Anda di halaman 1dari 13

KARANGAN FAKTA : FAEDAH BERSUKAN

Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh
badan kita. Malah, kerajaan menggalakkan rakyatnya sentiasa melibatkan diri dengan
aktiviti sukan.Hal ini kerana melalui bersukan banyak faedah yang kita peroleh.
Salah satu daripada faedahnya ialah dapat menyihatkan tubuh
badan.Apabila kita berakreasi seperti berbasikal,bermain badminton dan
sebagainya,badan akan mengeluarkan peluh dan berlaku pembakaran lemak dalam
tubuh kita.Kesannya, badan kita menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu ketika
belajar di dalam kelas.
Seterusnya, melalui bersukan kita dapat mengeratkan hubungan dan
menambah kenalan. Kita dapat berkenalan dengan sesiapa sahaja tidak mengira
umur, bangsa mahupun agama. Kebiasaannya, ketika kita berjoging di taman-taman,
kita akan bertegur sapa dengan individu yang berada di kawasan itu. Hal ini akan
mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum dapat dipupuk.
Selain itu, bersukan juga merupakan aktiviti mengisi masa lapang secara
bermanfaat.Sesi latihan permainan atau beriadah biasanya dijalankan ketika waktu
lapang.Kesibukan kita menyertai sesi latihan dan beriadah dapat menghidarkan diri
daripada terjebak dalam gejala sosial.
Di samping itu, dengan bersukan kita dapat mengharumkan nama
sekolah.Sekiranya kita berbakat dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili
pasukan sekolah,daerah, negeri mahupun negara.Apabila kita berjaya memenangi
mana-mana kejohanan sukan, maka kita telah berjaya mengharumkan nama
sekolah.Nama kita juga kian dikenali dan rezeki makin bertambah.
Kesimpulannya, tiada menjadi kerugian jika kita aktif bersukan.Marilah kita
bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia
masyarakat yang cerdas dan cergas.









KEPENTINGAN AKTIVITI REKREASI KEPADA
MASYARAKAT

Pada era globalisasi ini, masyarakat seakan terlalu sibuk mengejar kemewahan duniawi lantas sering
mengabaikan amalan gaya hidup sihat terutamanya amalan beriadah atau rekreasi. Hal ini demikian kerana
mereka terlalu memandang enteng kepentingan aktiviti rekreasi. Tanpa mereka sedari, sebenarnya terdapat
varia kepentingan rekreasi kepada masyarakat.

Antara maslahat rekreasi kepada masyarakat adalah mampu mengeratkan hubungan sama ada hubungan
dengan komuniti setempat mahupun dengan ahli keluarga sendiri. Hal ini demikian kerana melalui aktiviti
rekreasi, individu akan bertegur sapa dengan individu lain di sekelilingnya, lantas mengeratkan hubungan
silaturahim. Contohnya, melalui amalan rekreasi, kita dapat berbual mesra dengan jiran tetangga. Jelaslah
bahawa, rekreasi mampu mengeratkan hubungan antara individu dengan individu lain.

Selain itu, aktiviti rekreasi juga mampu memberi ketenangan jiwa kepada anggota masyarakat. Hal ini
demikian kerana melalui aktiviti riadah, masyarakat dapat menghayati keindahan alam sekitar yang saujana
mata memandang. Contohnya, melalui aktiviti senaman seperti berjoging, masyarakat akan dapat menghirup
dan menikmati angin sepoi-sepoi bahasa yang segar, seterusnya mampu memberi kedamaian jiwa. Oleh hal
yang demikian, aktiviti rekreasi dilihat mampu menjadi landasan utama masyarakat bagi melapangkan fikiran.

Di samping itu, amalan rekreasi amat signifikan bagi menyihatkan badan. Amalan yang menyihatkan seperti
berjoging, berkhemah mahupun sukan ekstrem seperti aktiviti terjunan udara mampu meningkatkan kadar
kecergasan dan mengelakkan pelbagai penyakit koronari. Contohnya, melalui aktiviti terutamanya sukan
ekstrem yang menjadi kegilaan pemuda pemudi, anggota masyarakat dapat meningkatkan kadar metabolisme
yang baik untuk tubuh. Sudah terang lagi bersuluh, amalan rekreasi mampu menyihatkan badan bagi
menjayakan visi Malaysia Cergas.

Akhir sekali, aktiviti rekreasi mampu menggalakkan pertukaran idea atau buah fikiran dalam kalangan
masyarakat. Hal ini demikian kerana, pertukaran idea yang bernas mampu mematangkan tahap pemikiran
masyarakat. Misalnya, melalui diskusi ringkas dalam kalangan masyarakat, semangat individualisme dapat
dihapuskan dan semangat perpaduan yang ampuh dapat dilakar. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa
rekreasi mampu merangsang pertukaran idea dan mencegah sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing.

Kesimpulannya, aktiviti rekreasi dan riadah mempunyai banyak kepentingan tertentu yang dapat dimanfaatkan
oleh setiap anggota masyarakat. Oleh hal yang demikian, kita perlulah mengutamakan dan mengamalkan
aktiviti riadah dalam kehidupan seharian kerana sesungguhnya, minda yang cerdas terletak pada badan yang
cergas.

Faedah Menabung

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap suka
menabung perlu dipupuk sejak kecil. Menabung memberi banyak faedah kepada kita.

Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Oleh sebab
itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa bekalan air dan
makanan ke sekolah. Justeru, baki duit yang diberi ibubapa dapat disimpan ke dalam tabung.

Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini boleh
digunakan untuk menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Selain itu, wang simpanan juga membantu kita membeli barang-barang keperluan diri kita
sendiri. Ibu bapa pasti akan berasa bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat cermat dan
berdikari itu.

Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit
wang itu juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, wang ini juga boleh
digunakan jika ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru kita tidak perlu
meminta-minta kepada orang lain.

Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di
dalam bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini boleh
digunakan untuk menampung kehidupan masa hadapan. Justeru kita dapat hidup dengan selesa
dan tidak menyusahkan orang lain.

Sesungguhnya menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata
pepatah, 'ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah menabung dari
sekarang kerana 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.


Fakta: Faedah-faedah Mempelajari Komputer.

Komputer amat penting pada masa ini kerana banyak perkara terpaksa dilakukan dengan
menggunakan komputer. Oleh sebab itu, wajarlah murid-murid berusaha menguasai ilmu
komputer sejak dari sekolah rendah lagi bagi membantu mereka dalam pembelajaran.

Antara faedah mempelajari komputer ialah memudahkan kita memperoleh pelbagai maklumat
yang dikehendaki. Kita boleh mencari pelbagai maklumat melalui komputer dengan melayari
internet.

Selain itu, komputer juga membolehkan kita belajar dengan menggunakan perisian tertentu atau
secara dalam talian. Ini memudahkan pelajar memahami pelajaran dan menambahkan minat
mereka untuk terus mengikuti pelajaran.

Di samping itu, kerja-kerja pendokumenan akan lebih mudah apabila dilaksanakan oleh
seseorang yang mahir komputer.Tambahan pula, dengan komputer sebarang kesilapan semasa
menaip dapat dibetulkan dengan lebih mudah dan pantas.

Kemahiran dalam penggunaan komputer juga dapat membantu seseorang menguruskan fail atau
data-data penting dengan lebih mudah dan selamat. Ini penting untuk menghindari kita daripada
masalah dan kerugian akibat kehilangan data-data atau fail-fail tersebut.

Dalam pada itu, komputer juga boleh menghiburkan kita. Pelbagai aktiviti yang menghiburkan
dapat dilakukan seperti bermain melalui perisian komputer. Ini boleh merehatkan minda kita
setelah penat belajar, asalkan tidak dilakukan secara berlebih-lebihan hingga mengabaikan
pelajaran.

Kesimpulannya, mempelajari komputer mempunyai banyak faedahnya. Tambahan pula, pada
masa ini banyak perkara perlu dilakukan dengan menggunakan komputer.Oleh itu, tanamkan
sikap ingin mempelajari komputer agar kita tidak ketinggalan dalam arus permodenan.

Faedah-faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum

Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan
beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan
kokurikulum kerana kegiatan ini mempunyai banyak faedahnya.

Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat memenuhkan masa lapang. Pelajar yang aktif dalam
kegiatan ini akan terhindar daripada terlibat dengan gejala sosial kerana banyak masa mereka digunakan untuk
aktiviti kokulrikulum di sekolah seperti sukan dan sebagainya. Oleh itu, masa lapang dapat diisi dengan
kegiatan yang lebih berfaedah.

Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada berbagai-bagai
jawatan dalam persatuan seperti jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa.
Sebagai contoh, apabila pelajar memegang jawatan pengerusi, mereka akan belajar menjadi ketua. Dengan itu,
pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Sebagai
contoh, kegiatan-kegiatan ini dijalankan mengikut peraturan dan jadual yang telah ditetapkan. Kita perlu
mematuhi peraturan dan jadual tersebut supaya segala aktiviti yang direncana dapat dijalankan dengan lancar.
Oleh itu, kita akan menjadi lebih berdisiplin apabila terlibat dengan kegiatan kokurikulum.

Tambahan pula, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab
tentunya disertai oleh ramai ahli serta terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul dan bertukar-tukar pendapat. Dengan ini akan
mengeratkan hubungan sesama mereka dan seterusnya akan mewujudkan perpaduan antara kaum.

Akhir sekali, badan kita akan menjadi sihat apabila menyertai kegiatan kokurikulum seperti menyertai
pertandingan bola sepak dan sebagainya. Untuk menang dalam pertandingan yang disertai, kita akan menjalani
latihan. Dengan latihan itu, badan kita akan mengeluarkan peluh. Ini tentu akan menjadikan kita cergas, sihat,
kuat dan tidak akan mudah dijangkiti penyakit.

Kesimpulannya, terdapat banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah
mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah
menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam kegiatan ini demi kebaikan anak-anak mereka.

Rencana: Banjir


Tulis sebuah karangan tentang Banjir. Panjang jawapan kamu tidak kurang
daripada 80 patah perkataan.




Rangka Karangan :

Pendahuluan - bencana alam
-sering melanda pada akhir tahun di Pantai Timur.
-berlaku akibat hujan lebat tanpa henti (tengkujuh)

Perenggan ke-2 - kerap melanda di kawasan rendah dan tepi sungai.
- banyak harta benda musnah
- haiwan ternakan dan tanaman mati
- kerugian besar

Perenggan ke-3 - mengancam nyawa
- aliran air deras dan dalam
- lemas

Perenggan ke-4 - pelbagai benda merbahaya dihanyutkan air
- ada yang nahas terkena atau terperangkap benda
merbahaya
- airnya tercemar dan boleh menyebarkan penyakit

Penutup - berhati-hati
- berpindah segera sebelum air naik

*****************************************

Banjir

Banjir adalah bencana alam yang sering melanda negara kita
terutamanya di negeri -negeri Pantai Timur, Semenanjung Malaysia.
Kebiasaannya negeri-negeri ini akan mengalami musim tengkujuh pada setiap
akhir tahun. Hujan lebat yang kerap berlaku pada musim itu menyebabkan
banjir di kawasan tersebut.

Banjir kerap melanda kawasan-kawasan yang rendah seperti kawasan
berhampiran sungai. Banyak harta benda yang musnah serta binatang
ternakan dan tanaman mati. Mereka yang terlibat seperti para petani akan
mengalami kerugian besar.

Banjir juga boleh mengancam nyawa. Ramai yang lemas kerana
bermain dengan air banjir yang alirannya deras dan dalam. Apatah lagi jika
mereka tidak tahu berenang.

Air banjir yang keruh menghanyutkan pelbagai benda yang berbahaya
seperti kayu tajam, tali dan sebagainya. Ada yang nahas kerana terlanggar
atau terperangkap dengan benda-benda yang dihanyutkan air deras ini. Air
banjir juga tercemar dengan pelbagai kotoran daripada air kumbahan,
bangkai binatang dan sebagainya. Keadaan ini boleh menyebarkan penyakit.
Justeru, janganlah mengambil air banjir untuk diminum, apatah lagi jika tidak
dimasak.

Oleh itu, apabila tiba musim hujan kita mestilah berhati -hati. Adalah lebih
baik jika kita berpindah ke tempat yang lebih selamat sebelum air naik.



Surat Kiriman Tidak Rasmi: Persediaan menghadapi UPSR

Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda lakukan
untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

No. 74, Taman Seri Merapoh,
27210 Merapoh,
Kuala Lipis,
Pahang. Darul Makmur.

26 Januari 2011

Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada di Pulau Pinang, semoga dalam keadaan
sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,

Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara untuk menghadapi peperiksaan
UPSR yang akan kita hadapi pada bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat
beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara persediaan yang saya buat ialah mengulang kaji
pelajaran dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru.
Jika pada masa itu saya kurang faham, saya akan segera bertanya guru supaya saya terus dapat mengikuti
pengajarannya.

Selain itu, ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak dua kali seminggu
untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya berazam
akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.

Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Merapoh untuk
meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh pada hujung
minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-
topik yang agak sukar dan bertukar-tukar nota.

Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat
menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan
yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah
menengah yang terpilih.

Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam
ingatan saya untuk saudara serta keluarga.

Sahabatmu,
.............................
(Khairi bin Zaideen )

Laporan Bulan Merdeka 2010 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang

Pada 1 hingga 30 Ogos 2010, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan Bulan
Merdeka. Tujuan bulan ini diadakan adalah untuk menanamkan rasa kecintaan murid-murid kepada
negara.

Pada minggu pertama, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan aktiviti
mewarnakan bendera Jalur Gemilang. Murid-murid Tahap Satu dan Tahap Dua telah menyertai
aktiviti ini. Bendera yang siap diwarnakan dipasang atau digantung di beberapa tempat seperti di
pagar sekolah. Sekolah Kebangsaan Seri Tualang kelihatan lebih ceria dengan dihiasi bendera-
bendera Jalur Gemilang ini.

Pada minggu kedua, pementasan drama telah diadakan. Drama ini bertajuk Warga
Merdeka. Drama ini dicipta dan diarahkan oleh Cikgu Hamidi Wahid. Drama ini telah melahirkan
perasaan cinta pelajar kepada negara.

Pada minggu ketiga, satu pameran tentang tokoh-tokoh telah diadakan di perpustakaan
sekolah. Antara wajah perjuang negara yang dipamerkan ialah Tunku Abdul Rahman, Dato Hussien
Onn, Dr. Burhanudin bin Helmi dan lain-lain lagi.

Pada minggu keempat, Larian Merdeka telah diadakan. Larian ini sejauh 3 kilometer. Murid-
murid berlari sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan kalimat keramat 'Merdeka!'.

Murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Tualang berasa sangat gembira kerana dapat
menjayakan Bulan Merdeka. Sesungguhnya Bulan Merdeka yang diadakan telah dapat melahirkan
atau menambahkan rasa cinta murid-murid kepada negara.

Laporan disediakan oleh, 2 September 2010


.....................................
(NUR ANIS NATASYA BINTI ALWI)


Surat Kiriman Tidak Rasmi: Lawatan ke Melaka

Kamu telah menyertai satu lawatan sambil belajar. Tulis sepucuk surat kepada kawan kamu dan ceritakan
pengalaman kamu semasa lawatan tersebut.
---------------------------------------------------------------------------------------

No. 07, TJ 1/8,
Taman Temerloh Jaya,
28000 Temerloh,
Pahang.

27 Jun 2012

Assalamualaikum, menemui sahabatku Fatimah yang ku rindui selalu. Diharapkan saudari sihat seisi keluarga.
Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk bertanya khabar dan menceritakan pengalaman saya semasa lawatan ke
Melaka.

Pada 20 Jun 2012, saya telah menyertai lawatan ke Melaka, Bandaraya Bersejarah. Lawatan ini dianjurkan oleh
Kelab Bahasa Melayu sekolah saya. Rombongan itu disertai oleh 40 orang murid dan 5 orang guru pengiring. Kami
pergi ke sana dengan menaiki sebuah bas yang disewa khas.

Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi peluang kepada murid melihat sendiri kesan-kesan sejarah negeri Melaka
di samping melawat beberapa tempat menarik di negeri tersebut.

Sebelum bertolak ke sana, kami diminta berkumpul di dataran sekolah seawal pukul 7.30 pagi. Setelah diberi
taklimat ringkas, kami mula bertolak ke sana kira-kira pukul 8.00 pagi dan tiba di Bandar Melaka sekitar pukul
12.00 tengah hari.

Semasa perjalanan, kami berhenti di pekan Bahau untuk bersarapan. Saya sungguh gembira melihat pemandangan
yang indah sepanjang perjalanan tersebut. Tempat pertama yang kami singgah setelah tiba di Melaka ialah Zoo
Melaka. Di situ kami dapat melihat pelbagai jenis hidupan liar seperti harimau, gajah, singa, rusa, kijang, zirafah dan
lain-lain lagi. Kami berasa amat gembira kerana dapat melihat sendiri gelagat haiwan liar itu.

Selepas itu, kami pergi pula ke Taman Buaya yang terletak berhampiran dengan zoo tersebut. Pelbagai jenis buaya
terdapat di sini seperti buaya tembaga, buaya katak dan lain-lain lagi. Saya berasa sungguh ngeri apabila melihat
seekor buaya tembaga menyambar bangkai ayam yang dicampakkan oleh seorang pengawal kolam buaya di situ.

Kemudian, pada pukul 1.30 petang, kami pergi ke Taman Rekreasi Air Keroh untuk makan tengah hari. Selepas itu
kami pergi pula ke Tugu A Famosa. Di situ, kami melihat kesan-kesan tinggalan sejarah di Zaman Penjajahan
Portugis di Melaka. Ramai murid dan guru tidak melepaskan peluang untuk membeli pelbagai cenderamata di gerai-
gerai yang banyak terdapat di situ.

Di situ juga kami diberi peluang untuk masuk dan melihat sendiri Model Kapal Perang Portugis yang pernah
menyerang Melaka pada suatu masa dahulu. Selain itu, saya juga dapat menaiki Menara Taming Sari. Walaupun
berasa takut tetapi saya gembira kerana dapat melihat hampir seluruh Bandaraya Melaka dari menara tersebut.

Sebelum bertolak balik, kami singgah pula di sebuah pasar raya besar di bandaraya ini. Kemudian, kira-kira pada
pukul 6.00 petang, kami singgah di Masjid Negeri Melaka untuk sembahyang dan makan malam. Kami tiba di
sekolah semula kira-kira pukul 12.00 tengah malam. Saya amat gembira kerana turut meyertai lawatan tersebut.

Akhir sekali, jika saudari ada cerita-cerita yang menarik, sudilah ceritakan kepada saya di sini kerana saya selalu
menunggu-nunggu khabar daripada saudari. Sekian sahaja untuk kali ini. Di harap saudari sudi membalas surat
saya.

Sahabatmu
Surat Kiriman Tidak Rasmi: Menceritakan
pengalaman di tempat baru

Anda baru berpindah ke tempat baharu di sebelah pantai timur. Tulis sepucuk surat
kepada kawan lama anda untuk menceritakan pengalaman baru di sana.

_________________________________________________________________________

Rangka karangan

Pendahuluan
-Alamat pengirim
-Tarikh
-Kata-kata aluan dan bertanya khabar

Isi utama
1. menceritakan pekerjaan utama masyarakat sebagai nelayan sebagaipunca rezeki
2. berpeluang mempelajari selok-belok tentang kehidupan nelayan, pergi kepantai untuk
melihat nelayan pergi dan pulang
3. masyarakat yang ramah dan selalu senyum, mudah mendapat kawan, satu sekolah
dengan dengan saya
4. sekolah berhampiran dengan rumah, tidak mempunyai masalah dalam pelajaran, sering
membantu rakan-rakan, guru sering memberi nasihatdan peransang

Penutup
- menjemput rakan untuk bercuti

______________________________________________________________________________


















No. 13,
Kampung Nelayan,
Kuantan, Pahang.

30 April 2012

Assalamualaikum,
Menemui sahabatku Talib yang ku rindui selalu. Diharapkan saudara sihat seisi keluarga. Tujuan
saya menulis surat adalah untuk bertanya khabar dan menceritakan pengalaman baru saya.

Di sini saya ceritakan keadaan di tempat baru saya. Pekerjaan utama masyarakat di sini
ialah nelayan yang mencari rezeki di Laut China Selatan. Kedudukan rumah-rumah di sini
berhampiran dengan pantai.

Keadaan ini membuka peluang untuk saya mempelajari tentang selok-belok kehidupan
nelayan. Saya selalu pergi ke pantai pada waktu pagi semasa cuti sekolah untuk melihat nelayan-
nelayan pergi ke laut . Pada sebelah petangnya pula saya menunggu nelayan-nelayan pulang
dengan pelbagai hasil tangkapan laut yang segar.

Masyarakat di sini ramah dan tidak lokek dengan senyuman. Di sekolah, saya mudah
mendapat kawan-kawan baru. Mereka cepat mesra dan sering membantu saya untuk memahami
loghat Pahang.

Untuk pengetahuan saudara, sekolah saya terletak berhampiran dengan rumah saya. Di
sini saya tidak mempunyai masalah dalam pelajaran, malah saya sering membantu rakan-rakan
yang lemah. Guru-guru di sini juga baik-baik belaka dan selalu memberi nasihat dan peransang
kepada saya.

Akhir sekali, sudilah saudara untuk datang bercuti di sini. Saya senantiasa menanti
kedatangan saudara di sini. Sekian sahaja untuk kali ini. Di harap anda sudi membalas surat saya
dan bercuti di sini.

Sahabatmu
Amirull

Anda mungkin juga menyukai