Anda di halaman 1dari 1

Pada masa kini, anak-anak muda mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif daripada media

massa serta bahan-bahan yang bercetak. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar akan peranan mereka
terhadap pembentukan jati diri anak-anak. Anak-anak harus dididik dengan sempurna supaya
mereka menjadi insan yang berguna dan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat. Oleh
itu, mereka harus diberi kesedaran tentang kepentingan mengamalkan prinsip moral supaya
kita dapat merealisasikan pelbagai wawasan negara kelak.

Sememangnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyemai kesedaran tentang
pentingnya kehidupan beretika. Antara caranya ialah mencurahkan kasih sayang kepada
anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa perlu mengambil berat dan mencurahkan kasih
sayang terhadap anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa patut meluangkan masa bersama anak-
anak untuk memahami serta mengambil berat tentang kehidupan mereka seperti hobi serta
pergaulan mereka dengan rakan-rakan khususnya pelajaran mereka. Selain itu, ibu bapa patut
menjaga anak masing-masing bagai menatang minyak yang penuh. Lantaran itu, anak-anak
akan membesar dan menjadi manusia yang beradab, sopan, ceria serta berkeyakinan dengan
diri mereka sendiri. Mereka tidak akan melibatkan diri dengan masalah sosial kerana mereka
sedar bahawa perbuatan tersebut akan menyakiti hati ibu bapa mereka. Sebaliknya, mereka
menjadi orang yang mempunyai sahsiah yang baik serta menghormati ibu bapa, bersopan
santun, dan mendengar nasihat ibu bapa.

Selain itu, ibu bapa patut memberikan didikan agama kepada anak-anak. Ibu bapa patut
membawa anak-anak ke tempat beribadat untuk bersembahyang atau menjalankan pelbagai
aktiviti bermanfaat seperti bergotong-royong. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa
anak-anak ke masjid untuk bersembahyang bersama-sama. Dengan itu, anak-anak akan sedar
kewajiban diri mengamalkan nilai-nilai murni termasuk mentaati perintah agama. Mereka
akan dapat membezakan perkara baik dan buruk serta mempunyai disiplin diri untuk
melakukan perkara yang betul.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membesarkan anak-anak menjadi
seorang yang bermoral dan bersahsiah mulia. Anak-anak ibarat kain putih dan ianya perlu
dicorakkan oleh ibu bapa. Ianya mesti dibajai, disirami dan dimanja dengan penuh kasih
sayang agar mereka membesar dengan subur dan mengeluarkan hasil. Begitu juga dengan
pendidikan anak-anak. Mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang tetapi mereka perlu
ditegur jika membuat kesilapan. Semoga didikan ibu bapa yang mantap akan melahirkan
anak-anak yang keperibadiannya terpuji dan bersahsiah tinggi.

Anda mungkin juga menyukai