Anda di halaman 1dari 2

09:11

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMUPUK AMALAN MENABUNG DALAM DIRI ANAK-
ANAK
Posted by Noraini Ismail


Sebagaimana yang kita tahu, pada tahun 2010, sebanyak tujuh purnama telah mengucapkan salam permisi
bulan demi bulan. Bagaimanapun, dalam aspek sosial, pelbagai lakaran suram telah terpahat akibat kurang kesedaran
masyarakat tentang kepentingan amalan menabung. Masyarakat lebih gemar menghabiskan wang yang ada daripada
menabung. Stigma yang negatif ini sememangnya sudah lama berakar umbi dalam jiwa masyarakat. Walaupun pihak
kerajaan pernah memerah keringat untuk menggalakkan rakyat menabung, khususnya anak-anak, tetapi usaha murni
tersebut telah menemui jalan buntu, seperti hujan jatuh di atas pasir. Secara literalnya, menabung dapat ditakrifkan
sebagai amalan menyimpan wang di bank, di dalam tabung dan yang seumpamanya. Dalam usaha menjayakan
amalan menabung, ibu bapa memainkan peranan yang paling penting untuk memupuk amalan menabung dalam
kalangan anak-anak.

Kanak-kanak diibaratkan sebagai kain putih, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya. Ibu bapa
seyogia melakukan anjakan paradigma untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak, bak peribahasa
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh hal yang demikian, ibu bapa harus menjadikan diri sebagai suri teladan
untuk anak-anak. Pada usia yang muda, anak-anak tidak dapat berfikir dengan rasional dan matang serta tidak dapat
membezakan antara intan dengan kaca. Kesannya, mereka akan mencontohi pelakuan dan tingkah laku ibu bapa.
Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Peribahasa yang sering terngiang-ngiang di telinga kita ini masih dapat
dibuktikan kebenarannya sehingga hari ini. Memandangkan anak-anak akan mencontohi apa-apa jua tindakan dan
gelagat ibu bapa, ibu bapa harus mengamalkan tabiat menabung. Antaranya, ibu bapa harus menyimpan wang yang
berlebihan di dalam tabung. Ibu bapa juga harus membuka akaun bank untuk menyimpan wang. Kontranya, sekiranya
ibu bapa membazir wang mereka, anak-anak tidak mungkin akan menabung. Gambaran di atas memanifestasikan
peranan ibu bapa sebagai suri teladan untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak.

Mutakhir ini, pihak bank telah memberikan galakan kepada masyarakat untuk membuka akaun bank. Pihak
bank juga menyediakan pelbagai insentif yang menarik, seperti kadar faedah yang tinggi kepada sesiapa sahaja yang
membuka akaun bank untuk menambat hati masyarakat. Lantas ibu bapa harus memanfaatkan peluang ini untuk
membuka akaun bank bagi anak-anak mereka. Amalan menyimpan wang di dalam bank dapat dicerminkan dengan
peribahasa, menyediakan payung sebelum hujan. Hal ini berlaku demikian kerana wang yang akan disimpan di
dalam bank dapat digunakan semasa kecemasan. Dengan membuka akaun bank, anak-anak berpeluang didedahkan
dengan kepentingan amalan menabung. Anak-anak juga akan mengambil iktibar bahawa menabung merupakan
amalan kudus yang harus disemai. Ibu bapa juga harus mengambil inisiatif tanpa mengenal penat dan lelah untuk
membawa anak-anak ke bank dua bulan sekali. Usaha untuk menyimpan wang di bank harus dilakukan secara
istiqamah dan konsisten, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Ilustrasi di atas menggambarkan bahawa ibu
bapa harus mengorak langkah yang proaktif untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak.

Semasa meraikan hari ulang tahun kelahiran anak-anak, ibu bapa gemar menghadiahkan hadiah yang mahal-
mahal kepada anak-anak sebagai tanda kasih sayang terhadap anak-anak. Sebagai misalan, terdapat segelintir ibu
bapa yang akan menghadiahkan komputer, alat permainan video dan sebagainya kepada anak-anak sebagai bukti
mereka telah menatang minyak yang penuh. Pernahkah terlintas dalam jalur fikiran anak-anak tentang impak negatif
pemberian hadiah-hadiah sedemikian kepada anak-anak? Kesan yang paling ketara ialah anak-anak akan bersifat
hedonistik. Lantaran itu, langkah yang paling afdal ialah ibu bapa sewajarnya menghadiahkan tabung kepada anak-
anak sempena ulang tahun kelahiran anak-anak. Hal ini bukan sahaja dapat menyerlah kasih sayang ibu bapa terhadap
anak-anak, tetapi juga dapat menanam amalan menabung dalam hati nurani anak-anak. Ibu bapa digalakkan
menghadiahi anak-anak tabung yang cantik dan bercorak menarik agar anak-anak akan menggunakannya untuk
menabung. Anak-anak juga akan menyedari kepentingan amalan menabung dalam kehidupan seharian. Deduksinya,
memang tidak ada sesiapa yang berupaya menyangkal bahawa tindakan ibu bapa memberikan tabung sebagai hadiah
adalah sangat wajar untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak.

Sementelahan itu, ibu bapa harus memberikan penerangan kepada anak-anak untuk memupuk amalan
menabung dalam kalangan anak. Alternatif ini dapat diibaratkan sebagai perisai yang amouh kerana dengan adanya
penerangan, anak-anak akan dapat meluaskan horizon mereka tentang kepentingan amalan menabung. Sebagai
contoh, amalan menabung dapat menggarap nilai berjimat-cermat dan mengikis sikap boros anak-anak. Anak-anak
juga berupaya menguruskan kewangan dengan lebih efektif untuk mengelakkan pembaziran. Pada masa yang sama,
ibu bapa harus memberitahu anak-anak tentang kesan-kesan negatif sekiranya amalan menabung tidak dipraktikkan
dalam kehidupan seharian. Antaranya, anak-anak akan dikuasai keborosan. Penerangan harus diberikan secara
berhemah dan lemah lembut supaya lebih mudah diterima oleh anak-anak. Ibu bapa juga wajar menjadikan cerita, teka-
teki dan tayangan video sebagai saluran untuk menyampiakan informasi tersebut kepada anak-anak. Hal ini demikian
kerana media-media tersebut amat mujarab untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Sebagai
penalinya, ibu bapa harus menggembleng tenaga dan mendukung obligasi untuk membentuk generasi masa hadapan
yang menyemai amalan menabung dalam sanubari.

Setiap tahun, pihak kerajaan akan bahu-membahu dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk
menganjurkan Kempen Menabung. Matlamat utama aktiviti tersebut dianjurkan adalah untuk mempraktikkan amalan
menabung dalam kalangan anak. Dalam majlis pelancaran Kempen Menabung, pelbagai aktiviti yang menarik akan
diadakan, seperti sayembara menulis esei, kuiz pengetahuan am dan pertandingan melukis. Hadiah-haidah yang
lumayan telah disediakan untuk pemenang-pemenang. Oleh itu, ibu bapa harus membawa anak-anak untuk
memeriahkan majlis tersebut serta memberikan kerjasama yang padu untuk menjayakan kempen tersebut. Usaha
pihak kerajaan yang bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) adalah seperti sambil menyelam minum
air. Hal ini demikian, usaha yang murni ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan kekeluargaan, tetapi juga dapat
memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Anak-anak memang akan memperoleh kemaslahatan yang banyak
sehingga tidak dapat dihitung oleh jari. Antaranya, anak-anak akan diperkenalkan kepada teknik menabung yang
berkesan. Anak-anak juga dapat menghabiskan masa dengan berfaedah. Natijahnya, ibu bapa berperanan untuk
membawa anak-anak ke Kempen Menabung agar dapat memupuk amalan menabung dalam kalangan anak.

Akhirulkalam, seluruh lapisan masyarakat khususnya ibu bapa harus melangkah sederap dengan pihak-pihak
ataupun agensi-agensi yang lain untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Amalan menabung
merupakan nadi pembangunan dan kesentosaan negara. Oleh yang demikian, jangan meranapkan impian Wawasan
2020 yang lantang diuar-uarkan oleh mantan perdana Menteri Malaysia, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad. Bersama-
samalah kita memanifestasikan iltizam Malaysia untuk menjadi negara yang maju yang dapat berdiri sama tinggi, duduk
sama rendah dengan negara moden di seantero dunia. Hal ini kerana salah satu elemen ke arah kemajuan negara
ialah amalan menabung. Biar matahari terus bersinar, biar pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gilang-
gemilang di persada antarabangsa hingga kekal abadi. Semoga dengan saranan-saranan pragmatik di atas menjadi
kenyataan, fajar sidik 2020 yang akan menyingsing nanti akan membawa sinar baharu kepada masa hadapan anak
watan Malaysia. Nik kasa nir jaya. Ungkapan berirama Sanskrit ini mencerakinkan bahawa kejayaan tidak mungkin
dibuahkan tanpa usaha yang padu dan konkrit daripada ibu bapa untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan
anak, seperti juga yang digambarkan dalam rangkap pantun berikut:

Kulit upih dihiris mayang,
Bersarang ulat di tepian kolek,
Yang pipih tidak datang melayang,
Yang bulat tidak datang bergolek.

LIM HARN CHIENH (5SCB)

Anda mungkin juga menyukai