Anda di halaman 1dari 1

FAEDAH PELANCONGAN GASTRONOMI

Pelancong gastronomi merujuk kepada aktiviti sementara individu atau sekumpulan manusia
ke sesebuah lokasi yang bertujuan untuk merasai atau menikmati makanan yang dijadikan
sebagai ‘trademark’ sesuatu kawasan. Seperti contoh, Melaka terkenal dengan makanan asam
pedas manakala di Negeri Sembilan pula terkenal dengan masakan masak lemaknya. Di
Malaysia, pelancong gastronomi mula menjadi perhatian kerana orang ramai gemar menikmati
makanan yang asli di tempat asalnya malah masyarakat kini lebih terbuka dengan mencuba
pelbagai makanan daripada pelbagai etnik di negara kita seperti Melayu, Cina dan India. Oleh itu,
terdapat pelbagai faedah pelancongan gastronomi yang bakal dikupas sebentar lagi.

Melalui aktiviti perlancongan gastronomi, kita dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan
dan pengalaman kita yang sedia ada. Ada sesetengah ilmu sukar untuk diperoleh di tempat kita
tinggal. Contohnya, ilmu membuat sejenis kuih tradisional sesuatu tempat. Jikalau kita bernasib
baik, kita akan dapat mempelajarinya di kawasan berdekatan dengan rumah kita sendiri. Namun,
ilmu itu akan menjadi lebih berharga sekiranya kita sendiri ke sana untuk mempelajarinya. Seperti
kuih Akok yang popular di negeri Kelantan yang menggunakan telur itik sebagai bahan utamanya.
Pengalaman yang ditimba sepanjang melancong akan menjadi tidak ternilai. Bukankah,
pengalaman itu tidak dapat diganti dengan wang ringgit?
Di samping itu, pelancongan gastronomi juga dapat merapatkan hubungan silaturrahim
sesama manusia. Tidak kisahlah kita melancong dengan kawan mahupun keluarga, yang pasti hubungan
yang terjalin antara kita akan menjadi lebih rapat dan mesra lagi. Sebelum ini, kita terlalu sibuk
menguruskan hal-hal keduniaan sehinggakan kita tidak mempunyai masa untuk diluangkan
bersama-sama dengan mereka. Maka, inilah waktu yang terbaik. Ketika melancong kita dapat
berkongsi idea dan cadangan untuk memilih tempat makanan yang ‘viral’ bersama rakan atau
keluarga. Aktiviti ini secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan apabila masing-masing
berlumba-lumba untuk memilih makanan yang terbaik di tempat yang dilawati.
Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat
penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada di negara kita
dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia
dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyarakat kita terdiri daripada
berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tercinta kita.
Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat
manusia kerana muafakat.

Anda mungkin juga menyukai