Anda di halaman 1dari 2

Keburukan pelajar menyertai industri hiburan

Untuk "pelajarkiut": (maaf cikgu tak terbaca mesej anda)

SOALAN KARANGAN:

Keburukan penglibatan pelajar dalam industri hiburan tanah air.

...............Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri
ini dapat dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media
elektronik yang lebih cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan
berita bercorak pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba
meraih keuntungan mudah dengan mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar
agar melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah
memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan
menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan
datang. Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan golongan pelajar melibatkan diri dalam
dunia hiburan dan apakah pula kesannya?

...............Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan
waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut
ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya
untuk memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan
berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa
dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan.
Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran
dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya
seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka
memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau
pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Justeru,
kesannya akan menyebabkan kesukaran kepada mereka untuk memperuntukan waktu yang
secukupnya pada pelajaran.

...............Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti
yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti
yang dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil
cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana
juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa
melupakan tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan
mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para
pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam
peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan
jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu
pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.

...............Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan
tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi
kehidupan dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki
sahaja mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan
memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan
masa kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung,
kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka
berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini
berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan
pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan
sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah
bijak menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.

...............Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu
berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian
malah keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif
pendidikan yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan
jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini
amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan
artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak
ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama
rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh
mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius
sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan.
...............Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang
hiburan adalah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini
mungkin ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan
seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat
bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai.
Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di
sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang
pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka
merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga memandang rendah orang lain yang bukan
golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral
yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu
digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan.

...............Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar,
mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang
terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan
bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri
hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang
mampu membina impian masa depan gemilang.

Anda mungkin juga menyukai