Anda di halaman 1dari 7

Pendahuluan

menabung - amalan menyimpan atau mengumpul wang - dengan keadaan taraf hidup
yang semakin tinggi - amalan ini perlu disemaikan dalam jiwa remaja - belajar
menyimpan agar masa depan lebih terjamin - banyak langkah-langkah yang boleh
diambil dalam memastikan amalan ini terus bercambah dalam diri anak muda

Isi isi
peranan ibu - bapa - pupuk budaya suka menyimpan dalam jiwa anak-anak sejak kecil
- jangan terlalu ikut kemahuan mereka/limpahi mereka dengan kemewahan -
sebaliknya ajar remaja untuk menyimpan wang jika ingin membeli sesuatu - buka
akaun simpanan untuk anak-anak - didik dan lentur mereka agar tidak membelanjakan
semua wang saku - baki wang saku dimasukkan ke dalam bank pada setiap hujung
bulan - anak akan sedar betapa pentingnya menyimpan atau menabung

peranan remaja (individu) - remaja perlu sedar - yang bulat tidak datang bergolek
dan yang pipih tidak datang melayang - perlu belajar menyimpan dari sekarang supaya
dapat menempah hidup yang lebih senang di masa akan datang - disiplinkan diri agar
dapat menyimpan sejumlah wang (kendatipun sedikit) setiap hari/bulan - remaja
boleh mengajak rakan sebaya agar turut sama menabung dan tidak boros berbelanja

peranan pihak sekolah - anjurkan minggu atau bulan kesedaran menabung -


laksanakan kempen dan aktiviti yang wajar diadakan demi menghidupkan budaya
menyimpan dalam kalangan remaja - contohnya: membuat kerjasama dengan pihak
bank - memanggil wakil dari pihak bank ke sekolah - membolehkan pelajar membuka
akaun simpanan dengan jumlah minima/menambah wang simpanan

peranan pihak bank atau institusi kewangan - adakan pakej-pakej khusus untuk
remaja dengan pelbagai faedah seperti hadiah lumayan dan perlindungan insurans -
lebih menarik minat remaja. Contoh lain - PTPTN wujudkan akaun SSPN yang
menggalakkan anak-anak & remaja menabung untuk pembiayaan pengajian tinggi
mereka kelak - memancing minat remaja untuk menyimpan

peranan pihak kerajaan - lancarkan kempen-kempen seperti bijak berbelanja,


berbelanja secara berhemat dengan meluas - gunakan semua wadah media untuk
sampaikan mesej pada remaja - wujudkan Hari Menabung - bertujuan untuk suntik
kesedaran kepada remaja akan betapa pentingnya menabung
Penutup

sekiranya setiap pihak menggembleng tenaga memainkan peranan masing-masing -


usaha untuk mendidik remaja tentang kepentingan menyimpan akan berjaya kikis
budaya boros berbelanja sebaliknya pupuk dalam diri agar berbelanja secara
berhemat
Amalan Menabung
Faedah Menabung

Menabung merupakan satu amalan proaktif berpaksikan kesedaran seseorang dalam


membuat persediaan bagi menjamin masa depan yang cerah. Pada zaman
pascaglobalisasi ini, menyimpan wang tabungan di bank merupakan prakarsa yang
efektif untuk memastikan wang tabungan disimpan dengan selamat berbanding dengan
menyimpan wang secara konvesional di rumah. Malah terdapat juga tabungan yang
dibuat melalui skim pelaburan yang menjanjikan dividen yang tinggi. Amalan
menabung ini perlu dijadikan instrumen dalam mendepani kos hidup yang semakin
kompleks dan mencabar. Walaupun amalan menabung ini merupakan perkara yang
positif, masih ramai golongan remaja yang memandang sepi akan faedah menabung
kepada mereka. Pelbagai pihak perlu membuka mata akan faedah menabung kepada
seseorang apatah lagi dalam era ledakan maklumat dan bahang industrialisasi kini.

Aktiviti menabung membolehkan seseorang merencana masa depan dengan ekonomi


yang kukuh dan mapan. Hal ini kerana menabung merupakan alternatif untuk
menambah pendapatan dengan menyimpan wang di bank secara berterusan dan dalam
jangka masa panjang. Melalui penyimpanan ini, pendeposit akan memperoleh faedah
atau dividen daripada pihak bank mahupun agensi pelaburan. Apabila wang sudah
terkumpul, seseorang individu tidak akan berdepan dengan masalah ketirisan wang
sehingga boleh menjejaskan keselesaan hidup mereka. Amalan gali lubang tutup lubang
dengan meminjam daripada rakan-rakan atau saudara mara akan dapat diatasi. Amalan
ini bukan sahaja boleh merosakkan institusi kekeluargaan malah boleh merenggangkan
persahabatan apabila pinjaman tidak dapat dibayar semula. Sebagai contohnya,
seseorang individu boleh menggunakan wang tabungan untuk membeli hartanah dan
membiayai kos pembelian termasuklah urusan jual beli yang pastinya tidak melibatkan
wang yang sedikit jumlahnya. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, menabung
merupakan inisiatif positif yang perlu menjadi budaya hidup seseorang kerana boleh
merencana masa depan yang kukuh.

Pada zaman yang serba canggih dengan kepesatan kemajuan sains dan teknologi ini
memaksa kita mendapatkan pendidikan yang sempurna agar dapat bersaing di pentas
global. Hal ini kerana melalui tabiat menabung, kita akan mendapat pelbagai limpahan
nikmat terutamanya apabila hendak melanjutkan pelajaran ke menara gading. Hasil
tabungan boleh digunakan untuk membiayai kos pendidikan dan mentaliti
kebergantungan kepada wang bantuan dapat dikesisikan daripada terus menjadi
pegangan hidup. Sebagai contohnya, ibu bapa yang ,membuat tabungan melalui
insurans pendidikan tidak akan menghadapi masalah apabila anak-anak mereka
ditawarkan mengikuti pengajian di universiti. Para remaja juga boleh menggunakan
wang tabungan untuk membeli buku rujukan yang boleh membantu meningkatkan
tahap intelektualisme mereka. Kursus-kursus pengajian yang ditawarkan tentu sahaja
memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, amalan menabung sedikit-sedikit lama-lama jadi
bukit akan membantu kita membiayai kos pendidikan yang sempurna bagi menjana
kemajuan negara agar dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara
maju yang lain.
Putaran kehidupan akan mengubah seseorang daripada kanak-kanak kepada remaja
dan akhirnya menjadi dewasa. Semasa menjangkau usia dewasa, komitmen hidup
semakin kompleks kerana perlu menyara kerluarga. Hal ini kerana dalam zaman
milineum ini, kos kehidupan dijangka semakin meningkat dan memerlukan kebestarian
akal dalam menghadapinya. Wang tabungan amat penting dan perlu direncanakan
secara sistematik agar pendapatan bulanan dapat dibelanjakan secara berhemah. Kek
pendapatan perlu dibahagikan dengan bijak dan memastikan sebahagiannya disimpan
sebagai wang tabungan. Kehidupan berkeluarga amat bernilai dan kemenjadian anak-
anak menjadi satu harapan bagi semua insan yang bergelar ibu dan bapa. Sehubungan
dengan itu,, anak-anak perlu mendapat pendidikan yang sempurna bagi melengkapkan
mereka dengan ilmu dan kemahiran menguasai kemahiran teknologi. Sebagai
contohnya, selain diberikan pendidikan wajib dan formal di sekolah, ibu bapa juga perlu
menghantar anak-anak menghadiri kelas tambahan . dan memastikan tanggungjawab
menjaga dan menanggung keperluan asas anak-anak seperti pakaian, makanan dan
tempat tinggal yang selesa. Oleh itu, amalan menabung perlu subur di dalam jiwa
kerana boleh dijadikan sumber untuk menyara keluarga .

Keselesaan dan kesenangan hidup tentunya menjadi impian setiap insan. Sesebuah
keluarga memerlukan bukan sahaja rumah yang selesa malah kemudahan yang moden
dan efisien. Hal ini kerana kos untuk memiliki semua ini bukanlah sedikit. Selain harga
rumah yang melebihi ratusan ribu ringgit, peralatan elektrik, bil elektrik dan air
merupakan perkara wajib yang mesti dimiliki dan dibayar dengan segera. Justeru,
untuk memiliki kesempurnaan hidup ini, amalan menabung merupakan langkah bijak
dan mendatangkan impak yang besar. Kemampuan untuk membeli peralatan rumah
secara tunai sebenarnya jauh lebih murah daripada jika dibeli secara ansuran. Segai
contohnya, kita boleh menyimpan dalam jangka waktu tertentu untuk memiliki
barangan idaman tanpa perlu berhutang. Kebijaksanaan dalam membuat belanjawan
kewangan dan membuat tabungan merupakan cara yang paling bijak untuk membeli
barangan yang berkualiti sesuai dengan alah beli menang memakai. Bagaimanapun,
amalan ukur baju di badan sendiri perlu menjadi keutamaan dalam menggunakan wang
tabungan. Oleh itu, amalan menabung menjamin keselesaan dan kesenangan hidup
kita.

Hidup ini bagai roda dan kita tidak dapat menduga masa depan kita. Menabung boleh
dijadikan instrumen untuk mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan
seperti kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Hasil tabungan kita boleh
dijadikan cagaran pada waktu kesusahan, kecemasan dan kesempitan. Walaupun kita
berusaha untuk menjauhi sebarang kesusahan namun malang tidak berbau dan langit
tidak selalu cerah. Apabila awan mendung menyelubungi kehidupan, wang yang
disimpan boleh digunakan untuk membiayai kos rawatan perubatan atau saat
kecemasan. Kealpaan untuk menabung merupakan satu kesilapan yang perlu diteladani
daripada pengalaman hidup orang lain. Kita tidak mahu meminta-minta apabila
ditimpa musibah. Sebagai contohnya, apabila keupayaan dan kudrat terbatas akibat
penyakit atau usia yang semakin bertambah, wang tabungan boleh digunakan. Kita
menjadikan wang simpanan sebagai perisai menghadapi risiko dan tidak menjadi
seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Oleh itu, menabung boleh menjadi medium
penyelamat bagi kita menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan.

Menabung boleh dijadikan sebagai wahana mendisiplinkan keluarga. Hal ini kerana
amalan menabung membolehkan kita nmenyemai dan menyuburkan amalan berjimat
cermat dan berpegang kepada peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis.
Anak-anak yang masih kecil perlu dididik untuk menabung boleh mendorong anak-
anak menjauhi pembaziran, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kesederhanaan
dalam kehidupan dapat dibentuk memandangkan fitrah anak-anak yang mudah
dibentuk jika diberikan teladan yang baik. Sebagai contohnya,ibu bapa boleh
membelikan tabung atau membawa anak-anak mengunjungi institusi perbankan agar
mereka dapat melihat sendiri akan iklim sihat yang perlu diikuti. Dengan cara ini anak-
anak akan terdedah dengan budaya hidup sihat dan mengenali pengurusandunia
kewangan dan impaknya kepada ekonomi diri, keluarga dan kepentingannya di
peringkat sarwajagat.Kemaslahatan menabung juga perlu diwara-warakan dengan
sebaik-baiknya agar anak-anak yang masih kecil dapat menghayati konsep tabungan
dengan lebih jelas lagi. Oleh itu, amalan menabung boleh menjadi salah satu prakarsa
yang pragmatik untuk mendisiplinkan keluarga sekaligus melahirkan keluarga yang
sejahtera

Natijahnya, menabung merupakan amalan mulia yang perlu dijadikan budaya hidup
dan dipraktikkan. Amalan ini boleh menjana kestabilan ekonomi seseorang individu
dan mengekalkan keseimbangan negara secara efektif. Perspektif negatif seperti biar
papa asal bergaya perlu diubah agar setiap individu mempunyai visi untuk keluar
daripada belenggu kehidupan yang begitu mencabar. Menabung boleh dijadikan
benteng untuk mendepani realiti dunia baru yang pantas berubah dan berkembang.
Semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan obligasi
terhadap amalan menabung terus subur dalam diari ekonomi setiap individu agar
kemakmuran diri dan negara dapat dikekalkan momentumnya.
Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Amalan
Menabung Dalam Diri Anak-Anak
Posted by Noraini Ismail

Sebagaimana yang kita tahu, pada tahun 2010, sebanyak


tujuh purnama telah mengucapkan salam permisi bulan
demi bulan. Bagaimanapun, dalam aspek sosial, pelbagai
lakaran suram telah terpahat akibat kurang kesedaran
masyarakat tentang kepentingan amalan menabung.
Masyarakat lebih gemar menghabiskan wang yang ada
daripada menabung. Stigma yang negatif ini sememangnya
sudah lama berakar umbi dalam jiwa masyarakat. Walaupun
pihak kerajaan pernah memerah keringat untuk
menggalakkan rakyat menabung, khususnya anak-anak,
tetapi usaha murni tersebut telah menemui jalan buntu,
seperti hujan di atas pasir. Secara literalnya, menabung
dapat ditakrifkan sebagai amalan menyimpan wang di bank,
di dalam tabung dan yang seumpamanya. Dalam usaha
menjayakan amalan menabung, ibu bapa memainkan
peranan yang paling penting untuk memupuk amalan
menabung dalam kalangan anak-anak.
Kanak-kanak diibaratkan sebagai kain putih yang tanpa tompok, terpulanglah kepada ibu
bapa untuk mencorakkannya. Ibu bapa seyogia melakukan anjakan paradigma untuk
memupuk amalan menabung dalam kalangan anak, sepantun peribahasa melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Oleh hal yang demikian, ibu bapa harus menjadikan diri sebagai
suri teladan untuk anak-anak. Pada usia yang muda, anak-anak tidak dapat berfikir dengan
rasional dan matang serta tidak dapat membezakan antara intan dengan kaca. Kesannya,
mereka akan mencontohi pelakuan dan tingkah laku ibu bapa. Bagaimana acuan, begitulah
kuihnya. Peribahasa yang sering terngiang-ngiang di telinga kita ini masih dapat dibuktikan
kebenarannya sehingga hari ini. Memandangkan anak-anak akan mencontohi apa-apa jua
tindakan dan gelagat ibu bapa, ibu bapa harus mengamalkan tabiat menabung. Antaranya,
ibu bapa harus menyimpanwang yang berlebihan di dalam tabung. Ibu bapa juga harus
membuka akaun bank untuk menyimpan wang. Kontranya, sekiranya ibu bapa membazir
wang mereka, anak-anak tidak mungkin akan menabung. Gambaran di atas
memanifestasikan peranan ibu bapa sebagai suri teladan untuk memupuk amalan
menabung dalam kalangan anak.

Mutakhir ini, pihak bank telah memberikan galakan kepada masyarakat untuk membuka
akaun bank. Pihak bank juga menyediakan pelbagai insentif yang menarik, seperti kadar
faedah yang tinggi kepada sesiapa sahaja yang membuka akaun bank untuk menambat hati
masyarakat. Lantas ibu bapa harus memanfaatkan peluang ini untuk membuka akaun bank
bagi anak-anak mereka. Amalan menyimpan wang di dalam bank dapat dicerminkan dengan
peribahasa, menyediakan payung sebelum hujan. Hal ini berlaku demikian kerana wang
yang akan disimpan di dalam bank dapat digunakan semasa kecemasan. Dengan membuka
akaun bank, anak-anak berpeluang didedahkan dengan kepentingan amalan menabung.
Anak-anak juga akan mengambil iktibar bahawa menabung merupakan amalan kudus yang
harus disemai. Ibu bapa juga harus mengambil inisiatif tanpa mengenal penat dan lelah
untuk membawa anak-anak ke bank dua bulan sekali. Usaha untuk menyimpan wang di
bank harus dilakukan secara istiqamah dan konsisten, bukan sekadar hangat-hangat tahi
ayam sahaja. Ilustrasi di atas menggambarkan bahawa ibu bapa harus mengorak langkah
yang proaktif untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak.

Semasa meraikan hari ulang tahun kelahiran anak-anak, ibu bapa gemar menghadiahkan
hadiah yang mahal-mahal kepada anak-anak sebagai tanda kasih sayang terhadap anak-
anak. Sebagai misalan, terdapat segelintir ibu bapa yang akan menghadiahkan komputer,
alat permainan video dan sebagainya kepada anak-anak sebagai bukti mereka telah
menatang minyak yang penuh. Pernahkah terlintas dalam jalur fikiran anak-anak tentang
impak negatif pemberian hadiah-hadiah sedemikian kepada anak-anak? Kesan yang paling
ketara ialah anak-anak akan bersifat hedonistik. Lantaran itu, langkah yang paling afdal
ialah ibu bapa sewajarnya menghadiahkan tabung kepada anak-anak sempena ulang tahun
kelahiran anak-anak. Hal ini bukan sahaja dapat menyerlah kasih sayang ibu bapa terhadap
anak-anak, tetapi juga dapat menanam amalan menabung dalam hati nurani anak-anak. Ibu
bapa digalakkan menghadiahi anak-anak tabung yang cantik dan bercorak menarik agar
anak-anak akan menggunakannya untuk menabung. Anak-anak juga akan menyedari
kepentingan amalan menabung dalam kehidupan seharian. Deduksinya, memang tidak ada
sesiapa yang berupaya menyangkal bahawa tindakan ibu bapa memberikan tabung sebagai
hadiah adalah sangat wajar untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak.

Sementelahan itu, ibu bapa harus memberikan penerangan kepada anak-anak untuk
memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Alternatif ini dapat diibaratkan sebagai
perisai yang amouh kerana dengan adanya penerangan, anak-anak akan dapat meluaskan
horizon mereka tentang kepentingan amalan menabung. Sebagai contoh, amalan menabung
dapat menggarap nilai berjimat-cermat dan mengikis sikap boros anak-anak. Anak-anak juga
berupaya menguruskan kewangan dengan lebih efektif untuk mengelakkan pembaziran.
Pada masa yang sama, ibu bapa harus memberitahu anak-anak tentang kesan-kesan negatif
sekiranya amalan menabung tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Antaranya, anak-
anak akan dikuasai keborosan. Penerangan harus diberikan secara berhemah dan lemah
lembut supaya lebih mudah diterima oleh anak-anak. Ibu bapa juga wajar menjadikan cerita,
teka-teki dan tayangan video sebagai saluran untuk menyampiakan informasi tersebut
kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana media-media tersebut amat mujarab untuk
memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Sebagai penalinya, ibu bapa harus
menggembleng tenaga dan mendukung obligasi untuk membentuk generasi masa hadapan
yang menyemai amalan menabung dalam sanubari.

Setiap tahun, pihak kerajaan akan bahu-membahu dengan organisasi bukan kerajaan (NGO)
untuk menganjurkan Kempen Menabung. Matlamat utama aktiviti tersebut dianjurkan
adalah untuk mempraktikkan amalan menabung dalam kalangan anak. Dalam majlis
pelancaran Kempen Menabung, pelbagai aktiviti yang menarik akan diadakan, seperti
sayembara menulis esei, kuiz pengetahuan am dan pertandingan melukis. Hadiah-haidah
yang lumayan telah disediakan untuk pemenang-pemenang. Oleh itu, ibu bapa harus
membawa anak-anak untuk memeriahkan majlis tersebut serta memberikan kerjasama yang
padu untuk menjayakan kempen tersebut. Usaha pihak kerajaan yang bekerjasama dengan
organisasi bukan kerajaan (NGO) adalah seperti sambil menyelam minum air. Hal ini
demikian, usaha yang murni ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan kekeluargaan,
tetapi juga dapat memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Anak-anak memang
akan memperoleh kemaslahatan yang banyak sehingga tidak dapat dihitung oleh jari.
Antaranya, anak-anak akan diperkenalkan kepada teknik menabung yang berkesan. Anak-
anak juga dapat menghabiskan masa dengan berfaedah. Natijahnya, ibu bapa berperanan
untuk membawa anak-anak ke Kempen Menabung agar dapat memupuk amalan menabung
dalam kalangan anak.

Akhirulkalam, seluruh strata masyarakat khususnya ibu bapa harus melangkah sederap
dengan pihak-pihak ataupun agensi-agensi yang lain untuk memupuk amalan menabung
dalam kalangan anak. Amalan menabung merupakan nadi pembangunan dan kesentosaan
negara. Justeru, jangan meranapkan impian Wawasan 2020 yang lantang diuar-uarkan oleh
mantan perdana Menteri Malaysia, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammah. Bersama-samalah kita
memanifestasikan iltizam Malaysia untuk menjadinegara yang maju yang dapat berdiri sama
tinggi, duduk sama rendah dengan negara moden di seantero dunia. Hal ini kerana salah
satu elemen kearah kemajuan negara ialah amalan menabung. Biar matahari terus bersinar,
biar pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gilang-gemilang di persada
antarabangsa hingga kekal abadi. Semoga dengan saranan-saranan pragmatik di atas
menjadi kenyataan, fajar sidik 2020 yang akan menyingsing nanti akan membawa sinar baru
kepada masa hadapan anak watan Malaysia. Nik kasa nir jaya. Ungkapan berirama
Sanskrit ini mencerakinkan bahawa kejayaan tidak mungkin dibuahkan tanpa usaha yang
padu dan konkrit daripada ibu bapa untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan
anak, seperti juga yang digambarkan dalam rangkap puisi berikut:

Kulit upih dihiris mayang,

Bersarang ulat di tepian kolek,

Yang pipih tidak dating melayang,

Yang bulat tak dating bergolek

Anda mungkin juga menyukai