Anda di halaman 1dari 3

Pendahuluan

Dasawarsa ini, gejala buli dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di Malaysia semakin mendapat
liputan. Perkongsian video yang dimuat naik di laman media sosial tentang kes pembulian yang
melibatkan pelajar sekolah menjadi titik persoalan sampai bila gejala yang kurang sihat ini berlaku
dalam masyarakat kita. Sekolah merupakan institusi yang mulia untuk menimba ilmu tetapi dicemari
dengan perkara yang merosakkan akhlak anak-anak muda kita. Bahasa menunjukkan bangsa di mana
tingkah laku kita mencerminkan sifat kelakuan asal keturunan kita. Mari kita mengenal pasti punca
gejala buli dan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Sebelum saya terus menghangatkan isu ini, moleklah kiranya saya menjelaskan maksud buli secara
khusus. Menurut Laman Web DBP, buli ialah perbuatan mendera, mempermain-mainkan orang,
biasanya orang yg lemah, dgn tujuan utk menggertak, mencederakan, menakutkan orang yang
berkenaan.

Hazler dan Hoover pula menyatakan di dalam buku mereka “Developmental Psychology
Childhood and Adolescene”, buli adalah tingkah laku agresif dimana seseorang pelajar atau satu
kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka
masa dan dilakukan berkali-kali terhadap mangsa.

Isi 1

Antara punca perlakuan gejala tidak sihat dalam kalangan anak-anak adalah berpunca daripada
keharmonian keluarga mereka sendiri. Bak kata peribahasa Melayu, bapa borek, anak rintik yang
bermaksud tauladan ibu dan bapa membentuk keperibadian anak-anak mereka. Kekurangan kasih
sayang atau perhatian apabila di rumah akan memberikan tekanan kepada seseorang anak muda
kerana tiada tempat mengadu dan kemahuan untuk melepaskan tekanan tersebut disalurkan
dengan membuli pelajar lain. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab mengenali anak-anak mereka
dan mendidik mereka dengan keperibadian mulia dan unggul agar sahsiah mereka yang cemerlang
akan menjadikan mereka seorang yang berjaya kelak.

Isi 2

Selain itu, punca gejala buli ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita diperingkat remaja adalah
disebabkan pengaruh televisyen dan media massa. Faktor umur yang semakin menaik menjadikan
seseorang itu ingin menunjukkan kekuatannya dengan menjadi pembuli hasil pengaruh daripada
filem-filem tempatan seperti KL Gangster dan lain lain. Bahan seni yang memaparkan sisi buruk
sebuah masyarakat tidak sepatutnya menjadi tontonan umum kerana kanak-kanak yang kecil mudah
terpengaruh dan ingin mencuba perkara baru. Penggiat seni dan stesen televisyen hendaklah
memaparkan keindahan dan kemakmuran serta kekayaan budi bahasa rakyat kita dengan lebih
banyak dan kerap agar ia menjadi ikutan anak muda sekaligus menjadi tanggungjawab sosial
golongan media dalam membantu membina masyarakat yang bahagia dan harmoni.

Isi 3

Kesan buli jangan dipandang ringan. Ada beberapa kesan yang mampu merubah kehidupan
seseorang yang perlu kita ambil berat.

Yang pertama adalah Kesan fizikal: Kanak-kanak yang menjadi mangsa buli fizikal boleh mengalami
kecederaan serius seperti lebam, patah tulang, dan kehilangan kesihatan fizikal secara keseluruhan.
Mereka juga mungkin mengalami tekanan darah tinggi, masalah tidur, dan masalah kesihatan lain
akibat daripada keganasan yang dialami.

Seterusnya adalah Kesan emosi: Buli emosi boleh memberi impak yang berpanjangan terhadap
kanak-kanak. Mereka mungkin menghadapi masalah kepercayaan diri yang rendah, kecemasan,
kemurungan, dan hilang minat dalam aktiviti sosial. Akibatnya, prestasi akademik mereka juga boleh
terjejas.

ketiga adalah Kesan psikologi: Buli terhadap kanak-kanak boleh memberi kesan psikologi yang serius.
Kanak-kanak yang menjadi mangsa buli mungkin mengalami trauma yang mendalam dan
menghadapi risiko tinggi untuk mengalami gangguan kecemasan, gangguan makan dan gangguan
tidur pada masa dewasa.

Terakhir adalah Kesan sosial: Buli boleh menyebabkan kanak-kanak merasa terasing dan tidak
selamat dalam persekitaran sosial. Mereka mungkin mengelak daripada berinteraksi dengan rakan
sebaya, kehilangan hubungan sosial yang penting, dan mengalami kesukaran dalam membina
hubungan baru.

Isi 4

Langkah yang boleh diambil dalam mengelakkan gejala buli dalam kalangan anak muda adalah
dengan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Ibu bapa berperanan penting dalam
mengambil berat segala aspek kehidupan anak-anak mereka. Perkongsian masalah, perbualan
tentang lumrah kehidupan dan beriadah bersama-sama adalah contoh amalan mulia yang
sepatutnya diamalkan dalam setiap institusi kekeluargaan dimana hubungan menjadi bertambah
rapat dan kasih sayang antara ahli keluarga menjadi kukuh dan dipercayai. Ibu bapa hari ini juga
perlu lebih bersedia dalam ilmu mendidik anak muda kerana cabaran dan dugaan generasi hari ini
berbeza berbanding waktu mereka. Perbandingan zaman yang ketara perbezaannya tidak boleh
disamakan tetapi ibu bapa boleh mencari idea dan berbincang apakah perkara yang baik dan tidak
baik untuk anak-anak mereka dalam menghadapi kehidupan seharian.

Isi 5

Selain itu, guru-guru dan rakan-rakan di sekolah juga berperanan dalam melahirkan masyarakat yang
membendung gejala buli-membuli. Langkah yang boleh diambil adalah mewujudkan golongan yang
mesra, penyayang dan boleh dipercayai. Sebagai guru, mereka adalah orang kedua yang mampu
melihat perilaku anak-anak muda selepas ibu bapa mereka. Guru di sekolah seharusnya menjadi
sahabat yang boleh dipercayai sekiranya anak murid mereka mengalami masalah di rumah dan
melarat hingga ke sekolah. Anak-anak muda ini memerlukan tempat yang mereka boleh meluahkan
perasaan dan dipercayai supaya mereka tidak rasa tersisih dan mengendahkan perkara yang negatif
berlaku dalam keluarga mereka. Penerapan kasih sayang dan perhatian mampu mengubah isi hati
seseorang manusia yang bersikap negatif dan kasar menjadi lembut dan positif.

Penutup

Konklusinya, terdapat banyak punca yang menyumbang kepada gejala buli dan kita telah kenal pasti
beberapa langkah yang wajar diambil sebagai cara mengatasinya. Sebaiknya kita membanteras
sedaya upaya gejala buli ini agar ia tidak berleluasa dan merosakkan keharmonian masyarakat kita
diwaktu kelak. Seperti peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang bermaksud
kita hendaklah mendidik anak-anak adat dan budaya yang baik dari muda agar tidak menyusahkan
pada masa hadapan. Saya mengajak semua kadirin untuk Bersama-sama berusaha mencegah dan
menghapuskan buli dari masyarakat kita. Mari kita jadikan sekolah sebagai tempat yang aman dan
menyokong antara satu sama lain. Marilah kita Bersama-sama menjadikan dunia kita bebas dari buli

Sekian bicara saya untuk hari ini.

Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai