Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan BM PT3 - Kemalangan Jalan Raya

Kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini meningkat dari masa ke semasa. Terdapat
pelbagai jenis kemalangan sama ada yang melibatkan pemandu kereta, lori, penunggang
motosikal atau pejalan kaki dilaporkan oleh pihak berkuasa. Negara kita juga dikatakan sebagai
sebuah negara yang mempunyai kadar kemalangan jalan raya yang tertinggi.
Antara faktor utama peningkatan kes kemalangan di negara kita berpunca daripada kecuaian
pengguna jalan raya sendiri. Contoh kecuaian yang berlaku adalah seperti memandu dalam
keadaan letih dan mengantuk. Akibat hendak segera sampai ke destinasi yang di tuju, mereka
tidak menghiraukan keadaan mereka yang dalam keletihan. Akibatnya kenderaan di pandu
dalam keadaan kurang tumpuan. Pemandu yang berada dalam keadaan begini seharusnya
berhenti seketika untuk menghilangkan rasa mengantuk dan letih supaya dapat memberi
tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan.
Kesalahan lain yang biasa dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah memandu melebihi had
laju yang ditetapkan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Walaupun banyak
papan tanda had laju diletakkan di sepanjang jalan raya dan kawalan lalu lintas oleh pihak
berkuasa, namun mereka masih berdegil dan memandu sesuka hati tanpa memikirkan
keselamatan diri sendiri dan orang lain. Malah, ada juga yang berlumba secara haram
menggunakan motosikal di atas jalan raya seperti yang biasa dilakukan oleh golongan remaja.
Untuk mengelakkan kejadian kemalangan yang teruk meningkat, langkah-langkah yang
praktikal perlu diambil oleh semua pihak.
Pihak kerajaan, swasta dan rakyat harus bekerjasama demi memastikan keselamatan semua.
Pihak kerajaan daripada pelbagai jabatan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, polis, dan
Jabatan Kerja Raya harus membuat pemantauan dari semua aspek untuk mendisiplinkan para
pemandu dan menyediakan laluan jalan raya yang selesa demi keselamatan pemandu.
Penguatkuasaan undang-undang, kempen kesedaran, dan pelaksanaan denda atau saman
bagi kesalahan jalan raya adalah antara langkah yang wajar diambil untukmenyedarkan
pengguna jalanraya. Sektor swasta juga memainkan peranan penting dalam menangani
masalah ini dengan menyiarkan iklan yang dapat memberi kesedaran kepada pengguna jalan
raya yang lain.
Masyarakat harus sedar tentang peranan masing-masing di jalan raya. Mereka tidak harus
mementingkan diri sendiri sebaliknya perlu bertolak ansur dengan pengguna jalan raya yang
lain. Peraturan jalanraya haruslah dipatuhi untuk memastikan keselamatan semua pihak.

Jangan gopoh gapah semasa memandu kerana kecuaian menjadi punca nyawa sendiri dan
orang lain yang tidak bersalah turut terancam. Kenderaan perlulah diperiksa terlebih dahulu
sebelum memulakan perjalanan.
Kesimpulannya, keselamatan di atas jalan raya merupakan tanggung jawab pengguna jalan
raya sendiri. Kecuaian merupakan punca utama kemalangan berlaku dan hal ini tidak harus
dibiarkan berterusan untuk menjamin keselamatan semua pihak. Manusia memang tidak dapat
lari daripada melakukan kesilapan tetapi kesilapan yang dapat menyebabkan nyawa orang lain
juga turut melayang haruslah dielakkan demi kesejahteraan bersama.

Anda mungkin juga menyukai