Anda di halaman 1dari 5

Islam Membentuk Minda Kritis Dalam Menilai

ADMIN / AUGUST 17, 2008

Jika seseorang ingin membaiki sesuatu perkara atau peralatan, dia terlebih dahulu hendaklah ada pengetahuan atau
ilmu mengenainya. Jika tidak nanti, niatnya yang baik untuk membaiki itu akan menatijah kerosakan semata, bukan
memulihkan. Ini yang disebut sebagai tikus membaiki labu, atau tukang besi membaiki komputer. Tanpa ilmu, bukan
bertambah baik tetapi bertambah rosak.
Islam juga demikian. Niat yang baik semata untuk mempertahan atau menyampaikan ajaran yang agung ini tidak
memadai jika yang melaksanakan tugasan itu tidak cukup pengetahuan dalam perkara yang disampaikan tersebut.
Saya tidak menyatakan seseorang yang hendak berdakwah menyampai mesej Islam mesti menjadi sarjana besar
terlebih dahulu. Tidak! Sama sekali tidak. Tetapi, dia hendaklah faham dengan baik bab atau perkara yang
disampaikan itu.
Umpamanya, jika dia bercakap mengenai cara sujud dalam solat, maka dia jelas tentang hadis-hadis mengenai
perkara tersebut. Jika dia bercakap pendirian Islam terhadap penganut agama lain, dia juga hendaklah jelas dan
faham dalam perkara tersebut. Tidak boleh hanya berpijak kepada maklumat yang dikutip tanpa kepastian, atau tidak
boleh pulak bercakap hanya atas sesuatu sentimen semata.
Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutku menyeru
kepada agama Allah berdasarkan bukti yang jelas nyata. Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik);
dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.(Surah Yusuf: ayat 108).
Saya amat dukacita apabila tertonton satu siaran televisyen di bawah nama Sirah di mana seorang ustazahtelah
menceritakan perihal kelahiran wanita terkenal Rabiah al-Adawiyah. Kononnya, semasa kelahirannya, keluarga
begitu miskin dan bapa malu hendak meminta bantu jiran tertangga. Pada malamnya, bapanya bermimpi berjumpa
Rasulullah s.a.w yang menyuruh beliau meminta wang 400 dirham dari Gabenor Basrah.
Kononnya, Rasulullah s.a.w suruh beliau menyatakan kepada gabenor berkenaan: Wahai Gabenor! Engkau
biasanya berselawat pada malam Jumaat sebanyak 400 kali, namun pada hari Jumaat yang lepas engkau telah
menguranginya, maka engkau pun didenda dengan membayar 400 dirham kepada bapa Rabiah.
Cerita yang seperti ini, mungkin dikutip oleh ustazah berkenaan daripada mana-mana sumber yang tidak boleh
dipegang. Ia mencemarkan Islam dengan menggambarkan seakan Nabi s.a.w itu kaki pau yang akan memeras
atau mengambil kesempatan atas kelemahan seseorang yang bukan kesalahan pun.

Kemudian, kisah ini cuba menetapkan khasiat berselawat 400 kali pada malam Jumaat, padahal tiada satu hadis pun
yang menetapkan bilangan tersebut. Lebih daripada itu semua, mimpi bukanlah hujah dalam Islam sehingga boleh
diperas harta orang lain beralasankan mimpi. Apakata nanti, jika ada orang yang mengungut kita menyuruh kita
memberikan wang kepadanya atas alasan dia bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan baginda
memerintahkan kita memberikan wang kepadanya.
Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) selemah-lemah hujah mereka (puak bidah) adalah puak yang mengambil
amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan
mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: Kami bermimpi lelaki soleh tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini!,
buat ini.
Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang
berkata: Aku melihat Nabi s.a.w dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini..dan memerintah aku
sebegini. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari`at.
Ini adalah salah, kerana mimpi individu selain nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan
sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika syarak membolehkan,
maka ia diamalkan, jika tidak, ditinggalkan.(Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi).
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di
kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca
ulama syariat yang berpegang dengan dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti dari hujah yang baik
atau akal atau wahyu. Golongan sufi ini mencerca mereka dengan menyatakan mereka ini jumud dengan ilmu zahir.
Bagi mereka; ilmu zahir kedudukannya seperti kulit, sedang ulama syariat berpaling daripada ilmu batin yang mana
kedudukannya seperti isi.( Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, Beirut: Muassasah alRisalah).
Demikian juga cerita-cerita yang bersifat kekartunan seperti kononnya ada seorang wali Allah yang memakan epal
yang hanyut dalam sungai. Kemudian dia mencari tuan punya epal tersebut untuk meminta halal daripadanya, tetapi
tuan kebun tersebut mensyaratkan hendaklah berkahwin dengan anak perempuannya. Dia memberitahu anaknya itu
bisu, pekak, buta dan berbagai kecacatan yang lain. Demi mendapat sijil halal epal yang dimakannya itu terpaksalah
si wali tersebut berkahwin dengan anak empunya kebun epal tersebut. Konon akhirnya didapati anaknya itu
sempurna dan cantik.

Cerita yang seperti ini mencemarkan dataran Islam yang bersih. Perkahwinan dalam Islam boleh dipaksa atas nama
menghalalkan sebiji epal. Epal yang hanyut dan terdedah kepada rosak boleh dimakan dari dibazirkan. Jika pun ada
tuntutan, boleh dibayar dengan harga sebiji epal, bukan dipaksa kahwin.
Bayangkan jika seseorang memandu kereta lalu terlanggar kereta orang lain dan tuannya tidak mahu memaafkan
melainkan dia mesti berkahwin dengan anak tuan kereta tersebut yang betul-betul tidak menawan. Apakah itu jalan
mendapatkan kehalalan atas sesuatu kesilapan yang tidak berkaitan?. Menghidangkan cerita-cerita yang seperti ini
untuk orang ramai walaupun dengan niat yang baik- hanya membuatkan Islam disalahtafsirkan sahaja.
Begitulah juga dahulu apabila ada pandangan seketika dulu supaya khatib yang berkhutbah memegang pedang
sebagai lambang kekuatan. Tindakan yang seperti itu boleh menyebabkan Islam disalahtafsirkan terutama di zaman
kita ini yang mana Islam dilebelkan oleh media khurafat Barat sebagai agama keganasan.
Saya tertarik dengan kata-kata al-Hafiz al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): Nabi s.a.w tidak pernah
memegang pedang atau selainnya (ketika berkhutbah). Hanya baginda memegang anak panah atau tongkat
sebelum dibuat mimbar. Baginda (ketika berkhutbah) dalam peperangan memegang anak panah dan ketika Jumaat
memegang tongkat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda memegang pedang. Apa yang disangka oleh
sesetengah golongan jahil bahawa baginda sentiasa memegang pedang sebagai tanda bahawa Islam ditegakkan
dengan pedang adalah kejahilan yang teramat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda selepas dibuat mimbar
menaikinya dengan pedang, atau anak panah atau selainnya. Tidak juga sebelum dibuat mimbar baginda
memegang pedang di tangannya sama sekali. Hanya baginda memegang tongkat atau anak panah (Ibn al-Qayyim,
Zad al-Maad, 1/439, Beirut: Muassasah al-Risalah).Atas dasar sebagai agama hujah dan fakta yang tegak membela
kebaikan manusia sejagat kita mengizin semua pihak termasuk agama lain berhujah secara harmoni dan baik. Islam
bukan macam sesetengah pejabat agama yang jika ada orang berbeza pendapat dengan ustaz-ustaznya terus
sahaja dilebelkan sebagai wahhabi. Islam agama yang sudi mendengar hujah dan alasan.
Firman Allah: Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahlul Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali
orang-orang yang berlaku zalim antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran)
yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga
Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, kami berserah diri. (al-Ankabut: ayat 46).
Firman Allah juga: (maksudnya) Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah
hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya
Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui
akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).

Saya seperti orang lain juga membantah tindakan Majlis Peguam membuat forum terbuka mengenai memeluk Islam
baru-baru ini kerana seakan wujudnya usaha menghapus identiti negara ini iaitu Islam. Walaupun sebenarnya identiti
Islam negara ini sudah banyak yang tercalar, namun tindakan mereka benar-benar mencabar. Saya tidak menafikan
hak mereka untuk membincangkan kebajikan penganut agama lain yang mereka dakwa diabaikan.
Mengapa hal itu tidak dibahas secara tertutup dan melalui saluran yang tidak memperlihatkan seakan mereka
mencabar identiti negara? Mereka akhirnya kelihatan seakan macam membantah bukan muslim masuk Islam kerana
boleh menyebabkan implikasi-implikasi yang mereka bangkitkan. Jika itu maksud mereka, sudah pasti umat Islam
akan sanggup berbenteng darah mempertahankan Islam.
Namun dalam masa yang sama, saya tidak menafikan bahawa setiap pihak boleh mengemukakan aduan atau
bantahan jika terbukti secara fakta ada yang dizalimi. Walaupun Islam agama yang adil, namun kemungkinan berlaku
ketidakadilan oleh para penganut atau perlaksananya itu ada. Jika itu berlaku, janganlah pula mereka cuba
mempertikaikan Islam dan kewibawaannya. Mereka hendaklah dapat membezakan antara kesalahan undangundang dengan kesilapan peguam atau hakim.
Demikian juga orang Islam, hendaklah dapat membezakan antara peraturan manusia yang beragama Islam dengan
hukuman atau peraturan Islam yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Bukan semestinya tindakan pejabat
agama Islam itu menurut kaedah Islam yang betul. Seperti bukan semua tindakan ustaz itu berdasarkan ajaran Allah
dan RasulNya. Al-Quran dan al-Sunnah teguh dan kukuh. Sementara manusia terdedah kepada salah dan silap.
Seorang muslim perlu kritis dalam menilai sesuatu perkara.
Apabila menjelang pilihanraya di kawasan saya Permatang Pauh, saya mula gusar dengan kempen-kempen yang
bakal dilancar. Saya bimbang, seperti wang disalahgunakan untuk meraih undi, demikian agama juga nanti
disalahgunakan. Bimbang nanti ada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah yang dibaca bukan pada tempatnya. Rakyat
yang tidak kritis yang matang akan menelan segala yang didengar. Diputar belitkan maksud Allah dan Rasul
sehingga menjelma maksud tukang kempen.
Dahulu -semasa saya masih bersekolah rendah- masyarakat Islam Pulau Pinang, apabila menjelang pilihanraya
akan terdengar nas-nas yang melarang memilih orang kafir sebagai calon. Hari ini mungkin nas-nas tersebut telah
pun dimuziumkan. Sebab itu dalam laman web saya, saya mengambil kesempatan ingat-mengingati calon-calon
yang bertanding.
Saya sebut: Calon-calon Yang Dikasihi, proses demokrasi jika tidak dipandu dengan kesedaran Islam akan
menjerumuskan kita ke kancah yang serba jijik dan kotor. Lihatlah apa yang terjadi dalam masyarakat kita apabila
berpegang dengan demokrasi yang tidak ditapis dengan tapisan wahyu ilahi; lahirnya politik wang, permusuhan

sesama muslim tanpa alasan yang benar, fitnah menfitnah, caci-mencaci dan segala macam racun permusuhan dan
kebencian yang hidup atas nama baja demokrasi. Dalam mencapai hasrat kuasa dan memenangi persaingan untuk
mendapatkan kuasa ramai pemain di gelanggang demokrasi itu melupai prinsip-prinsip Islam yang harmoni dan
lurus.
Keperluan politik umat bukan itu semua. Sebaliknya kita ingin mendengar siapakah yang memiliki peribadi yang luhur
dan pemikiran dan serta yang mampu membangunkan masyarakat dan negara ke arah yang lebih harmoni, terurus
dan sopan berdasarkan teras-teras yang diredhahi Allah.
Didiklah masyarakat kita untuk hidup dalam iklim politik yang harmoni dan penuh kesantunan. Janganlah nanti
generasi baru yang sedang membesar akhirnya tidak mengenali politik melainkan dengan wajah serba kehodohan
dan kebiadapan cara dan bahasa. Hak-hak setiap muslim lebih mulia di sisi Allah daripada kerusi politik yang
menjadi kegilaan sebahagian manusia. Kita sudah penat mendengar maki hamun, ketidakjujuran, pembohongan dan
penipuan atas nama politik. Berilah ruang untuk rakyat hidup dalam udara politik yang bersih dan segar. Jangan
jadikan mereka terbiasa dengan pencemaran sehingga akhirnya mereka sebati dengan kejijikan siasah yang tiada
penghujungnya.
Akhirnya kita tidak akan dapat menghayati Islam yang tulen selagi minda kita tidak kritis menapis antara yang baik
dengan yang buruk. Antara yang salah dengan yang betul. Islam membentuk minda kritis dan penuh analisis.

Anda mungkin juga menyukai