Anda di halaman 1dari 2

bmut kspm.blogspot .com http://bmutkspm.blogspot.com/2013/07/karangan-spm-bahagian-b-usaha-usaha.

html
Karangan SPM Bahagian B - Usaha-usaha Untuk Memajukan
Sektor Pelancongan Negara
Print PDF
Malaysia merupakan sebuah negara yang berpotensi untuk lebih maju dalam sektor pelancongan.
Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan oleh akhbar tempatan. Tajuk rencana
tersebut ialah Usaha-usaha Untuk Memajukan Sektor Pelancongan Negara.
Tulis rencana itu selengkapnya.
Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting.
Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas
hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang
pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar
dimanf aatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat f aedah daripada perkembangan
sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan
sektor pelancongan di negara kita.
Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang
dapat menarik minat pengunjung mancanegara (negara-negara asing). Banyak produk pelancongan yang
wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri
dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan,
ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan
pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk
pelancongan yang diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya
pelancong luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil
peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian
masyarakat tempatan. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat
luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan
baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.
Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival
pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi
pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat
menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu
karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat
antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada
rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Af rika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil
untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak
kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara
merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang
menarik.
Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap.
Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara
sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan
seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni
pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia
yang diadakan di Sarawak pada setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa
memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-
negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara
tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjungi negara ini bukan sahaja untuk melibatkan
diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat ke tempat-tempat menarik di negara kita,
bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat
meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.
Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah
dengan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak
penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita
dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara
untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum
dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan sambutan
Tahun Melawat Malaysia ini lagi. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab
untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif , bak kata pepatah berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam
mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat
meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan
sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk
membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah
kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan
budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh
pelancong tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan
menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.
(Sumber: Dr.Ghazali Lateh)

Anda mungkin juga menyukai