Anda di halaman 1dari 18

KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN

KEBANGSAAN (MTT2353)
TINJAUAN MENGENAI CABARAN-CABARAN
PENDIDIKAN VOKASIONAL DI MALAYSIA
Pengenalan
Perkembangan pesat dalam bidang sains dan teknologi, sosio ekonomi serta politik
dunia adalah di antara faktor yang merubah bentuk dan tahap kemahiran yang
diperlukan untuk sesuatu pekerjaan. Zaman Teknologi Maklumat ini bertambah
sukar untuk diramalkan jenis dan bentuk pekerjaan yang akan wujud pada masa
depan dengan tepat.
Adalah menjadi matlamat kerajaan Malaysia untuk mencapai status sebagai sebuah
negara yang maju pada tahun 2020. Untuk ini, peningkatan dari teknologi
berasaskan proses yang mudah kepada teknologi yang lebih canggih akan
memerlukan kepakaran 153,000 jurutera dan pembantu teknik. Jumlah tenaga
kepakaran dan pembantu teknik ini pernah dibincangkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia. Keperluan sumber manusia yang begitu banyak pasti
memberi cabaran yang besar kepada pendidikan teknik dan vokasional. Semasa
kegawatan ekonomi yang melanda negara kita sekarang. Mungkin ada soalan
tentang keperluan tenaga kerja di saat kegawatan ini, kerana kita selalu
dikhabarkan tentang pekerja-pekarja dibuang kerja.
Utusan Malaysia yang bertarikh 15 januari 1998, yang tajuk "Krisis ekonomi
Graduan menganggur berulang kembali" menurut Yulpisman Asli, terdapat banyak
pihak mengunjurkan bahawa situasi graduan menganggur akan berulang, kalau
melihat kepada penurunan permintaan pihak swasta terhadap butiran diri atau
resume'siswa tahun akhir di IPTA atau IPTS. Kursus-kursus tertentu sahaja yang
banyak mendapat permintaan dari pihak swasta. misalnya di Institut Teknologi
Mara (ITM), permintaan ketara adalah untuk kursus-kursus Teknologi Maklumat,
sementara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kepada kursus-kursus
kejuruteraan. Keadaan ini juga diakui oleh Pengarah Unit Rundingan Pelajar
UKM, Mohd.Tohir Hashim yang berkata, permintaan untuk mendapatkan lulusan
UKM agak berkurangan berbanding tahun lepas.
Tantawi Jauhari sebagai ketua Unit Kaunseling & Kerjaya ITM, turut mengakui
bahawa kemelesetan ekonomi sedikit sebanyak mempengaruhi peluang pekerjaan
pelajar ITM secara keseluruhannya. Pelajar-pelajar ITM juga menerima tawaran
peluang pekerjaan daripada syarikat-syarikat swasta tetapi jumlahnya agak kecil
berbanding sebelum ini, dan kebanyakannya membabitkan bidang berkaitan
denganTeknologi Maklumat. Kaunselor Jabatan Kaunseling dan Kerjaya Universiti
Islam Antarabangsa (UIA), juga menjelaskan bahawa syarikat menawarkan
jawatan kosong yang agak kecil dan berkurang dari tahun-tahun sebelumnya..
Manakala Pengerusi Koleh SAL, Abdul Rashid Abdul Ghani berkata, situasi
ekonomi pada masa kini sudah pasti akan menjejaskan sedikit sebanyak peluang
pekerjaan para graduan. Bagaimanapun menurut beliau, keadaan sekarang berbeza
dengan apa yang dihadapi oleh negara pada tahun 80an. Ini kerana, pelajar bidang
IT kurang merasai kesannya berbanding pelajar lain.
Agenda Koridor Raya Multimedia (MSC) negara sedikit sebanyak membantu
pelajar bidang IT daripada menerima tamparan kejatuhan ekonomi. Tetapi kita
tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya jika keadaan ini berlarutan. Dari apa
yang telah dijelaskan ini, maka situasi di sekolah vokasional juga akan menghadapi
satu cabaran yang genting. Pendidikan vokasional bukan lagi cuma mengikut apa
yang telah dirancang dua tiga tahun yang lepas, pengubahsuaian perancangan
perlulah demi memenuhi kehendak semasa. Pendidikan vokasional tidak
ketinggalan dalam soal menghadapi situasi kegawatan ini. Pihak Kementerian
Pendidikan Teknik dan vokasional perlu meneroka bidang-bidang baru yang dapat
mewujudkan peluang pekerjaan yang luas dan terjamin. Semua pelajar vokasional
juga perlu mempersiapkan diri mulai sekarang untuk menghadapi sebarang
kemungkinan.
Kegawatan ekonomi seperti yang dinyatakan di atas, merupakan cabaran yang
besar kepada latihan vokasional. Pertumbuhan di dalam ekonomi dan industri
negara adalah bergantung kepada keupayaan kita untuk mempertahankan kadar
produktiviti yang tinggi dan daya saingan diperingkat antarabangsa. Daya saing
dan produktiviti industri bergantung pula kepada adanya tenaga kerja yang
berpendidikan, mahir dan bermotivasi tinggi.
Oleh itu, hasrat dan harapan negara terhadap pendidikan dalam bidang teknik dan
vokasional adalah amat tinggi. Kepincangan di dalam sistem latihan ataupun
pendidikan vokasional akan mengakibatkan kekurangan tenaga mahir yang
seterusnya akan menyebabkan pertumbuhan industri menjadi lembab dan
pengeluaran nasional menjadi rendah. Oleh itu juga kami cuba membuat kajian
tentang cabaran-cabaran pendidikan vokasional di kala kegawatan ekonomi
Malaysia.
Sejarah pendidikan di Malaysia
Sebelum kita membincangkan isu-isu cabaran pendidikan vokasional secara kritis,
elok sekiranya kita menyingkap kembali sejarah pendidikan di Malaysia. Di awal
tahun Malaysia menuju kemerdekaan, keutamaan pendidikan telah diberikan
sepenuh perhatian dengan tertubuhnya satu Dasar Pendidikan (Pelajaran)
Kebangsaan melalui Penyata Razak pada tahun 1956 dan dimaktubkan dalam
Ordinan Pelajaran, 1957. Penyemakan semula Dasar Pendidikan telah dilakukan
pada tahun 1960 dengan lahirnya Laporan Rahman Talib yang kemudian
dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961. Kemudian, sebuah Jawatankuasa
Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar
Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat
untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta
memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat
dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979(Lampiran
A)
Setelah melihat sejarah pendidikan di Malaysia cuba kita kaji sejarah Pendidikan
vokasional pula. Pendidikan Vokasional telah di cadangkan lebih awal lagi, ini
boleh dilihat dalam Laporan Cheeseman. Dari sini dapat kita lihat bahawa
pendidikan Vokasional telah diutamakan dan dianggap penting bagi sesebuah
negara. Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan
Malaysia telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1964 . Sehingga tahun
1982, hanya terdapat 29 buah sekolah menengah vokasional diseluruh negara.
Sistem baru pendidikan vokasional di sekolah menengah vokasional telah
dimulakam dalam tahun 1987, dari perkembangan pendidikan ini telah
bertambahnya 41 buah sekolah menengah vokasional dengan jumlah keseluruhan
sebanyak 70 buah., bahagian ini bertanggungjawab untuk memperkembangkan
pendidikan teknik dan vokasional. Dari kajian sejarah pendidikan vokasional,
pendidikan vokasional telah hampir 40 tahun dilaksanakan dalam pendidikan
kebangsaan kita. Tetapi akhir-akhir ini pendidikan vokasional telah mengalami
perubahan yang ketara sekali. Kegawatan ekonomi juga sedikit sebanyak telah
mendorong perubahan dilakukan demi mencapai pendidikan Wawasan 2020.
Pendidikan Vokasional perlu seiringan dengan kehendak alam pekerjaan
semasa.
Pendidikan vokasional mempunyai peranan untuk memperkenalkan konsep dunia
pekerjaan kepada pelajar-pelajar. Adalah tepat sekali bahawa pendidikan
vokasional perlulah memberi pendedahan yang secukupnya kepada alam
pekerjaan. Di samping itu, ramai lulusan sekolah vokasional telah dihantar ke luar
negara, terutamanya ke Jepun untuk mendalami kemahiran masing-masing, tetapi
sejak kita dikejutkan dengan kejatuhan nilai ringgit Malaysia pada penghujung
tahun 1997. Kementerian Pendidikan telah membekukan penghantaran pelajar
keluar negara, kesan dari kegawatan ekonomi ini juga telah memberi satu tamparan
kepada pendidikan vokasional. Pendidikan vokasional akan menghadapi tugas
yang lebih mencabar lagi berat untuk menyediakan tenaga manusia bagi membantu
mencapai negara maju menjelang tahu 2020 di waktu ekonomi dunia tidak
menentu ini.
Penggunaan tenaga pengajar dalam negara perlulah dapat memberi kemahiran-
kemahiran yang diperlukan dalam melahirkan tenaga kerja yang diharapkan.
Kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M) adalah sesuatu yang perlu
diperkukuhkan, dan pelajar hendaklah dimaklumkan betapa pentingnya kemahiran
asas bagi semua corak pekerjaan.
Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Encik Frederick Wong Kong Kuong
berkata, pelajar hari ini adalah aset negara untuk merealisasikan matlamat
Wawasan 2020 negara.Sehubungan itu, beliau menyeru golongan pelajar agar
bersedia untuk bergerak ke hadapan serta meningkatkan pencapaian dalam bidang
akademik untuk memenuhi tenaga kerja mahir negara pada masa akan datang.
"Negara memerlukan rakyat yang berpendidikan tinggi serta memiliki kemahiran
dalam pelbagai bidang menjelang tahun 2020 apabila negara sudah mencapai
status sebuah negara perindustrian yang maju," katanya ketika berucap pada
majlis makan tengah hari dan penyampaian insentif Kesatuan Guru Sarawak
Cawangan Sarikei di sini baru-baru ini.
Kurikulum di sekolah menengah vokasional seharusnya meliputi kemahiran asas
untuk pekerjaan seperti kesedaran mengenai bidang pekerjaan yang ada, sikap
positif terhadap kerja, berkerjasama dalam pasukan, sifat-sifat murni, kemahiran
asas dalam sesuatu bidang, membuat keputusan, kemahiran menggunakan
komputer, pengurusan sumber manusia dan model, teknologi maklumat dan lain-
lain kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan menggunakan
kemampuan teknologi. Kemahiran berkomputer perlu didedahkan pada peringkat
awal persekolahan secara menyeluruh. Pendidikan bertanggungjawab memenuhi
keperluan dan harapan semua pelajar mengikut kebolehan dan kemampuan
masing-masing.
Teknologi yang sentiasa berkembang dan banyak mempengaruhi kehidupan
manusia. Sama ada di tempat kerja mahupun di rumah teknologi telah merubah
suasana kerja, cara kerja, cara berfikir dan lain-lain lagi. Jadi pendidikan
vokasional perlulah setiasa berubah dari masa ke semasa, supaya negara tidak akan
ketinggalan dalan perkembangan teknologi. Ini jelas dapat dilihat dalam falsafah
pendidikan negara yang mengutarakan sembilan cabaran kearah Wawasan 2020.
Cabaran yang ke enam di dalam pendidikan ke arah 2020 telah ditekankan
teknologi perlu diutamakan dalam pendidikan.

Membentuk sebuah masyarakat yang bersifat sains serta progresif berdaya cipta
dan berpandangan jauh ke hari muka, yakni sebuah masyarakat yang bukan
sahaja dapat `memanfaatkan teknologi kini tetapi turut menjadi penyumbang
terhadap pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa
hadapan. (lampiran B)
Cabaran yang ke enam ini penting di tahun-tahun kelesuan ekonomi negara.
Pendidikan vokasional boleh menjadi salah satu pemangkin ekonomi negara.
Pendidikan vokasional perlulah dapat merapatkan jurang antara kurikulum dengan
alam pekerjaan. Terdapat empat bidang yang perlu diambil berat oleh pendidikan
vokasional masa kini.
i. Sains dan Teknologi
Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai teknologi tinggi dan berfungsi
sebagai negara pengeluar. Pelbagai barangan dan perkakasan untuk keperluan
kehidupan dikeluarkan dan dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Untuk tujuan ini
sudah pasti kita memerlukan ahli reka cipta yang mempunyai daya kreatif dan
inovatif.
ii. Teknologi Maklumat
Keadaan dunia abad ke 21 akan semakin kecil dengan penemuan dan ciptaan baru
serta maklumat yang sebegitu banyak ledakan maklumat atau prasarana maklumat
menjadi paling hebat apabila high performance communication digabungkan
dengan high performance computing. Melalui penggunaan pelbagai alat dan
perkakasan hasil kemajuan teknologi seperti teknologi digital. World Wide Webs
dan Internet. Kita dapat mencapai, menyimpan, mendapat balik dan menggunakan
maklumat dengan cepat dalam masa yang singkat.
iii. Pasaran dan Industri
Pembangunan negara banyak bergantung kepada keteguhan ekonominya. Bidang
perniagaan, perusahaan dan perdagangan akan berkembang dari bentuk pasaran
secara kecil-kecilan kepada usaha yang luas di peringkat dunia. Pakar-pakar dalam
bidang ekonomi dan keusahawanan memang menjadi satu keperluan yang sangat
penting bagi mencapai produktiviti negara.
iv. Modenisasi
Proses modenisasi mempunyai koordinasi dan implikasi ke atas idea, pemikiran,
sistem nilai, world view, dan budaya masyarakat. Masyarakat Malaysia akan
menjadi bertambah kompleks dan terdedah kepada pelbagai masalah sosial.
Keganasan, penganiayaan, jenayah intelektual dan jenayah kolar putih, masalah
penyelewangan agama dan ketaatsetiaan negara. Negara memerlukan ahli fikir
termasuk ahli-ahli fikir dalam bidang agama untuk membantu mengatasi masalah
soasial dalam negara maju.
Pendidikan sekolah menengah vokasional perlulah sebagai jentera untuk
menyediakan tenaga kerja yang separa terlatih dalam pelbagai ilmu pengetahuan
dan kemahiran untuk menggerak dan menyuburkan pertumbuhan ekonomi negara.
Dari sudut lain pula pelajar yang sama setelah melalui sistem pendidikan formal,
diharapkan menjadi individu yang seimbang dari segi pertumbuhan jasmani,
emosi, rohani, intelek dan sosialnya (JERIS).
Mereka bentuk dan melaksanakan sistem yang fleksibel.
Pendidikan vokasional mampunyai peranan untuk mengubahsuai sistem
pendidikan sekarang dan membina sistem baru bagi menampung keperluan
pekerjaan masa hadapan. Segala perubahan yang dilakukan hendaklah dibuat
dengan kerjasama pihak industri. Perubahan tersebut perlu fleksibel dalam aspek:-
i. pengurusan proses pendidikan vokasional.
ii. Kurikulum.
iii. Penilaian.
iv. Cara penyampaian
v. Tenaga pengajar.
Hanya dengan perancangan yang teliti dan mendapat kerjasama semua pihak
sajalah sesuatu sistem itu dapat menunaikan hasratnya untuk mengeluarkan
pendidikan berkualiti.
Sistem pendidikan negara yang berorientasikan peperiksaan akan diubah kepada
satu sistem yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan keupayaan pelajar sebagai
individu. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan
demikian berkata, pihaknya sedang membuat kajian terperinci mengenai perkara
itu dan keputusannya akan diumumkan dalam masa yang terdekat.
Perubahan yang dinyatakan adalah secara menyeluruh di setiap peringkat
pendidikan termasuklah pendidikan sekolah menengah vokasional dan ia tidak lagi
bertumpu pada sistem pembelajaran yang mewajibkan para pelajar mendapatkan
keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Penilaian pintar akan dibuat pada setiap
peringkat bagi memenuhi keperluan pelajar sebagai individu dan bukannya robot
yang diarah untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang.
''Oleh itu, pihak kementerian sedang mengkaji kaedah yang lebih bersesuaian yang
mampu melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif,'' katan Menteri
Pendidikan selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pendidikan. Pada
persidangan yang bertemakan Pendidikan untuk Persaingan Global.
Pendidikan sekolah menengah vokasional pada masa depan akan berorientasikan
keperluan dan pembangunan individu yang mempunyai kemahiran berfikir secara
kreatif, intelektual dan berlandaskan nilai-nilai murni yang kukuh. Ini semua
adalah untuk membolehkan para pelajar bersaing dalam era yang lebih kompetetif.
Sistem peperiksaan di vokasional juga perlu lebih fleksibel bagi memenuhi
keperluan para pelajar berbanding satu paiwaian asas.
Mengatasi masalah memantapkan sistem pendidiakan Vokasional.
Sistem pendidikan vokasioanal perlu kepada perubahan dari masa ke semasa
kerana tidak ada satu sistem yang boleh dijadikan sebagai formula untuk
menyelesai masalah vokasional untuk negara. Fokusnya yang selalu berubah
menyebabkan perlu kaedah penyelesaian dinamik. Usaha-usaha untuk
mewujudkan masyarakat Malaysia abad ke 21 yang berdaya saing dan berdaya
maju digariskan dalam Wawasan 2020. Kesemua usaha ini bermatlamat untuk
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara moden dan maju, sebuah masyarakat
industri yang adil, bermoral dan rasional dan mempunyai keperibadian sendiri.
Dalam pembangunan sebuah negara yang maju, pendidikan vokasional perlulah
melahirkan pelajar-pelajar yang bekesediaan diri yang kukuh dari segi jasmani,
emosi, rohani, intelek dan sosialnya (JERIS). Sebagai sebuah negara maju,
pembangunan pesat berlaku dalam pelbagai bidang dan setiap bidang memerlukan
sepenuh perhatian. Dalam soal ini sistem pendidikan vokasional perlulah
dimantapkan lagi
Pada suatu ketika dahulu, sistem pendidikan vokasional dianggap sebagai
penyelamat kepada pelajar-pelajar yang gagal dalam SRP, tetapi sekarang ini oleh
kerana ada tekanan untuk mengeluarkan tenaga pekerja yang berkualiti maka
fungsinya terpaksa berubah. Demikian juga dengan terlaksananya sistem PMR
mungkin perubahan kecil terpaksa dilakukan. Pendidikan Vokasioanl memerlukan
modal besar dan perbelanjaan yang tinggi dan sentiasa mendapat perhatian
berbagai pihat untuk mengetahui keberkesanannya. Cabaran kepada pendidikan
ialah untuk memastikan sumber yag diperlukan akan sentiasa mendapat layanan
oleh pihak-pihak berkuasa di samping itu pendidikan vokasional terpaksalah
mengeluarkan hasil yang setimpal dengan belanja yang dikeluarkan.
Untuk mendapat pelajar yang baik, para guru dan pendidik perlulah meningkatkan
kemahiran mereka terlebih dahulu. Pendekata untuk kaedah pengajaran dalam
pendidikan vokasional juga perlu diubahsuai. Ini dapat dilihat dalam ucapan
Menteri Pendidikan Malaysia Y.B.Dato Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak kita
pada hari guru yang lapas. Berbunyi :
"............aspirasi negara untuk mewujudkan sebuah negara maju menjelang tahun
2020 mengikut acuan sendiri memerlukan komitmen yang menyeluruh dan
pengurusan kerja yang berkualiti daripada setiap warga pendidik. Selaras dengan
tema Hari Guru pada tahun ini, guru perlu meningkatkan lagi peranan menyemai
rasa tanggungjawab bersama di kalangan pelajar agar mereka menjadi aset dan
faktor utama ke arah mencapai cita-cita murni tersebut.............." di sini jelaslah
bahawa para guru termasuklah guru dalam pendidikan vokasional perlu
menghadapi cabaran masa ini dan masa depan dengan cekal.
Di saat-saat kegawatan ekonomi yang sedang hangat diperkatakan, ia turut dirasai
oleh para pendidik di seluruh negara. Menurut kata-kata Ketua
Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia Y. Bhg. Tan Sri Dr. Johari bin Mat :
"............Di sebalik segala masalah dan kegawatan yang melanda negara,
profesion perguruan di negara ini masih teguh dan utama. Malahan pada saat ini
tugas guru telah menjadi lebih penting dan mencabar. Di samping tugas harian
guru mendidik anak-anak di bangku sekolah, guru juga dipertanggungjawabkan
untuk menanam semangat waja di kalangan para pelajar supaya mereka menjadi
warganegara yang lebih cekal dan berwibawa dalam menghadapi rintangan dan
halangan bagi mencapai kemajuan dan pembangunan negara.........."
Walaupun kita sedang menghadapi saat ekonomi yang kritikal, tetapi tugas
melahirkan tenaga kerja perlulah diteruskan. Pendidikan secara tidak langsung
dapat memangkin pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
Untuk memantapkan sistem pendidikan guru vokasional, perlulah diwujudkan
kurikulum guru vokasional sebagaimana yang dibuat bagi melatih profesyen
arkitek, undang-undang dan perubahan. Kursus-kursus perguruan perlu dibuat
perubahan agar kaedah mengajar lebih berkesan dan efisient. Sesuatu perlu
dilakukan untuk mendapatkan calon yang berkebolehan dan berpendidikan tinggi
menyertai profesion perguruan teknikal. Di Jerman profesion perguruan menerima
imbuhan yang tinggi kerana untuk seseorang itu diterima sebagai pendidik mereka
terpaksa menjalankan latihan yang panjang dan rapi. Mengekalkan tenaga ini
adalah juga satu yang perlu mendapat perhatian segera.
Pembiayaan Pendidikan Vokasional
Perubahan dalam dunia pekerjaan akan membabitkan perubahan dalam struktur
kurikulum di sekolah-sekolah. Perubahan akan melibatkan kos, masa dan latihan
tambahan. Dalam tempoh negara kita menuju ke arah Wawasan 2020, tidak
mungkin sistem pendidikan kita dapat menanggung kos beban perubahan tanpa
bantuan dari pihak lain. Contohnya baru-baru ini, Malaysia telah meminjam US
$300 juta atau RM 1.17 billion dari Bank Dunia yang telah ditandatangani oleh
Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dali Hashim. Pinjaman ini adalah
untuk tujuan membasmi kemiskinan, Kesihatan dan peruntukan pelajaran.
Sistem pendidikan vokasional perlu mendapat sumbangan dalam bentuk kewangan
atau peralatan. Pihak swasta perlu digalakkan untuk memainkan peranan mereka
dengan menjalankan latihan di tempat sendiri sama ada secara usahasama dengan
institusi kerajaan ataupun melalui sumber dalaman. Sumbangan secara terus dalam
bentuk peruntukan tetap, biasiswa dan juga pinjaman perlu digalakkan. Sistem
pendidikan juga perlu berusaha supaya setiap industri mencarumkan levi latihan
ke dalam sesuatu tabung dan memastikan setiap industri diwajibkan melatih
beberapa orang pelatih mengikut kemampuan dan saiz industri berkenaan. Dengan
cara ini pembiayaan latihan dapat dikongsi bersama oleh kerajaan dan sektor
swasta.
Kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk menarik minat sektor swasta supaya
terlibat secara langsung di dalam mempertingkatkan latihan kemahiran. Ini adalah
kerana pendidikan vokasional merupakan satu bidang yang memerlukan sumber
kewangan yang besar untuk mengendalikannya. Bagi mengatasi masalah ini,
kerajaan telah memperkenalkan insentif cukai dalam Belanjawan 1991 bagi
syarikat-syarikat yang terlibat di dalam latihan sumber manusia.
Adalah diharapkan dengan adanya insentif seperti ini, penglibatan sektor swasta di
dalam latihan dan pendidikan vokasional dapat dipertingkatkan. Sektor swasta
melalui daya usahanya sendiri atau dengan kerjasama kerajaan akan digalakkan
menubuhkan Pusat Latihan Khas bagi menghasilkan kemahiran yang berkaitan
dengan teknologi baru dan canggih.
Selain daripada itu, sekolah-sekolah dan institusi-institusi juga digalakkan untuk
menambah sumber kewangan dengan menawarkan kursus-kursus kepada pihak
swasta, memberi khidmat perunding, membuat projek-projek khas dan memberi
latihan kepada pekerja-pekerja swasta.
Mewujudkan Perhubungan Industri dan Institusi
Tidak dapat dinafikan bahawa cabaran untuk mewujudkan hubungan erat di antara
kedua-dua pihak akan memakan masa. Hubungan di antara pihak swasta harus
dijalinkan terlebih dahulu. Budaya koperat lebih menitik beratkan kepada
keuntungan dan sedikit sangat untuk perkara kebajikan lebih-lebih lagi yang
melibatkan kos tambahan mereka. Di Amerika, perubahan terakhir menunjukkan
peningkatan hubungan di antara pihak swasta dengan institusi. Malah, adalah
sesuatu yang janggal sekiranya institusi itu tidak ada hubungan dengan institusi
tempatan. Beberapa cara untuk mewujudkan hubungan di antara industri dan pihak
swasta menerusi :-
i. Pembangunan dan pelaksanaan kurikulum
ii. Penilaian keluaran
iii. Pembangunan bahan pengajar
iv. Lembaga Penasihat
v. Seminar anjuran bersama
Di samping itu juga, pihak swasta digalakkan mengguna kemudahan yang ada di
politeknik dan sekolah menengah vokasional untuk menjalankan kursus-kursus
teknikal bagi pekerja-pekerja mereka pada kadar yang berpatutan. Negara kita
patut mencontohi negara-negara maju yang mana adanya kerjasama yang erat
antara institusi pendidikan dan pihak swasta untuk mempertingkatkan pendidikan
vokasional.
Pendidikan vokasional perlu mengambil kira candangan-candangan yang
dikemukakan oleh kabinet. Misalnya, kurikulum sekolah-sekolah vokasional
perlulah selalu dikaji untuk mengikut perkembangan semasa dan permintaan yang
berbeza. Dengan terbentuk satu Jawatankuasa Penasihat Bersama antara Bahagian
Teknik dan Vokasional (BPTV) dan sektor swasta. Jawatankuasa ini akan memberi
input terhadap sebarang perubahan kurikulum dari masa ke semasa untuk
mengurangkan perbezaan antara tenaga yang dikeluarkan dan tenaga yang
diperlukan oleh industri.
Program latihan dan kandungan kursus akan diawasi secara berterusan dan
diubahsuai bagi memenuhi permintaan pasaran buruh yang berubah mengikut masa
ke semasa. Keutamaan akan terus diberi kepada program-program untuk
menyediakan lebih banyak penempatan pelatih di firma, latihan perindustrian,
latihan amali serta pembangunan keusahawan.
Latihan pembangunan gunatenaga diberi perhatian yang lebih menerusi
pembukaan pusat latihan awam dan swasta. Persekutuan Pekilang-pekilang
Malaysia (FMM), menyusun pelbagai usaha memajukan industri. Berikutan
langkah menyediakan landasan kukuh bagi membawa Malaysia melangkah ke
alam perindustrian, FMM yang mewakili kepentingan pengeluar tempatan
menyediakan kemudahan latihan-Pusat Pembangunan Kemahiran dan
Keusahawanan (ESDC) pada tahun 1991. Kelahiran ESDC yang dinanti-nantikan
itu bukan sahaja melengkapkan tetapi juga mempercepatkan lagi proses
perindustrian negara.
Untuk mendapat pelajar yang baik dan berilmu pada masa kini, guru dan pendidik
perlulah meningkatkan kemahiran mereka lebih terlebih dahulu. Salah satu caranya
ialah pendedahan dan penglibatan sektor swasta. Pendekatan untuk mengajar
pendidikan vokasional juga perlu diubahsuai.Penekanan kepada menganalisa
sesuatu proses teknikal lebih bermakna dari cuma membina tanpa mengetahui
asas-asas penting.
Agensi latihan awam tidak berupaya memenuhi keperluan industri dalam
menyediakan tenaga kerja terlatih. Sehubungan dengan itu, usaha secara tidak
langsung pihak kerajaan untuk meningkatkan tenaga kerja terlatih ialah dengan
mengajak pihak industri turut mengambil bahagian dalam aktiviti latihan, terutama
latihan sambil kerja dan latihan meningkatkan kemahiran.
Tabung Pembangunan Sumber Manusia 1992 (Human Resource Development
Fund) merupakan satu bentuk insentif kepada pihak industri yang melibatkan diri
dalam aktiviti latihan untuk tenaga kerjanya. Untuk menjadikan latihannya lebih
efektif dan relevan, latihan yang dijalankan itu akan diberi pengiktirafan dan
kelayakan oleh MLVK (Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan) berdasarkan
piawaian kemahiran yang telah dibentuk bersama oleh pihak industri dan kerajaan.
Dengan menyediakan satu bentuk pengiktirafan dan kelayakan, pihak majikan dan
industri akan berasa yakin terhadap seseorang pelatih yang mempunyai satu
kelayakan vokasional kebangsaan yang disediakan oleh MLVK. Secara perlahan,
pihak industri akan melanggan kepada kelayakan vokasional kebangsaan yang baru
dan tidak akan lagi bergantung kepada kelayakan vokasional dari luar negara
seperti City and Guilds of London Institute (CGLI).
Mewujudkan Piawaian Bagi Sesuatu kursus Kemahiran
Pada masa kini pelbagai institusi telah tumbuh dengan pesatnya dengan
memperkenalkan pelbagai kursus semata-mata dari sudut keuntungan. Boleh
dikatakan semua institusi mengeluarkan Sijil dan Diploma mengikut takrif mereka
sendiri tanpa merujuk kepada sesuatu piawaian yang ditetapkan. Ia akan memberi
kesan negatif kepada perkembangan ekonomi dalam jangka masa panjang. Adalah
menjadi cabaran kepada sistem pendidikan kita untuk menyediakan piawaian yang
menyeluruh di samping mengambil kira perbezaan di antara industri-industri dan
lokasi mereka. Dengan cara inilah kemahiran dan pengetahuan asas dapat
digunakan dengan berkesan oleh pihak industri.
Pihak swasta juga digalakkan untuk membina institusi yang memberi latihan
kemahiran dan bukan semata-mata berbentuk am. Kawalan oleh pihak berkuasa
amat diperlukan supaya hasilnya akan mempunyai kualiti sepadan dengan yuran
yang dikenakan.
Pihak kerajan melalui Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) telah mula
membangunkan prasarana untuk mengembangkan pentauliahan kemahiran. Satu
jawatankuasa petugas yang dianggotai oleh agensi-agensi latihan
kemahiran/vokasional termasuk Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional,
Kementerian Pendidikan telah dibentuk pada 17 Mac 1992 untuk menjalankan
kajian bagi perubahan fundamental dan seterusnya memajukan lagi sistem latihan
vokasional yang sedia ada.
Di antara rumusan dan cadangan hasil kajian jawatankuasa petugas yang telah
dibentangkan dan menerima mandat dalam Mesyuarat Anggota Majlis Latihan
Vokasional 9 Disember 1992 ialah :-
Mewujudkan rangka kerja kelayakan vokasional(vocational qualification
framework) yang meliputi bidang pekerjaan yang lebih meluas.
Mengubahsuai piawaian ketukangan kebangsaan yang sedia ada dari job
based yang terlalu spesifik kepada occupational-based yang lebih generik
supaya lebih flexible.
Membuka lebih luas peluang mempertingkatkan kelayakan vokasional
dengan memperkenalkanAccredition of Prior Achievement (APA) dan
Accredition of Prior Learning (APL) supaya lebih ramai pekerja yang
berpengalaman dapat diberi pengiktirafan sewajarnya tanpa melalui ujian
kemahiran. Ini akan menjimatkan wang dan tenaga untuk menguji
kemahiran yang sememangnya telah dimiliki oleh seseorang pekerja
berpengalaman.
Mengubahsuai kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang ada
sekarang dengan mewujudkan satu Sistem Kelayakan Vokasional
Kebangsaan (KVK). SMK Peringkat Asas, Pertengahan dan Tinggi akan
digantikan oleh KVK Tahap I, Tahap II dan Tahap III di mana Tahap I dan
II diletakkan di peringkat operasi dan pengeluaran dengan memuatkan
kemahiran teras seperti kemahiran komunikasi. information technologydan
numeracy di samping kemahiran vokasional dan KVK Tahap III
diletakkan di peringkat penyediaan dengan memuatkan kemahiran
pengurusan.
Memastikan jaminan mutu (quality assurance) latihan vokasional dengan
mewujudkan satu mekanisme assessment and verification yang sesuai untuk
pelatih-pelatih di industri latihan dan juga pekerja industri.
Melaksanakan latihan secara modular supaya sistem assessment and
verification dapat dijalankan dengan berkesan.
Kelayakan kemahiran individu yang telah menjalani program latihan juga akan
diiktiraf dan dikenali pada peringkat kebangsaan. Di bawah sistem ini juga
reputasi, pentauliahan, pengiktirafan dan pendaftaran penyedia latihan (training
providers) dapat dikawal agar semua pusat latihan berusaha supaya kursus
latihannya ditauliah dan program latihannya diiktiraf serta institusi mereka
berdaftar dengan MLVK untuk menjalankan kursus dan program latihan di mana-
mana dalam Malaysia.
Pemupukan Budaya Pendidikan Untuk Seumur Hidup
Menurut George R. Knight, pendidikan bukan hanya terhad kepada pembelajaran
di peringkat sekolah sahaja, malah ia lebih merupakan suatu proses pembelajaran
sepanjang hayat. Pendidikan menjelang Abad ke-21 bukan sahaja untuk
memberikan pelajaran asas kepada pelajar-pelajar sekolah sahaja, bahkan ia juga
bertujuan untuk memberi peluang kepada setiap individu yang berminat untuk
memperkayakan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran diri sendiri
mengikut perubahan semasa. Ini adalah selaras dengan Matlamat Pendidikan
Negara yang bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan
menghayati ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian, program pendidikan lanjutan
perlu diwujudkan bagi membolehkan latihan tambahan diberi kepada mana-mana
individu yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahirannya. Kemahiran
tambahan sedemikian adalah perlu untuk seseorang itu menyesuaikan diri dengan
perkembangan teknologi semasa agar ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu tidak
akan statik dan ketinggalan zaman.
Masyarakat Malaysia secara umumnya perlu diberikan kesedaran terhadap
kepentingan program pendidikan lanjutan. Kejayaan program pendidikan lanjutan
di luar negeri sepatutnya dijadikan ikhtibar bagi mewujudkan program pendidikan
lanjutan tempatan. Sebagai contoh di Hong Kong, mengikut perangkaan yang
diperolehi pada tahun 1984, jumlah peserta yang mendaftar untuk kursus
peningkatan kemahiran adalah jauh lebih besar dari yang mengikuti kursus
juruteknik. Seramai 2,400 peserta sahaja merupakan pelajar sepenuh masa,
manakala yang selebihnya adalah pelajar secara separuh masa dalam kursus-kursus
program pendidikan lanjutan.
Salah satu halangan kepada perkembangan program pendidikan lanjutan adalah
disebabkan oleh jadual kursus yang rigid dan ketidaksesuaian lokasi pusat latihan.
Program pendidikan luar kampus, S.P.A.C.E . (School Of Professional And
Continuing Education) yang sedia ada, sungguhpun mempunyai jadual waktu yang
agak fleksibel, namun ia masih tidak dapat memenuhi permintaan orang ramai
disebabkan pilihan lokasinya yang terhad. Individu-individu yang berminat
mungkin terpaksa melupakan hasrat mereka memandangkan mereka berasa sukar
untuk meluangkan masa untuk menghadiri latihan kerana urusan kerja yang sibuk
dan terikat dengan keluarga masing-masing. Oleh itu, bagi menggalakkan
penyertaan golongan bekerja dalam program pendidikan lanjutan, latihan yang
ditawarkan seharusnya mudah diikuti dari segi kesesuaian tempat dan masa.
Disamping itu, latihan tersebut juga perlu menjurus kepada bidang yang berkaitan
dengan kehendak individu dan juga pihak industri.
Namun begitu, cabaran kepada pendidikan kita kini ialah untuk menyediakan
prasarana yang sesuai untuk perlaksanaan aspirasi program pendidikan lanjutan
tersebut. Salah satu cara untuk mencapai matlamat ini adalah dengan
mengembangkan penggunaan Pendidikan Jarak Jauh (distance education).
Pendidikan Jarak Jauh merujuk kepada kaedah pembelajaran yang melibatkan
perpisahan antara pelajar dan pendidik dalam suatu program penyampaian bahan
mengajar yang teratur dan menggunakan media berteknologi tinggi seperti
'teleconferencing'. Pendidikan Jarak Jauh adalah lebih merupakan sejenis
pendidikan bukan formal (informal education) yang ditujukan khas untuk golongan
pekerja atau profesional yang ingin meningkatkan ilmu pengetahuan seiring
dengan perkembangan sains dan teknologi. Ia adalah sejajar dengan saranan Yang
Berhormat Dato Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa perlunya pendekatan
'Individuals-Oriented' dalam sistem pendidikan negara, yang mana aspek
pembelajaran individualistik ditekankan. Pengalaman negara Indonesia, Thailand
dan India menunjukkan penyebaran ilmu yang berkualiti dapat dilaksanakan
dengan kaedah Pendidikan Jarak Jauh. Malaysia mempunyai asas yang
membolehkan pendidikan menerusi sistem ini dijalankan. Apa yang kurang cuma
bahan-bahan bantuan (software) dan kesungguhan melaksanakannya. Mengikut
Profesor Ungku Aziz, terdapat tiga peringkat yang boleh menjayakan program
Pendidikan Jarak Jauh:
a. Kursus-kursus di peringkat maktab, institusi dan universiti untuk pelajar-
pelajar.
b. Kursus berbentuk pendidikan lanjutan kepada mereka yang sudah bekerja
yang berminat untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri,
contohnya bbagi kursus pengurusan dan perakaunan.
c. Orang-orang dewasa yang berminat untuk belajar semata-mata kerana
dahagakan ilmu. Antara contoh kursus yang dimaksudkan ialah penulisan
kreatif, bahan, teknik pertanian dan lain-lain lagi.

Menaikkan Taraf Lulusan Dalam Bidang Vokasional
Pendidikan juga mempunyai peranan untuk memberi penerangan bahawa tidak ada
bezanya di antara sistem pendidikan vokasional dan akademik. Sungguhpun
president Pertubuhan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Abu Bakar Shauket Ali
pernah menyeru kepada pihak kerajaan untuk memberikan peluang kepada pelajar-
pelajar yang gagal dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi memperolehi
latihan vokasional. Tetapi ini tidak bermakna bahawa sekolah-sekolah vokasional
yang sedia ada telah diturunkan tarafnya. Sikap memandang rendah terhadap
pelajar-pelajar sekolah vokasional sebagai gagal ke sekolah akademik masih
menebal di kalangan kita. Setengah ibu bapa berasa malu pada jiran-jiran apabila
anak mereka bersekolah aliran vokasional. Mesipun sering kali ditegaskan bahawa
masa depan bagi lepasan sekolah vokasional yang bercorakkan kemahiran adalah
cerah, namun pada hakikatnya tanggapan orang ramai terhadap pendidikan
vokasional sukar dikikis. Akibatnya, hanya sejumlah 7% pelajar-pelajar PMR kita
yang berminat untuk memasuki sekolah vokasional dan teknik berbanding dengan
di negara perindustrian seperti Jerman di mana 70% daripada lepasan sekolah
ditempatkan untuk latihan vokasional. (Lampiran A)
Di sini, masyarakat khususnya golongan remaja haruslah mengubah sikap dan
pandangan mereka terhadap pendidikan vokasional. Dengan wujudnya peluang-
peluang pekerjaan yang semakin meluas, gaji yang lumayan dan kenaikan pangkat
yang lebih cepat dalam sektor pekerjaan vokasional, pandangan masyarakat harus
berubah dan memandang tinggi terhadap pekerjaan kolar biru. Selagi jurang ini
masih wujud maka sukarlah untuk menggalakkan lebih ramai pelajar mengikuti
bidang vokasional.
Namun begitu, berbagai-bagai usaha telah dijalankan bagi mengalihkan pandangan
masyarakat agar beranggapan positif terhadap pendidikan teknik dan vokasional.
Contohnya, dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM), telah ditekankan terhadap nilai-nilai yang tinggi seperti
berkeupayaan untuk bekerja keras, semangat untuk memajukan diri, etika kerja
yang baik, disiplin dan semangat untuk bersaing. Dalam kurikulum baru ini , mata
pelajaran baru iaitu Kemahiran Hidup Bersepadu telah diperkenalkan. Ini secara
tidak langsung mendedahkan pelajar-pelajar aliran akademik kepada pendidikan
teknik dan vokasional.
Selain daripada itu, sistem pendidikan perlu menyedarkan orang ramai bahawa
peluang dan laluan memang disediakan bagi lulusan dalam bidang kemahiran.
Peluang melanjutkan pelajaran untuk lepasan sekolah vokasional kini masih terhad
(Lampiran B). Oleh yang demikian, peluang peningkatan ilmu untuk lulusan
bidang vokasional perlu diperbanyakkan. Disamping itu, pekerja-pekerja dalam
sektor industri juga boleh menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik
dan perlu mendapat galakan. Dengan itu, institusi-institusi pengajian tinggi
tempatan juga perlu bersikap terbuka untuk memberi peluang kepada golongan
pekerja ini untuk melanjutkan pelajaran mereka. Pengiktirafan sijil kemahiran
seperti Sijil Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) yang setaraf dengan
akademik juga perlu diterima segera sebagai usaha untuk menaikkan taraf lulusan
dalam bidang vokasional.
Dari segi kualiti pendidikan vokasional pula, tenaga pengajar di institusi latihan
vokasional dan teknikal perlu mempunyai pengetahuan yang terkini,
berorientasikan industri dan mempunyai pengalaman bekerja dalam industri.
Justeru itu, tenaga pengajar digalakkan untuk menjalani kerja-kerja perundingan di
industri, menghadiri kursus-kursus latihan teknikal jangka pendek dan diadakan
pertukaran kakitangan antara institusi pendidikan teknik dan vokasional.
Penubuhan Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada tahun 1992
khususnya, merupakan kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Universiti
Teknologi Malaysia dan juga konsortium MUCIA dari luar negeri bagi melatih
bakal tenaga pengajar berkualiti untuk politeknik.
Cadangan-cadangan:
Sebagai rumusan, beberapa langkah yang wajar perlu diberikan perhatian oleh
semua pihak bagi menyahut cabaran-cabaran perubahan dalam sistem pendidikan
vokasional negara kita:-
1. Masyarakat perlu mengubah sikap yang selama ini memandang rendah
terhadap pendidikan teknik dan vokasional.
2. Industri perlu terlibat dalam perancangan kurikulum dan perkembangan
pendidikan vokasional agar latihan yang diberikan kepada pelajar dapat
dihubungkaitkan dengan dunia pekerjaan yang sebenar.
3. Program vokasional mestilah disokong oleh polisi yang kukuh serta dibantu
sepenuhnya oleh sistem pentadbiran dan politik yang ada.
4. Pendidikan sekolah aliran akademik mulai peringkat yang terendah
sehinggalah ke sekolah menengah perlu diterapkan komponen-komponen
latihan vokasional.
5. Pihak swasta perlu digalakkan untuk memberi sumbangan kerana beban dan
kos untuk membiayai pendidikan vokasional adalah terlalu tinggi.
6. Program vokasional yang khusus untuk sesuatu pekerjaan perlu
diperkuatkan pada peringkat tertinggi seperti institusi pengajian tinggi,
maktab-maktab dan persekolahan peringkat menengah atas.
7. Perkembangan sistem vokasional pada masa depan seharusnya memberi
peluang kepada sesiapa saja yang berminat tanpa mengira kedudukan sosio-
ekonomi mereka.
8. Kursus-kursus sambilan hujung minggu atau luar waktu kerja perlu
diadakan untuk tujuan meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja supaya
sejajar dengan perkembagan teknologi.
9. Pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam pembangunan pendidikan
vokasional perlu diberi pendedahan mengenai perkembangan teknologi
untuk dihayati implikasi teknologi baru kepada sistem pendidikan.
Penutup
Sebagai kesimpulan, pendidikan vokasional haruslah berhadapan dengan beberapa
cabaran untuk menyahut seruan kerajaan menjelang tahun 2020. Sikap masyarakat
sendiri perlu diubah agar rakyat memberi pandangan yang lebih positif terhadap
pendidikan teknik dan vokasional. Walaupun perubahan dari segi sikap dan nilai
sesebuah masyarakat itu akan memakan masa yang lama, namun usaha-usaha
perlulah dijalankan mulai dari sekarang. Generasi muda perlulah ditanam dengan
sikap dan norma kehidupan yang baik agar mereka mampu menjadi pekerja-
pekerja yang berkemahiran tinggi.
Cabaran kepada pendidikan vokasional kita adalah besar sekiranya kita ingin
mencapai taraf negara maju dalam tahun 2020. Tidak dinafikan bahawa asas sudah
ada dalam pendidikan vokasional kita yang akan membolehkan kita merancang
untuk menuju ke arah cita-cita tersebut. Namun begitu, dengan persaingan yang
akan kita hadapi pada tahun-tahun akan datang khususnya dalam kegawatan
ekonomi yang melanda negara kini, tenaga manusia yang bakal dilahirkan oleh
pendidikan vokasional kita haruslah mempunyai daya saingan dan peka kepada
perubahan yang berlaku sekelilingnya. Mereka mestilah mempunyai kemahiran
yang secukupnya dan menjadi pekerja yang terpelajar. Penduduk yang terpelajar
akan mengukuhkan ekonomi dan dari kekuatan ekonomilah terbinanya negara
yang kuat dan dihormati di peringkat antarabangsa.



Rujukan:
1. Haji Yahya Bin Emat (keluaran 78 jun 1993 jilid 37). Jurnal Pendidikan.
2. Yulpisman Asli. Utusan Malaysia (Khamis, 15 Januari 1998). Krisis
Ekonomi Graduan Menganggur Berulang Kembali.
3. Sistem Pendidikan Awal Kemerdekaan (1957-1969). Pemikiran
dan Tujuan Sistem Pendidikan di Awal Kemerdekaan. pp. 133-135.
4. Laporan Rahman Talib. Sistem Pendidikan Awal Kemerdekaan
(1957-1969).pp. 135-141.
5. Artikel Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional. pp.1-6.
6. Falsafah Pendidikan Negara. Kurukulum abad ke 21(sembilan cabran ke
arah wawasan 2020).
7. Noraini Abdul Razak. Utusan Malaysia (Jumaat, 27hb Februari
1998). Pendidikan fleksibel -- Sistem Berorientasikan Peperiksaan
Akan Diubah Najib.
8. Richard L. Lynch.Vokasional Education Journal, 1991.
9. Majalah Didacticum (No. 9). Magazine for Automation Training.
10. George R. Knight, Issues And Alternatives In Educational
Philosophy (Michigan: Andrews University Press, 1982). pp. 9.
11. Imran Bin Idris. Jurnal Pendidikan Kementerian Pendidikan.
Perubahan Dunia Vokasional - Satu Cabaran Kepada Sistem
Pendidikan. (Kuala Lumpur: Percetakan kerajaan), pp.10.
12. Heirich, Robert. "Instructional Media and Technology For
Learning" (New Jersey: Prentice-Hall, 1996), pp.20.

13. YB. Dato' Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak. Reforms In
Education (1998). The Next Stage. Kuala Lumpur.
14. Royal Prof. Ungku Aziz, The Star (20 Januari 1992). Human
Resource Development - The Key Towards A Developed and
Industrialised Society.
15. Uma Rudd, The Star (Khamis, 16 Januari 1997). Send PMR
Failures For Vocational Training, says NUTP.
16. The Federal Minister For Education and Science (1992).
Vocational Training In The Dual System In The Republic Of
Germany, FMFES, Munich.
17 Haji Yahya Bin Emat. Jurnal Pendidikan Kementerian Pendidikan
(Jilid 37, Keluaran 78. Jun 1993). Cabaran Dan Strategi Pendidikan
Teknik Dan Vokasional Ke Arah Mencapai Wawasan 2020,
Malaysia.
18. Prospektus Institut Teknologi Tun Hussein Onn 1997.

Anda mungkin juga menyukai