyebarkan
bahan lucah tetapi penggunaan imej digital internet turut meningkatkan gejala ini
dengan menggunakan muka orang lain dan badan orang yang lain pula.
Kerajaan mengawal pembacaan beberapa buah buku dan majalah serta berita di
negara ini demi menjaga keamanan negara. Namun dengan adanya internet semua
buku, bahan atau berita yang diterbitkan tidak lagi mampu dikawal oleh kerajaan kerana
internet tidak mempunyai sempadan dan sukar untuk dikawal. Keadaan ini
menyebabkan masyarakat mudah disogok dengan buku dan berita yang tidak tepat
atau kurang sesuai dengan peringkat umur mereka sehingga boleh menimbulkan satu
keadaan yang mengancam keselamatan negara.
Bukan sahaja buku dan berita yang tidak sihat boleh ditemui dalam internet tetapi
penyiaran iklan yang tidak sesuai turut ada di dalam sistem canggih itu. Penyebaran
iklan yang tidak sihat atau tidak dikawal oleh pihak berkuasa boleh membawa kesan
buruk kepada masyarakat. Bagaimana perkara atau iklan ini boleh membawa kesan
negatif kepada masyarakat? Kita semua sedia maklum bahawa masyarakat terutama
remaja suka meniru sesuatu terutama yang mereka nampak atau dengar. Jadi di sinilah
peranan iklan yang tidak sesuai di internet berlaku.
Kesimpulannya, masalah penggunaan internet yang tidak sihat ini perlu dikawal oleh
kerajaan dengan bersungguh-sungguh. Keengganan kerajaan bertindak tegas dalam
persoalan ini boleh membawa kesan buruk kepada negara dalam jangka masa
panjang. Masyarakat pula perlu lebih pandai menapis dan memilih bahan dalam

internet agar mereka tidak terpedaya dengan golongan tertentu yang cuba
menghancurkan keamanan negara kita.
soalan 2.
Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama
golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja
melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga.Jadi, apakah punca-punca wujudnya
pengangguran dan apakah cara-cara mengatasinya.
Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke
negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama
golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap
menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara
diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah puncapunca yang mendorong isu ini berlakuSudah pasti punca utama berkaitan dengan
keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu
kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang
kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang terdekat
akibat tiadanya aktiviti ekonomi di negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi
kesan terhadap ekonomi negara tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti
peristiwa kejatuhan ekonomi pada akhir dekad 90-an.
Selain itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai
kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di sekolah
mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangan kemahiran berfikir,
menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan mempunyai kemahiran
berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih pekerja yang mereka
beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan bahasa asing
dan pengetahuan komputer.Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya
masalah ini. Sikap belia yang hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia
mengambil konsep tunggu dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan
mendesak atau sudah terlewat. Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara
akan berterusan maju tanpa sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama
menerima bantuan kerajaan seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan
akan memberi mereka pekerjaan selepas tamat belajar.
Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah menghantar
rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke
Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu
sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba
menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak
semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KL-Singpura dijangka
mampu meninggikan pertumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan pelbagai
cukai.Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan
golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan

penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini
mampu menyediakan satu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk
bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut
menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.
Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat
harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan
sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran
sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka. Hendak seribu
daya, tak hendak seribu dalih.
soalan 3.
Negara kita mempunyai pelbagai kaum yang mengamalkan budaya atau adat resam
mereka yang tersendiri. Budaya atau adat resam ini telah menjadi satu identiti kepada
kaum tersebut.Pada pendapat anda, apakah kepentingan budaya atau adat resam ini
kepada masyarakat dan negara kita.Salah satu kelebihan negara kita ialah
masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai kaum Melayu, Cina, India, dan
berdozen-dozen kaum minoriti yang lain terutama di Sabah serta Sarawak. Situasi ini
menyebabkan negara kita mempunyai pelbagai adat atau budaya yang menarik untuk
diperhatikan. Malah, adat atau budaya yang unik ini mempunyai banyak kepentingan
jika dihargai dengan sewajarnya.Sebenarnya, budaya yang unik ini memang wajar
dihargai kerana budaya inilah yang menonjolkan sesuatu kaum itu. Tanpa budaya ini
sesuatu kaum itu akan kehilangan identitinya buat selama-lama. Budaya yang
diamalkan itu seperti memakai pakaian tradisional, makan menggunakan tangan, pergi
ke kubur ketika hari raya dan sebagainya turut menimbulkan rasa bangga kepada
pengamal budaya kaum itu. Individu yang terbabit akan berasa mereka telah berjaya
mengekalkan budaya turun-temurun nenek moyang mereka selama ini.Selain itu,
tindakan individu tertentu menghargai budaya ini menjadi satu cara yang paling mudah
untuk mempamerkan rasa mengormati generasi tua daripada generasi muda. Budaya
memakai pakaian tradisional menjadi satu kaedah yang mudah untuk diamalkan oleh
remaja dalam usaha mereka mengekalkan budaya tradisional ini.
Remaja bukan sahaja mampu membuktikan rasa hormat mereka tetapi turut menerima
penghargaan generasi tua lantaran sanggup mengekalkan budaya.Malah, sikap
menghargai budaya memastikan sesuatu budaya kaum itu tidak akan luput ditelan
zaman. Lihat sahaja budaya bekerjasama menjalankan kenduri sudah mula hilang
sedikit demi sedikit lantaran masyarakat kita lebih suka menggunakan perkhidmatan
katering. Atas alasan mudah, kita sudah melupakan budaya bekerjasama ketika
mengadakan kenduri yang mempunyai banyak impak positif tetapi penat itu. Usaha
mengekalkan budaya kaum sudah pasti akan mengembalikan nostalgia majlis kenduri
yang dijalankan secara meriah.Tambahan pula, pengamalan budaya ini memastikan
peraturan dan saling bergantung anggota masyarakat diamalkan. Untuk mencapai
perpaduan, semua kaum harus mengekalkan budayanya kerana melalui budayalah kita

bersatu. Sikap hormat antara satu sama lain menyebabkan kita tidak akan cuba
menyakiti kaum lain atas perkara-perkara yang remeh.
Sebaliknya, penghargaan terhadap budaya menguatkan semangat perpaduan
kita.Kesimpulannya, budaya atau adat sesuatu kaum itu merupakan satu khazanah
yang arus dipertahankan oleh rakyat negara ini. Usahlah kita terlalu memandang ke
arah kemodenan sehingga menganggap budaya sendiri sudah lapuk atau tidak sesuai
lagi. Kita harus melihat budaya sebagai satu alat yang mampu membentuk kita ke arah
kemodenan yang lebih baik lagi iaitu kemodenan rohaniah dan kebendaan. Mungkin
selepas menguasai budaya barulah kita boleh menganggap diri kita sudah mencapai
kemodenan hidup.
soalan 4.
Negara kita pernah merancang untuk mempunyai jumlah penduduk mencecah 70 juta.
Dasar ini dijangka mampu membawa banyak kesan positif dan negatif.Jadi, huraian
kedua-dua kesan yang bakal timbul jika penduduk negara mencecah 70 juta orang.
Malaysia memang mempunyai impian untuk memiliki penduduk yng ramai, iaitu 70 juta
menjelang 2020. Mungkin ada pihak yang ketawa besar mendengar impian tersebut.
Namun, kalau kita kaji kebanyakan negara jiran kita selain Singapura mempunyai
jumlah penduduk yang jauh lebih banyak daripada Malaysia. Jadi, impian itu memang
ada asasnya cuma dasar ini mempunyai banyak impak positif dan negatif terhadap
pembangunan negara.Alasan yang paling ketara ialah negara kita masih mempunyai
kawasan yang luas berbanding dengan negara jiran yang lain. Negara kita hanya
mempunyai kepadatan penduduk di kawasan berhampiran bandar besar seperti Kuala
Lumpur, Johor Bharu, Ipoh, dan Seremban. Keadaan ini menyebabkan pengurusan
sumber manusia dan alam sekitar tidak berjalan dengan baik.
Keperluan lebih ditumpukan terhadap penduduk di kawasan bandar sehingga
menyebabkan penduduk di kawasan desa terpinggir. Jadi, jumlah penduduk yang ramai
memastikan pembangunan negara lebih seimbang kerana jumlah penduduk akan
berkembang ke kawasan pedalaman.Selain itu, penduduk yang ramai memastikan
keperluan sumber manusia akan mampu dipenuhi. Setiap tahun negara kita
memerlukan tenaga muda untuk meneruskan pembangunan negara. Melalui
pertambahan penduduk yang pesat keseimbangan generasi muda dan tua mampu
dikawal dengan baik. Kita tidak akan kekurangan sumber manusia kerana mempunyai
lapisan penduduk muda yang banyak.
Situasi ini turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang stabil.Malah, kalau kita
kaji, negara-negara kuasa ekonomi dunia mempunyai penduduk yang ramai. Jumlah
penduduk yang ramai menyebabkan negara tersebut dapat memiliki pasaran dalaman
yang luas untuk keperluan ekonomi mereka. Jepun, Amerika Syarikat, dan China
mempunyai penduduk yang ramai sehingga syarikat tempatan mereka tidak
memerlukan pasaran luar untuk produk mereka.
Jadi, penduduk yang ramai baik untuk perkembangan syarikat tempatan.Namun,

pertambahan penduduk menyebabkan kos perbelanjaan ngara akan bertambah.


Kerajaan sudah pasti terpaksa menyediakan lebih banyak kemudahan awam seperti
hospital, sekolah, dan sebagainya untuk menampung penduduk yang bertambah itu.
Keadaan ini menyebabkan jumlah kewangan kerajaan akan terjejas sedikit demi sedikit.
Kegagalan untuk memastikan kewujudan kemudahan awam akan membawa bencana
kepada rakyat negara ini.
Kesimpulannya, pertambahan penduduk negara harus diselia dengan rapi. Kita tidak
mahu jumlah penduduk yang ramai tetapi taraf hidup atau perbezaan taraf hidup antara
masyarakat begitu jauh seperti yang berlaku di India dan Indonesia. Dalam memastikan
jumlah rakyat bertambah, kerajaan harus memastikan taraf kesihatan, pendidikan, dan
ekonomi terus berkembang sejajar dengan jumlah penduduk.
soalan 5.
Badan kebajikan atau sukarela merupakan satu usaha murni yang dijalankan oleh
segelintir masyarakat. Mereka sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan
bantuan. Cuma badan kebajikan ini masih mengalami pelbagai masalah yang
membantutkan usaha kebajikan mereka.Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh
badan kebajikan.
Badan kebajikan atau sukarela merupakan satu badan yang cuba membantu
masyarakat yang memerlukan bantuan. Negara kita masih mempunyai banyak pihak
yang memerlukan pertolongan seperti golongan cacat, ibu tunggal, anak yatim, orang
tua, dan golongan daif. Kewujudan badan kebajikan seolah-olah memberi sedikit
cahaya kepada golongan terpinggir ini untuk meneruskan kehidupan mereka yang
sukar itu. Namun, badan kebajikan sendiri mempunyai pelbagai masalah yang mampu
membantutkan usaha murni mereka itu.Masalah yang paling serius mereka hadapi
ialah masyarakat negara ini tidak suka membabitkan diri mereka dalam sebarang
aktiviti kebajikan. Rakyat negara ini lebih suka melihat atau menganggap tugas itu
sudah dilakukan oleh orang lain. Mereka tidak mahu terlibat turut dipengaruhi oleh
faktor masa dan kewangan yang tidak mampu diberikan oleh badan kebajikan.
Akibatnya, aktiviti badan kebajikan ini dijalankan oleh segelintir masyarakat yang sudah
berusia dan kekurangan tangan untuk menjalankan aktiviti mereka.Malah, badan
kebajikan agar sukar untuk memperoleh sumber kewangan pada masa kini.
Masalah ini timbul ekoran berlakunya pelbagai dakwaan seperti badan kebajikan
menggunakan wang itu untuk kepentingan pekerjanya dan tidak digunakan untuk
membantu masyarakat yang memerlukan. Memang kes seperti ini pernah berlaku tetapi
untuk menuding jari ke arah kepada semua badan kebajikan merupakan satu langkah
yang kurang bijak. Masyarakat seharusnya memberi peluang supaya badan kebajikan
dapat menjalankan tugas mereka.Tambahan pula, badan kebajikan terpaksa mematuhi
pelbagai saluran dan kebenaran sebelum mampu menjalankan aktiviti mereka. Lesen
badan kebajikan harus diperbaharui dan aktiviti mereka seperti derma perlu
mendapatkan kebenaran pihak berkuasa. Memang peraturan ini diwujudkan untuk
mengawal penyelewengan berlaku tetapi pihak berkuasa harus memudahkan urusan

badan kebajikan mereka.


Malah, pihak berkuasa seharunya menyediakan bangunan khas untuk badan kebajikan
menjalankan aktiviti mereka tanp perlu membayar apa-apa. Namun, semua ini tidak
diperoleh oleh badan kebajikan.Kesimpulannya, badan kebajikan di negara ini memang
dalam situasi yang bahaya. Pertubuhan ini tidak lagi mempunyai apa-apa selain
meminta belas kasihan masyarakat untuk turut membantu.
Masyarakat harus menyalurkan bantuan berupa kewangan atau tenaga untuk
memastikan usaha murni mereka ini akan berterusan kerana tanpa badan kebajikan
nasib golongan terpinggir ini akan menjadi lebih menyayatkan.
soalan 6.
Iklan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden. Kerap kali
kita mendengar komen mengenai pengaruh iklan dalam masyarakat kita.Pada
pandangan anda, apakah pengaruh-pengaruh positif dan negatif yang dibawa oleh iklan
terhadap masyarakat.
Sememangnya iklan sudah menjadi sebahagian lumrah kehidupan manusia sejagat
pada era globalisasi ini. Iklan jelas terpampang di mana-mana seperti akhbar, poster,
papan iklan gergasi, dan radio. Situasi ini seolah-olah membuktikan betapa kuatnya
pengaruh iklan dalam kehidupan kita. Jadi, iklan memang membawa pengaruhpengaruh positif dan negatif terhadap kehidupan insan di dunia ini.Pengaruh positif
iklan ialah iklan menyebabkan pengguna mempunyai pilihan untuk membuat
pembeliannya.
Kewujudan iklan menyebabkan pengguna mengetahui betapa banyaknya produk yang
sama tetapi berlainan jenama dihasilkan pada zaman ini. Pengguna akan
menggunakan semua maklumat yang ada di dalam iklan untuk membuat pilihan terbaik
mereka. Iklan memastikan pengguna membeli produk yang terbaik mengikut keperluan
mereka.Selain itu, iklan menyebabkan wujudnya persaingan yang sihat antara
pengeluar sesuatu produk itu.
Kalau kita kaji, pengeluar sesuatu produk itu akan cuba menghasilkan iklan yang
terbaik mengikut kemampuan mereka untuk menarik minat pembeli. Keadaan ini
menyebabkan semua pihak cuba menonjolkan kelebihan produk mereka berbanding
produk pesaing. Jelaslah, iklan menyebabkan pengeluar memastikan produk mereka
menepati mutu seperti yang tersiar di dalam iklan mereka itu.Namun begitu, iklan turut
memiliki wajah negatifnya. Iklan sering mempergunakan wanita terutama wanita seksi
untuk melariskan jualan produk mereka. Malah, ada produk yang tidak mempunyai
kaitan dengan wanita tetapi menggunakan wajah wanita seksi untuk iklan tersebut.
Penggunaan model lelaki yang tampan dan sasa turut diekploitasikan oleh iklan.
Keadaan ini seolah-olah memberi makna palsu seperti penggunaan produk ini akan

menghasilkan wajah sebegitu atau penggunaan produk ini menyebabkan wanita


sebegini akan tertarik kepada seseorang. Bayangkan pengaruhnya kepada remaja kita?
Tambahan pula, kewujudan iklan menyebabkan harga barangan akan meningkat. Kos
untuk menghasilkan sesuatu iklan amat tinggi kerana penggunaan model, teknologi dan
krew penerbitan yang berpengalaman.
Malah, iklan yang disiarkan di media massa terpaksa membayar kos masa penyiaran
yang terlalu mahal. Keadaan ini menyebabkan pengeluar akan meninggikan harga
produk mereka untuk memastikan iklan dapat dihasilkan.Malahan, iklan turut
menyebabkan pengguna memberi barangan yang tidak mereka perlukan. Pembelian
mereka semata-mata atas dasar melihat iklan yang menarik. Penayangan iklan telah
menyebabkan mereka tertarik dan membeli barangan itu walaupun barangan itu tidak
mereka perlukan untuk satu tempoh yang lama. Sikap ini menjurus ke arah pembaziran
dan pembelian yang boleh menyebabkan pengguna berhutang atau mengalami
masalah kewangan.
Kesimpulannya, iklan mempunyai dua peranan. Satu untuk memberitahu dan satu lagi
untuk memusnahkan. Mungkin pengguna perlu bersikap bijak dengan membuat
penilaian rasional selepas melihat sesuatu iklan. Pengguna tidak harus terburu-buru
membeli selepas melihat iklan. Atau mungkin iklan harus diharamkan

Anda mungkin juga menyukai