Anda di halaman 1dari 3

Membentuk Nilai Murni dalam

Diri Insan
June 18, 2015 Administrator Berita Harian, BH, Fairuz Hj. Noordin, Guru Dan Pendidikan

RAMADAN merupakan bulan yang bakal membentuk kemanusiaan seseorang. Ia akan


mengembalikan kita kepada diri keinsanan yang sebenar, kerana dalam Islam kita diajar
bahawa diri insan itu hakikat utamanya ialah rohnya yang menjadi zat asasi yang
menghidupkan diri kita. Kesimpulannya roh yang sihat adalah hasil daripada kerohanian yang
sihat. Dengan disiplin puasa yang kita lalui, solat sunat, terawih dan lain-lain, bakal
memperkukuhkan aspek ruhiyah.

Menurut YBhg. Dr. Mohd. Farid Mohd Shahran, Felo Kanan merangkap Pengarah Pusat
SYARAK IKIM menerusi perkongsiannya di dalam segmen Guru dan Pendidikan yang ke udara
di IKIMfm setiap Isnin, jam 5.15 petang, nilai-nilai murni yang dimaksudkan akan membina
keinsanan seseorang kerana jika tinggi nilai akhlaknya, begitu juga dengan nilai
kemanusiaannya. Rasulullah SAW sendiri datang dengan misi pembinaan akhlak mulia dan
murni.

Nilai adalah sesuatu yang menjadi ukuran kepentingan dan keperluan kepada diri kita dan ia
menjadi pegangan sebagai neraca untuk menentukan perlakuan, amalan, tindak tanduk, dan
ia sentiasa ada di dalam diri seorang manusia. Perkara yang akan membentuk penilaian di
dalam diri seseorang ialah ilmu. Sebab itu pendidikan penting kerana ia akan menyemai
ilmu yang bakal membentuk sistem nilai individu. Seseorang yang tinggi ilmunya,
mempunyai kewibawaan atau kebolehan yang tinggi untuk menilai sesuatu. Pandangannya
akan dihargai kerana imej yang dibawanya sebagai seorang ilmuan yang disegani oleh
mereka yang berada di sekelilingnya.

Selain itu pengalaman hidup yang dilalui juga mampu mempengaruhi bentuk penilaian
seseorang. Bukan hanya memiliki ilmu yang tinggi namun dia belajar menerusi sekolah
kehidupannya yang hebat. Liku-liku hidup dan pengalaman yang dilalui membina caranya
untuk berfikir.

Faktor keluarga dan latar belakang kehidupan, turut mempengaruhi cara penilaian seseorang.
Kaitan dengan keluarga yang berpendidikan, budaya dan sistem nilai yang tinggi,
mengutamakan nilai-nilai murni di dalam kehidupan, berdisiplin dan sebagainya akan
membentuk cara seseorang menilai. Secara tidak langsung, seorang ayah yang
mementingkan disiplin yang tinggi di dalam keluarga, akan melahirkan anak-anak yang
berdisiplin.
Namun tahap penilaian seseorang juga turut dipengaruhi oleh faktor persekitaran atau unsur-
unsur luaran. Mungkin keluarganya baik tetapi pergaulannya dengan kawan-kawan yang
kurang baik menjadikannya hidup di dalam persekitaran yang tidak baik. Selalunya
pandangan daripada rakan-rakan lebih banyak mempengaruhi seseorang berbanding
keluarga sendiri, menyebabkan masalah ini berlaku.

Nilai terbahagi kepada dua jenis. Pertamanya berbentuk praktikal, atau lebih merujuk kepada
benda yang berguna dari segi kehidupan, dan bersifat lebih sejagat. Manusia secara
umumnya mempunyai nilai-nilai ini dan ia akan meningkat berdasarkan kehidupan masing-
masing. Misalnya budaya rakyat Jepun yang amat menekankan kebersihan, ketepatan masa,
prihatin terhadap orang lain dan lain-lain. Nilai tersebut terhasil daripada kehidupan dan cara
berkomunikasi dengan alamnya dan tidak berkaitan dengan nilai agama atau kepercayaan.

Nilai kedua ialah nilai etika yang merupakan nilai yang lebih tinggi sifatnya kerana ia berkaitan
dengan adab dan tingkah laku apabila berkomunikasi atau berhubung dengan perkara-
perkara yang lebih tinggi. Dalam konteks agama Islam, sudah pasti yang paling tinggi dan
agung adalah apabila kita berhadapan dengan Allah SWT. Ia akan memberi kesan kepada
tahap penilaian, sistem akhlak dan lain-lain lagi. Dalam Islam juga kita memperakui bahawa
nilai-nilai yang tinggi adalah tetap dan tidak berubah kerana kita percaya bahawa sumber
kepada nilai ini juga begitu, iaitu tanzilan atau wahyu. Nilai-nilai yang dipegang sebagai
seorang yang beragama Islam bersumberkan al-quran, ajaran agama, hadis-hadis nabi atau
contoh ikutan daripada para nabi. Begitu juga dengan huraian daripada para ulama berkaitan
prinsip-prinsip agama. Hasil daripada sumber yang tetap itu menyebabkan nilai juga tidak
berubah. Contohnya apabila al-quran menyebut tentang apa yang baik dan buruk, maka
sebagai seorang muslim sejak dulu hingga kini mempunyai cara melihat kebaikan dan
keburukan yang tidak berubah. Misalnya berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah dan
sebagainya, merupakan nilai yang dipegang buat selama-lamanya.

Dalam konteks pendidikan yang sedang diserang dengan idealogi sistem pemikiran yang
sekular, yang mengajar bahawa nilai berubah mengikut zaman. Mereka juga berhujah,
disebabkan suasana berubah, maka manusia juga harus berubah. Pada mereka yang tidak
teliti, mereka mungkin akan terpengaruh dengan idealogi ini. Malah hujah yang lebih
saintifik menyatakan bahawa manusia sendiri merupakan hasil daripada proses perubahan,
maka nilai harus berubah. Akhirnya apabila ramai orang Islam terutamanya generasi muda
yang terpengaruh dengan pemikiran ini, tidak mustahil mereka merasakan harus bebas
daripada nilai yang dipegang oleh mereka yang terdahulu. Lebih memburukkan lagi keadaan
apabila mereka dipengaruhi dengan cara hidup barat seperti yang terdapat di dalam filem-
filem yang memaparkan anak-anak remaja yang menuntut kebebasan daripada ibu bapa
mereka.

Seharusnya sebagai orang Islam kita perlu yakin bahawa nilai yang diturunkan oleh Allah itu
merupakan nilai yang terbaik, kerana kita merupakan ciptaan-Nya. Pertama sekali kita harus
menekankan dalam Islam, nilai akhlak itu adalah nilai yang tetap dan manusia tidak berubah
sejak asal kejadian Nabi Adam yang diciptakan oleh Allah SWT. Kedua, nilai akhlak lebih
bersifat internal atau dalaman yang merupakan fitrah bagi nilai-nilai murni yang datang
daripada agama. Sebab itulah jika hendak membina kekuatan nilai-nilai murni dalam diri
seseorang, kita harus membinanya dari dalam atau pembinaan rohnya. Para ulama terdahulu,
berpendapat dalam diri manusia perlu dibina akalnya melalui ilmu, membina keberanian
daripada sifat marahnya dan keinginan-keinginan nafsu yang dikawal menghasilkan sifat
kesederhanaan.

Nilai-nilai murni yang dibincangkan ini tidak akan berlaku sekelip mata, tetapi ia mesti melalui
proses yang panjang yang melibatkan pendidikan akal dan kerohanian, dan pendisiplinan jiwa
supaya kita memperolehi nilai akhlak yang sangat tinggi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi
18 Jun 2015

Anda mungkin juga menyukai