Anda di halaman 1dari 2

“Bersatu teguh bercerai roboh” merupakan satu cogan kata yang dalam maknanya

untuk diamalkan oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup. Cogan
kata ini menggesa seluruh masyarakat bersatu dan berganding bahu dalam melakukan
sesuatu pekerjaan atau menyelesaikan sesuatu masalah supaya mereka dapat hidup
dalam suasana yang sejahtera, utuh, dan harmoni. Sebaliknya, jika kita bercerai-cerai,
berpecah-belah, dan mementingkan diri sendiri, kita akan mengalami huru-hara dan
kehancuran.Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat yang berbilang
kaum, kita haruslah menghayati peribahasa ini dengan hidup bersatu padu tanpa
mengira bangsa, agama, dan adat resam. Untuk mencapai kemajuan nagara,
masyarakat harus hidup dalam suasana aman dan damai.

Semangat bersatu padu boleh disemai dan dipupuk dalam kalangan jiran
tetangga melalui semangat kejiranan, khususnya di kawasan bandar yang semangat
kejiranannya dikatakan semakin luntur. Kita yang tinggal di kawasan bandar sering
berjauhan dengan keluarga dan kaum kerabat. Jadi, jiranlah yang menjadi saudara
mara kita yang terdekat. Melalui hubungan sedemikian, masalah-masalah sosial seperti
kecurian dan rompakan dapat dikurangkan. “Jiran sepakat membawa berkat” juga
dapat diperhatikan melalui suasana kemesraan, tolong-menolong, dan saling menjaga
kebajikan sesama mereka. Semangat gotong-royong, iaitu dengan melakukan kerja
secara beramai-ramai juga akan mengeratkan hubungan sosial antara anggota
masyarakat dan seterusnya dapat melahirkan perasaan kekitaan dan kesedaran
kebangsaan.

Selain itu, dengan adanya aktiviti bergotong-royong, masa, tenaga, dan


perbelanjaan individu, masyarakat, dan negara dapat dijimatkan. Hal ini juga bermakna,
sesuatu kerja berat akan menjadi ringan apabila dilakukan bersama, bak kata pepatah “
berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Dalam bidang pentadbiran, sama ada di
sektor swasta atau di sektor kerajaan, semangat bersatu dalam kalangan pekerjanya
juga harus dipupuk. Sekiranya semangat ini diabaikan, maka sesebuah organisasi itu
tidak akan maju. Hal ini terjadi kerana tidak ada kerjasama antara semua pihak untuk
memajukan organisasi tersebut. Jika hanya pihak tertentu sahaja yang bekerja
bertungkus lumus, sedangkan pihak yang lain tidak memberi komitmen, maka kejayaan
cemerlang tidak akan tercapai. Oleh yang demikian, semangat seperti “aur dengan
tebing” perlu dijadikan panduan demi meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.

Di peringkat nasional, memang tidak dinafikan lagi tentang kepentingan semangat


bersatu itu. Misi dan visi yang dirancangkan oleh kerajaan untuk memajukan negara
bukan setakat memerlukan kerjasama semua rakyat, malahan kerajaan dan rakyat
harus bersatu dan berganding bahu untuk menjayakannya. Usaha-usaha kerajaan
untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat tidak akan menjadi realiti,
sekiranya tidak ada tindak balas positif daripada rakyat keseluruhannya. Jika segelintir
sahaja yang menyahutnya, maka kempen-kempen dan program-program kerajaan
seperti inflasi sifar, cintai alam sekitar, budaya membaca, dan lain-lain akan gagal.
Tambahan pula, negara sekarang sedang mengalami masalah ekonomi. Oleh sebab itu
rakyat harus bersama-sama membantu memulihkan keadaan supaya tidak bertambah
teruk. Rakyat dan kerajaan tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana masalah yang
melanda negara dirasai bersama-sama.

Oleh hal yang demikian, dapatlah kita katakan bahawa pepatah “bersatu teguh
bercerai roboh” amat penting untuk dijadikan teras dalam mencapai kejayaan. Jika
masyarakat berpecah-belah dan bercerai-berai, sudah pasti berbagai-bagai masalah
negara akan timbul seperti kes jenayah, pengangguran, kemiskinan, rusuhan kaum,
dan lain-lain. Sesungguhnya keadaan sosial yang tidak stabil akan membantutkan
usaha kerajaan untuk memajukan negara. Oleh itu, marilah kita beramal dan berpegang
teguh dengan peribahasa “bersatu teguh bercerai roboh” demi kebahagiaan kita semua.

Anda mungkin juga menyukai