Anda di halaman 1dari 6

Bukan Kurang Jubah, Tapi

Kurang Amanah
Disiarkan pada Oct 03, 2013

BUKAN KURANG JUBAH, TAPI KURANG AMANAH


Prof Madya Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Negara-negara umat Islam hari ini tidak kekurangan jubah dan serban. Tidak juga
kekurangan mereka yang bercakap agama dan berlagak beragama. Tidak pula kekurangan
mereka yang berzikir kuat di khalayak ramai dengan pelbagai lagu dan dendangan. Tidak
juga kekurangan penceramah yang pelbagai style lawak jenaka dan seloka sehingga
ceramah agama menjadi new entertainment dalam mencari pasaran pendengar dan
pembayar.
Tidak pula kita kekurangan orang-orang politik yang cuba menempelkan diri dengan agama.
Sama ada menjadi penaja kepada program-program agama yang membolehkan mereka
mendapat political mileage, ataupun mereka sendiri melafazkan kalimah-kalimah yang
berunsur agama bagi memboleh rakyat lebih mempercayai mereka. Tidak kurang juga
program-program yang dirasmikan oleh orang politik yang tidaklah beragama sangat. Di
samping terdapat juga yang memang ikhlas melibatkan diri dalam semua itu.

KEKURANGAN
Kita tidak kurang kesemua itu. Apa yang menjadi kekurangan kita ialah penghayatan
sebenar kepada hakikat agama Islam yang diturunkan Allah untuk manusia. Kita sering
mempamirkan agama ini dalam bentuk upacara-upacara yang direka dan diadakan oleh
pihak-pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri seperti upacara berteriak tangis zikir
di khalayak ramai bagi memukau orang ramai agar begitu terpengaruh kepada tokoh-tokoh
dan mempercayai mereka sebagai orang-orang Tuhan. Orang politik juga boleh
menumpang sekaki supaya kelihatan mereka manusia yang mendapat blessing dari orangorang Tuhan itu. Dalam masa yang sama kita melupai inti-pati ajaran Islam seperti amanah
dalam pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara.
Maka jangan hairan jika setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang
lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun agama yang diupacarakan, malangnya dalam
masa yang sama index rasuah, penyalahgunaan kuasa, salah tadbir urus juga cukup tinggi.
Rakyat ramai yang tertipu dan terdiam kerana mata mereka terlindung oleh jubah-jubah
tokoh agama, telinga mereka tersumbat oleh degungan doa yang dibaca memuja dan
memuji penguasa samada menteri, presiden, raja ataupun sultan sekalipun mereka itu
mencemari segala amanah yang Allah tanggungkan atas bahu mereka.
Saya hairan bagaimana ada rakyat di negeri entah berentah yang memuji sultannya
melangit tinggi bagaikan wali Tuhan kerana isteri sultan berkenaan bertudung. Dalam masa
yang sama mereka melupai bagaimana sang sultan itu sedang membina istana yang harga
berbilion dari wang rakyat jelata. Kehebatan seorang sultan, raja, presiden, perdana
menteri dan seumpamanya bukan kerana berjubah ataupun berserban, isteri bertudung,
pergi ke masjid dan segala amalan peribadi yang lain. Itu adalah tanggungjawab setiap
muslim tanpa mengira siapa pun dia, rakyat ataupun raja. Namun kehebatan seorang
penguasa apabila dia amanah terhadap jawatan dan harta negara yang berada di bawah
kawalannya. Itulah perkara yang tidak dapat dibuat oleh rakyat, hanya mampu dibuat oleh
yang berkuasa kerana dia memegang tampok kuasa.
KHIANAT

Jika mereka tidak amanah, sekalipun memakai pelbagai gelaran agama, ataupun dipagari
oleh jubah-jubah agama, mereka tetap pengkhianat. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan
Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh. Orang
ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid (martyrdom). Namun Nabi
s.a.w menyebut:
Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari
Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke
atasnya.
Betapa, seorang mati semasa berjuang bersama Nabi s.a.w tetap Allah hukum kerana telah
mengambil harta awam dengan cara yang salah. Itu sehelai selendang, bagaimanakah pula
jutaan, bahkan ratusan juta harta awam?!
Maka sebahagian Negara Barat, walaupun mereka tiada paderi negara yang bertaraf jusa,
tiada upacara doa mingguan memuja penguasa tapi apabila mereka amanah, maka negara
mereka lebih teratur dan baik urus tadbirnya dibandingkan negara-negara umat Islam. Ini
kerana di Barat, samada secara terpaksa ataupun terbudaya dalam sistem yang mereka
bina dan pakai, mereka memegang kepada prinsip pentadbiran yang terpenting iaitu
amanah. Kita pula sibuk dengan upacara-upacara agama yang sebahagian itu tidak pernah
diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabah pun, tapi dalam masa yang sama kita melupai
inti ataupunessence kepada ajaran Islam ini, iaitu amanah dalam pentadbiran.
Justeru itu al-Quran sebelum mendatangkan ayat yang memerintah taat kepada penguasa,
didatangkan terlebih dahulu ayat yang memerintahkan amanah diberikan kepada yang layak
dan penguasa yang diberikan amanah itu hendaklah memerintah dengan adil. Maka Allah
terlebih dahulu menyebut:(maksudnya)
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak
menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu
berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya

kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha melihat. (Surah alNisa: 58).
Selepas itu barulah diikuti dengan firmanNYA: (maksudnya)
Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin)
dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada
Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari
akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya (Surah al-Nisa
59).
Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau
menyebut:
Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan
amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin
mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan
keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah) (Al-Qurtubi, alJami li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).

Amanah adalah isu utama kegagalan good governance ataupun urus tadbir yang baik dalam
dunia umat Islam hari ini. Di samping soal al-quwwah ataupun keupayaan sebagai
pentadbir yang baik. Kebanyakan Negara Islam bukannya miskin. Banyak hasilnya, tetapi

diuruskan oleh yang tidak amanah dan tidak berkemampuan, maka lemah dan rosaklah
negara.
KESAN
Seringkali mimbar-mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama Umar bin alKhattab, khalifah kedua yang sangat hebat. Apa yang kita teladani daripadanya?! Pada
tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah. Ibn
Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun
berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya.
Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli
untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. Umar enggan makan
bahkan berkata:
Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku
bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak
mengenaiku apa yang mengenai mereka?. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).
Umar ilmuwan besar yang menjadi rujukan dalam Islam. Beliau tidak berkata: kenaikan
harga barang merupakan takdir Allah, bersyukur dan berterima kasih kepada penguasa.
Beliau juga tidak membuat fatwa dungu yang menyatakan subsidi tiada dalam Islam.
Sebaliknya beliau dengan penuh amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah menghadapi
keadaan tersebut.
Kita perlu membetulkan asas kefahaman kita tentang agama. Bukti kesan ajaran Islam
bukan pada fesyen pakaian, ataupun hiasan doa upacara yang gaji pembacanya dibayar
atau dendangan lagu agama atas pentas yang dihadiri oleh mereka berpangkat dan
jawatan. Tetapi kesannya terhasil akidah yang bersih, ibadah yang sahih dan nilai etika yang
luhur yang diamalkan oleh para penguasa dan diikuti oleh rakyat jelata. Dalam konteks
politik dunia Islam, perlukan manusia-manusia yang amanah untuk memerintah, bukan

sekadar berjubah atau berdamping dengan yang berjubah tapi tidak amanah terhadap harta
negara dan rakyat.
Kategori: Dakwah

Anda mungkin juga menyukai