Anda di halaman 1dari 3

Isi-isi penting

kegagalan ibu bapa dalam mendidik anak-anak


pengaruh televisyen dan media
kelonggaran disiplin di sekolah mahupun di rumah
masa yang kualiti dalam keluarga diperlukan sifat mesra dan mudah
didekati oleh guru dan rakan
memberikan didikan agama dan moral

Contoh Karangan Punca Gejala Buli Dan Langkah Untuk Mengatasinya

Pendahuluan
Dasawarsa ini, gejala buli dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di
Malaysia semakin mendapat liputan. Perkongsian video yang dimuat naik di
laman media sosial tentang kes pembulian yang melibatkan pelajar sekolah
menjadi titik persoalan sampai bila gejala yang kurang sihat ini berlaku
dalam masyarakat kita. Sekolah merupakan institusi yang mulia untuk
menimba ilmu tetapi dicemari dengan perkara yang merosakkan akhlak
anak-anak muda kita. Bahasa menunjukkan bangsa di mana tingkah laku kita
mencerminkan sifat kelakuan asal keturunan kita. Mari kita mengenal pasti
punca gejala buli dan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Isi 1
Antara punca perlakuan gejala tidak sihat dalam kalangan anak-anak
adalah berpunca daripada keharmonian keluarga mereka sendiri. Bak kata
peribahasa Melayu, bapa borek, anak rintik yang bermaksud tauladan ibu
dan bapa membentuk keperibadian anak-anak mereka. Kekurangan kasih
sayang atau perhatian apabila di rumah akan memberikan tekanan kepada
seseorang anak muda kerana tiada tempat mengadu dan kemahuan untuk
melepaskan tekanan tersebut disalurkan dengan membuli pelajar lain. Ibu
bapa hendaklah bertanggungjawab mengenali anak-anak mereka dan
mendidik mereka dengan keperibadian mulia dan unggul agar sahsiah
mereka yang cemerlang akan menjadikan mereka seorang yang berjaya
kelak.

Isi 2
Selain itu, punca gejala buli ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita
diperingkat remaja adalah disebabkan pengaruh televisyen dan media
massa. Faktor umur yang semakin menaik menjadikan seseorang itu ingin
menunjukkan kekuatannya dengan menjadi pembuli hasil pengaruh daripada
filem-filem tempatan seperti KL Gangster dan lain lain. Bahan seni yang
memaparkan sisi buruk sebuah masyarakat tidak sepatutnya menjadi
tontonan umum kerana kanak-kanak yang kecil mudah terpengaruh dan ingin
mencuba perkara baru. Penggiat seni dan stesen televisyen hendaklah
memaparkan keindahan dan kemakmuran serta kekayaan budi bahasa
rakyat kita dengan lebih banyak dan kerap agar ia menjadi ikutan anak
muda sekaligus menjadi tanggungjawab sosial golongan media dalam
membantu membina masyarakat yang bahagia dan harmoni.

Isi 3
Langkah yang boleh diambil dalam mengelakkan gejala buli dalam kalangan
anak muda adalah dengan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Ibu bapa berperanan penting dalam mengambil berat segala aspek
kehidupan anak-anak mereka. Perkongsian masalah, perbualan tentang
lumrah kehidupan dan beriadah bersama-sama adalah contoh amalan mulia
yang sepatutnya diamalkan dalam setiap institusi kekeluargaan dimana
hubungan menjadi bertambah rapat dan kasih sayang antara ahli keluarga
menjadi kukuh dan dipercayai. Ibu bapa hari ini juga perlu lebih bersedia
dalam ilmu mendidik anak muda kerana cabaran dan dugaan generasi hari ini
berbeza berbanding waktu mereka. Perbandingan zaman yang ketara
perbezaannya tidak boleh disamakan tetapi ibu bapa boleh mencari idea
dan berbincang apakah perkara yang baik dan tidak baik untuk anak-anak
mereka dalam menghadapi kehidupan seharian.

Isi 4
Selain itu, guru-guru dan rakan-rakan di sekolah juga berperanan dalam
melahirkan masyarakat yang membendung gejala buli-membuli. Langkah
yang boleh diambil adalah mewujudkan golongan yang mesra, penyayang dan
boleh dipercayai. Sebagai guru, mereka adalah orang kedua yang mampu
melihat perilaku anak-anak muda selepas ibu bapa mereka. Guru di sekolah
seharusnya menjadi sahabat yang boleh dipercayai sekiranya anak murid
mereka mengalami masalah di rumah dan melarat hingga ke sekolah. Anak-
anak muda ini memerlukan tempat yang mereka boleh meluahkan perasaan
dan dipercayai supaya mereka tidak rasa tersisih dan mengendahkan
perkara yang negatif berlaku dalam keluarga mereka. Penerapan kasih
sayang dan perhatian mampu mengubah isi hati seseorang manusia yang
bersikap negatif dan kasar menjadi lembut dan positif.
Penutup
Konklusinya, terdapat banyak punca yang menyumbang kepada gejala buli
dan kita telah kenal pasti beberapa langkah yang wajar diambil sebagai
cara mengatasinya. Sebaiknya kita membanteras sedaya upaya gejala buli
ini agar ia tidak berleluasa dan merosakkan keharmonian masyarakat kita
diwaktu kelak. Seperti peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari
rebungnya yang bermaksud kita hendaklah mendidik anak-anak adat dan
budaya yang baik dari muda agar tidak menyusahkan pada masa hadapan.
Masyarakat yang sejahtera bermula dengan individu yang berakhlak mulia,
bahagia serta berketrampilan agar generasi akan datang menjadi generasi
yang hidup harmoni disamping memastikan negara terus berdaya saing dan
maju di peringkat global

Anda mungkin juga menyukai