Anda di halaman 1dari 7

epentingan Makanan Seimbang

05:14:00  Esei  
Sejak kita mentah lagi dan darah hanya setampuk pinang,
kita telahpun dididik dan diingatkan berulang-ulang kali
oleh ibu bapa dan guru tentang kepentingan pemakanan
seimbang. Satu senario yang tidak asing kepada seseorang
kanak-kanak adalah apabila ditegur oleh ibu bapa kerana
enggan makan sayur-sayuran dan hanya ingin menjamah
makanan ringan. Terdapat sesetengah pihak yang
berpendapat bahawa pemakanan seimbang tidak begitu
vital kepada kesihatan seseorang individu. Menurut
persepsi mereka, kehidupan manusia di muka bumi
hanyalah sementara dan harus dinikmati sepenuhnya.
Oleh itu, mereka memandang enteng terhadap
kepentingan pemakanan seimbang. Pandangan ini dapat
disangkal dengan mudah kerana impak pemakanan
seimbang terhadap kesihatan dan kebahagiaan seseorang
amat ketara dalam kehidupan seharian kita sebagai
manusia. Namun demikian, mengapakah masalah obesiti
kian bertambah kritikal jikalau kebanyakan komuniti
sedar tentang kepentingan pemakanan seimbang? Kajian
terkini mendapati bahawa 33% daripada semua penghuni
dunia ini menghadapi masalah obesiti. Statistik ini amat
meruncing kerana hal ini bermaksud terdapat kira-kira 2
bilion orang di seluruh pelosok dunia yang tergolong
dalam kategori obes! Apakah kepentingan pemakanan
seimbang yang harus dikupas dan dibugar secara
terperinci hingga ke akar umbi, bagi menyedarkan dan
menginsafkan masyarakat agar lebih peka terhadap diet
mereka dan tidak bersikap bena tak bena terhadap
kesihatan dan kebajikan peribadi mereka? Marilah kita
mengkaji persoalan yang masih menjadi polemik dalam
kalangan masyarakat.

      Sebagai pembuka tirai pembincangan ini, salah satu


kepentingan atau faedah pemakanan seimbang yang jelas
dan nyata adalah untuk menjadikan tumbesaran manusia
lebih sempurna dari aspek fizikal dan fisiologi. Tubuh
badan akan menerima semua zat yang diperlukan untuk
menjalani aktiviti seharian tanpa menjadi lesu. Oleh itu,
seseorang yang menjaga dan mengawal pemakanannya
akan memiliki keadaan fizikal yang jauh lebih baik
berbanding seseorang yang kurang prihatin terhadap diet
dan cara pemakanannya. Zat dan mineral seperti kalsium,
magnesium dan fosforus penting dalam proses
pembentukan gigi dan tulang yang kuat. Kanak-kanak
khususnya yang harus mengambil zat-zat ini dalam
kuantiti yang optimum supaya dapat membesar sebaik-
baiknya. Di samping itu, mineral seperti zat besi penting
untuk memastikan sistem peredaran darah seseorang itu
efisien dan berfungsi secara lancar. Kanak-kanak dan
remaja memerlukan tenaga dan bahan mineral
secukupnya untuk membesar, bukan sahaja dari aspek
lahiriah seperti ketinggian dan berat badan, malah juga
dari segi kelancaran fungsi organ dalaman dan kecekapan
sistem-sistem badan. Sekiranya pemakanan mereka tidak
seimbang, mereka akan mengalami pertumbuhan yang
terbantut serta tidak sempurna. Hal ini akan
memudaratkan kesihatan mereka secara keseluruhannya
dan akan mengakibatkan mereka kurang berkemampuan
untuk menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Satu
tamsilan yang amat menyayat hati ialah kanak-kanak yang
berada di negara-negara Dunia Ketiga seperti Ethiopia dan
Afrika Selatan yang tidak mempunyai akses kepada
makanan berkhasiat. Oleh sebab tidak berpeluang
mengamalkan pemakanan yang seimbang, kanak-kanak
ini tidak dapat membesar dengan sempurna dan
kebanyakannya mereka mempunyai jangka hayat yang
amat pendek, seperti 7 hingga 12 tahun sahaja. Ironinya,
ramai individu di negara yang maju berupaya
mengamalkan diet yang sihat dan berkhasiat, namun
mereka enggan bertindak sedemikian.

      Bertitik tolak daripada huraian sebelum ini, manfaat


lain yang diperoleh daripada pemakanan seimbang ialah
menjamin perkembangan mental seseorang yang lebih
cekap dan berkesan. Kekurangan zat makanan yang
tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak
cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba
menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami semasa
meneroka liku-liku kehidupan. Situasi ini menjadikan
seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan
masalahnya dengan lebih efektif dan rasional berbanding
dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Dr
Andrew McCulloch dari Mental Health Foundation telah
menjalankan penyelidikan yang mendapati bahawa
pelbagai penyakit mental seperti depresi ( kemurungan ),
schizofrenia, penyakit Alzheimer dan ADHD ( Attention
Deficit Hyperactivity Disorder ) dapat dihindari sekiranya
mengambil makanan dan minuman yang seimbang dan
berkhasiat. Menurut beliau, otak manusia sebagai pusat
kawalan seluruh sistem badan juga dipengaruh oleh
nutrien-nutrien yang terdapat dalam diet kita. Kajian
saintifik terkini juga mengeluarkan laporan bahawa
mineral seperti kalsium dan sodium terlibat dalam proses
penghantaran impuls dalam sistem saraf badan kita. Dr
McCulloch telah mengutarakan evidens bahawa
pemakanan seimbang dapat mengurangkan tekanan emosi
serta meningkatkan keupayaan seseorang individu untuk
menangani dan mengatasi sesuatu masalah atau
pancaroba dengan minda yang tenang dan waras.

      Sebagai rentetan daripada perbincangan di atas,


pemakanan seimbang telah terbukti dapat mengurangkan
risiko untuk menghidapi pelbagai penyakit yang
berbahaya. Malnutrisi didefinisikan sebagai mempunyai
diet yang tidak seimbang, seperti mengambil nutrien-
nutrien dalam kadar yang terlalu banyak ataupun terlalu
sedikit. Makanan ringan yang digemari ramai mempunyai
kandungan kolesterol, garam, gula dan lemak yang terlalu
tinggi. Sekiranya kita terlalu kerap makan makanan
ringan, kita akan mempunyai risiko tinggi untuk
menghidapi penyakit obesiti, diabetes, hipertensi dan juga
strok. Sebaliknya sekiranya kita kekurangan kalsium,
fosforus dan vitamin D dalam diet harian, kita akan
menghidapi penyakit osteoporosis dan osteomalacia, iaitu
tulang dan gigi menjadi lemah dan mudah retak. Seperti
yang berlaku kepada kanak-kanak di negara-negara daif,
kekurangan protein akan menyebabkan penyakit
kwashiorkor dan marasmus. Penyakit kanser juga terbukti
dapat dielakkan dengan mengamalkan pemakanan yang
seimbang, terutamanya kanser payu dara, kanser buah
pinggang dan kanser hati. Oleh itu, memang tidak dapat
dinafikan bahawa jikalau kita mengambil semua nutrien,
bahan mineral dan zat yang diperlukan oleh tubuh badan
dalam kuantiti yang tepat, kita akan mengurangkan risiko
diri untuk dijangkiti berbagai-bagai penyakit yang bukan
sahaja menderitakan malah juga berpotensi membawa
maut. Janganlah sampai nasi menjadi bubur, barulah kita
bertindak dan mengambil berat kepentingan pemakanan
seimbang kerana sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tiada gunanya.

      Kepentingan pemakanan seimbang yang terakhir


namun tidak kurang signifikannya berbanding
kepentingan yang dihuraikan sebelum ini ialah
pemakanan seimbang dapat menjimatkan kos dan
perbelanjaan perubatan seseorang, khususnya golongan
yang kurang berkemampuan. Suatu soal selidik yang
dijalankan iaitu Consumer Expenditure Survey 2009 telah
menganggarkan bahawa setiap individu membelanjakan
kira-kira 6.37% daripada pendapatan bulanan mereka
untuk membiayai perbelanjaan perubatan. Secara amnya,
seseorang itu akan membelanjakan sebanyak US$3,126
(RM9,975) setiap tahun semata-mata untuk menjelaskan
kos perubatan. Pada tahun 2009, kerajaan Malaysia telah
memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM13.8 bilion
untuk menampuang segala keperluan dan kemudahan
perubatan rakyat Malaysia. Senario ini tidak harus
berlaku, kerana kita sewajarnya berusaha menjaga
kesihatan diri dan tidak bergantung kepada kerajaan
untuk menyelesaikan masalah-masalah kita. Jikalau kita
mengamalkan pemakanan yang seimbang, kita mampu
menjimatkan perbelanjaan perubatan sebanyak beribu-
ribu ringgit dan wang tersebut dapat disimpan untuk masa
kecemasan yang lain. Dari aspek ekonomi negara pula,
berbilion-bilion ringgit dapat difokuskan bagi menjana
pembangunan dan perkembangan dalam industri lain
seperti industri pelancongan dan penyelidikan. Sesetengah
pihak akan mengemukakan hujah bahawa pemakanan
seimbang tidak begitu penting, kerana sains dan teknologi
moden dalam bidang perubatan menjelang era
pascaglobalisasi ini mampu mengubati hampir setiap
penyakit. Memang benar, bidang perubatan kini semakin
canggih hasil daripada daya intelek golongan saintis dan
pakar perubatan. Namun demikian, persis madah
pujangga Melayu ada berbunyi, mencegah lebih baik
daripada mengubati. Dalam konteks ini, peribahasa ini
menegaskan bahawa lebih baik kita menghindari diri
daripada menghidapi sesuatu penyakit daripada
mengubati penyakit tersebut selepas dijangkiti. Hal ini
juga dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan kita.
Membeli makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan
sayur-sayuran jauh lebih murah daripada membeli ubat-
ubatan daripada farmasi.

      Tuntasnya, kepentingan pemakanan seimbang amat


jelas dan ketara dalam kehidupan seharian setiap manusia
di permukaan bumi ini. Sebelum meletakkan mata pena
dan menulis noktah terakhir, seruan saya ialah kita
mestilah sedar bahawa tabiat pemakanan kita bukan
sahaja mendatangkan kesan terhadap kesihatan fizikal
kita, malah akan meninggalkan implikasi terhadap
kesihatan kita secara holistik. Pepatah ada mengatakan,
Diri Anda ialah Apa yang Anda Makan dan kenyataan ini
benar dalam soal kesihatan. Memang tidak payah untuk
mengamalkan diet yang sihat dan seimbang. Kita perlulah
membina jadual pemakanan yang terancang berdasarkan
Piramid Makanan serta mematuhi arahan doktor. Andai
kata semua warganegara Malaysia berganding bahu dan
bersama-sama mempraktikkan diet dan pemakanan yang
seimbang, bukan sahaja individu malah masyarakat dan
negara yang akan menerima kesan positif daripada usaha
kolaboratif ini. Akhir kata, marilah kita semua
mengamalkan pemakanan seimbang supaya negara dan
juga dunia kita ini akan lebih sihat dan cergas, sekali gus
melahirkan masyarakat yang cemerlang dan berakal
tajam, kerana badan sihat, otak cerdas.

Anda mungkin juga menyukai