Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Industri Perlancongan

Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan
negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan
banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk
memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang
pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk
memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau
dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor
pelancongan di negara kita.

Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan
baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara (negara-negara asing). Banyak
produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan
menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak.
Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan
seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim
buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan
yang diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya
pelancong luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus
mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan
budaya hidup dan kesenian masyarakat tempatan. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa
untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi,
usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor
berkenaan.

Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia.
Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai
destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan.
Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga
kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-
pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini
hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh
seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil
untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan
negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran
karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan
negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan
lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai
contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1,
kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian
peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada
beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak
pada setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa memang
terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan
negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap
dan dijadikan acara tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjungi negara
ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk
melawat ke tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam minum
air. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan
di negara kita.

Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini
adalah dengan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih berkesan dan
melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk
menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang
diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong
datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan
untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan sambutan
Tahun Melawat Malaysia ini lagi. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul
tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang
kompetitif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hotel-hotel, syarikat
penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan
kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor
pelancongan di negara kita.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk
meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan
menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai
destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana
akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di
negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan
dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan
Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.

Anda mungkin juga menyukai