Anda di halaman 1dari 2

PENDAHULUAN

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa kemalangan jalan raya saban tahun
semakin meningkat dari hari ke hari. Setiap hari sama ada di kaca-kaca televisyen,
di dada-dada akhbar mahupun di corong-corong radio pasti ada sahaja yang
membangkitkan isu kemalangan jalan raya yang meragut nyawa manusia. Murah
sangatkah nyawa manusia sehingga banyak jiwa yang terkorban di jalan raya? Jika
hal ini dibiarkan berterusan, sudah tentu ia dapat merugikan sesebuah negara.
Oleh itu,punca-punca kemalangan jalan raya perlu dikenal pasti segera sebelum
isu ini menjadi lebih parah lagi.
Perenggan Isi 1 : Sikap Pemandu Itu Sendiri
Punca yang paling signifikan berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap
pemandu itu sendiri. Hal ini disebabkan pemandu bersikap mementingkan diri,
tiada sifat bersabar ketika berada di jalan raya dan tidak mematuhi peraturan jalan
raya yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, pemandu kenderaan memandu kereta
tanpa mematuhi had laju yang dibenarkan. Secara tidak langsung, pemandu bukan
sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang
lain. Oleh itu, sikap berhati-hati di jalan raya dan slogan Biar Lambat Asal Selamat
sedikit sebanyak dapat menghindarkan kemalangan maut daripada berlaku.
Perenggan Isi 2 : Keadaan Struktur Jalan Raya
Punca seterusnya penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah Keadaan
struktur jalan raya. Keadaan jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik akan
menyebabkan jalan raya berlubang-lubang, sempit, tidak rata dan tidak mempunyai
lampu jalan sudah pasti mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Sebagai contoh, jalan raya yang bengkang-bengkok akan menyebabkan pemandu
yang tidak biasa dengan jalan tersebut akan terbabas dan terlibat dalam
kemalangan jalan raya. Oleh itu, pihak kerajaan perlu mengambil inisiatif segera
memperbaiki struktur jalan raya yang membahayakan nyawa penggunanya.
Tegasnya sebelum Nasi Menjadi Bubur, struktur jalan raya perlu diberi keutamaan
terlebih dahulu agar keselamatan pengguna-pengguna jalan raya terjamin.
Perenggan Isi 3 : Keadaan Kenderaan
Keadaan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik juga menjadi punca
berlakunya kemalangan jalan raya. Dengan kata lain, keadaan kenderaan yang
tidak diselenggara mengikut jadual yang telah ditetapkan boleh mengundang
malapetaka kepada pemandunya. Sebagai contoh, brek kenderaan yang tidak
berfungsi dengan baik akan menyebabkan pemandu sukar mengawal kenderaan
ketika saat-saat kecemasan. Impaknya, pemandu akan mudah tersasar dan akan
berlakunya kemalangan jalan raya ketika ingin menghentikan kenderaan secara
kecemasan. Jelaslah, kenderaan hendaklah diselenggara dengan baik sebelum
memulakan perjalanan yang jauh kerana Malang Tidak Berbau.

Perenggan Isi 4 : Undang-undang


Penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga merupakan salah satu punca
berlaku kemalangan jalan raya. Denda dan kompaun sebanyak RM300 bagi
kesalahan berat seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat
merah tidak berkesan kerana pesalah-pesalah tersebut mampu membayarnya dan
tidak rasa terbeban disebabkan itu. Selain itu, operasi sekatan jalan raya hanya
giat dijalankan ketika musim-musim perayaan. Impaknya, pemandu tidak gentar
melakukan kesalahan di jalan raya kerana beranggapan operasi hanya dilakukan
pada waktu-waktu tertentu sahaja. Jadi, penguatkuasaan undang-undang yang
lebih tegas dan pemantauan di kawasan berbahaya hendaklah diambil berat untuk
mengelakkan daripada berlakunya kemalangan maut.
Kesimpulan.
Semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menangani
isu kemalangan jalan raya ini. Segala usaha yang dilaksanakan hendaklah
berterusan bukan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun sekadar
melepaskan batuk di tangga sahaja. Jangan sampai sudah terhantuk, baru nak
terngadah, ketika itu barulah inisiatif mahu dirangka untuk mengatasi kemalangan
jalan raya. Isu kemalangan ini tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja kerana
impaknya sangat besar kepada negara terutamanya kerugian sumber tenaga yang
produktif. Slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat hendaklah dijadikan pedoman bagi
semua pengguna jalan raya agar nyawa mereka terselamat. Ingatlah, jangan
jadikan lebuh raya sebagai gelanggang perlumbaan mahupun pusara kerana
nyawa manusia merupakan satu anugerah tuhan yang perlu dihargai.

Anda mungkin juga menyukai