Anda di halaman 1dari 3

Pendahuluan

Mutakhir ini, pelbagai jenis produk makanan tambahan dipromosikan dengan giat
di kaca televisyen, setiap corong radio dan juga media sosial. Semangat dan iltizam
dalam menjayakan perusahaan mereka wajar dipuji tetapi terdapat segelintir
daripada mereka yang menipu pelanggan dimana produk mereka mempunyai
bahan-bahan yang membahayakan dan boleh memudaratkan nyawa seseorang. Jika
ditelusuri, makanan tambahan terbahagi kepada beberapa jenis seperti suplemen
vitamin dan mineral, suplemen berasaskan herba dan tumbuhan serta suplemen
kecantikan dan kosmetik. Faktor kesempitan masa dan tahap pemakanan
berkhasiat yang sukar dicapai manusia hari ini telah menyebabkan pengambilan
makanan tambahan sebagai suatu yang perlu dalam kehidupan masing-masing.
Oleh itu, wajar untuk kita mengenali kesan-kesanpengambilan makanan tambahan
sebelum kita membeli dan menggunakannya untuk mendapat kesan yang kita
harapkan.

Isi 1

Antara kesan yang mujarab dalam pengambilan makanan tambahan adalah ia


membantu meningkatkan tahap imunisasi badan seseorang sekaligus meningkatkan
tahap kesihatan diri. Misalnya, kanak-kanak yang sukar untuk memakan makanan
berkhasiat seperti sayur-sayuran, mereka harus mengambil suplemen seperti
vitamin A dan vitamin C supaya mereka mendapat nutrien dan zat yang cukup
lebih-lebih lagi dalam umur pertumbuhan yang vital. Bagi golongan dewasa pula,
makanan tambahan seperti pati ikan kod atau susu juga penting dalam
membekalkan nutrien khusus untuk antibodi dalam badan mencegah penyakit-
penyakit yang berisiko apabila sudah berusia. Hal ini kerana, bila usia kita sudah
lanjut, sesetengah fungsi badan tidak dapat berfungsi dengan baik seperti dahulu
jadi makanan tambahan akan membekalkan keperluan yang cukup untuk badan
kita berfungsi dengan baik dan menyihatkan diri kita. Persis mutiara kata,
mencegah lebih baik daripada merawat.

Isi 2

Selain itu, pengambilan makanan tambahan memberikan kesan yang efektif kepada
atlet negara kita khususnya dan atlet dunia amnya. Jurang perbezaan fizikal yang
ketara telah menyebabkan persaingan yang sihat dalam industri sukan menjadi
sukar dan membunuh keseronokan bersukan. Kajian saintifik dan kemajuan
teknologi dewasa ini telah membantu penghasilan makanan tambahan yang boleh
meningkatkan tahap fizikal seseeorang untuk menjadi lebih tinggi, tegap dan
berotot berbanding dengan manusia biasa. Justeru, makanan tambahan telah
memberi kesan positif kepada atlet di mana mereka boleh meningkatkan tahap
fizikal mereka disamping berlatih untuk kebolehan dan teknik dalam sukan yang
diceburi dan seterusnya bersaing di peringkat dunia. Atlet bina badan negara,
Sazali Samad adalah contoh atlet yang menggunakan makanan tambahan dan
berbekalkan disiplin dan latihan yang mantap, beliau berjaya mengharumkan nama
Malaysia di mata dunia dengan merangkul anugerah “Mr. Universe” sebanyak 10
kali.

Isi 3

Namun begitu, pengambilan makanan tambahan juga seperti kehidupan, ada baik
dan ada buruknya. Kesan buruk dalam pengambilan makanan adalah sangat
membahayakan sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Sesetengah
daripada kita mungkin tidak sesuai dalam mengambil makanan tambahan tertentu.
Janganlah kita alpa dan memakan hasutan pengusaha-pengusaha produk makanan
tambahan hari ini yang suka menggunakan taktik testimoni pelanggan yang berjaya
dalam menggunakan produk mereka. Tuhan telah lahirkan setiap daripada kita
berbeza-beza, begitu juga tahap kesesuaian dan kebolehan kita dalam mengambil
makanan tambahan. Rentetan itu, kita sebenarnya memerlukan rujukan daripada
orang yang berkelayakan seperti doktor dan ahli farmasi dalam menentukan
pengambilan makanan tambahan. Tindakan yang tegas dan pantas oleh pihak
berkuasa juga diperlukan dalam melindungi masyarakat daripada golongan
pengusaha yang hanya mengejar kekayaan dan bukannya memikirkan kesihatan
pelanggan mereka.

Isi 4

Dalam masa yang sama, pengambilan makanan tambahan ini akan meningkatkan
tahap kebergantungan masyarakat harini terhadap produk tersebut dalam
mendapatkan makanan berkhasiat. Kemajuan dalam teknologi pembuatan makanan
ini wajar dirai namun kita sebenarnya hendaklah menyemarakkan sumber asal
pemakanan yang dapat membantu kita dalam mencapai kesihatan optimum diri.
Makanan tambahan dihasilkan daripada gabungan ekstrak dan bahan-bahan kimia
yang sebahagiannya ditumbuhkan dalam makmal dan memerlukan bahan
penstabilan dimana ia boleh mengancam fungsi tubuh badan kita jika diambil
secara berlebihan. Pada hemat saya, kita perlu melebihkan usaha meningkatkan
industri pertanian dan makanan yang menggunakan sumber asli dan organik
dimana tiada penggunaan racun atau bahan kimia dalam proses pembuatan
makanan dan sekaligus mengurangkan risiko kita daripada penyakit yang
disebabkan oleh keracunan dan bahan kimia yang terkandung dalam makanan
tambahan mahupun makanan harian kita.

Penutup

Tuntasnya, pelbagai kesan samada baik dan buruk yang telah kita singkap dalam
perbincangan di atas. Setiap ahli masyarakat perlu bersikap inteligensia dan
madani dalam mendepani arus pemodenan dunia hari ini dan mengamalkan praktik
yang terbaik dalam memastikan kesihatan diri masing-masing. Makanan
merupakan keperluan asas utama manusia dan pemain industri pemakanan perlu
lebih bertanggungjawab dalam memastikan makanan atau produk yang dihasilkan
betul-betul memberikan manfaat kebaikan kepada setiap golongan manusia.
Elakkanlah bersikap bodoh sombong dalam menerima nasihat dan pendapat
daripada golongan cendiakawan agar tindakan atau produk itu tidak memberikan
mudarat kepada sesiapa pun. Semoga rakyat kita bijaksana untuk menentukan kaca
atau permata dalam setiap aspek kehidupan terutamanya pemakanan yang akan
menentukan daya kebolehan masyarakat dalam kesihatan sekaligus melahirkan
generasi yang sihat dan bebas penyakit.

Anda mungkin juga menyukai