Anda di halaman 1dari 3

Kesan pelajar terlibat dengan industri hiburan

...............Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri
ini dapat dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media
elektronik yang lebih cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan
berita bercorak pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba
meraih keuntungan mudah dengan mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar agar
melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah
memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan
menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang.
Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan golongan pelajar melibatkan diri dalam dunia
hiburan dan apakah pula kesannya?




...............Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan
waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut
ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk
memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan.
Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula
dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu
akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal
memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat
secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang
bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk
berlatih juga perlu diambil kira. Justeru, kesannya akan menyebabkan kesukaran kepada mereka
untuk memperuntukan waktu yang secukupnya pada pelajaran.




...............Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti yang
kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang
dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti
untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga.
Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan
tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti
aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang
terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan.
Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya
tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah
pula sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.




...............Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan
tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan
dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja
mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan
memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa
kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung,
kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka
berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini
berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan
pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan
sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak
menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.




...............Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza.
Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah
keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan
yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil
sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan
dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah
golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut
pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan
rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya
lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal
inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang
hiburan.




...............Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan
adalah individu yang mementingkan glamour dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin
ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang
pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong
dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja
perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital.
Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah
lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka
terlalu glamour sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya,
sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka
pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan,
nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan.

...............Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar,
mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang
terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan
bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan,
berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu
membina impian masa depan gemilang.

Anda mungkin juga menyukai