Anda di halaman 1dari 2

KEPENTINGAN DAN KESAN NEGATIF

TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK)

Era globalisasi yang melanda dunia tidak akan lengkap tanpa kewujudan
perkembangan teknologi maklumat. Tidak dinafikan bahawa teknologi maklumat
membawa dimensi baru yang pelbagai pada corak kehidupan manusia. Penyebaran
maklumat secara besar-besaran sudah tentu akan mempercepat usaha kita untuk
mencapai status negara maju. Hal ini disebabkan teknologi ini akan membawa kita
ke arah perkembangan yang berkaitan dengan pelbagai cara menerima dan
menyampaikan maklumat secara elektronik.

Dalam konteks pendidikan, peranannya bukan setakat mampu membantu


memudahkan tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, malah berpotensi
sebagai alat untuk memperluas persekitaran pengajaran dan pembelajaran.
Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan
memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif dan penyayang dengan
menggunakan teknologi terkini. Berdasarkan alasan inilah pihak kerajaan melalui
Kementerian Pelajaran mewujudkan Sekolah Bestari yang sekali gus bertindak
mengisi agenda perancangan dan pelaksanaan Koridor Raya Multimedia. Dengan
penggunaan teknologi maklumat, pelajar lebih mahir membuat kajian dan lebih
berfikiran secara kritikal.

Selain itu, kemajuan teknologi maklumat membolehkan pakar-pakar


perubatan berinteraksi tentang teknik-teknik pembedahan dan diagnosis yang
terkini. Dalam kehidupan seharian pula, pembayaran pelbagai bil dapat dilakukan
dengan mudah dan cepat. Jadi, kesesakan lalu lintas dan tekanan kerja dapat
dielakkan dengan mudah. Di samping itu, pendidikan jarak jauh juga dapat
dijalankan dengan adanya kemudahan teknologi maklumat. Melalui konsep e-
pembelajaran yang diperkenalkan ini, guru dan murid tidak perlu lagi melakukan
interaksi empat mata, sebaliknya proses berinteraksi berupaya dilakukan pada jarak
yang tiada sempadan dan kekangan, iaitu hanya perlu menggunakan komputer dan
internet sebagai medium. Dalam sesebuah organisasi, teknologi ini dapat berfungsi
sebagai alat latihan yang berkesan dan efisien. Latihan secara teknik audio visual,
penggunaan perisian komputer, dan arahan kerja secara elektronik merupakan
sebahagian daripada penggunaan teknologi komunikasi yang dapat dipraktikkan
berulang kali.

Walau bagaimanapun, teknologi yang dibangunkan bersama-sama dengan


arus kemodenan ini turut digunakan untuk tujuan yang tidak wajar. Sekalipun dari
sudut lain, teknologi maklumat membawa kebaikan dalam hidup manusia, namun
kewujudannya dieksploitasikan pula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab
dengan begitu rakus untuk pelbagai matlamat. Menerusinya, teknologi canggih
internet ini telah digunakan untuk melakukan pelbagai jenayah tradisional
dalam bentuk moden seperti memeras ugut, menipu, dan menyebarkan fitnah.
Perkembangannya yang begitu pantas juga mungkin akan mewujudkan sindrom
ketagihan dalam kalangan pengguna internet. Virus komputer yang begitu
dibimbangi sejak belakangan ini juga disebarkan melalui internet untuk
menghapuskan data-data penting dan mengakibatkan kerosakan komputer. Situasi
ini akhirnya akan mengakibatkan operasi sesebuah syarikat atau agensi kerajaan
lumpuh kerana sistem komputer tidak berfungsi dan data-data tidak dapat diakses.
(394 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai