Anda di halaman 1dari 1

Kebaikan Menabung

Rata-ratanya kita sedar bahawa amalan menabung patut diterapkan dalam diri kita
sejak kecil lagi kerana 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Amalan yang 'tak lapuk
dek hujan, tak lekang dek panas' ini amat disenangi oleh masyarakat sejak dahulu hingga
sekarang. Keperluan menabung mempunyai alasan yang tidak dapat dipersoalkan.
Bak kata pepatah, 'sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit', menabung akan
menambah harta kita. Dengan sejumlah wang simpanan, kita dapat membeli barang yang
dikehendaki, contohnya rumah dan kereta. Jika wang yang dikumpul itu tidak mampu
membayar harga rumah, sekurang-kurangnya wang pendahuluan mampu dijelaskan.
Pendek kata, menabung dapat menambah wang kita untuk memiliki sesuatu yang kita
idam-idamkan.
Dalam kehidupan yang penuh pancanoba dan cabaran ini, sesiapa sahaja mungkin
ditimpa musibah. Seseorang itu barangkali jatuh sakit dan memerlukan wang rawatan
yang banyak. Sekiranya seseorang itu menabung, keadaan kewangannya tidak akan
genting. Berbekalkan wang tabung, kita tidak usah meminjam daripada pihak lain untuk
mengatasi masalah sendiri. Dengan menabung, kita dapat berdikari bagi menyelesaikan
masalah yang dihadapi.
Sungguhpun menabung dapat memanfaatkan diri sendiri, namun janganlah
sampai ke tahap yang menyusahkan. Seseorang yang berjimat perlu juga menderma
kepada fakir miskin. Sikap 'tangkai jering' patut dihindari. Menabur budi kepada orang
yang kurang mampu akan mendapat pahala. Dengan menabung, kita dapat mendermakan
wang untuk tujuan kebajikan.
Akhir kata, menabung sememangnya amalan yang mendukung fungsi 'serampang
dua mata', iaitu baik kepada diri dan juga kepada orang lain. Dengan perancangan
perbelanjaan yang teliti, kita dapat menjimatkan sejumlah wang dalam kehidupan
seharian. Oleh itu, amalan menabung wajar dilaksanakan oleh setiap ahli masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai