Anda di halaman 1dari 2

Jati Diri Anak-anak Bermula Di Rumah

Anak-anak merupakan anugerah yang sangat berharga bagi ibu bapa. Peranan ibu bapa
memberi kesan yang besar dalam kehidupan anak-anak. Mereka bertanggungjawab mendidik
dengan baik agar jati diri anak-anak dapat dibentuk. Anak-anak yang mempunyai jati diri
akan membesar menjadi insan yang dapat menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan
negara.

Bagi memupuk jati diri seorang anak, ibu bapa perlulah menanam asas agama yang
kukuh supaya anak-anak memiliki pegangan agama yang teguh. Pendidikan kerohanian perlu
ditanam semenjak kecil. Anak-anak perlu dididik untuk melaksanakan amalan dan perkara
yang dituntut dalam agama yang dianuti. Kesannya, anak-anak akan terhindar daripada
melakukan perkara-perkara negatif yang boleh memberi kesan buruk kepada mereka.

Ibu bapa juga perlu mendidik dan memantau perkembangan anak-anak dalam bidang
akademik. Ibu bapa perlulah menyediakan bahan bacaan dan buku rujukan agar anak-anak
dapat membuat ulang kaji mata pelajaran di rumah. Dorongan dan tunjuk ajar ibu bapa dapat
membantu anak-anak mudah memahami pelajaran mereka. Hasilnya, mereka akan menjadi
anak-anak yang sentiasa bersemangat untuk menimba ilmu.

Penerapan disiplin dalam aktiviti harian perlu dititikberatkan oleh ibu bapa. Sebagai
contoh, ibu bapa boleh melatih anak-anak untuk membuat kerja sekolah yang diberikan oleh
guru pada masa yang ditetapkan. Jadual belajar harian boleh disediakan agar masa anak-anak
tidak terbuang dengan perkara yang tidak berfaedah. Anak-anak akan terdidik untuk menepati
dan menghargai masa. Anak-anak yang berdisiplin akan mempunyai jati diri yang unggul.

Jati diri anak-anak juga dapat dilihat apabila mereka mempamerkan sikap bertoleransi
dalam kalangan adik-beradik dan rakan sebaya. Sikap ini boleh dipupuk oleh ibu bapa di
rumah. Misalnya, seorang abang tidak berebut mainan dengan adiknya. Amalan toleransi
akan membantu anak-anak untuk mudah bergaul dan berurusan dengan orang di
sekelilingnya.

Selain itu, ibu bapa juga perlu melatih anak-anak berdikari semenjak kecil dengan
mengajar mereka melakukan perkara-perkara asas di rumah seperti membasuh pinggan,
mencuci baju dan mengemas tanpa pertolongan sesiapa. Perkara ini akan memudahkan anak-
anak mengurus diri apabila mereka sudah dewasa.
Kesimpulannya, pembentukan jati diri anak-anak bermula daripada asuhan ibu bapa
di rumah. Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik dan menunjukkan contoh tauladan yang murni
agar menjadi ikutan anak-anak.

Anda mungkin juga menyukai