Anda di halaman 1dari 12

KARANGAN SPM TEKNOLOGI MAKLUMAT

Kesan-Kesan Teknologi Maklumat (ICT)

Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman
falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah
pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui
oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai
input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya
menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan
manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan
maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai
implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.

Kehadiran teknologi maklumat merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas
mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi maklumat. Seluruh dunia
telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan
menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi
melalui perantaraan antara guru dengan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan
komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya.
Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di surat khabar menjelaskan hakikat
ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan
menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit
menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Begitulah
kelebihan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan.

Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan
adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara perniagaan melalui
elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua
perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik
atau e-mel. Kini, istilah www.sesuatu.com.my bukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang
dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari
seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak
beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah
tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa perkembangan
teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran
industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak membantu
meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan
kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat
dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi
maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai
ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada
pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia
melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di
kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling
serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan
teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan
negara-negara maju yang lain.

Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat
Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara
atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai
pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia.
Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan
yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah
malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran
surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga
berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam
kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang
tiada tolok bandingnya?\Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak
bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif
yang boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak
yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak berasas dan berbaur
fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan
internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang
mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang
disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat
untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada
negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini,
keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah
yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam
kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya
dalam internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-
peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut keuntungan besar dengan memberikan
perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam.
Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak
kira lelaki atau perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir
semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di
merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan
perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat
sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.

Sebagai penutup bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang
sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai
pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua
pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan
tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi
tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk
melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara
merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Sesungguhnya Saidina Ali Abi Talib pernah berkata bahawa
manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi apabila manusia
berdagang dengan harta maka hartanya semakin berkurang.
Karangan Bahagian B Manfaat Penggunaan Teknologi Maklumat

 Dalam konteks era pascamoden, dunia dicanangkan oleh teknologi maklumat dan komunikasi.
Perkembangan dalam bidang teknologi maklumat di dalam negara telah menyogokkan gaya hidup
baharu serta mengubah cita rasa pengguna. Teknologi maklumat telah meguasai global ini dengan
berleluasa, Hampir setiap saat masyarakat akan menggunakan teknologi maklumat dengan
mengawal setiap perkara di hujung jari mereka. Keadaan ini menjadi amat mustahak kepada
masyarakat kerana merupakan agenda baharu yang mendapat tempat dalam sanubari masyarakat.
Hal ini demikian kerana teknologi maklumat diwujudkan untuk menyenangkan kehidupan kita yang
sibuk. Kerajaan negara kita yang menyedari teknologi maklumat mampu menjadikan negara kita
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju telah pun bertindak pantas
dengan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencapai wawasan tersebut. Pelancaran satelit
negara Malaysia iaitu MEASAT I, II dan Tiungsat-1 ke angkasa lepas merupakan kejayaan yang
membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Satelit-satelit ini telah menyediakan perkhidmatan
komunikasi asas untuk tanah air kita. Dunia kita kini yang beralaf siber telah melahirkan generasi kini
yang celik IT. Kesedaran masyarakat tentang manfaat penggunaan teknologi maklumat semakin
meningkat agar tidak ketinggalan terhadap semua perkara. Sesungguhnya, jika direnungkan secara
berhemah, teknologi maklumat mendatangkan maslahat terhadap masyarakat dan negara kita.

  Umum mengetahui bahawa keistimewaan perdana yang mampu kita nikmati ialah maklumat dapat
diperoleh dengan pantas dan tepat. Dalam konteks ini, masyarakat akan menjadi lebih peka dengan
perkembangan dan pergolakan di setiap sudut dunia melalui kemajuan dalam bidang penyebaran
maklumat. Alat-alatan yang canggih seperti komputer, telefon bimbit dan televisyen mampu
memaparkan maklumat terkini untuk tatapan umum. Rakyat hanya perlu membuka rangkaian
Internet atau menekan butang alat kawalan jauh untuk mengetahui segala-galanya yang ingin
diketahui mereka. Dengan teknologi, maklumat mampu disalurkan dengan pantas dan efisyen.
Sebagai contoh, dua orang yang berada di tempat yang berbeza dapat berhubung antara satu sama
lain dengan adanya rangkaian Internet. Sekiranya mereka mempunyai laman sosial seperti
"Facebook", "Twitter", "Skype" dan sebagainya, kedua-dua orang tersebut mampu berkomunikasi
sesama sendiri dan mengetahui keadaan pihak lain dengan serta-merta. Aplikasi-aplikasi telefon
bimbit pula seperti "Line", "WeChat" dan "WhatsApp" pula mampu menghubungkan ramai orang
tanpa membayar wang. Aplikasi seperti ini mampu mengeratkan hubungan dan melepaskan rindu
terhadap orang yang tersayang. Perkhidmatan seperti e-mel, laman sembang dan sistem pesanan
ringkas (SMS) serta panggilan telefon juga merupakan cara untuk berhubung tanpa berada di tempat
itu. Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan dan yang boleh
mengeratkan hubungan rakyat di seantero dunia ini. 

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa keunikan penggunaan teknologi maklumat dapat juga
dikaitkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Teknologi maklumat akan
meningkatkan mutu pendidikan negara kita. Oleh hal yang demikian, kerajaan telah menubuhkan
sekolah bestari sebagai teras pendidikan. Dalam kelas akan ditempatkan komputer dan skrin yang
besar di hadapan kelas. Guru akan menggunakan komputer untuk menjalani P&P agar lebih menarik
minat murid-murid. Internet juga menjadi sumber rujukan murid-murid ketika mempelajari topik
tertentu. Keadaan ini menyenangkan pelajar kerana hanya dengan menaip kata kunci tertentu pada
kotak pencarian, senarai laman web yang berkaitan dengannya akan disenaraikan dengan pantas.
Penerokaan ilmu di ruang siber mampu menambahkan pengetahuan murid-murid tanpa bersusah
payah mencari informasi tertentu di perpustakaan yang mempunyai ribuan buku di atas rak yang
banyak. Perkhidmatan maklumat ini menjimatkan masa dan mempercepatkan produktiviti orang
raai kerana membantu mereka menyiapkan tugasan dengan cepat. Di samping itu, modul
pembelajaran dapat dijalani di rumah dengan memainkan cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-
ROM) yang terdapat di belakang buku teks yang disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia. Selain itu, para siswazah yang telah melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi
menggunakan komputer untuk menjalani pembelajaran. Dengan ini, mereka tidak perlu menghadiri
kuliah secara lumrah. 

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa manfaat lain yang agak jelas ialah meningkatkan
kemajuan tanah air kita. Pembinaan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang bertujuan menarik
syarikat-syarikat dengan pengecualian cukai syarikat sementara serta kemudahan-kemudahan lain
dan lokasinya yang berdekatan dengan lapangan terbang antarabangsa. Rancangan kerajaan ini
membuka peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat antarabangsa untuk beroperasi di negara kita.
Malaysia menjadi hub teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dinamik. MSC juga menjadi
teras utama kepada syarikat multinasional seperti syarikat asing dan syarikat tempatan untuk
mengeluarkan produk multimedia dan komunikasi serta menjalankan penyelidikan dan
pembangunan (R&D) yang berkaitan dengan ICT. Projek ini dilancarkan oleh Perdana Menteri
Malaysia yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membangunkan industri teknologi
maklumat dan komunikasi global. Peningkatan dan pentadbiran negara mampu ditingkatkan ke arah
yang lebih teratur untuk kemajuan negara. Urusan kerajaan atau swasta dapat dipercepatkan
dengan adanya teknologi maklumat. Proses pemindahan maklumat dan penyimpanan data akan
dipermudahkan serta menjimatkan masa, tenaga dan meningkatkan kecekapan kerajaan dan rakyat.
Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM) juga menjadi mudah dan lancar. Dalam pada
itu, produktiviti akan ditingkatkan dan seterusnya meningkatkan keuntungan sesuatu perniagaan.
Maka, kemajuan dapat dicapai dalam masa yang singkat. 

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan maslahat seterusnya iaitu
meningkatkan ekonomi negara. Teknologi maklumat menyediakan ruang siber kepada para peniaga
yang ingin menjalankan perniagaan mereka secara atas talian dengan menggunakan laman web
seperti e-dagang atau perdagangan elektronik. Peniaga hanya perlu menyenaraikan barang-barang
yang diperdagangkan di laman web tersebut. Pembeli yang terdiri daripada rakyat dari seluruh dunia
pula akan dapat melihat serta membeli barangan tersebut. Pasaran peniaga boleh diperluas melalui
internet. Para peniaga juga tidak lagi memerlukan ruang niaga yang besar. Pembeli boleh melakukan
pembelian pada bila-bila masa sahaja dan di mana-mana. Keadaan ini juga menjimatkan masa dan
tenaga pembeli kerana tidak perlu keluar dari rumah untuk membuat pembelian. Mereka juga akan
mengelakkan gangguan kesesakan lalu lintas, cuaca dan jurujual yang membosankan. Halangan
pembelian atas talian hanyalah ke penghantaran barang yang mahal bagi lokasi yang jauh. Jika
barangan dijual ke luar negara, cukai barangan pula dikenakan dan ini mendatangkan pendapatan
kepada negara kita. Fenomena ini akan meningkatkan ekonomi negara kita. Di samping itu, dengan
wujudnya teknologi maklumat, peluang pekerjaan akan diwujudkan dengan perlunya pekerja yang
dapat mengendalikan alatan canggih. Pekerjaan-pekerjaan seperti "Computer Programmers",
"System Analyzers", "Hardware & Software Developers" dan "Web Designer" merupakan contoh
kerjaya yang dikaitkan dengan teknologi maklumat. Kerjaya sebegini dapat meningkatkan kemahiran
pekerja di negara kita dan mendatangkan keuntungan pekerjaan yang seterusnya meningkatkan
ekonomi negara.

  Suatu hakikat yang wajar diterima kebaikan penggunaan teknologi maklumat ialah mentarafkan
kedudukan negara kita setanding dengan negara-negara maju yang lain. Peralatan yang memerlukan
elektrik memiliki teknologi maklumat. Hanya dengan teknologi maklumat peralatan tersebut dapat
berfungsi dengan sempurna. Benda yang dapat dicari dari luar negara sekiranya didapati di negara
kita sendiri akan menjadikan taraf kita setanding dengan negara maju. Kita akan sentiasa
dikemaskinikan kepada masa kini dan tidak ketinggalan arus zaman moden. Perkataan "Global
Village" atau lebih dikenali sebagai internet dengan bantuan teknologi membolehkan negara-negara
kurang maju seperti Chile dan negara-negara maju seperti Jepun berkongsi idea dan maklumat
antara satu sama lain. Hal ini mengurangkan jurang budaya dan akan manunjukkan perhubungan
dunia rapat yang membenarkan ekonomi-ekonomi dunia menjadi satu sistem yang bersifat saling
bergantung antara satu sama lain. Komunikasi dapat dijalankan antara pihak dari negara berbeza
dan membolehkan pertukaran idea dan pandangan. Keadaan ini akan meningkatkan kesedaran
tentang kepentingan bekerjasama dan mengurangkan sikap prejudis. Perbezaan pendapat ini akan
menggalakkan pemindahan teknologi secara atau tidak langsung. Dengan ini, sesebuah negara dapat
mempelajari kemahiran dari luar negara dan memanfaatkan negara sendiri. Dengan keadaan
sedemikian, kedudukan negara kita akan setanding dengan negara maju di persada dunia.

  Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa teknologi maklumat banyak
mendatangkan faedah kepada kita. Sebagai generasi yang berada pada pawana globalisasi yang
penuh dengan konkurensi sengit ini, kita sebagai rakyat Malaysia tidak harus ketinggalan arus
pemodenan dan sebaliknya menguasai teknologi maklumat yang berada di sekitar kita. Teknologi
maklumat akan sentiasa berkembang dari semasa ke semasa dan sistem hidup manusia masa depen
akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini. Malah, pada masa kini juga, kita telah pun
banyak bergantung kepada teknologi maklumat untuk membantu menyenangkan kehidupan kita.
Wawasan 2020 untuk menjadikan negara kita maju boleh direalisasikan dengan penguasaan rakyat
dalam teknologi maklumat. Sekiranya kita meluhat negara kita yang tercinta ini, kita dapat melihat
pelbagai pihak yang sering ingin memajukan negara ini. Misalnya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang
merupakan Bapa Kemodenan Malaysia telah memberi sumbangan besar terhadap pembangunan
yang moden di bandar. Teknologi maklumat juga membantu membangunkan negara agar rakyatnya
dapat hidup dengan aman dan selesa. Setiap rakyat perlu melakukan anjakan paradigma agar
wawasan 2020 dapat dicapai dengan pantas. Adakah tanggungjawab semua rakyat memanfaatkan
teknologi maklumat untuk kepentingan generasi masa kini dan untuk warisan generasi seterusnya
yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.
PENULISAN 5 : Gaya Hidup Sihat
Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.

     Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan pelbagai risiko penyakit
pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan,
tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup
yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak
melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko obesiti
serta penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat
Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah
semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil
lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat
dalam kalangan anak-anak mereka?

     Sudah terang lagi bersuluh peri pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup
sihat dalam kalangan anak-anak. Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat
dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan
yang seimbang. Pemakanan yang seimbang bermaksud pemakanan yang mengandungi ketujuh-
tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral,
lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta
bernutrien kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana
makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa
digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti
anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu
mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak
memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak
perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah
memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup
sihat.

Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak.
Aktiviti ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-
anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-
peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya,
anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti
senaman perlulah dilakukan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu.  Antara
aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit.
Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi
ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan
beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah,
badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah
bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.

     Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan
secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-
anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali
setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika
masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini.
Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali
tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik
untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah
segala membawa mereka berjumpa dengan doktor  untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang
penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi
nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan
secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.

     Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka  mengutamakan kebersihan diri
pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas
seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu
dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga
perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci
tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi  lalat
mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa
ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan
sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak  agar dapat membentuk gaya hidup
yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
     Pada masa yang sama,  selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa  juga seyogia
mendidik  ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang
bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit.
Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung
minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa
anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan membersihkan sampah-
sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat
mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun
tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa
dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka  sekali gus akan dapat
menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
     Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang
lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna
kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah
mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan
psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang
mesra bersama-sama anak-anak  atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya
dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek
psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu
bapa  mengamalkan cara  berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran
tetangga serta  mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi
yang positif.
     Pada masa yang sama memiliki sikap atau mentaliti positif penting untuk menangani tekanan
kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu
menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.
Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan di tempat
kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak
menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi
ataupun rakan-rakan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh
menjuruskan ibu bapa  pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan
sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa  itu maka semakin tinggilah
gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga  kelak. Penguasaan diri yang baik
dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan
asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
     Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah
membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-
rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat
orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana
acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya
membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita
menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan
gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit  itu untuk melawan kesakitan
yang ditanggung. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa
simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan
sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak,
mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun
pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya,
amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya
hidup yang sihat.
     Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak
mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan
kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak
yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk
tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas
tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan
berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu
dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang
boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk
tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup
sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
     Jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang
bersangkut isu peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan perbincangan di
atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk
amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan
agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah
di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata
pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah
mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit
jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain,
segala kelemahan perlu ditangani sebelum padi di sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban
disambar helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita
memiliki ciri-ciri manusia yang sihat bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Kepentingan amalan gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat boleh ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif
kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Dalam meniti arus kemodenan yang
berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada
tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia.
Masalah wabak penyakit semakin menular dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia.
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2015, angka
pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200,000 orang jika
dibandingkan dengan bilangan pesakit pada tahun dahulu. Senario yang menggemparkan ini
haruslah ditangani dari akar umbi sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah kepentingan
mengamalkan gaya hidup sihat? Saya akan rangkaikan satu demi satu.

Pertama sekali, salah satu kebaikan amalan gaya hidup sihat termasuklah tumbesaran yang
seimbang. Dalam kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat
mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang
juga masyarakat kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan
yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh
mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis
yang merupakan antara punca kematian tinggi di negara kita. Maka, tumbesaran yang seimbang
ditentukan oleh pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang mengandungi ketujuh-tujuh
kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air
serta serat. Ibu bapa haruslah menanam tabiat pemakanan seimbang dalam anak-anak sejak usia
muda supaya menjaga diet mereka apabila dewasa kelak kerana bak kata pepatah, melentur buluh
biarlah daripada rebungnya. Pengambilan minuman berkarbonat dan arak haruslah dikurangkan
kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula
yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli
serta mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka. Lagipun, ibu bapa juga
digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di
sepanjang jalan biasanya digoreng dengan penuh minyak. Maka, tumbesaran seorang individu akan
lebih menyeluruh dan seimbang. Jelaslah bahawa pemakanan yang seimbang dapat memastikan
tubuh badan menerima semua khasiat yang diperlukan untuk menangkis kehidupan zaman moden. 

Selain itu, pengamalan gaya hidup sihat melahirkan sikap atau mentaliti positif untuk menangani
cabaran dan pancaroba di dunia luar. Terdapat beberapa contoh gaya hidup sihat yang dapat
mengurangkan tekanan dan stres kehidupan, iaitu mendapat rehat yang mencukupi dan bersenam.
Rehat yang mencukupi memainkan peranan penting dalam pengamalan gaya hidup sihat. Kita
perlulah berehat antara 6 hingga 8 jam sehari kerana rehat inilah yang mengecas semula organ-
organ dalam badan kita untuk meneruskan kehidupan pada keesokan harinya. Meskipun generasi
muda kini lebih suka tidur selepas tengah malam, ibu bapa tetap haruslah menetapkan satu masa
tidur yang spesifik untuk dipatuhi oleh anak-anak. Hal ini dapat memastikan anak-anak mendapat
pemulihan tenaga sepenuhnya. Sehubungan dengan kita, marilah kita meneruskan perbincangan
tentang aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Secara umum, kita seharusnya melakukan
aktiviti senaman sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan 3 kali seminggu. Aktiviti bersukan dapat
mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman menyebabkan
semua toksin badan keluar bersama-sama. Stres yang dialami juga dapat dihilangkan jua. Kesannya,
individu tersebut mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Selain
menyihatkan badan, aktiviti sukan juga dapat mencergaskan minda kita. Hal ini disebabkan ketika
bersukan, oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-
sel badan untuk menjalankan proses respirasi, di samping mempercepat alira oksigen ke otak. Maka,
kita tidak mudah mengantuk ketika berada di sekolah mahupun di tempat bekerja. Sudah pastinya
produktiviti kerja serta proses pembelajaran akan lebih efisien kerana bak kata pepatah, minda
cerdas lahir daripada badan yang sihat. Jelaslah bahawa rehat yang secukupnya dan aktiviti sukan
dapat melahirkan minda serta badan yang ishat. 

Kepentingan amalan gaya hidup sihat seterusnya ialah pencegahan serangan penyakit. Pemeriksaan
kesihatan secara berkala merupakan antara kaedah untuk menjamin satu kehidupan yang sihat.
Melalui pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali, pihak doktor mampu
mengesan sebarang simpton awal penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia pula. Hal ini
memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah
lebih baik daripada mengubati. Selain itu, orang ramai perlu mengutamakan kebersihan diri bagi
memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi,
mandi dan berpakaian bersih perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan
kuman atau penyakit, asas-asas kebersihan lain perlu diamalkan seperti mencuci tangan dengan
bersih sebelum makan, menutup makanan agar tidak dihinggapi lalat dan juga memilih tempat
makan yang bersih untuk menjamu selera. Selain mengutamakan kebersihan diri, masyarakat juga
perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan
gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan. Amalan seperti ini dapat
mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan ssebagainya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun
tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan dan ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai
akan dapat menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang shirt. 
Contoh Karangan SPM
AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

(TEMA) Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak
positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat
ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh
menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. (ISU) Sudah pasti dalam kehidupan era
moden yang begitu banyak tekanan ini, gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai
segera. (ARAHAN) Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai
matlamat ini.

(ISI) Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang.
(MENGAPA) Tubuh orang yang mengamalkanpemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan
vitamin yang diperlukan. (BAGAIMANA)Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil
makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang
berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. (KESAN) Dengan cara itu, penyakit berbahaya
seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana
mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. (PENEGAS) Jadi, izharlah bahawa pemakanan
yang seimbang membolehkan kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria dan sihat.

(ISI) Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. (MENGAPA) Aktiviti
sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan
perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. (BAGAIMANA) Oleh itu, setiap orang
hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali
seminggu. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang
basikal, berjoging, atau berenang. (KESAN)Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah
daya pemikirannya juga cerdas kerana badan cergas, otak cerdas. (PENEGAS) Tegasnya, aktiviti
beriadah dan bersukan dapat menjamin kesihatan seseorang.

(ISI) Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. (MENGAPA) Hal
ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang,
dan pankreas berfungsi dengan baik. (BAGAIMANA) Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya
seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal
melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. (KESAN)Dengan cara itu, langkah pemulihan akan
dapat dilakukan dengan segera kerana alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit
lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru tengadah. (PENEGAS)Ringkasnya, seseorang itu akan
senantiasa memastikan dirinya sentiasa sihat dengan mendapatkan pemeriksaan doktor secara
berjadual sebelum kudis menjadi tokak.

(ISI) Akhir sekali, setiap individu perlu menjauhi gaya hidup yang negatif dan tidak sihat seperti
pengambilan alkohol yang banyak, ketagihan rokok dan juga pengambilan dadah atau pil-pil
perangsang. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana amalan gaya hidup yang tidak sihat akan
menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawanya atau nyawa orang lain. (BAGAIMANA)
Pengambilan alkohol dan dadah akan mendedahkan badan kepada pelbagai penyakit dan masalah
kesihatan seperti obesiti, kencing manis dan kesihatan mental. Selain kita, setiap orang juga perlu
menjauhi amalan mengunjungi rumah pelacuran atau tempat-tempat maksiat bagi mengelakkan diri
daripada jangkitan penyakit kelamin dan HIV Aids. (KESAN) Tahap kesihatan rakyat yang baik dapat
menjamin maruah diri dan meningkatkan produktiviti negara. (PENEGAS) Pendek kata, seseorang
yang mengimpikan kehidupan yang sihat akan memastikan dirinya tidak terjebak dalam aktiviti-
aktiviti yang tidak bermoral.

(PENUTUP) Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat dapat dipraktikkan dengan banyak cara.
Amalan-amalan ini memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat.
(CADANGAN)Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk
merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat
untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat
untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling
bekerjasama ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. (HARAPAN)Semoga kempen
kerajaan iaitu kempen ‘Rakyat Sihat Negara Maju’dapat direalisasikan kerana rakyat yang sihat dapat
menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif.

Anda mungkin juga menyukai