Anda di halaman 1dari 1

Peranan Ibu bapa Mendidik Anak-anak

Pernyataan keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara jelas


menunjukkan bahawa keluarga memang memainkan peranan yang penting
dalam membentuk keperibadian mulia kanak-kanak. Remaja kini sering
melibatkan diri dalam masalah sosial yang telah mencetuskan isu polemik
dalam kalangan media massa yang saban hari meniti dari bibir ke bibir.
Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Sudah tentu, sesuatu
perkara berlaku tentu ada sebab-sebab yang mendorongnya kerana pepohon
pokok tidak akan berliuk-lintuk jika tidak ditiup angin. Pembentukan
keperibadian mulia anak-anak bermula daripada institusi keluarga. Sesebuah
keluarga dibentuk dengan peranan ibu bapa masing-masing.
Ibu bapa seharusnya mementingkan zuriat mereka sendiri daripada
kerjaya. Malangnya, kebanyakan ibu bapa kini yang terlalu mementingkan
kerjaya sehingga menyebabkan anak-anak mereka di rumah berasa tersisih
seperti anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Oleh hal
yang demikian, ibu bapa haruslah mengimbangkan kerjaya dan kehidupan
seharian mereka agar anak-anak dapat mendapat didikan yang baik dari segi
fizikal dan mental. Ibu bapa sewajarnya tahu bahawa mujtamak yang kaya
dalam kebendaan tetapi muflis dari segi keperibadian akan secara tidak
langsung mendampakkan kesan negatif terhadap anak-anak mereka. Oleh
itu, keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk
membentuk keperibadian anak-anak.
Selain itu, ibu bapa haruslah memberi didikan dan asuhan yang baik
sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak
tentunya dapat mengimplimentasikan nilai-nilai murni dan sikap positif ini
dalam kehidupan seharian, seterusnya membentuk sanubari yang baik. Ibu
bapa merupakan uswah hasanah kepada anak-anak di rumah, oleh hal yang
demikian, mereka mestilah sentiasa bersikap penyayang dan berbudi pekerti
mulia dan jangan sesekali menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan
lurus, sedangkan diri sendiri berjalan mengiring. Sudah terang lagi bersuluh
bahawa jati diri anak-anak dapat dibentuk melalui institusi keluarga
khususnya ibu bapa yang memainkan peranan yang penting.
Intihanya, keluarga merupakan mercu tanda kemakmuran negara dan
menggalas tanggungjawab yang berat untuk mendidik anak-anak. Ibu bapa
mestilah menjalankan obligasi masing-masing dengan tidak melepaskan
batuk di tangga. Jikalau anak-anak kini berjaya membentuk keperibadian
yang mulia, sudah tentu anak remaja yang merupakan pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara ini dapat menjadi pemimpin yang berkaliber
kelak. Impian mantan Perdana Menteri kita iaitu Pak Lah untuk membentuk
sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dimakbulkan,
sekali gusmenjadikan negara Malaysia berdiri gah di persada dunia.

Anda mungkin juga menyukai