Anda di halaman 1dari 6

Faedah Menabung Pidato : TAJUK0

TAJUK : FAEDAH MENABUNG


Para cendiakawan mengatakan bahawa dengan wang, kita dapat melakukan segala-galanya
tetapi dengan wang kita tidak dapat membeli segala-galanya. Oleh hal yang demikian,
menabung memang sinonim dengan wang dan masa hadapan. Orang yang mengabaikan
amalan ini diumpamakan orang yang tidak mengendahkan cabaran hari mendatang.
Realitinya , peribahasa Melayu ada menjelaskan bahawa sediakan paying sebelum hujan.
Kata-kata ini membuatkan saya terpanggil untuk merungkaikannya melalui sebuah pidato
yang berpaksikan tajuk Faedah Menabung.
Sejambak mawar seharum kasturi buat pimpinan majlis, barisan kehakiman intelektual
berkarisma, penjaga masa yang setia dengan masanya, guru-guru dan rakan-rakan yang
dikasihi.
Assalamualaikum , Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Berakit-rakit kehulu, berenang-renang ketepian,
Bersakit-sakit dahulu, bersenang senang kemudian.
Hadirin yang dikasihi.
Izinkan saya merungkaikan maksud pidato saya pada hari ini. Menurut kamus dewan edisi
ke-$, faedah bermaksud guna atau manfaat. Manakala menabung pula menyimpan wang di
bank atau di dalam tabung. Menabung wang dapat mendisiplinkan diri kita. Kesabaran dan
kesanggupan berkorban demi masa hadapan menjadi titik tolak seseorang untuk menabung.
Sesungguhnya, menabung merupakan satu amalan yang sangat mulia. Terdapat banyak
faedah sekiranya kita menabung.
Hadirin yang dihormati.
Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan menabung dapat melahirkan masyarakat yang
memeliki tahap tatasusila yang tinggi. Menabung wang mempunyai kesan serampang dua
mata. Bukan sekadar menyimpan duit di dalam tabung bahkan dapat memupuk nilai-nilai
murni dalam setiap sanubari. Sikap berjimat cermat dan bertanggungjawab terhadap diri
sendiri sendiri serta kehidupan masa hadapan dapat disematkan. Apabila kita menabung
wang, kita akan dapat mengelakkan diri kita daripada berbelanja secara boros yang akan
merugikan diri kita sendiri. Dalam Agama Islam ada menyatakan bahawa sikap boros itu
merupakan sahabat syaitan. Oleh hal demikian, dengan menabung wang kita akan belajar
Manahan nafsu daripada berbelanja berlebih-lebihan.
Seperkara lagi, amalan menyimpan wang juga dapat membantu mengurangkan perbelanjaan
ibu bapa di dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa sentiasa bekerja siang dan malam
bagai lebah mengumpulkan madudemi membiayai kos kehidupan yang semakin meningkat.
Peribahasa melayu ada mengatakan ingat sebelum kena dan berjimat sebelum habis juga telah

menjelaskan kepada kita bertapa pentingnya penggunaan wang secara bijak agar tidak
berlakunya pembaziran wang.
Hadirin dan hadirat sekalian.
Dalam suasana ekonomi Negara yang serba mencabar ini, wang sangat tinggi nilainya. Segala
urusan memerlukan wang. Impaknya ramai orang terpaksa berhutang , sama ada berhutang
dengan institusi perbankan mahupun berhutang dengan peminjam yang tidak berlesen seperti
ah-long dan ceti haram., gara-gara memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan.
Sesungguhnya amalan menabung dapat menyelamatkan diri kita daripada menjadi orang
yang mempunyai hutang keliling pinggang.
Hadirin yang dirahmati.
Dewasa ini, ramai anak muda Berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading samaada di
instusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Justeru itu, wang yang banyak [erlu
disediakan. Dengan menabung kualiti kehidupan yang lebih baik, dapat dinikmati. Wang
yang ditabung boleh menjadi modal untuk melanjutkan pelajaran demi member pulangan
kehidupan yang lebih baik kepada ayahda dan bonda. Sesungguhnya menabung adalah
sebagai persediaan masa hadapan khususnya dalam pelajaran. Oleh hal demikian, jika kita
mengamalkan alamalan menabung wang sejak kecil, sudah pastilah masalah kekurangan
wang untuk belajar akan dapat diatasi apabila kita telah bersiap sedia sejak awal lagi.
Kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Anak-anak digalakkan menabung.
Sekiranya kita telah bersedia lebih awal menyimpan wangsudah pasti masalah kesempitan di
kala kecemasan dapat di atasi. Seterusnya dapat menanam nilai berdikari di samping
mengetahui setiap sen merupakan hasil titik peluh dan keringat yang amat bermakna.
Akhirkata, sebagai penutup tirai, wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin
mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa amalan menabung mesti diterapkan dalam
setiap diri kerana ternyata menabung member banyak faedah kepada kita semua. Mulalah
menabung dari sekarang, sikit-sikit lama-lama jadi bukit

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap suka
menabung perlu dipupuk sejak kecil. Menabung memberi banyak faedah kepada kita.
Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Oleh
sebab itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa
bekalan air dan makanan ke sekolah. Justeru, baki duit yang diberi ibubapa dapat disimpan ke
dalam tabung.
Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini boleh
digunakan untuk menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke
universiti. Selain itu, wang simpanan juga membantu kita membeli barang-barang keperluan
diri kita sendiri. Ibu bapa pasti akan berasa bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat
cermat dan berdikari itu.
Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit wang
itu juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, wang ini juga boleh
digunakan jika ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru kita tidak perlu
meminta-minta kepada orang lain.
Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di
dalam bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini boleh
digunakan untuk menampung kehidupan masa hadapan. Justeru kita dapat hidup dengan
selesa dan tidak menyusahkan orang lain.
Sesungguhnya menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata pepatah,
'ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah menabung dari
sekarang kerana 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Faedah Menabung

Menabung merupakan satu amalan proaktif berpaksikan kesedaran seseorang dalam membuat
persediaan bagi menjamin masa depan yang cerah. Pada zaman pascaglobalisasi ini,
menyimpan wang tabungan di bank merupakan prakarsa yang efektif untuk memastikan
wang tabungan disimpan dengan selamat berbanding dengan menyimpan wang secara
konvesional di rumah. Malah terdapat juga tabungan yang dibuat melalui skim pelaburan
yang menjanjikan dividen yang tinggi. Amalan menabung ini perlu dijadikan instrumen
dalam mendepani kos hidup yang semakin kompleks dan mencabar. Walaupun amalan
menabung ini merupakan perkara yang positif, masih ramai golongan remaja yang
memandang sepi akan faedah menabung kepada mereka. Pelbagai pihak perlu membuka mata
akan faedah menabung kepada seseorang apatah lagi dalam era ledakan maklumat dan
bahang industrialisasi kini.
Aktiviti menabung membolehkan seseorang merencana masa depan dengan ekonomi yang
kukuh dan mapan. Hal ini kerana menabung merupakan alternatif untuk menambah
pendapatan dengan menyimpan wang di bank secara berterusan dan dalam jangka masa
panjang. Melalui penyimpanan ini, pendeposit akan memperoleh faedah atau dividen
daripada pihak bank mahupun agensi pelaburan. Apabila wang sudah terkumpul, seseorang
individu tidak akan berdepan dengan masalah ketirisan wang sehingga boleh menjejaskan
keselesaan hidup mereka. Amalan gali lubang tutup lubang dengan meminjam daripada
rakan-rakan atau saudara mara akan dapat diatasi. Amalan ini bukan sahaja boleh merosakkan
institusi kekeluargaan malah boleh merenggangkan persahabatan apabila pinjaman tidak
dapat dibayar semula. Sebagai contohnya, seseorang individu boleh menggunakan wang
tabungan untuk membeli hartanah dan membiayai kos pembelian termasuklah urusan jual
beli yang pastinya tidak melibatkan wang yang sedikit jumlahnya. Oleh itu, sudah terang lagi
bersuluh, menabung merupakan inisiatif positif yang perlu menjadi budaya hidup seseorang
kerana boleh merencana masa depan yang kukuh.
Pada zaman yang serba canggih dengan kepesatan kemajuan sains dan teknologi ini memaksa
kita mendapatkan pendidikan yang sempurna agar dapat bersaing di pentas global. Hal ini
kerana melalui tabiat menabung, kita akan mendapat pelbagai limpahan nikmat terutamanya
apabila hendak melanjutkan pelajaran ke menara gading. Hasil tabungan boleh digunakan
untuk membiayai kos pendidikan dan mentaliti kebergantungan kepada wang bantuan dapat
dikesisikan daripada terus menjadi pegangan hidup. Sebagai contohnya, ibu bapa yang
,membuat tabungan melalui insurans pendidikan tidak akan menghadapi masalah apabila
anak-anak mereka ditawarkan mengikuti pengajian di universiti. Para remaja juga boleh
menggunakan wang tabungan untuk membeli buku rujukan yang boleh membantu
meningkatkan tahap intelektualisme mereka. Kursus-kursus pengajian yang ditawarkan tentu
sahaja memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, amalan menabung sedikit-sedikit lama-lama
jadi bukit akan membantu kita membiayai kos pendidikan yang sempurna bagi menjana
kemajuan negara agar dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara maju yang
lain.
Putaran kehidupan akan mengubah seseorang daripada kanak-kanak kepada remaja dan
akhirnya menjadi dewasa. Semasa menjangkau usia dewasa, komitmen hidup semakin

kompleks kerana perlu menyara kerluarga. Hal ini kerana dalam zaman milineum ini, kos
kehidupan dijangka semakin meningkat dan memerlukan kebestarian akal dalam
menghadapinya. Wang tabungan amat penting dan perlu direncanakan secara sistematik agar
pendapatan bulanan dapat dibelanjakan secara berhemah. Kek pendapatan perlu dibahagikan
dengan bijak dan memastikan sebahagiannya disimpan sebagai wang tabungan. Kehidupan
berkeluarga amat bernilai dan kemenjadian anak-anak menjadi satu harapan bagi semua insan
yang bergelar ibu dan bapa. Sehubungan dengan itu,, anak-anak perlu mendapat pendidikan
yang sempurna bagi melengkapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran menguasai
kemahiran teknologi. Sebagai contohnya, selain diberikan pendidikan wajib dan formal di
sekolah, ibu bapa juga perlu menghantar anak-anak menghadiri kelas tambahan . dan
memastikan tanggungjawab menjaga dan menanggung keperluan asas anak-anak seperti
pakaian, makanan dan tempat tinggal yang selesa. Oleh itu, amalan menabung perlu subur di
dalam jiwa kerana boleh dijadikan sumber untuk menyara keluarga .
Keselesaan dan kesenangan hidup tentunya menjadi impian setiap insan. Sesebuah keluarga
memerlukan bukan sahaja rumah yang selesa malah kemudahan yang moden dan efisien. Hal
ini kerana kos untuk memiliki semua ini bukanlah sedikit. Selain harga rumah yang melebihi
ratusan ribu ringgit, peralatan elektrik, bil elektrik dan air merupakan perkara wajib yang
mesti dimiliki dan dibayar dengan segera. Justeru, untuk memiliki kesempurnaan hidup ini,
amalan menabung merupakan langkah bijak dan mendatangkan impak yang besar.
Kemampuan untuk membeli peralatan rumah secara tunai sebenarnya jauh lebih murah
daripada jika dibeli secara ansuran. Segai contohnya, kita boleh menyimpan dalam jangka
waktu tertentu untuk memiliki barangan idaman tanpa perlu berhutang. Kebijaksanaan dalam
membuat belanjawan kewangan dan membuat tabungan merupakan cara yang paling bijak
untuk membeli barangan yang berkualiti sesuai dengan alah beli menang memakai.
Bagaimanapun, amalan ukur baju di badan sendiri perlu menjadi keutamaan dalam
menggunakan wang tabungan. Oleh itu, amalan menabung menjamin keselesaan dan
kesenangan hidup kita.
Hidup ini bagai roda dan kita tidak dapat menduga masa depan kita. Menabung boleh
dijadikan instrumen untuk mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan seperti
kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Hasil tabungan kita boleh dijadikan cagaran
pada waktu kesusahan, kecemasan dan kesempitan. Walaupun kita berusaha untuk menjauhi
sebarang kesusahan namun malang tidak berbau dan langit tidak selalu cerah. Apabila awan
mendung menyelubungi kehidupan, wang yang disimpan boleh digunakan untuk membiayai
kos rawatan perubatan atau saat kecemasan. Kealpaan untuk menabung merupakan satu
kesilapan yang perlu diteladani daripada pengalaman hidup orang lain. Kita tidak mahu
meminta-minta apabila ditimpa musibah. Sebagai contohnya, apabila keupayaan dan kudrat
terbatas akibat penyakit atau usia yang semakin bertambah, wang tabungan boleh digunakan.
Kita menjadikan wang simpanan sebagai perisai menghadapi risiko dan tidak menjadi seperti
sudah jatuh ditimpa tangga. Oleh itu, menabung boleh menjadi medium penyelamat bagi kita
menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan.

Menabung boleh dijadikan sebagai wahana mendisiplinkan keluarga. Hal ini kerana amalan
menabung membolehkan kita nmenyemai dan menyuburkan amalan berjimat cermat dan
berpegang kepada peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Anak-anak yang
masih kecil perlu dididik untuk menabung boleh mendorong anak-anak menjauhi
pembaziran, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kesederhanaan dalam kehidupan dapat
dibentuk memandangkan fitrah anak-anak yang mudah dibentuk jika diberikan teladan yang
baik. Sebagai contohnya,ibu bapa boleh membelikan tabung atau membawa anak-anak
mengunjungi institusi perbankan agar mereka dapat melihat sendiri akan iklim sihat yang
perlu diikuti. Dengan cara ini anak-anak akan terdedah dengan budaya hidup sihat dan
mengenali pengurusandunia kewangan dan impaknya kepada ekonomi diri, keluarga dan
kepentingannya di peringkat sarwajagat.Kemaslahatan menabung juga perlu diwara-warakan
dengan sebaik-baiknya agar anak-anak yang masih kecil dapat menghayati konsep tabungan
dengan lebih jelas lagi. Oleh itu, amalan menabung boleh menjadi salah satu prakarsa yang
pragmatik untuk mendisiplinkan keluarga sekaligus melahirkan keluarga yang sejahtera
Natijahnya, menabung merupakan amalan mulia yang perlu dijadikan budaya hidup dan
dipraktikkan. Amalan ini boleh menjana kestabilan ekonomi seseorang individu dan
mengekalkan keseimbangan negara secara efektif. Perspektif negatif seperti biar papa asal
bergaya perlu diubah agar setiap individu mempunyai visi untuk keluar daripada belenggu
kehidupan yang begitu mencabar. Menabung boleh dijadikan benteng untuk mendepani realiti
dunia baru yang pantas berubah dan berkembang. Semua pihak perlu berganding bahu bagai
aur dengan tebing bagi memastikan obligasi terhadap amalan menabung terus subur dalam
diari ekonomi setiap individu agar kemakmuran diri dan negara dapat dikekalkan
momentumnya.

Anda mungkin juga menyukai