Anda di halaman 1dari 2

Tidak boleh bersekedudukan tanpa nikah

Chee Chan, KENG (kengche@CHARLIE.ACC.IIT.EDU)

Tue, 23 Jan 1996 12:11:15 -0600

Tidak boleh bersekedudukan tanpa nikah

BERSEKEDUDUKAN adalah fenomena yang bermula dari Barat dan kini mempengaruhi sesetengah
anggota masyarakat kita. Apa pandangan Islam mengenainya?

Anak Kota, Kuala Lumpur.

TUHAN menjadikan kehidupan manusia di dunia ini berpasangan - lelaki dan perempuan. Bermula
daripada Adam dan Hawa dan daripada mereka manusia membiak.

Undang-undang yang tertua sekali bagi manusia adalah undang-undang perkahwinan dan
kekeluargaan. Undang-undang ini berkembang. Ia memberi dasar yang mesti dipatuhi oleh setiap
individu dalam sesebuah masyarakat. Bermula dengan masyarakat yang kecil hingga yang lebih
kompleks. Di samping itu ditetapkan pula nilai akhlak yang mesti dipatuhi.

Al-Quran ada menjelaskan bahawa perempuan itu adalah pakaian bagi lelaki dan lelaki pula pakaian
bagi perempuan. Dalam erti kata lain setiap pihak memerlukan di antara satu dengan lain. Zuriat
manusia akan pupus sekiranya lelaki tidak lagi memerlukan wanita sebagai pasangan hidupnya dan
begitu juga sebaliknya. Kemanusiaan itu sendiri akan hancur apabila naluri dan fitrah semula jadi
bertukar dari sifat asal yang Tuhan jadikan.

Sememangnya dalam diri manusia itu dihiaskan dengan rasa cinta kepada nafsu daripada wanita dan
anak serta kekayaan. Tetapi nafsu manusia itu hendaklah disalurkan menerusi cara yang diharuskan
oleh syarak, tidak menurut selera sendiri, tetapi mengikut norma dan nilai agama.

Institusi kekeluargaan Islam dibentuk melalui keturunan atau nasab, melalui perkahwinan dan susunan.
Mereka yang dilahirkan menurut mana-mana kategori mempunyai status perundangan. Dari aspek
kekeluargaan, Islam menetapkan status keluarga itu sama ada sebagai muhram atau yang haram
dikahwin dan ajnabi yang halal dikahwini.

Secara ringkasnya, Islam menetapkan cara pergaulan sesama muhram seperti antara adik-beradik dan
pergaulan di kalangan ajnabi dan bukan muhram seperti keluarga pupu dan mereka yang tiada ikatan
kekeluargaan dan sebab perkahwinan atau susuan. Ertinya dalam pergaulan seharian ada nilai yang
mesti dipatuhi.

Bagi masyarakat yang sudah luntur nilai moral beranggapan tindak-tanduk seseorang dalam pergaulan
seharian adalah soal peribadi yang tidak boleh sesiapa pun campur tangan, termasuk ibu bapa dan
masyarakat sekeliling. Kehidupan yang individualistik yang hilang pegangan hidup beragama akan
berakhir dengan cara hidup primitif.

Golongan ini dengan mudah terdedah dan terpengaruh dengan gejala negatif seperti Bohsia, termasuk
bersekedudukan.

Memanglah benar jika jiwa seseorang tidak diasuh dengan nilai murni ia lebih mirip untuk melakukan
gejala tidak sihat. Antara sifat yang mulia adalah malu. Orang yang tidak mempunyai sifat malu akan
melakukan apa sahaja. Sebab itu malu adalah antara ciri-ciri kemuliaan insan.

Dalam masyarakat primitif, pergaulan bebas dan bersekedudukan adalah perkara biasa. Hasil daripada
bersekedudukan itu melahirkan anak luar nikah. Di Barat ini adalah fenomena biasa dan kini meresap
dalam masyarakat kita. Kalaupun tidak ada anak yang dilahirkan, kerana sudah digugurkan, Barat
menentang undang-undang yang melarang menggugurkan anak. Insiden buang anak dalam tong sampah
yang pada satu ketika pernah heboh menunjukkan perbuatan tidak bermoral ini berlaku dan perlu
dipulihkan.

(Dipetik daripada ruangan Soal Jawab Bersama Ikim)

Berita Minggu 12/03/95

Disclaimer: This Berita Harian is based on Berita Harian in WWW. I am just forwarding the original
news to all of you. However, there could bemisinterpretation and mistake in the news. For more accurate
information, please visit the site: http://www.jaring.my/bharian/welcome.html

Sincerely,

Illinois Institute of Technology, Chicago ----------.

Chee-Chan KENG <kengche@charlie.acc.iit.edu> |

(312) 808-6605 http://www.iit.edu/~kengche/ |

Anda mungkin juga menyukai