Anda di halaman 1dari 9

KARIMMIE:

Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillahhirabbilalamin, Wassolatuwassalamualaalihi


wasohbihi ajmain.

Melati kuntum tumbuh melata,


Sayang merbah di pohon cemara;
Assalamualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

AINUL: Dari raub pergi ke pontian,


Terus pula ke kuala lipis,
Harap semua berikan perhatian,
Mohon saya mulakan majlis.

Assalamualaikum wbt, hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian, tujuan kita berhimpun di
dalam majlis yang penuh keberkatan ini adalah untuk mendengar sebuah forum yang
berilmiah yang bertajuk “Isu-isu keruntuhan akhlak dan cara pembinaan akhlak”.

IZETI:
Tak molek jika ada alu tiada lesungnya,
Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya,
Tak berkat ilmu tanpa amalnya,
Tak lengkaplah majlis jika tiada yang berbicara.

Oleh itu, majlis dengan segala hormatnya memperkenalkan barisan panel kita pada hari ini
yang keduanya merupakan pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan
daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan iaitu Ahmad Karimmie Bin
Sautan dan Ainul Hardhiah Binti Mohd Sayuti. Tidak dilupakan juga untuk saya
memperkenalkan diri saya terlebih dahulu, saya Noor Izeti Adha Binti Yahaya yang juga
merupakan pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut
Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan juga merupakan panel anda pada hari ini.

Baiklah saya menjemput saudara Ahmad Karimmie untuk memulakan forum kita pada hari
ini, bolehkah saudara menerangkan apakah isu-isu keruntuhan akhlak dalam masyarakat
kita pada hari ini? Mohon penerangan daripada saudara.

KARIMMIE: Bismillahirrahmanirahhim Assalamualaikum WBT. Terima kasih saya ucapkan


kepada saudari Izeti atas soalan yang diajukan. Pada pendapat saya, isu keruntuhan akhlak
dalam kalangan remaja ini disebabkan oleh beberapa faktor. Antara punca yang utama
berlakunya isu ini adalah kurangnya nilai pendidikan dalam diri remaja. Pendidikan juga
merupakan salah satu aspek yang penting dalam pembentukan akhlak remaja kerana ia
akan membantu mereka dalam membuat pertimbangan antara perilaku yang betul atau
salah. Hal ini kerana mereka merupakan individu yang tercicir dalam pelajaran kerana
mereka merasakan bahawa sekolah itu bukanlah tempat yang menyeronokkan sehingga
mereka lebih memilih untuk ponteng sekolah. Sebaliknya, sesetengah remaja yang
berpendidikan tinggi, pendidikan merupakan jaminan kepada ‘masa depan mereka’. Tafsiran
‘masa depan’ menurut remaja yang terlanjur adalah keupayaan untuk mendapatkan
pekerjaan yang seterusnya menjadi idaman bakal suami sekurang-kurangnya dalam
kalangan pekerja buruh. Sebagaimana yang dinyatakan Pegawai Penasihat Agama (GKS)
bahawa pandangan mereka tentang perlakuan mereka tetap akan membawa mereka ke
arah kehidupan yang baik juga kelak. Seterusnya, pendidikan menjadi suatu asas bagi
melahirkan seseorang remaja yang berilmu dan berthaqafah. Melalui pendidikan juga dapat
melatih para remaja mempunyai tahap pemikiran yang matang dan jati diri yang kuat dalam
membantu mereka membuat segala tindakan dan keputusan. Para remaja dapat berfikir
secara rasional tentang baik buruk sesuatu perkara melalui pendidikan yang baik sama ada
formal di sekolah atau tidak formal di rumah.

Selain itu, keruntuhan akhlak juga berpunca daripada perkembangan teknologi yang begitu
berleluasa. Dunia hari ini mengalami evolusi dan perubahan sumber teknologi moden.
Pelbagai jenis inovasi dan ciptaan berteknologi tinggi diciptakan untuk mempengaruhi
kemajuan teknologi canggih yang pesat yang membawa dunia ke alaf baru. Kemajuan
teknologi semasa yang pesat telah memberi kesan mendalam dan transformatif pada
panorama global kehidupan manusia, tidak kira usia. Antaranya adalah media. Media adalah
alat yang dapat digunakan untuk membangkitkan dan mempengaruhi sikap serta tingkah
laku individu dan sosial, dan mempengaruhi setiap elemen kehidupan. Ini kerana media
berperanan dalam pembentukan identiti kaum dan budaya, yang penting untuk
perkembangan keseluruhan. Di peringkat budaya, media massa diramalkan akan
memainkan peranan yang semakin penting dalam memupuk interaksi antara agama dan
peradaban dari pelbagai bangsa di seluruh dunia, ketika dunia semakin hampir dengan era
globalisasi, iaitu dunia tanpa sempadan. Tidak syak lagi, peranan rangkaian internet sebagai
gudang pengetahuan terbesar di dunia dan bidang komunikasi yang luas juga merupakan
sumber bahan berbahaya yang merosakkan identiti remaja Muslim. Hal ini lebih
membimbangkan apabila kurangnya penapisan dan pengawasan pemerintah terhadap
maklumat tersebut, seperti yang berlaku di beberapa negara Barat (Ismail & Syed Hassan,
2011).

Menurut Adjomi (2020) menegaskan bahawa penggunaan teknologi juga perlu di bawah
pengawasan ibu bapa. Ianya kerana cara ibu bapa mengarahkan anak-anak mereka
menggunakan internet memberi kesan yang signifikan terhadap moral remaja, kerana salah
satu faktor kejayaan mendidik akhlak adalah bagaimana ibu bapa mengarahkan anak-anak
mereka menggunakan internet, dan salah satu faktor kejayaan dalam mendidik akhlak
adalah bagaimana ibu bapa mengarahkan anak-anak mereka menggunakan internet.

Baharuddin et al., (2019) ada mengatakan jumlah pendedahan media massa mempunyai
kaitan negatif yang besar dengan kepercayaan moral pelajar. Peningkatan masa yang
diluangkan di media sosial mengikis moral pelajar. Tambahan pula, minat pelajar terhadap
unsur hiburan, humor, dan seram di media tidak banyak mempengaruhi prestasi akademik
mereka. Walau bagaimanapun, minat murid-murid ini terhadap bahan dan pendidikan
agama memberi kesan yang besar terhadap standard moral mereka. Oleh sebab itu, remaja
harus mencapai keseimbangan antara penggunaan teknologi dan bahan media yang
mungkin membahayakan mereka dan perkara buruk yang dapat mengubah identiti mereka,
kerana mereka akan menjadi pemimpin negara kelak. Terima kasih.
IZETI: Pengisian yang sempurna berasaskan fakta-fakta yang tepat. Saya yakin dengan
penerangan yang diberikan oleh saudara sebentar tadi membuka mata-mata para hadirin
kita mengenai faktor-faktor yang menyebabkan isu ini timbul. Terima kasih saudara.
Baiklah, seterusnya, kita akan menjemput Saudari Ainul Hardhiah bagi menambahkan lagi
faktor-faktor yang menyebabkan isu ini terjadi. Majlis dengan takzimnya, mempersilakan.

AINUL: Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera. Sebelum


bibir menyuarakan hujah, terlebih dahulu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah
kurniaNya saya diberikan peluang untuk berada di dalam majlis ilmu yang penuh berkah ini
dan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua ahli panel kerana sudi menjemput saya
untuk sama-sama kita berkongsi pendapat dan pengetahuan berkaitan isu yang sedang
dikupas. Berbalik kepada soalan yang diajukan oleh moderator kita sebentar tadi, apakah
faktor-faktor yang menyebabkan isu keruntuhan akhlak ini terjadi?. Isu keruntuhan akhlak ini
sudah tidak asing dalam kalangan remaja kita pada hari ini disebabkan beberapa pengaruh
sama ada luaran atau dalaman.

Pertama, jika kita lihat pada hari ini, isu keruntuhan akhlak seperti perkara biasa dan tidak
dihiraukan oleh para masyarakat. Menurut kajian pakar ilmiah iaitu Zainuddin dan Roslan
pada tahun 2011, keruntuhan akhlak berlaku disebabkan seseorang itu ingin mencuba
sesuatu perkara yang baharu dalam kehidupan mereka. Kajian ini telah dijalankan dengan
merangkumi beberapa aspek di mana isu ini berlaku ketika mereka berkembang ketika
remaja sama ada dari segi usia, idea, atau situasi. Melalui proses perkembangan ini,
mereka lebih suka melakukan sesuatu yang mencabar kemampuan diri walaupun ia adalah
salah dari sisi agama. Sebagai contohnya, idea atau nasihat daripada ibu bapa mereka tidak
akan mereka terima sekiranya tidak menuruti pemikiran dan kehendak mereka. Kesannya,
hilang rasa hormat dalam diri masing-masing terhadap ibu bapa sendiri. Hal sebegini
haruslah dielakkan kerana jika dibiarkan berlarutan, berkemungkinan mereka akan bertindak
membuat sesuatu keputusan tanpa memikirkan sama ada ia rasional atau pun tidak.

Selain itu, isu keruntuhan akhlak ini juga berlaku disebabkan kurang didikan agama dalam
diri mereka. Sebagai contohnya, remaja yang terlibat dalam isu keruntuhan akhlak ini
biasanya datang daripada keluarga yang kurang memberikan didikan keagaamaan kepada
anak-anak di mana ibu bapa tidak memberi pendedahan sejak dari kecil lagi kepada mereka
disebabkan masing-masing sibuk mengejar kerjaya. Mereka yang terlibat dalam isu ini juga
tidak mempunyai pengetahuan agama yang kukuh dan oleh sebab itulah mereka bertindak
melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan dosa pahala daripadanya. Jika perkara
sebegini dibiarkan dan diteruskan dari generasi ke generasi, sesebuah masyarakat itu akan
hilang panduan dan jati diri masing-masing yang menyebabkan lebih banyak anak-anak
muda kita rosak.

Akhir Sekali, isu keruntuhan akhlak ini juga berlaku disebabkan pengaruh media massa. Jika
kita lihat pada hari ini, telah banyak budaya-budaya daripada Barat yang telah masuk ke
dalam masyarakat kita pada hari ini. Budaya-budaya ini membawa kepada hiburan yang
berlebihan tanpa batasan sehingga merosakkan pemikiran dan akhlak masyarakat kita pada
hari ini. Contohnya, peniruan Barat dari aspek pemakaian telah banyak berlaku dalam
kalangan remaja kita pada hari ini yang dianggap sebagai fesyen namun melanggar hukum
syariat Islam dengan mendedahkan aurat. Bukan itu sahaja, terdapat banyak aplikasi yang
diwujudkan yang telah melalaikan masyarakat kita pada hari ini sehingga berlaku kes-kes
yang tidak diingini dan menyebakan perintah Allah diabaikan. Kesannya, disebabkan terlalu
berseronok dengan hiburan tersebut, mereka lalai dalam menunaikan solat dan segala
perintah Allah turut tidak diambil peduli. Jadi, daripada faktor-faktor yang saya kongsikan ini,
dapat kita lihat bahawa isu ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditangani namun harus
berbuat demikian sekiranya kita tidak ingin generasi akan datang mempunyai akhlak yang
tidak baik yang boleh mencemarkan nama baik Islam. Saya rasa itu sahaja daripada saya
berkaitan faktor-faktor isu keruntuhan akhlak ini berlaku. Terima kasih.

IZETI: Saya amat bersetuju dengan apa yang dilontarkan oleh saudara Ahmad Karimmie
dan saudari Ainul hardhiah terhadap faktor-faktor yang menyebabkan isu-isu ini terjadi.
Izinkan saya menambah beberapa isu yang menyebabkan hal ini terjadi. Remaja sering
dikaitkan dengan masalah walaupun daripada sifat semula jadi, remaja adalah zaman yang
penuh bertenaga dan mempunyai potensi diri yang cemerlang. Masalah sosial dan jenayah
yang membabitkan remaja hari ini benar-benar mem-bimbangkan. Ketidakupayaan dan
kegagalan mengatasi halangan ini menimbulkan pelbagai masalah. Alam remaja dikatakan
sebagai saat yang rapuh kerana pada peringkat ini mereka terdedah kepada pelbagai
pengaruh serta tekanan luar yang kebanyakannya menjerumuskan kepada perkara negatif.
Apabila terpedaya dengan pengaruh negatif yang mengkhayalkan, akhlak remaja mudah
rosak sehingga menimbulkan pelbagai masalah seperti salah laku dan juvenil. Keruntuhan
akhlak dan kemerosotan disiplin remaja boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu
salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh pelajar seperti membunuh, mencuri,
penyalahgunaan dadah, rogol, samun, senjata api dan lain-lain manakala yang kedua ialah
salah laku yang melibatkan kesalahan ringan seperti ponteng termasuk salah laku seperti
ponteng sekolah, ponteng kelas dan kerap keluar kelas.

Sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat berkenaan kelakuan dan pergaulan anak remaja
mendorong remaja mempunyai akhlak yang rosak. Remaja yang terdedah lebih awal
kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan yang
cukup daripada ibu bapa juga adalah faktor keruntuhan akhlak remaja. Antara punca lain
keruntuhan akhlak remaja yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam
rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku
dalam keluarga, keadaan sosioekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak
harmonis dan tidak tenteram serta ketidakupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan
anak-anaknya boleh menyebabkan remaja rosak akhlak. Justeru, sebagai ibu bapa dan
anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita patut mempunyai kewajipan dan peranan
yang besar dalam merancang aktiviti, memberikan peluang dan bimbingan serta
menyediakan pelbagai kemudahan supaya golongan remaja mendapat panduan yang
cukup bagi menghadapi zaman dewasa.

Pengaruh persekitaran Pengaruh persekitaran luaran dan pengaruh media masa juga
sentiasa membentuk perilaku para remaja yang masih mentah. Pelbagai dorongan kurang
sihat dipaparkan melalui persekitaran ini dan seterusnya menyebabkan remaja terikut-ikut
dengan pengaruh berkenaan. Lantaran itu, bagi memenuhi perasaan ingin tahu akibat
dedahan persekitaran, mereka merayau-rayau di kompleks-kompleks membeli-belah, pusat
snuker, pusat permainan video dan sebagainya. Perbuatan seperti ini selalunya mendorong
kepada pergaulan yang kurang sihat. Selain daripada pergaulan kurang sihat, remaja juga
turut menuntut kebebasan secara melulu daripada ibu bapa. Tuntutan seperti ini banyak
dipengaruhi oleh media massa. Kemajuan dalam komunikasi mengakibatkan remaja
terdedah kepada nilai-nilai baru yang belum pasti baik bagi perkembangan diri. Pengaruh
negatif ini dapat dilihat daripada majalah-majalah hiburan, buku-buku yang mengandungi
unsur-unsur lucah serta radikal, televisyen dan tayangan-tayangan filem barat. Mengikut
pemerhatian kebanyakan akhbar mingguan, majalah hiburan dan buku-buku cerita di
pasaran kini lebih mengutamakan hiburan, keganasan dan fantasi kosong. Bahan-bahan ini
mendorong sikap negatif seperti suka mengelamun, berfoya-foya, boros dan pelbagai
perlakuan anti-sosial.

IZETI: Faktor-faktor sudah pun dibangkitkan, puncanya juga telah kita selidiki, tidak
sempurna forum kita pada hari ini jika tiada jalan penyelesaian ke atas permasalahan ini.
Jadi, saudara Ahmad Karimmie, apakah jalan penyelesaian terbaik terhadap isu-isu yang
telah disenaraikan oleh saudara sebentar tadi atau dengan kata lainnya cara pembinaan
akhlak dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini? Saya yakin, ramai yang berfikiran
sama dengan saya. Dipersilakan saudara.

KARIMMIE: Terima kasih saudari pengerusi. Pada pendapat saya, isu keruntuhan nilai
moral dalam kalangan remaja ini masih dalam tahap yang sederhana dan terkawal. Namun
begitu, jika isu ini tidak diambil perhatian yang serius, lama-kelamaan hal ini akan
menjejaskan sesebuah organisasi atau sesebuah negara. Oleh yang demikian, kita
janganlah memandang isu ini sebagai sesuatu perkara yang remeh temeh, sebaliknya perlu
mengambil langkah-langkah awal untuk menangani masalah ini agar tidak terus berleluasa.
Bagi saya masalah ini dapat diatasi dengan menerapkan kesedaran terhadap kepentingan
nilai pendidikan dalam diri remaja. Remaja perlu diberikan kesedaran secara berterusan
tentang pentingnya pendidikan untuk menjadikan mereka seorang insan berilmu dan berjaya
ke peringkat lebih tinggi. Menurut Ismail dan Syed Hassan (2011), teguran dan pendidikan
terhadap remaja mesti diteruskan sehingga mereka dewasa. Walau bagaimanapun, kaedah
penyampaian mestilah pelbagai dan sesuai mengikut peringkat umur dan kecerdasan
mereka. Kerajaan juga perlu membantu keluarga yang berpendapatan rendah dengan
menyediakan kemudahan pembelajaran bagi mengelakkan bertambahnya golongan yang
tercicir dalam pelajaran. Memperkasakan silibus pembelajaran di peringkat rendah dan
menengah dengan memfokuskan kepada pembinaan sahsiah, akhlak dan pengetahuan
agama yang kukuh agar para pelajar memperoleh bekalan ilmu yang mencukupi sekalipun
tidak ke menara gading. Strategi pendidikan seharusnya menjadi tonggak bagi
pembentukan akhlak pada generasi remaja kita dan menawarkan kerangka untuk
menjadikan remaja kita termasuk di antara orang-orang yang beriman dan bertakwa. Ianya
menjadi satu keperluan untuk memeriksa kembali kurikulum pendidikan Islam daripada
sekolah rendah hingga sekolah menengah untuk memasukkan aspek kesedaran sosial yang
melibatkan agama, bangsa, dan negara. Kekuatan emosi, psikologi, keagamaan dan jati diri
yang kuat dapat berfungsi sebagai penghalang untuk tidak terjebak dengan perkara-perkara
yang meruntuhkan sahsiah (Abdullah, 2014). Pelajar perlu didedahkan dengan pendidikan
seks secara tidak langsung seperti “do and don’t” dan “good touch and bad touch” agar
dapat memberi asas kepada pergaulan harian pelajar.

Seterusnya, remaja juga mestilah bijak dalam menggunakan teknologi. Aktiviti anak-anak
berkenaan dengan teknologi seperti telefon pintar dan internet perlu dipantau agar dapat
menghindari mereka daripada terlibat dengan lambakan bahan pornografi dan budaya tidak
baik di internet. Para pembangun apps dan laman web disarankan untuk membina aplikasi-
aplikasi yang menarik dan bermanfaat untuk para remaja serta meletakkan filter dan tapisan
kepada carian-carian yang berunsur lucah. Media mesti dikawal penyiarannya secara
eksklusif dan besar-besaran oleh pihak Kerajaan terhadap laman web pornografi dan
penulisan blog lucah. Pengawalan terhadap penjualan pil-pil perangsang, alat bantu seks
dan perkhidmatan pengguguran kandungan supaya dapat menyekat ruang-ruang yang
membawa kepada perbuatan seks bebas dalam kalangan remaja. Menurut Abdullah (2014),
pelbagai pihak termasuk ahli akademik perlu berganding bahu memantau rancangan
televisyen dan pawagam. Hal ini kerana, terdapat remaja kita yang sangat selesa untuk
menjalankan budaya yang hampir dengan perzinaan seperti menonton pawagam bersama
mahram.

IZETI: Penyelesaian yang amat efektif saudara. Semoga penyelesaian-penyelesaian atau


cara-cara pembinaan akhlak yang dinyatakan sebentar tadi memberi manfaat dan jalan bagi
mereka yang ingin mengatasi isu-isu ini. Baiklah terima kasih saudara, seterusnya saya
menjemput saudari Ainul Hardhiah untuk menyatakan cara-cara pembinaan akhlak bagi isu
yang dibangkitkan. Dipersilakan saudari.

AINUL: Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada moderator kita. Baiklah, apakah yang
boleh kita lakukan bagi membina kembali akhlak para masyarakat kita pada hari ini yang
mana mungkin sesetengah daripada mereka telah terjerumus ke dalam kancah isu
keruntuhan akhlak.

Pertama sekali, untuk membina kembali akhlak mereka menjadi baik adalah bermula
daripada diri seseorang itu sendiri. Hal ini di mana kita perlulah menerapkan nilai-nilai
akidah dan keimanan yang kuat dalam diri masing-masing supaya kita ini tidak mudah
terpengaruh dengan persekitaran yang boleh menjerumuskan kita untuk melakukan perkara-
perkara yang dilarang agama. Terdapat beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk kita
kuatkan lagi keimanan dan nilai-nilai akidah dalam diri seperti menghadiri mahlis ilmu di
masjid atau surau, manfaatkan teknologi seperti telefon untuk mendengar ceramah daripada
laman-laman sosial seperti Youtube dan Tiktok. Hal ini bukan sahaja mampu membina
akhlak seseorang namun boleh juga menambahkan kagi pengetahuan sedia ada dan
dikongsikan bersama dengan rakan yang lain. Bukan itu sahaja, kita juga perlu berusaha
untuk sentiasa istiqomah dan mendisiplinkan diri dalam melakukan sesuatu amal ibadat
supaya kita akan senantiasa mengingati Allah S.W.T dan dekat denganNya. Apabila diri kita
dengan dengan Ilahi, kita tidak akan mudah terjebak dalam sebarang perkara yang Allah
larang dan sentiasa berusaha untuk mejadi seorang hamba yang baik di sisiNya.

Selain itu, bagi membina akhlak dalam diri ini, kita perlu berkawan atau bersahabat dengan
mereka yang sentiasa mengajak kepada kebaikan dan melarang kita untuk melakukan
kejahatan. Sepertimana yang kita tahu, pengaruh rakan sebaya ini amatlah ketara di mana
jika seseorang itu salah dalam memilih rakan, maka rosaklah akhlaknya kerana sering
melakukan perkara yang bercanggah dengan agama. Oleh itu, untuk membina akhlak ke
arah yang lebih baik ini, kita perlulah pandai memilih kawan di sekeliling kita. Contohnya,
berkawanlah dengan mereka yang selalu mengajak kepada kebaikan seperti solat di awal
waktu, bersedekah, dan tidak melakukan perkara yang membuang masa seperti melepak
dan sebagainya. Kawan yang baik juga akan mempengaruhi diri kita di mana kita akan
berasa malu untuk berbuat perkara yang berdosa di hadapan mereka. Hal ini sememangnya
telah mencegah kita daripada perbuatan keji dan membina akhlak kita untuk lebih befikiran
secara rasional dan tahu membezakan dosa dan pahala.

Akhir sekali adalah dengan berdoa dan memohon kepada Allah S.W.T. Sepertimana yang
kita tahu, doa adalah senjata setiap mukmin di mana dengan doa ini kita mampu menjadikan
sesuatu perkara yang bagi kita adalah mustahil untuk dicapai tetapi dengan kehendak Allah,
ia akan tetap terjadi. Kita seharusnya, memohon kepadaNya untuk sentiasa ditetapkan
keimanan dan dikelilingi dengan persekitaran yang baik supaya kita tidak lalai daripada
Allah. Kita juga seharusnya senantiasa mendekatkan diri kepadanya dan memohon
kepadaNya kerana Allah suka akan orang yang meminta pertolongan dan mengadu
masalah kepadaNya. Sekiranya dalam kehidupan seharian kita mempunyai terlalu banyak
masalah, janganlah kita bertindak di luar kawalan dan kembalilah kepada Allah S.W.T untuk
mencari jalan penyelesaiannya. Jadi, itu sahaja perkongsian daripada saya untuk cara
membina akhlak ini dan diharapkan kita sama-sama berusaha untuk menjadi seseorang
hamba yang senantiasa berakhlak mulia. Terima Kasih.

IZETI: Tepat dan bernas apa yang telah disampaikan oleh kedua barisan panel kita pada
hari ini. Pada pendapat saya, antara cara-cara untuk membina akhlak remaja adalah
melalui peranan ibu bapa. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik
akhlak anak-anak. Anak-anak perlu dididik sejak mereka kecil lagi. Bak kata pepatah
melayu, “melentur rebung biarlah daripada rebungnya”. Ibu bapa perlu perlu menjadi contoh
yang baik kepada anak-anak mereka. Ibu bapa juga perlu memberikan anak-anak mereka
didikan agama yang sempurna bagi mengelakkan mereka terjebak kepada gejala sosial
yang boleh meruntuhkan akhlak anak-anak mereka. Ibu bapa berperanan untuk membentuk
generasi muda sekarang supaya mereka tidak terjebak pada gejala negatif yang boleh
mendatangkan kemudharatan yang serius kepada mereka dan institusi kekeluargaan. Ibu
bapa juga perlu menerapkan nilai-nilai murni dan etika untuk menguruskan masa dengan
baik. Mereka harus memberikan perangsang dan galakan yang berterusan kepada anak-
anak untuk berjaya. Ibu bapa yang prihatin akan menyekat kebebasan anak-anak mereka
dalam pergaulan, dalam erti kata lain menetapkan batas-batas pergaulan untuk anak-anak
mereka. Namun demikian, perlu diselitkan toleransi supaya anak-anak tidak merasa tertekan
atau dikongkong. Ibu bapa perlu meluangkan banyak masa untuk anak-anak supaya mereka
rasa diambil berat dan disayangi disamping dapat merasai indahnya nikmat berkeluarga. Ibu
bapa harus sentiasa berada di sisianak-anak apabila mereka berada dalam kesusahan dan
menjadi rakan pendengar yang setia dan sentiasa bersedia untuk berkongsi masalah yang
anak-anak hadapi.

Seterusnya, peranan guru di sekolah juga amat penting dalam membentuk remaja yang
berakhlak mulia. Dengan mengadakan sesi kaunseling kepada pelajar juga merupakan
salahsatu cara yang berkesan kerana kita dapati kebanyakan remaja mempunyai pelbagai
masalahyang sentiasa bermain di minda mereka. Malangnya, masalah ini cuma disimpan
dan dipendam dalam hati lalu mereka cuba untuk menyembunyikan masalah yang mereka
hadapi,walaupun terhadap orang yang rapat dengan mereka. Hal ini menyebabkan mereka
melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya mereka lakukan seperti lari dari rumah,
mengambil dadah, lumba haram, berjudi, seks bebas dan sebagainya. Justeru, ibu bapa,
guru-guru sertarakan taulan hendaklah memainkan peranan yang penting ke atas remaja ini
dengan membawa remaja yang bermasalah ini berjumpa dengan pakar kaunseling.
Sebenarnya, sesi kaunseling berperanan mengetahui dan menyelesaikan masalah yang
dihadapi oleh remaja yang bermasalah. Dengan kata lain, remaja yang bermasalah boleh
meluahkan masalah yangdihadapi dan membaiki sikap dan perwatakan mereka melalui sesi
kaunseling. Kaunselor Tersebut mestilah memberikan nasihat dengan cara berhemat dan
cuba mewujudkan kesedaran

KARIMMIE: Betul itu Saudari Izeti, semoga masyarakat di luar sana dapat manfaat dari
forum kita pada hari ini. Setiap apa yang kami sampaikan adalah berdasarkan statistik dan
bukti yang kukuh agar menjadi panduan buat masyarakat kita dalam mencapai kejayaan.

AINUL: Tepat sekali saudari Izeti. Saya juga berharap apa yang telah saya sampaikan tadi
menjadi bimbingan dan pedoman buat anak bangsa untuk lebih tabah dan berfikir secara
positif dalam mendepani kehidupan realiti yang penuh cabaran ini.

IZETI: Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,

Tuan puteri tersenyum-senyum,


Melihat mempelai direnjis dipilis,
Senyum-senyum jangan tak senyum,
Sudah kita di penghujung majlis.
AINUL: Saya mewakili majlis, mengucapkan ucapan rasa syukur dan terima kasih kepada
semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan forum kita pada hari ini sama ada secara
langsung mahupun tidak.

KARIMMIE: Di kesempatan ini, saya ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan
silap sepanjang mengacarakan majlis ini. Saya sudahi dengan lafaz
wabillahitaufiqwalhidayah assalamualaikum w.b.t.

Anda mungkin juga menyukai