Anda di halaman 1dari 3

BENGKEL PEMBINAAN MODUL DAN ITEM SOALAN

BAHASA MELAYU FORMAT BAHARU SPM

TUGASAN 1 (KUMPULAN 15)

KERTAS 1 - Bahagian B , Domain Peribadi


KARANGAN PIDATO : TEMA KESELAMATAN

TANAH MERAH: Dua pelajar Tingkatan Empat maut selepas motosikal dinaiki mereka
bertembung dengan van di Jalan Tanah Merah-Gual Ipoh dekat Kusial Bahru di sini hari ini.
Dalam nahas jam 3.50 petang itu, Muhammad Alif Najmi Imran dan Mohamad Ziyadi Nik
Mustapha, masing-masing berusia 16 tahun meninggal dunia akibat kecederaan di kepala
dan badan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad, berkata
siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Muhammad Alif Najmi dipercayai hilang
kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan, lalu bertembung dengan van..Akibat
pertembungan itu, kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Ipoh itu
tercampak menyebabkan Muhammad Alif Najimi meninggal dunia di tempat kejadian,
manakala Mohamad Ziyadi mati di Hospital Tanah Merah.

“Kedua-dua mangsa juga tidak memakai topi keledar,” katanya.

Sumber : BHONLINE, April 2019

Berita-berita tentang kemalangan jalan raya yang meragut nyawa murid-murid sekolah
amat menyayat hati . Sehubungan dengan itu, satu pertandingan pidato yang bertajuk
Usaha-usaha untuk Mengatasi Kes Kemalangan Jalan Raya di Malaysia telah diadakan
oleh pihak sekolah .

Tulis teks pidato anda selengkapnya.


SKIMA

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih, tuan pengerusi majlis,


panel hakim yang arif lagi bijaksana dan hadirin sekalian. Berdirinya saya adalah
untuk menyampaikan pidato yang bertajuk Usaha-usaha untuk Mengatasi Kes
Kemalangan Jalan Raya di Malaysia. Izinkan saya untuk mendefinisikan tajuk pidato
kita pada hari ini. Usaha-usaha untuk mengatasi kes kemalangan jalan raya boleh
ditakrifkan sebagai langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan kadar
kemalangan jalan raya yang meningkat saban hari di negara kita. Sejak dahulu lagi ,
kecelakaan jalan raya berlaku dan lebih menyedihkan lagi kadar kemalangan
semakin bertambah pada era yang moden ini. Menurut Ketua Polis Negara, langkah
yang lebih efisen perlu diambil agar bilangan rakyat yang maut di jalan raya dapat
dikurangkan. Persoalannya di sini, apakah usaha-usaha yang perlu diambil untuk
mengatasi kemalangan jalan raya di Malaysia?

Para hadirin sekalian,

Hujah pertama saya berpaksikan kata kunci pengguna


bertanggungjawab,keselamatan terjamin. Sebagai contohnya, pengguna jalan raya
mestilah mempunyai tanggungjawab ketika berada di jalan raya dengan mematuhi
segala peraturan di jalan raya, tidak memecut di jalan raya dan mempunyai lesen
memandu yang sah. Hal ini dikatakan demikian kerana, sikap pengguna yang
berlagak samseng dan rakus ketika memandu akan membawa padah. Kecuaian
pengguna jalan raya ini bukan sahaja akan membinasakan diri sendiri tetapi juga
boleh menragut nyawa pengguna lain yang tidak bersalah. Setiap pengguna jalan
raya perlu prihatin dan tidak melanggar peraturan sesuka hati dengan memotong di
kawasan yang tidak dibenarkan. Terbuktilah di sini bahawa, pengguna jalan raya
yang bertanggungjawab dan berhemah di jalan raya mampu mengubah statistik
kemalangan yang kian bertambah di negara kita.

Hujah kedua saya, berpaksikan kata kunci kempen keselamatan jalan raya
menyedarkan rakyat jelata. Sebagai contohnya, Kempen Berhati-hati di Jalan Raya,
Kempen Sayangilah Nyawa Anda dan Kempen Ingat Sebelum Kena perlu diadakan
secara menyeluruh dan berterusan bagi menyedarkan masyarakat supaya sentiasa
berwaspada ketika menggunakan jalan raya. Hal ini dikatakan demikian kerana
melalui kempen yang berterusan dapat memberi kesedaran dan peringatan kepada
pengguna-pengguna jalan raya agar sentiasa beringat-ingat ketika memandu dan
tidak memandu secara melulu. Tanpa kempen keselamatan jalan raya, maka para
pengguna mungkin alpa dan akan mengikut rasa hati ketika berada di jalan raya.
Jelaslah di sini bahawa kempen keselamatan jalan raya yang berkesan akan
memberi impak yang baik kepada semua pengguna jalan raya di negara kita.

Hadirin yang dihormati sekalian,


Indikator seterusnya ialah hukuman tegas menginsafkan pengguna. Pihak
berwajib perlu mengenakan hukuman yang lebih tegas kepada para pengguna yang
melanggar peraturan jalan raya yang ditetapkan. Hal ini dikatakan demikian kerana
hukuman yang longgar dan ringan tidak menakutkan para pengguna jalan raya di
negara kita. Sebagai contohnya, hukuman mati mandatori perlu dikenakan kepada
pemandu mabuk yang terlibat dalam kemalangan maut bagi memberi pengajaran
kepada pengguna jalan raya yang lain. Kita tidak mahu kematian seorang pegawai
polis ketika bertugas di atas jalan raya angkara pemandu mabuk hanya membayar
kompaun sebanyak RM 3000. Kita mahu mereka yang tidak bertanggungjawab ini
dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Sudah
terang lagi bersuluh, hukuman yang tegas mesti dilaksanakan dengan segera.

Berdasarkan hujah-hujah tentang usaha mengatasi kemalangan jalan raya,


ternyatalah di sini bahawa banyak usaha yang perlu diberi perhatian untuk
mengurangkan kes kemalangan di Malaysia. Marilah kita semua bersatu hati dan
berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan jalan raya di negara kita
selamat daripada kemalangan yang tragis. Tanpa kerjasama kita semua, maka kes
kemalangan jalan raya mungkin akan berterusan tanpa ada penghujungnya.

Keamanan negara kita nikmati


pemimpin kita pemimpin terbilang
Peraturan jalan raya kita dipatuhi
Kamalangan jalan raya pasti berkurang

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai