Anda di halaman 1dari 4

AMALAN MENABUNG

Kebaikan Amalan Menabung Dalam Kalangan Masyarakat

Di era globalisasi dan modenisasi ini, kebaikan amalan menabung dalam kalangan
masyarakat tidak dapat disangkal lagi. Hal ini kerana kehidupan rakyat Malaysia dilihat kian
terbeban dengan kos hidup yang meningkat. Masyarakat dilihat kurang memberi respon
yang baik atau tidak berminat terhadap amalan menabung walaupun kaedah menabung
masa kini adalah selamat dan terjamin berbanding masa lalu. Untuk mencapai kehidupan
yang selesa, kita mesti bersedia secara fizikal dan mental tanpa mengabaikan aspek
kewangan terutamanya. Oleh itu, sebelum berdepan dengan pelbagai masalah di masa akan
datang, kita mestilah membuat persiapan bijak seperti pepatah Melayu “sediakan payung
sebelum hujan” agar kita tidak dilanda musibah dalam keadaan tidak bersedia. Wang yang
kita perolehi melalui pekerjaan boleh disimpan di dalam bank atau juga tabung. Biarlah kita
mula menabung atau menyimpan walaupun dengan jumlah yang sedikit pada awalnya kerana
“Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit”. Dapatlah dilihat bahawa amalan menabung sudah
pasti memberi impak positif kepada kita pada masa depan. Dalam kalangan masyarakat
moden, amalan menyimpan wang di bank boleh dikaitkan sebagai sikap suka menabung.
Persepsi masyarakat terhadap wang adalah sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan
kejayaan kehidupan seseorang itu. Memanglah duit itu tidak dapat menjanjikan kebahagiaan
tetapi dengan duit seseorang itu dapat membuat diri bahagia dan juga membahagiakan
orang lain. Bagi mewujudkan masyarakat yang bijak dalam hal kewangan serta pandai
berjimat, tabiat menabung adalah satu amalan penting yang mesti dipraktikkan dalam hidup.
Apakah kelebihan yang boleh didapati dengan menabung? Berikut adalah kepentingan
amalan menabung dalam sesebuah keluarga :

Dapat dijadikan simpanan untuk masa hadapan


Bekalan wang untuk kegunaan ketika kecemasan
Mengelak daripada boros dan membazi
Dapat menjadi contoh tauladan kepada anak
Dapat dijadikan sebagai bank kecil tanpa perlu meminta wang daripada pihak lain
Menjalinkan hubungan baik sesama manusia kerana semua menabung

Contoh Karangan Kepentingan Amalan Menabung Dan Menyimpan Wang

1. Simpanan untuk masa hadapan

pertama sekali, antara faedah menabung adalah dapat membekalkan sebuah keluarga atau
individu dengan sumber kewangan untuk kegunaan masa depan. Hal ini demikian kerana wang
boleh dianggap segalanya pada zaman kini. Jika seseorang itu gagal untuk menyimpan wang yang
secukupnya untuk masa hadapan, akan menjadi sukar untuk menjamin masa depan yang cerah
baginya. Sebagai contoh, jika sepasang suami isteri yang melahirkan anak dalam usia agak lewat
serta tidak mempraktikkan kegiatan menabung, mereka akan berhadapan dengan masalah
kewangan apabila tiba waktu persaraan kerana perlu menanggung kos pembelajaran anak
mereka yang masih kecil. Bagi seorang pelajar pula, wang sangat penting untuk menampung

perbelanjaan persekolahan seperti berikut:

Alat tulis,
Buku-buku rujukan
Yuran sekolah
Yuran kelas tambahan (tuisyen)

Dan apabila pelajar itu berjaya dalam peperiksaan dan terus mara ke peringkat seterusnya seperti
di universiti, dia akan memerlukan wang yang lebih banyak bagi menampung kos pengajian. Ini
kerana perbelanjaan tambahan adalah seperti kos penginapan di hostel pusat pengajian yang
kemungkinan terletak jauh dari tempat tinggal rumah pelajar. Oleh yang demikian, menabung
mesti diamalkan sejak kecil lagi supaya wang tersebut dapat digunakan pada masa akan datang.

2. Bekalan wang untuk kegunaan kecemasan


Seterusnya, setiap orang perlu sedar bahawa keperluan duit semasa waktu kecemasan juga
membuatkan amalan menabung itu sangat penting. Hal ini kerana manusia tidak dapat
menjangka pada bila masa mereka perlu mengeluarkan wang yang banyak bagi menanggung kos
perbelanjaan sesuatu perkara yang boleh hadir tanpa diduga seperti peribahasa “malang tidak
berbau”. Misalnya, contoh kes kecemasan adalah seperti

Bencana alam seperti gemba bumi, tanah runtuh dan banjir besar
Kemalangan jalan raya
Kematian ahli keluarga secara mengejut
Masalah kesihatan

Justeru, kita perlu mengambil langkah bersiap sedia jika hal yang tidak diingini
seperti ini menimpa kita atau keluarga kita. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan
dengan simpanan yang banyak hasil menabung dapat membantu mengatasi
masalah atau situasi ketika kecemasan.

3. Amalan agar tidak menjadi boros dan membazir

Selain itu, menabung dapat menjauhkan diri daripada sikap pembaziran. Hal ini kerana dengan
menyimpan wang, ianya mempunyai kesan termasuk dapat memupuk nilai-nilai murni seperti
berjimat-cermat dan bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan masa depan kita. Seseorang itu
cenderung untuk boros ketika berbelanja dan berfikiran secara tidak rasional ketika membuat
pilihan. Manusia akan mudah tertarik dengan promosi produk keluaran syarikat yang bijak
mempromosikan sesuatu produk dengan pakej pembungkusan yang cantik dan menarik
perhatian. Lalu pembeli akan terus membeli produk tersebut dengan tidak berfikir panjang
walaupun barang itu tidak diperlukan. Sama juga, seorang pekerja yang bekerja keras untuk
memperoleh wang tetapi tidak pandai untuk menabung dan mengawal perbelanjaannya akhirnya
akan dibebani dengan masalah kewangan. Dalam agama Islam terdapat kenyataan bahawa sikap
boros itu adalah amalan syaitan. Secara rumusannya, menabung boleh menghindarkan diri
daripada bersikap boros serta dapat meningkatkan jumlah simpanan seseorang.

4. Dapat menjadi contoh tauladan kepada anak

Tambahan pula, amalan menabung yang disemai oleh ibu bapa dapat dijadikan contoh
teladan kepada anak mereka. Perkara ini bermaksud sesebuah keluarga yang mengambil
berat tentang amalan menabung akan disambung generasi seterusnya melibatkan anak,
cucu, sehinggakan cicit akan turut serta mencontohi perbuatan moyang mereka. Ini
sangat sesuai dengan pepatah Melayu, “bapa borek, anak rintik”. Sebagai contoh, anak-
anak yang setahun jagung akan diajar untuk menabung sehingga dewasa, dan seterusnya
ideologi ini akan diwariskan. Oleh itu, amalan menabung dalam keluarga akan berkekalan
sekiranya ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk tabiat menabung di
kalangan ahli keluarga.

5. Dijadikan bank kecil, tidak mengharapkan orang lain untuk memberi wang

Selain itu, dengan mengamalkan sikap menabung secara konsisten, ianya dapat menangani
segala masalah yang bakal menimpa kita pada masa akan datang. Perkara ini boleh terjadi apabila
sesebuah keluarga memerlukan wang yang berjumlah besar untuk melaksanakan bayaran
terhadap sesuatu. Keluarga tersebut berkemungkinan akan mengharapkan pinjaman daripada
pihak bank. Tetapi masalah sebenar akan timbul apabila pinjaman tersebut akan dikenakan
faedah yang boleh membebankan. Sebagai contoh, jika seseorang yang meminjam sebanyak lima
puluh ribu ringgit untuk membeli sebuah kereta, dia perlu memastikan wang sebanyak enam
puluh ribu yang mesti dilangsaikan kepada pemiutang atas 10 peratus faedah yang dikenakan.
Hal ini dapat dielak dengan mudahnya sekiranya kita memilih untuk menyimpan wang pada masa
dahulu yang lebih baik berbanding meminjam wang. Oleh yang demikian, kita mestilah sentiasa
menekankan kepentingan menabung dalam kalangan keluarga dan orang tersayang agar tidak
perlu berada dalam situasi yang tidak diinginkan.

6. Mengekalkan hubungan baik sesama manusia hasil kegiatan menabung

Akhir sekali, melalui tabiat menabung, ianya dapat mengeratkan hubungan silatuhrahim antara
keluarga. Perkara ini dapat dibuktikan dengan keluarga tersebut akan menggunakan masa untuk
berkongsi jumlah wang yang telah disimpan sesama mereka dan kegunaannya pada masa akan
datang. Contohnya, jika seseorang daripada keluarga ingin meminjam duit daripada ahli
keluarganya oleh kerana duit simpanannya yang tidak mencukupi. Oleh sebab ahli keluarganya
yang lain merupakan golongan yang mementingkan amalan menabung, maka seseorang dapat
berbincang dengan ahli keluarganya yang lain untuk meminjam duit sementara waktu. Oleh itu, di
sini dapatlah dilihat menabung itu dapat merapatkan keakraban tali persaudaraan dalam
keluarga. Secara kesimpulannya, amalan menabung mempunyai banyak kepentingan untuk
seorang individu dan keluarga kerana menabung akan memberi manfaat pada jangka masa
panjang khususnya. Galakkan amalan menabung mesti diwujudkan agar lebih ramai orang yang
menyedari kepentingan amalan ini. Tidak kira usia samada muda mahupun tua, marilah kita mula
menabung dengan cermat kerana “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-
susah dahulu, bersenang-senang kemudian”.

Ⓒ Artikel Asal Di : https://www.ipendidikan.my/kebaikan-amalan-menabung.html

Anda mungkin juga menyukai