Anda di halaman 1dari 1

Manfaat Mengamalkan Integriti

Integriti bermaksud kewibawaan yang meliputi keseluruhan pembawaan seseorang dari aspek peribadi,
akhlak, tutur kata dan sopan santun.Untuk merealisasikannya secara berkesan, kerajaan telah
melancarkan Pelan Integriti Nasional yang bertujuan untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri
moral dan etikanya. Dalam kehidupan, integriti seseorang itu terjelma manifestasinya menerusi
keperibadian dan tingkah laku setelah mengharungi dan mengalami proses pendidikan dan sosialisasi.

Keteguhan integriti sangat dituntut dalam usaha memupuk budaya yang baik dan etika yang positif dalam
segala bidang termasuk pekerjaan, perniagaan, penulisan, sukan dan sebagainya. Dalam aspek yang lain
integriti dapat dikaitkan dengan sesebuah institusi yang tarifannya meliputi visi dan misi serta tadbir
urusnya. Manakala setiap ahlinya pula menghormati sistem dan tatacara yang telah diwujudkan oleh
institusi itu. Ahli-ahli institusi pula dapat menyebatikan diri dengan amalan yang telah ditetapkan itu. Dalam
konteks Pelan Integriti Nasional, kerajaan telah membuat ketetapan bahawa dalam tempoh lima tahun
sasarannya adalah untuk mengurangkan gejala rasuah dalam pelbagai peringkat dan meningkatkan
kecekapan dalam sistem penyampaian awam. Malah pelan tersebut mementingkan lapan sektor dalam
lapisan masyarakat berasaskan peranan mereka dalam membentuk budaya integriti di Malaysia. Sektor-
sektor ini meliputi keluarga, masyarakat, sosiobudaya, agama, politik, pentadbiran awam, ekonomi dan
pertubuhan sivil. Dengan itu diyakini bahawa integriti dapat memantapkan institusi keluarga dan
meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Menerusi pembudayaan integriti dalam kehidupan masyarakat maka peluang penyalahgunaan kuasa untuk
melakukan jenayah dapat ditutup. Walaupun budaya ialah suatu proses hidup tetapi hal yang berkaitan
dengannya tidak boleh dipaksakan ke atas seseorang. Kejayaan proses ini bergantung pada kemampuan
seseorang dan masyarakat melakukan perubahan nilai. Kita harus menerima hakikat bahawa nilai
bukanlah mudah untuk diubah.Oleh sebab pembentukan nilai memakan masa yang lama, maka proses
penyisihan nilai mengambil masa yang lama juga. Menerusi integriti, pelan pembangunan sumber manusia
dapat dilengkapkan.Sehubugan dengan itu, integriti akan menjadi pemangkin kepada rancangan
pembangunan negara kerana denghan kewujudanya menampilkan cara membaiki perwatakan, minda dan
budi pekerti rakyat negara ini.

Berdasarkan manfaat yang dapat disumbangkan penghayatannya maka sangat wajar pelbagai lapisan di
negara ini meningkatkan pemahaman dan komitmen tentang keperluan integriti dan etika dalam amalan
mereka.Dengan kata lain, menerusi penjiwaan integriti kita dapat mengubah mentaliti rakyat daripada terus
terkokong dalam kepompong mentaliti dunia kelas ketiga sekalipun di sekeliling mereka wujud prasarana
dunia kelas pertama.

Anda mungkin juga menyukai