Anda di halaman 1dari 2

TEMA : PELANCONGAN

DOMAIN AWAM

"Malaysia Truly Asia" ialah jenama kita untuk memasarkan Malaysia sebagai destinasi
pelancongan yang patut dikunjungi. Kita menjanjikan satu pengalaman baru yang menarik
kepada para pelancong menerusi faktor kepelbagaian budaya dan kemesraan penduduknya.
Ini kelebihan kita. Bahkan, suka saya berkongsi bahawa Malaysia menjadi destinasi
pelancongan yang unggul disebabkan oleh kepelbagaian ini. Kepelbagaian budaya sudah
menjadi identiti kita.

Dipetik daripada ucapan Yb Dato' Seri Mohamed Nazri Bin Tan Sri Abdul Aziz
Portal Rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia.

Setiap tahun bilangan pelancong ke Malaysia semakin meningkat kerana Malaysia mempunyai
keistimewaannya sendiri. Ramai orang akan pergi melancong bersama-sama dengan keluarga
mereka terutamanya pada musim perayaan dan pada masa cuti sekolah.
Huraikan faedah-faedah melancong dalam negara.

FAEDAH-FAEDAH MELANCONG

Kata orang, “jauh berjalan, luas pandangan” yang bermaksud semakin banyak kita
mengembara, maka semakin banyaklah pengalaman yang ditimba. Oleh itu, ada orang yang
suka melancong ke luar negara dan ada juga suka melancong di dalam negara untuk melihat
budaya, merasai aneka makanan dan melihat rupa bentuk bumi tempat orang. Namun begitu,
masih ramai yang menganggap melancong hanyalah sesuatu yang membuang masa dan wang
semata-mata. Mereka tidak sedar akan kemaslahatan yang pelbagai dalam aktiviti pelancongan.
Persoalannya, apakah faedah-faedah melancong? (72)
Antara faedah melancong ialah hubungan silaturahim antara ahli keluarga dapat
dieratkan. Hal ini dapat dilihat apabila ahli keluarga pada kehidupan seharian kurang bercakap
disebabkan oleh aktiviti masing-masing. Jika sebelum ini ibu bapa terlalu sibuk dengan
pekerjaan dan jarang meluangkan masa bersama anak mereka jadi dengan aktiviti melancong,
mereka dapat menguatkan semula hubungan kekeluargaan ini. Contohnya, ibu bapa boleh
meluangkan masa bersama anak-anak mereka untuk pergi melancong ke tempat-tempat
menarik seperti Pulau Langkawi, Pulau Redang, Pulau Manukan dan lain-lain. Dengan itu,
keluarga yang bahagia dapat dihasilkan. Jelaslah melalui aktiviti melancong, hubungan
silaturahim antara ahli keluarga dapat dieratkan. (88)
Selain itu, melancong juga dapat meredakan tekanan. Kini, kita dapat melihat manusia
terlalu sibuk dengan aktiviti harian, terlalu mengejar keputusan yang terbaik dalam pelajaran
mahupun sibuk bekerja. Perkara ini menimbulkan masalah seperti kegelisahan, kemurungan
dan tekanan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap perkara yang dilakukan pastinya
mempunyai standard yang diukur sebagai kejayaan sehingga menimbulkan konflik. Contohnya
ibu bapa boleh membawa anak-anak melihat kebudayaan yang diamalkan di sesuatu tempat
seperti di Sarawak bagi meredakan tekanan yang dihidapi oleh anak-anak. Oleh sebab itulah,
aktiviti melancong wajar dilakukan kerana aktiviti melancong merupakan herba yang mujarab
untuk seseorang meredakan tekanan. (90)
Melalui aktiviti pelancongan, kita juga dapat meluaskan ilmu pengetahuan dan
pengalaman. Hal ini dikatakan demikian kerana ada sesetengah ilmu susah untuk kita peroleh
tanpa adanya pemerhatian yang meluas kerana jauh berjalan luas pandangan. Contohnya kita
dapat melihat batik yang lazimnya terkenal di negeri pantai timur. Jikalau bernasib baik, kita
dapat belajar membuat corak batik. Batik Terengganu amat terkenal dalam kalangan
masyarakat tempatan dan pelancong asing kerana kaya dengan nilai estetika. Oleh itu, jelaslah
bahawa kita dapat menimba ilmu yang berharga sekiranya kita sendiri yang pergi ke sana untuk
mempelajarinya. (87)
Seterusnya, aktiviti melancong juga dapat meningkatkan tahap kesihatan mental dan
kecergasan fizikal individu. Hal ini dikatakan demikian kerana ketika kita melancong, kita akan
melakukan pelbagai aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, berbasikal, berenang, mendaki dan
lain-lain. Seperti yang kita ketahui, negara kita kaya dengan pelbagai keindahan khazanah alam
semula jadi seperti Taman Negara Mulu, Pulau Tioman, Taman Negara Kinabalu, Melaka
Bandar raya Bersejarah, dan sebagainya. Pada kesempatan ini, sambil berseronok mengunjungi
pelbagai destinasi pelancongan pilihan, kita juga dapat menyihatkan tubuh badan ibarat sambil
menyelam minum air. Oleh itu jelaslah bahawa aktiviti melancong dapat meningkatkan tahap
kesihatan kita. (89)
Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya menggalakkan aktiviti
pelancongan dalam masyarakat kerana terdapat banyak manfaatnya. Oleh itu, semua pihak
perlulah mengambil peluang untuk meluangkan masa untuk pergi melancong terutamanya
melancong di dalam negara kita sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana kita perlulah
menghargai negara kita bak kata pepatah hujan emas di negara orang, hujan batu di negara
sendiri, lebih baik di negara sendiri. Seruan kerajaan untuk menggalakkan kita melancong
dalam negara tidak harus dipandang enteng agar kemajuan dan kemakmuran negara terus
terjamin pada masa hadapan. (73)

Jumlah patah perkataan : 499

Anda mungkin juga menyukai