Anda di halaman 1dari 2

LATIHAN PKP - AHAD 29 MAC 2020

RUMUSAN : KELEBIHAN BIDANG TEKNIK DAN VOKASIONAL

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan bidang pendidikan
teknikal dan vokasional dan cabaran-cabaran untuk memajukan bidang ini. Panjangnya rumusan anda
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Malaysia berpotensi untuk menjadi sebuah negara yang berteknologi tinggi di samping rakyat yang
memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang. Untuk mencapai hasrat tersebut, kerajaan berusaha untuk
memperkasa bidang pendidikan teknikal dan vokasional dengan menaiktarafkan sekolah vokasional
menjadi kolej vokasional serta memberikan diploma kepada para pelajarnya.

Pendidikan teknikal dan vokasional penting dalam melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi
bagi memenuhi pembangunan negara dalam bidang teknologi. Kita tidak boleh selamanya bergantung
kepada kepakaran asing seperti membawa masuk tenaga mahir dalam bidang ini dari Korea, Jepun dan
Jerman kerana negara terpaksa membayar upah yang tinggi kepada mereka. Hal ini dapat mengelakkan
kerugian kepada negara kerana terpaksa membawa tenaga mahir dari luar. Tambahan pula,
perkembangan mutakhir menunjukkan bahawa lulusan dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional
lebih mudah memperoleh pekerjaan ekoran pembukaan kilang-kilang oleh pelabur asing di negara ini
yang memerlukan pekerja dalam kalangan anak tempatan. Para pelabur asing ini sanggup membayar
upah yang lumayan asalkan rakyat tempatan yang berkelulusan dalam bidang tersebut mempunyai
keupayaan yang setanding dengan pekerja luar negara.

Usaha kerajaan memperkasakan pendidikan teknikal dan vokasional kerana kerajaan mendapati
pemikiran rakyat mengenai kepentingan pendidikan ini semakin terbuka. Jika dahulu, rakyat sering
menganggap bahawa lulusan bidang ini tidak mempunyai peluang pekerjaan, tetapi tanggapan ini telah
berubah. Malahan, lulusan dalam bidang ini menjadi tulang belakang kepada sektor perindustrian negara
yang merangkumi pelbagai bidang. Tambahan pula, kemahiran yang dikuasai oleh mereka itu dapat
memperkukuh kedudukan negara dalam bidang teknologi perindustrian yang semakin pesat berkembang
pada masa ini.

Tegasnya, pendidikan teknikal dan vokasional penting bagi menjana golongan pekerja yang
berkemahiran dan berpengetahuan. Oleh sebab itu, kerajaan sentiasa berusaha untuk memajukan
bidang pendidikan ini dengan melahirkan modal insan pada peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan.
Oleh itu, golongan pelajar haruslah memanfaatkan bidang ini dengan sebaik-baiknya bagi merealisasikan
hasrat kerajaan untuk memajukan bidang ini setanding dengan negara maju yang lain.
(Dipetik dan diubah suai daripada

“Pendidikan Teknikal dan Vokasional Memacu Negara Maju”

oleh Nor Azami Abdul Rahim,

Dewan Masyarakat, Julai 2015)

Soalan 2(a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.

i. Nyatakan maksud upah yang lumayan dalam petikan di atas.

[2 markah]

ii. Pengarang menyatakan beberapa langkah kerajaan untuk memperkasa pendidikan teknikal dan
vokasional di negara ini.

Nyatakan langkah-langkah tersebut.

[3 markah]

iii. Pada pendapat anda, mengapakan sesetengah masyarakat memandang rendah terhadap lulusan
bidang teknikal dan vokasional?

[4 markah]

Anda mungkin juga menyukai